Tab Menu

Followers

Tuesday, September 20, 2011

Romie dan Julie - Bab 3

JULIE menyisirkan rambutnya yang panjang separas pinggang itu. Dia memalitkan senyuman apabila mengingati peristiwa malam itu. Wajah tampan Romie terbayang di ruang mata Julie. Namun senyuman Julie mati apabila melihat gambar arwah papa dan mamanya di atas meja soleknya itu. Dia tidak akan sesekali menyimpan perasaan sebegitu pada keturunan Tun Muzaffar. Mereka adalah musuhnya! Julie menampar-namparkan mukanya. Aku mesti tuntut bela atas kematian papa dan mama! Aku akan musnahkan keluarga Tuan Hilman. Hutang darah perlu dibayar dengan darah! Julie menggigit bibirnya sehingga berdarah.

            Bertahun-tahun dia menunggu masa yang sesuai untuk memusnahkan keluarga Tuan Hilman. Kini penantian dia sudah berakhir. Langkah permulaan telah diaturkan. Semua berjalan seperti dengan lancar. Julie memandang pada cermin solek itu. Maafkan aku Romie. Persengkataan ini tercetus disebabkan oleh keturunan kau! Aku kehilangan papa dan mamaku. Aku dibesarkan tanpa keluarga yang sempurna.

            Julie Esmelda…namanya gah di dalam bidang seni muzik. Dia seorang pemain piano yang terkenal. Darah seni sudah mengalir dalam tubuh Julie. Mamanya bekas pemain piano sebelum berkahwin dengan papa. Sejak kecil dia belajar bermain piano dengan mama. Julie tidak berminat dengan bidang perniagaan seperti abangnya, Raffique. Julie mencapai nota-nota muzik untuk persembahan dia di Rome kelak. Dia meninggalkan pesanan di dalam telefon bimbit Romie. Romie akan masuk ke dalam jeratnya. Dia yakin Romie akan tunjuk muka di Rome nanti. Bibirnya mengulum senyuman. Julie bingkas bangun menukar pakaiaannya. Dia perlu bersiap untuk ke lapangan terbang.

            Pintu bilik Julie terkuak. Terpacul kepala Kiki, sepupunya itu. Gadis yang bertocang dua itu melirikkan senyuman menampakkan barisan giginya yang agak tidak teratur. Dia merapati Julie yang sedang mendandan rambut panjangnya. Julie memang cantik persis seorang puteri. Kejelitaan yang dimiliki dari arwah mamanya. Malah ada yang mengatakan dia adalah jelmaan Puan Elena. 

            “Julie!” Kiki terus memaut leher sepupunya itu. Kiki sayangkan Julie. Dia tidak akan biarkan Julie disakiti oleh sesiapa. Selama ini dialah memberikan kata perangsang kepada Julie. Kiki sedar hati Julie disaluti dengan kebencian dan dendam yang tidak terhingga. Dia tidak mampu menahan Julie. 

            “Mama Freda sedang menunggu kita di luar. Eh! Bibir kau terluka.” Sambungnya lagi.

            “Luka sikit aje. Kiki…maafkan aku kerana melibatkan kau dalam soal dendam keluarga aku.” Julie memaku pandangan ke arah Kiki.

            “Julie…kita sudah bincangkan masalah ini. Aku sudah berjanji maka aku akan tunaikan janji aku. Lagipun aku tidak biarkan kau bersendirian.” Nada suara Kiki bertukar menjadi serius. 

            “Aku telah memulakan langkah pertamaku Kiki. Dan aku telah menemui mangsaku untuk melaksanakan rancangan aku ini. Dan aku tidak menduga Tuan Hilman mempunyai anak yang sedarah daging dengannya.”

            Kiki mengerutkan dahi. Nampaknya dia ada yang terlepas pandang. Siapa gerangan anak Tuan Hilman yang seorang lagi itu? Fikirnya Tuan Hilman hanya mempunyai dua orang anak tiri sahaja. Anak dari isteri keduanya, Puan Sirna.

            “Romie…kau terlepas pandang pada Romie Izary Hilman.”

            “Romie Izary!” Mulut Kiki ternganga luas. “Kau maksudkan Romie Izary.”

            “Kenapa? Kau kenal dia?”

            “Mestilah aku kenal. Dia…dia adalah bekas penyanyi Crossfire Band di UK dulu. Kau sudah lupa pada dia.”

            Julie termangu. Romie Izary bekas penyanyi Crossfire Band! Dia pernah mendengar nama kumpulan Rock tersebut. Anak-anak muda Malaysia yang membuat album di luar negara. Muzik mereka diterima ramai namun entah mengapa penyanyi kumpulan tersebut mengundurkan diri menyebabkan kumpulan yang baru menempah nama itu berpecah. Itu yang dia dengar dari teman-teman sekolejnya dahulu.

