Tab Menu

Followers

Wednesday, May 30, 2012

Sedingin Salju - Pengenalan

Manuskrip ini ditulis ketika bercuti di kampung...


Sedingin Salju

HATINYA sudah kering kerana lelaki. Bagi  Nina Karina tiada lelaki yang setia pada cinta. Cukup lelaki mempermainkan perasaannya dan dia tidak malu bergelar seorang janda. Hati wanita mana tidak hancur apabila diceraikan tanpa usul periksa. Semuanya gara-gara ibu mertuanya yang durjana itu. Dendam dan kebencian Nina Karina pada keluarga Bonda Belinda tidak pernah padam.

            Nina Karina mempergunakan Aireen untuk menjayakan rancangannya. Aireen gadis yang penuh dengan dendam kesumat. Suatu ketika dulu, Bonda Belinda membeli keadilan dengan wang ringgit hingga ayahnya dipenjarakan atas kesalahan yang tidak dilakukan. Aireen melihat pula ibu dan adiknya masih kecil meninggal dunia dalam kebakaran atas perbuatan khianat manusia seperti Bonda Belinda.

 Aireen memikat Rifqi, satu-satunya cucu lelaki Bonda Belinda yang bagaikan nyawa wanita itu. Dengan taktik kotor, Rifqi terperangkap dengan permainan Aireen dan mereka dinikahkan. Perkahwinan itu mendapat bantahan keras dari Bonda Belinda. Dia memaksa Rifqi menceraikan Aireen namun sebaliknya Rifqi menentang Nenda kesayangannya itu.

            Rifqi mencintai Aireen sepenuh hatinya. Aireen pula hanya mahu melunaskan dendam buat Nina Karina. Tiada perasaan belas di hati Aireen hingga sanggup meracuni Rifqi. Kecewanya Rifqi atas pengakuan Aireen hingga dia tidak mahu Aireen muncul di depan matanya sebaik kebenaran itu terbongkar. Bonda Belinda tidak akan membiarkan Aireen hidup selagi nafas gadis itu tidak diputuskan.

Perpisahan itu mengajar Aireen erti rindu. Aireen tidak menyedari bila cinta itu hadir buat Rifqi. Namun bisakah dia mendapatkan cinta Rifqi setelah dia mengkhianati lelaki itu dengan cinta palsunya?

            Tegarkah Nina Karina meneruskan dendam yang tiada penghujung demi kebencian yang terpahat di hatinya? Tegarkan dia melihat kesengsaraan Rifqi anak kandungnya yang disangka sudah mati itu?


Prolog

“ESOK majlis pertunangan cucu kesayangan Bonda Belinda. Kau akan hadirkan Nina?” Julia memandang pada wajah Nina Karina  yang masih tampak jelita itu meskipun sudah mencecah  usia pertengahan 40-an.

            Nina Karina memalitkan senyuman di bibirnya. Dia bingkas bangun dari kerusi eksklusifnya. Nina Karina memandang ke arah luar jendela. Bangunan-bangunan pencakar langit tersusun indah di hadapan matanya itu.

            “Aku pasti berikan hadiah istimewa buat cucu kesayangan perempuan itu.” Nina Karina mengetap bibir.

            “Nina…kau akan sakiti orang yang kau sayang nanti.”

            Nina Karina ketawa kecil mendengar kata-kata Julia itu. Lelaki itu sudah mati di hatinya. Apa yang ada di hati ini hanyalah kebencian!

            “Aku tidak kisah jika ada yang perlu dikorbankan asalkan dendam aku berbalas, Julia.”

            Julia menggelengkan kepalanya. Masa telah mengubah Nina Karina, sahabat baiknya itu.

            “Nina…kau dah tak sayangkan Bakhtiar?”

            Nina Karina tersenyum sinis.

            “Cinta aku sudah mati pada 25 tahun yang lalu!” Tegas Nina Karina.