            “Siapa pun dia….dia tetap ada darah keturunan Tun Muzaffar yang mengalir di dalam tubuhnya. Aku akan hapuskan semua keturunan mereka!”

            “Julie…”

            Romie Izary…11 tahun yang lalu aku menyaksikan kematian orang tua aku depan mata ini, kini kau juga akan menerima nasib yang sama seperti aku. Terketap-ketap bibir Julie. Air matanya menitis jatuh ke pipi. Igauan mimpi ngeri itu bukan mudah untuk dilupakan.

            “Julie…kau nekad mahu memperalatkan Romie untuk melaksanakan dendam kau itu?” soal Kiki.

            “Dalam soal dendam aku tidak perlu ada belas kasihan. Bukan salah ku jika dia perlu menjadi mangsa. Dia perlu membayar harga yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit! Aku mahu darah keturunan mereka tumpah di atas muka bumi ini!” Bicara kata yang keluar dari bibir Julie itu menakutkan Kiki. Tidak pernah dia melihat Julie memberikan reaksi sedemikian.

            “Kau sudah siap.” Kiki tidak mahu meneruskan perbualan mereka lagi mengenai dendam. 

            “Sudah.” Julie menarik bagasinya.

            Di luar apartmen itu, Mama Freda sedang menunggu di dalam keretanya. Wanita awal 40-an itu mengulum senyuman sebaik sahaja melihat Julie dan Kiki. Kiki membantu Julie memasukkan bagasinya ke dalam bonet kereta. Mercedes Benz itu bergerak sebaik saja kedua gadis itu melangkah masuk.

ROMIE tidak menjangka ada pesanan yang ditinggalkan oleh Julie di dalam telefon bimbitnya. ‘Sorry…saya tidak dapat menemani awak lebih lama. Saya perlu berangkat ke Rome hari ini untuk persembahan piano.’ Romie mengulum senyuman sebaik saja membaca pesanan tersebut. Dia tidak betah untuk duduk di vila ini dengan lebih lama. Dia mahu mengekori Julie ke Rome. Romie menekan-nekan nombor pada telefon bimbitnya. 

            “Helo…Ojay. Aku perlukan bantuan dari kau.”

            Romie mengemaskan pakaian masuk ke dalam beg. Dia perlu beredar tanpa pengetahuan sesiapa pun. Jalan utamanya tentu saja dari tingkap bilik itu. Romie menulis nota lalu ditinggalkan atas tilamnya. Apa yang ada di dalam kepala otaknya hanya pertemuan kedua dengan gadis jelita itu. Romie mengenakan cap di kepalanya.

            “Tuan muda…” pintu bilik terkuak. Romie tersentak. Dia terlupa untuk mengunci pintu biliknya.

            Namun sebaik saja melihat wajah yang masuk ke dalam biliknya itu, dia menarik nafas lega. Mujurlah bukan abang atau ibu tirinya yang masuk ke dalam biliknya. Jika tidak rancangannya untuk melarikan diri akan tergendala. Romie tidak mahu ahli keluarganya tahu ke mana dia menghilang. Biar mereka mencari dia hingga ke pelusuk dunia. Dia tidak kisah pasal harta dan kemewahan. Dia senang hidup dalam pelarian. Jika boleh dia tidak mahu ada perhubungan dengan keluarga Tuan Hilman ini.

            “Kenapa Kak Sarah tidak ketuk pintu saya dulu.” Desisnya. Orang gajinya itu dipandang tajam.

            Wanita yang dipanggil Kak Sarah itu mengerutkan dahi.

            “Tuan muda mahu ke mana ni?” Mata Kak Sarah terpaku pada beg di tangan Romie. Anak muda itu mahu melarikan diri dari rumah lagikah? 

            Syhhhhh!” Romie meletakkan jari telunjuk pada bibirnya. Suara Kak Sarah akan mengejutkan pengawal-pengawal yang berjaga di vila itu nanti. Dia tidak mahu ditangkap dan kena kurung dalam bilik sebagai hukuman. 

            “Tuan muda ini memang degil!” Rengus Kak Sarah. Dia meletakkan minuman jus yang dibawa itu atas meja. Pelbagai masalah yang timbul menimpa Kak Sarah semenjak dia menjaga kebajikan tuan muda yang kedua ini.

            “Saya mahu ke Rome. Saya mahu mengejar cinta saya di sana.” Romie tersengih. Dia capai nota yang diletakkan atas katilnya itu lalu dihulurkan kepada Kak Sarah.

            Bertambah kerut wajah Kak Sarah. Dia gelengkan kepala. Kalau sebelum ini Romie melarikan diri kerana ayahnya kini lain pula tujuan anak muda ini. Gadis mana yang telah memikat hati Romie? Tidak mungkin Sutra Sari. 

            “Tuan muda sudah gila! Tuan muda perlu masuk ke pejabat esok!” Kak Sarah cuba menahan Romie. Apa dia mahu jawab pada Tuan Hilman nanti apabila Romie menghilangkan diri lagi. 

            “Jangan risau Kak Sarah. Romie akan call ayah nanti. So Kak Sarah tidak akan hilang pekerjaan Kak Sarah nanti.” Romie mengenyitkan matanya.

            Sememangnya Kak Sarah tidak mampu mahu menahan Romie. Romie memang jenis suka melanggar peraturan di vila ini. Tetapi sebenarnya Romie seorang yang baik hati. 

            “Jangan lupa bawa ubat Romie bersama.” Kak Sarah memberikan peringatan kepada anak muda itu. Romie perlu menjaga kesihatan di mana jua dia berada. Penyakit Romie mungkin tidak menyerang lagi tapi siapa tahu kelak ia menghantui Romie semula. Kak Sarah tidak sanggup melihat wajah Romie di dalam kesakitan.

            “Kak Sarah ini kuat membebel tetapi baik hati. Itu sebab saya sukakan Kak Sarah.” Romie sudah membuka pintu yang mengadap ke arah lautan itu.

            Kak Sarah mendengus kecil. Dia akui dia amat mengambil berat tentang Romie. Dia sayangkan Romie seperti adiknya sendiri. Dia menjaga Romie sejak anak muda itu berusia belasan tahun lagi. Kemudian Romie telah dihantar ke sekolah asrama penuh kerana mencederakan Sutra Sari. Hukuman itu hanya seketika. Romie bertindak melarikan diri dari sekolah tersebut dengan mengikut bapa saudaranya.

            “Romie…jaga keselamatan kamu.” Pesan Kak Sarah. Romie anggukkan kepalanya.

            “Saya pergi dulu Kak Sarah.” Dia bingkas turun dari tingkap biliknya itu. Kak Sarah menarik nafas panjang. Dia perlu bersiap sedia menghadapi amarah Tuan Hilman.

            Romie berlari-lari mendapatkan Ojay yang sudah sedia menunggu dengan motorsikalnya. Dia akan berangkat segera ke Rome mencari Julie. Semenjak pertemuan mereka, Romie sudah jatuh cinta pandang pertama pada Julie. Itu kenyataannya. 

            Pasport dihulurkan oleh Ojay kepada Romie. Dia menepuk lembut bahu teman baiknya itu. Bantuan yang diberikan hanya setakat sampai di sini. Ojay tidak tahu apa yang ada di dalam fikiran Romie sampai mahu melarikan diri ke Rome. Romie tidak menyatakan tujuannya di dalam telefon. 

            Thanks bro!” Romie memeluk Ojay.

            “Aku tak tahu apa yang kau cari di Romie? Kau bukan punya badan yang sihat Romie.” Gerutu Ojay. Romie keluar dari band muzik mereka kerana kesihatan dirinya yang tidak menentu. Romie pernah ditahan dalam hospital menjalani kemoterapi. Dia pernah melihat Romie yang keguguran rambut di atas kepalanya.

            “Aku mahu mencari kekasih aku di sana.” Balas Romie.

            “Kekasih?” Wajah Ojay berubah. Dia tidak tahu pula Romie punya seorang kekasih. Romie sukar menunjukkan minat pada gadis-gadis disekelilingnya. Dia lebih suka berseorangan dari bercampur-gaul dengan teman lain. 

            “Aku mengejar cinta Julie aku.” Raut wajah Romie berseri-seri. 

            “Julie…” Siapa Julie? Tiada teman-teman yang dia kenali bernama Julie.

            Romie ketawa kecil dengan gelagat Ojay. Dia sendiri baru mengenali gadis itu. Latar belakang gadis itu pun dia tidak tahu. Apa dia tahu nama gadis itu adalah Julie. Julie Esmelda… seorang gadis yang pandai bermain piano. Hairan bukan? Romie membuka ceritanya. Ojay memasang telinga. 

            “Kau hanya kenal dia dalam satu malam Romie. Bagaimana kau boleh jatuh cinta dengan dia? Sampai kau sanggup mahu mengejar dia.” 

            Ojay merenung tajam wajah Romie.