            Julia menghela nafas kecil. Dia lihat mata Nina Karina bercahaya. Dia kenal hati sahabatnya itu. Mulut kata benci tetapi cinta Nina Karina masih membara buat lelaki bernama BAKHTIAR!


25 tahun yang lalu…

“NINA bersumpah abang! Nina tak tahu siapa lelaki ini?” Nina Karina memeluk kaki suaminya. Air matanya tidak henti-henti mengalir. “Nina hanya berdua dengan bonda di rumah bang. Nina tak tahu bila lelaki ini masuk ke bilik kita.”

            Bakhtiar membisu tanpa kata. Mata mencerlung pada tubuh Nina Karina yang hanya berkembankan kain batik itu. Lelaki itu durjana itu sudah terkulai layu di perlusuk dinding. Belinda memerhatikan menantu perempuannya tanpa perasaan.

            “Bonda…” Bakhtiar mengalihkan pandangan pada bondanya.

            “Selama ini bonda hanya berdiam melihat kecurangan isteri anak bonda. Nina meng-
ugut bonda agar tidak membocorkan rahsianya.”

            Nina Karina tidak menduga yang Bonda Belinda akan berbohong kepada Bakhtiar. Ini pasti rancangan ibu mertuanya yang mahu dia dan Bakhtiar berpisah. Riak wajah Bonda Belinda itu menceritakan segalanya. Wanita ini hanya berpura-pura menerimanya sebagai menantu.

            “Abang…jangan percayakan cakap bonda. Nina bersumpah pada abang! Nina tidak mengenali lelaki ini!” Nina masih erat memeluk kaki Bakhtiar.

            Hati Bakhtiar bercelaru. Mengapa Nina Karina menafikan kecurangannya. Dia lihat dengan matanya sendiri Nina Karina tidur sekatil dengan lelaki durjana itu.

            “Bonda tidak berbohong. Bonda sanggup ke tepikan ego bonda untuk menerima Nina sebagai menantu bonda. Masakan bonda mahu menganiaya anak dan menantu bonda sendiri.” Bonda Belinda memainkan lakonannya dengan baik sekali. Wajah sedih itu mengundang simpati Bakhtiar.

            “Bonda bohong! Bonda…” Belum habis Nina Karina menutur kata rambutnya telah direntap kasar oleh Bakhtiar.

            “Kau keluar dari rumah aku sekarang!” Bakhtiar mengheret tubuh Nina Karina tanpa belas kasihan hingga ke muka pintu.

            Bonda Belinda tersenyum puas. Itu yang dia mahukan. Selepas ini Bakhtiar tidak akan mengingkari kata-katanya lagi.

            “Abang…Nina di fitnah abang…Nina tak curang pada abang!” Nina Karina merintih. Kaki Bakhtiar dipaut semula.

            Bakhtiar memalingkan wajahnya.

            “Aku ceraikan kau dengan talak tiga! Jangan kau tunjuk muka kau di depan mata aku lagi perempuan sundal!” Bakhtiar melafazkan cerai kepada Nina Karina. Dia menarik kakinya dari pautan Nina Karina. Tidak dihiraukan tangisan Nina Karina lagi.

            Pintu utama itu dihempaskan dengan kuat. Nina Karina mengesot ke muka pintu. Bertalu-talu dia mengetuk pintu itu. Dia tidak menghiraukan bendalir berwarna merah di celah kelangkangnya. Hatinya lebih sakit dari kesakitan diperutnya itu.

Friday, May 18, 2012

CoKe And SuNdae II - September 2012

Kak...saya cari Coke and Sundae II kat kedai tak jumpa pun? Kak, bila nak keluar Coke and Sundae II? Tak sabar dah ni...Tak jumpa Coke and Sundae II di kedai. Macam-macam pertanyaan yang akak terima.