            “Inilah kuasa cinta.” Romie menepuk-nepuk bahu Ojay. Dia mengatur langkah ke balai berlepas di KLIA itu. Dia melambaikan tangan kepada Ojay sebelum kelibatnya hilang di mata Ojay.

            Romie punya sikap yang sukar untuk fahami. Dia membuat keputusan tanpa berfikir dengan panjang. Romie mudah terdedah kepada sasaran musuh-musuh ayahnya. Dia patut fikirkan situasi sekarang. Tambahan pula identiti Romie sudah dikenali dan dia bakal mewarisi kekayaan milik keluarganya. Keselamatan Romie paling utama. Ojay tidak mungkin akan membiarkan Romie bersendirian ke kota Rome. 

            Ojay turut mengikut langkah Romie. Ojay berbulat tekad untuk mengikut Romie ke Rome. Dia tidak peduli jika Romie menengking atau menghalau dia kerana mengekorinya! Ojay bertanggungjawab unuk melindungi Romie. Dia juga mahu bersua dengan gadis yang berjaya merapuhkan hati lelaki Romie. Julie Esmelda….hanya dalam satu pertemuan gadis itu telah membenamkan Romie ke dalam kancah percintaan.     
   

Saturday, September 17, 2011

Queen Control - Bab 18

“APA” Mulut Encik Johari ternganga luas mendengar perkhabaran itu dari bibir mungil Datin Khalida. Reaksi Encik Johari tidak mengejutkan Datin Khalida. Dia tahu yang perhubungan anak dan ayah itu tidak baik. Sengaja dia mahu membuat kejutan besar buat Encik Johari tentang anak gadis kesayangan.


            Encik Johari mengetap bibir. Dia sungguh tidak menduga yang Putri Tasnim berkahwin secara sembunyi-sembunyi. Hati Encik Johari tersentuh kerana dia diabaikan sebagai wali kepada anak gadisnya itu. Mengapa Putri Tasnim perlu merahsiakan perkahwinannya? Apakah Putri Tasnim masih tidak mahu mengakui dia sebagai papanya lagi? Encik Johari merenung tajam ke arah Datin Khalida.

            “Kenapa baru sekarang baru maklumkan kepada uncle?”

            “Saya pun baru tahu uncle. Anak gadis uncle tu bijak menyimpan rahsia. Ingatkan selepas kematian Tazriq, dia tidak akan mencari pengganti lain.”

            Encik Johari mengusap dagu. Setahu dia Putri Tasnim begitu menyayangi arwah Tazriq. Tazriq adalah cinta pertama dan terakhirnya. Dia bagaikan tidak percaya yang Putri Tasnim membuka pintu hatinya untuk lelaki lain.

            “Apa kerja suami Tasnim itu?” soalnya lagi.

            “Saya dengar dia seorang pelukis jalanan di Pasar Seni. Selera tasnim memang luar biasa tetapi suami Tasnim seorang yang gorgeous!”

            Lelaki bernama Tiryaq itu membuatkan jantung wanita sepertinya berdengup kencang. Ciri-ciri lewlaki idaman wanita. Rugilah kalau Putri Tasnim melepaskan Tiryaq tetapi apa salahnya. Dia boleh jadikan Tiryaq anak ikan. Hahahaha…

            “Apa yang kamu ketawakan?” Renungan tajam Encik Johari membuat tawa Datin Khalida terhenti.

            Bagaimana dia boleh berangan ketika ini? Sungguh memalukan. Merah warna muka Datin Khalida.

            “Sekurang-kurangnya dia tidak berkahwin dengan lelaki tua yang sebaya dengan papanya.”

            “Uncle macam perli saya saja.” Datin Khalida mencebik. “Suami tua pun masih ada pangkat Datuk.” Sambungnya lagi.

            Encik Johari ketawa kecil.

            “Uncle dengar suami kamu hendak pasang lagi satu? Siapa yang tahan dengan sikap ‘queen control’ kamu yang melampau itu Khalida.”

            Kali ini Datin Khalida pula ketawa.

            “Saya akui uncle yang saya ini jenis ‘queen control’. Saya rasa Tasnim pun ada kurangnya. Dia simpan suami dia dalam apartmen mewah dia.”

            Terjegil biji mata Encik Johari. Putri Tasnim ‘MENYIMPAN’ suami di rumah? Apa anak gadisnya itu sudah gila? Apa yang anak gadisnya itu fikirkan? Suami bukan untuk disimpan! Tasnim…Tasnim…Anak gadis itu harus dibasuh! Dia sudah tidak mampu untuk berdiri lama di pejabatnya ini. Encik Johari perlu bersua dengan anak gadis itu.

            “Uncle mahu bertemu dengan Tasnim.”

            Datin Khalida menjongketkan bahu. Habislah kalau kedua anak-beranak ini bersua muka.

PUTRI Tasnim merenung tajam wajah tua papanya. Apa hal pula papa datang menyerbu ke pejabatnya ini macam orang kena histeria? Dari luar pejabat lagi dia sudah mendengar yang papa menjerit namanya. Orang yang datang tidak berjemput ini tidak perlu disuruh duduk.

            “Kenapa Tas berkahwin tidak beritahu pada papa?” Lancar mulut Encik Johari bertanya pada Putri Tasnim.

            Putri Tasnim tersentak. Bagaimana papa tahu yang dia sudah berkahwin? Argh! Ini mesti kerja Datin Khalida si ahli mesyuarat tingkap itu. Putri Tasnim bangun dari kerusi eksklusifnya. Dia sudah terlalu lama tidak bertemu dengan papa. Tiada banyak yang berubah pada kecuali rambut papa yang kian memutih itu. Papa masih segak dan bergaya. Kedutan pada wajah papa tidak menjejaskan kekacakkan papa yang membuatkan perempuan mengilai papa. Sakit hatinya pada papa masih terasa hingga dia tidak memberitahu kepulangannya ke Malaysia kepada papa. Rajuknya pada papa tidak pernah surut dan kebencian pada perempuan itu masih tegar dalam hati Putri Tasnim.

            Putri Tasnim membuang pandangan ke luar. Dia tidak mahu memandang wajah lelaki yang mengkhianati arwah mamanya. Apa jua masalah yang dia hadapi tidak perlu dia rujuk pada papa. Dia sudah besar panjang dan tahu apa yang terbaik untuknya.

            “Itu bukan urusan papa.” Desis Putri Tasnim.

            “Ianya tetap urusan papa kerana Tas adalah anak papa.”

            “Anak?” Putri Tasnim memalit senyuman tawar. “Ingatkan papa sudah lupakan Tas? Siapalah Tas pada papa? Papakan lebih mementingkan Puan Hanni Sofea itu dari Tas yang sedarah sedaging dengan papa ini. Papa sanggup tampar Tas untuk membela isteri kesayangan papa itukan?” Sinis bicara Putri Tasnim.

            “Tas…papa ke sini bukan mahu membuka memori lama. Papa akui kesilapan papa pada Tas dan arwah mama Tas. Kes kita kali ini adalah berlainan Tas. Papa tak boleh terima yang Tas berkahwin tanpa pengetahuan papa. Papa ini masih hidup lagi Tas. Papa ini wali Tas!” Bangkang Encik Johari. Payah jika ada anak gadis yang keras kepala dan hati batu seperti Putri Tasnim ini.

            “Urusan peribadi Tas tiada kaitan dengan papa! Suka hati Taslah mahu berkahwin dengan siapa? Papa jaga family papa saja!” Putri Tasnim tidak mahu mengalah.

            “Tasnim!” Encik Johari sudah menaikkan volume suaranya. Encik Johari mula menyinga.

           “Apa yang Tas buat adakalanya memang melampau bagi papa. Sudahlah Tas berkahwin tidak memberitahu papa…Tas sanggup kurung suami Tas di dalam rumah tu apa kesnya? Tas mahu jadi ‘queen control’? Tas…syurga isteri di bawah telapak kaki suami tahu!

            Putri Tasnim mengetap bibir. Dia memang mengawal sepenuhnya tindak tanduk Tiryaq agar lelaki itu tidak membawa masalah besar kepadanya kelak. Lelaki pembawa malang! Dia bukan rela berkawin dengan lelaki itu! Berkahwin pula dalam suasana yang mengayat hati! Perkahwinan bad of the year dalam sejarah! Tiada pelamin, tiada inai di jari, tiada tetamu dan tiada segala-galanya seperti perkhawinan yang dia impikan.

            “Habis di mana pula syurga untuk Puan Hanni Sofea? Papa bagi kebebasan sepenuhnya pada perempuan itu berjoli sakan di luar bukan? Papa pandai menasihati anak sendiri tetapi papa tidak pandai menasihati isteri muda papa itu!”

            Encik Johari menarik nafas panjang. Ada saja bidasan dari Putri Tasnim. Degil! Tidak makan nasihat!

            “Papa mahu bertemu dengan suami Tas?”

            Papa mahu bertemu dengan Tiryaq? Dia tidak akan benarkan! Mengapa semua orang mahu bertemu dengan suaminya?

            “Tidak! Tas tidak mahu papa bertemu dengan dia.”