Pertanyaan anda semua akak jawabkan di sini. InsyaALLAH...Coke and Sundae II keluar pada September 2012 ni. Kiranya lepas raya nanti. Maaf kerana buat anda semua menunggu lama. Akak mengalami bermacam masalah ketika menyiapkan manuskrip Coke and Sundae II.

Akak menantikan Coke and Sundae II menjadi buku dengan penuh debaran. Pelbagai komen negatif akak terima masa Coke and Sundae I diterbitkan. Malah ada yang kata akak tiru drama Vanilla Coklat tanpa di siasat tarikh terbitannya dahulu. Ada juga yang kata akak tiru Cinta Tiga Suku yang tak pernah akak baca novelnya lagi dan tidak mengenali cerita tersebut sebab keluar pada tahun yang sama sedangkan Coke and Sundae yang keluar dulu ketika itu. Tidak mengapalah...akak perlu bersabar, bukan semua orang akan menerima karya kita :)

Versi Coke and Sundae II lebih kepada santai dewasa sebab kisah Azyan dan Syakir yang sudah berkahwin kan :) Akak menulis mengikut acuan akak sendiri. Genre yang tersendiri. Akak bukan penulis yang dabomm! Akak penulis picisan yang masih nun di bawah dan tidak dikenali ramai tau. Hehehehe :)

Akak sedang menyudahkan manuskrip Queen Control dan Nilai Cinta untuk dihantarkan kepada penerbit sebab akak nak berehat dua tahun dan siapa tahu akak berehat dari bidang penulisan selamanya...(menjadi penulis di blog sahaja)

Buat peminat Coke and Sundae, akak harap Coke and Sundae II memberikan kepuasan kepada anda nanti. Dan mohon maaf pada pembaca yang mahukan akak buat genre kahwin-paksa ni, akak tak boleh nak buat sebab akak sukakan pembaharuan pada karya akak biarpun bukan semua pembaca suka pada karya akak ini.

Lepas ini akak akan rindu pada watak Syakir dan Azyan. Watak mereka amat akak gemari biarpun nama mereka terlalu ringkas sekali. Akak ada buat mini novella Coke and Sundae sementara menantikan Coke and Sundae II menjadi versi cetak. Kisah Azyan dan Syakir masa sekolah.

Tak sangka Coke and Sundae II dibukukan. Rasa macam bermimpi di siang hari. Pada mulanya akak hanya mahu menulis saja di blog untuk peminat yang mahukan novel Coke and Sundae disambungkan. Impian untuk melihat Coke and Sundae II menjadi versi cetak sudah menjadi kenyataan. 

Terima kasih pada anda semua yang sentiasa bersama akak dan menyokong akak dari belakang meskipun akak ni bukanlah penulis popular dan kurang dikenali :) 


Syakir dan Azyan...mereka berdua watak novel yang akak paling sayang....kerana mereka akak dikenali :)

Wednesday, May 2, 2012

JOM TONTON!!!






Alhamdulillah syukur kepada kepadaNYA kerana diberikan limpah rezeki yang mana novel akak '566 Hari Mencari Cinta' akhirnya menjadi telemovie :) Hadiah Hari Lahir akak ke-31 ni. Senyum sampai ke telinga. Yang sedihnya akak tak dapat tonton ceritanya ni kerana tiada Astro di rumah, huhuhu...

Adaptasi dari novel '566 Hari Mencari Cinta' - Ilya Abdullah


Malam Ini (2 Mei 2012 ) saksikan telemovie 'SETAHUN SETENGAH MENCARI CINTA' Rabu 10pm@Astro Warna.



*Rozita Che Wan, Azlee Khairi, Maimon Muttalib, Wan Shades, Sabrina Ali.



Firdayu telah diberikan setahun setengah oleh neneknya untuk berkahwin. Firdayu akan mendapat keseluruhan aset neneknya tetapi ia akan berlaku sebaliknya jika dia tidak boleh menepati tempoh yang ditetapkan


* Tonton dulu baru komen samada pelakon2nya dapat menjayakan watak2 dalam novel ini :)