            “Kenapa? Papa tidak kisah menantu papa kaya atau miskin. Apa yang penting hati budinya. Dan papa tidak suka Tas mengawal dan membuli suami Tas.” Tanpa dijemput Encik Johari melabuhkan punggung pada kerusi duduk anaknya itu. Empuk kerusi milik Putri Tasnim ini. Selesa sekali.

            “Papa mahukan yang Tas ‘queen control’!”

            “Tas…kalau tak suka dia bebaskan dia…kenapa perlu mahu ikat dia dengan perkahwinan? Papa tahu dalam hati Tas masih terukir nama arwah Tazriq.”

            Putri Tasnim membisu. Dia tidak akan meminta cerai dari Tiryaq. Dia sendiri
akan buat Tiryaq melepaskan dia. Reputasi mahu kena jaga juga. Tambahan pula rahsia perkahwinannya sudah terbongkar! Kalau mereka tahu dia berkahwin kerana kena tangkap basah? Nahas jawabnya.

            “Tas sudah melupakan dia! Jangan sebut nama dia di depan Tas lagi!” Suara Putri Tasnim bergentar. Dia menggenggam rantai perak pada leher jinjangnya itu.

            “Kalau begitu papa mahu bertemu dengan lelaki yang telah membuka pintu hati anak papa yang berpagar dengan batu itu.” Encik Johari menongkat dagu. Dia tidak percaya yang Putri Tasnim sudah melupakan Tazriq. Rantai perak berbuah hati itu masih terhias di leher Putri Tasnim.

            Nampaknya papa juga berdegil mahu bertemu dengan suaminya.


STAF-staf Elite berbisik sesama sendiri. Siapakah lelaki kacak yang sedang berbual dengan Cherly itu? Adakah teman lelaki Cherly? Mungkin juga? Senyumannya sungguh memukau. Jaime menyiku lengan Cherly setelah melihat lelaki itu mula menbgaturkan langkah ke bilik pejabat Putri Tasnim. Terangkat-angkat kening lelakinya.

            “Siapa itu?”

Husband Cik Putri Tasnim.”

What!” Mulut Jaime terlopong besar.

Cherly sendiri juga agak terkejut. Patutlah Putri Tasnim menyorok suaminya.

Pintu bilik pejabat Putri Tasnim diketuk perlahan. Putri Tasnim merengus kecil. Siapa pula yang datang mengacau. Dia sudah berpesan kepada Cherly tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke biliknya.

“Saya tidak mahu diganggu!”

Pintu blik pejabat itu terkuak perlahan. Mata Putri Tasnim yang sudah membulat besar itu semakin besar melihat tetamu yang tidak undang lagi seorang itu. Tetamu tidak diundang yang pertama adalah papanya. Tetamu yang tidak diundang yang kedua adalah TIRYAQ!

“Assalamualaikum…maaf mengganggu awak sebentar di sini.” Ucapnya. Tiryaq melirikkan senyuman menawannya dengan mata terkerdip-kerdip.

“Cherly!” Bergema suara Putri Tasnim menjerit nama pembantunya itu.

Encik Johari pula terkebil-kebil memandang Tiryaq. Siapa pula lelaki kacak seperti kacukan orang putih ini. Sungguh tinggi lampai orangnya.

Terkocoh-kocoh Cherly masuk biliknya. Gadis cina itu hanya tersenyum memanjang sahaja.

 menghalakan jari telunjuknya pada muka Tiryaq yang masih dok tersenyum manis itu. Dia tahulah senyuman Tiryaq menawan kalbu. Tetapi tidak perlulah mahu tersenyum begitu ketika keadaan genting begini! Hantu punya Tiryaq. Dia bikin kejutan lawak antarabangsa.

“Kenapa tidak beritahu saya tentang kedatangan malaun ini?” Putri Tasnim.

            “Maaf…suami cik yang handsome ini kata dia mahu buat surprise untuk cik.” Masakan suami sendiri mahu melawat isteri pun tidak boleh? Hairan…

            Suami! Jadi lelaki ini adalah suami kepada anak gadisnya? Encik Johari meneliti Tiryaq dari atas hingg ke bawah. Tandan dahinya berkerut.

            “Tiryaq!Putri Tasnim mengerling ke arah suaminya itu.



Wednesday, September 7, 2011

Playboy - Prolog

HIV! Benarkah aku salah seorang pengidap penyakit yang tiada penawarnya itu?Jimi meraup wajah tampannya. Siapa penyebab aku dijangkiti penyakit sial ini?  Kelly? Elisha? Lara? Tantiana? Orang yang terakhir bersama aku adalah Kelly. Adakah Kelly pembawa virus itu? Tak mungkin? Kelly mengatakan dia hanya meniduri aku seorang? Jimi menggigit bibir. Mungkin kelly menipu dia? Siapa tahu?


Arghhh! Apa harus aku lakukan? Bagaimana aku bisa menghadapi Hasya gadis yang mengajar aku menjadi lelaki baik-baik itu? Aku tidak akan dapat bersamanya. Jimi merenung langit yang kian mendung. Langit mendung mendung umpama seperti hatinya yang suram.

Oh Tuhan! Aku tidak tegar menerima kecelakaan ini. Aku masih mahu bernafas di atas di muka bumi ini. Aku tidak mahu mati tertanam di dalam tanah. Aku belum membersihkan lumpur dosa pada tubuhku lagi.


Hasya...Jimi merintih pilu. Adakah ini balasan untuk aku kerana mempermainkan keikhlasanmu mendamping lelaki jahat seperti aku? Aku 'PLAYBOY' terhormat ini tunduk dengan balasan dari Tuhan. 

Tuesday, September 6, 2011

APP BERITA HARIAN - TAK MENANG TAPI TERCALON!

Alhamdulillah...tak sangka tercalon walaupun ramai dok kritik dan kutuk coke and sundae. Macam-macam dugaan saya terima bila novel ini lahir di pasaran. Siapa kata hidup ini tiada dugaan kan? Rezeki itu datang dari Allah dan DIA maha mengetahuinya. Terima KAKI NOVEL sebab sudi menerbitkan hasil karya penulis biasa macam saya. Saya bukan menulis mahu mendebik dada atau bermegah-megah dengan karya saya jadi saya tak layak memberikan tunjuk ajar pada penulis lain setakat sikit-sikit itu bolehlah berkongsi ilmu. Saya sudah menulis dengan serius bukan sekadar hendak main-main dalam bidang penulisan ini. Mungkin ada karya yang tidak diterbitkan tapi saya mahu karya saya mendapat perhatian pembaca blog saya yang tidak jemu-jemu melawat di sini. Saya sudah mula semak tatabahasa terkini sebab dulu saya seorang yang begitu mementingkan ejaan dan penyusunan ayat dalam karangan saya hehehehe...budak ratu BM dulu kan. 

 Ada banyak karya teman-teman yg bakal saya siapkan...jadi agak sibuk sedikit. Ada juga karya-karya yang bakal ditamatkan di sini. Harap sabar menunggu ya. Blog ini akan jadi sepenuhnya untuk e-novel saya semua dan saya akan buat blog untuk coretan saya sendiri nanti. Saya asingkan blog cerpen dan e-novel seram/thriller senang nak carikan. Blog akan diubahsuai. Bulan puasa ini berat badan menurun teruk. Maklumlah pelbagai masalah peribadai menyusul. Saya nak mengucapkan ribuan terima kasih yang menyokong dan mengundi Coke and Sundae.

 Lepas ini giliran Coke and Sundae II yang sedang dinanti-nantikan oleh pembaca. Harap bersabar ya bukan mudah mahu menerbitkan sebuah novel ini. Kena tunggu giliran dan bersabar. InsyaALLAH saya menjanjikan sajian karya Coke and Sundae dengan lebih dewasa jalan ceritanya sedikit di samping lebih tebal dari yang pertama bukan saya tidak mahu menulis tebal-tebal ni takut meleret nanti bosan pulak. Kemudian giliran Queen Control bakal menyusul yang ini tak tahu terbit bila? Dan Jeng! Jeng! Pengenalan dengan seorang mat saleh malam tadi membuat saya mahu membuat satu karya lebih maju ke hadapan (InsyaALLAH) seorang gadis melayu dengan lelaki berbangsa german ...Tajuk tiada lagi hehehehehe...mahu gantikan Takdir Cinta dan Mahligai Air Mata yang akan ditamatkan dalam blog ini nanti.

Salam aidilfitri...

Monday, September 5, 2011

Kuintai Cinta Di Dalam Rahsia - Prolog

“FAKRUL… bertahan!” Air mata Yee-Ren tidak henti-henti merembes keluar. Dia menggenggam erat jari-jemari lelaki yang sedang terbaring lemah itu. Kenapa? Kenapa bukan dia yang menerima kesakitan itu? Oh Tuhan! Selamatkanlah dia. Iman Fakrulsy tersenyum dalam kesakitan. Darah masih membuak keluar dari luka di perutnya itu. Lelaki berbaju putih bersama mereka itu sedaya upaya cuba menghentikan pendarahan. Keringat dingin memenuhi segenap ruang wajahnya. Dia juga cemas kerana darah Iman Fakrulsy masih terus mengalir.


“Maafkan Yee… maafkan Yee, Fakrul,” ucap Yee-Ren dalam sendu.


“Yee…” Iman Fakrulsy bingkas bangun. Lelaki berbaju putih itu menahan tetapi dia tetap berdegil. Lantas tubuh Yee-Ren dirangkul dalam pelukan. Termangu gadis itu dengan tindakan mengejut Iman Fakrulsy.


“Fakrul…”


“Yee… aku… aku… cintakan kau...” bisiknya perlahan namun jelas didengari oleh Yee-Ren. Bertambah laju air mata Yee-Ren mengalir.


“Fakrul…”


“Yee… aku benar-benar cintakan kau.” Iman Fakrulsy mengukirkan senyuman. Dia rasa lega dapat mengucapkan kalimah cinta itu di saat akhir. Begitu lama dia memendam perasaan ini di dalam hati. Semuanya kerana mama. Mama membuatkan dia terpaksa membenci gadis itu. Seksa dan menyakitkan. Dia tahu Yee-Ren tidak punya sebarang perasaan terhadapnya. Pada Yee-Ren, dia seorang sahabat yang tiada tolok bandingnya. Sahabat yang paling dikasihi oleh gadis itu. Sahabat yang berkongsi suka dan duka bersama. Namun dia jua yang menyakiti hati gadis itu. Kejam sungguh sahabat yang dianggap berhati mulia ini!


“Fakrul… maafkan Yee. Maafkan Yee.” Semakin sebak hati Yee-Ren apabila mendengar luahan hati Iman Fakrulsy. Tidak pernah dia terfikir Iman Fakrulsy menyimpan perasaan terhadapnya. Layanan baik dan buruk Iman Fakrulsy tidak pernah disalahertikan. Jika Iman Fakrulsy menyisihkan dirinya, dia tidak ambil hati. Mungkin ada yang membuatkan lelaki itu berkecil hati dengan sikapnya. Iman Fakrulsy membisu. Dia memejamkan matanya rapat-rapat.


“Letihnya…” ucapnya lemah. Dia masih belum meleraikan pelukannya.


“Fakrul…”


Senyap.


“Fakrul…”


Tiada jawapan daripada Iman Fakrulsy. Tubuh lelaki itu terasa sejuk. Pelukannya yang erat itu jua sudah terlerai kini. Yee-Ren pandang lelaki berpakaian putih itu. Lelaki itu menggelengkan kepalanya. Dia tahu tiada lagi bunyi hembusan nafas Iman Fakrulsy. Yee-Ren jadi tidak keruan. 

“Fakrul!!!” 



“ABANG!!!” Iman Farhan bingkas bangun. Tubuhnya dibasahi peluh. Dia meraba-raba perutnya. Entah mengapa perutnya terasa sakit. Zaid yang berada di bilik sebelah meluru masuk. Jeritan Iman Farhan mengejutkan Zaid yang sedang khusyuk menelaah.


“Kenapa ni Iman? Mimpi ngeri lagi?” Zaid renung wajah Iman Farhan yang pucat lesi.


Iman Farhan mengangguk. “Abang... Abang Fakrul.


Aku mimpikan Abang Fakrul.”


“Kau mimpikan apa?”


“Aku nampak Abang Fakrul kena tikam. Dia berlumuran darah. Aku tak sedap hati. Aku nak balik Malaysia hari ni juga!”


“Iman… mimpi tu cuma mainan tidur. Lebih-lebih lagi tidur di siang hari begini. Jangan fikir yang bukan-bukan. Tengok, habis lencun baju yang kau pakai ni!” gerutu Zaid.


“Aku tak sedap hatilah, Zaid.”


“Iman… itu cuma mimpi aja. Tak ada apa-apa yang berlaku pada abang kau, Iman. Kau kena rehat. Lagipun kau demam panas ni...” Zaid memujuk.


Iman Farhan merebahkan semula tubuhnya.


“Kau jangan bimbang. Esok aku call papa kau kat Malaysia. Kau kena berehat, Iman. Aku tengok demam kau makin teruk! Final exam dah dekat...”


“Thanks Zaid.”


Zaid tersenyum. Sayang juga kau rupanya pada abang kau, Iman. Zaid menarik selimut hingga ke paras dada Iman Farhan. Kasihan dengan temannya itu. Sudah dua minggu terlantar di atas katil gara-gara diserang demam panas. Dua tiga hari ini pula Iman Farhan sering dihantui mimpi ngeri. Harap-harap tiada apa-apa yang buruk berlaku pada Iman Fakrulsy.