Tab Menu

Followers

Saturday, January 3, 2015

DEMI CINTAKU, DEMI CINTAMU (BAB 5, BAB 6) - versi edit


CONGRATS Encik Elman. I hope you berikan yang terbaik kepada Pacific Holdings.”
            “Insya-Allah… Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada Mentari Construction.” Elman datang ke Pacific Holdings tepat pada waktu yang dijanjikan.
            Elman sudah boleh menarik nafas lega. Malah Weir turut akan membantu mengatasi masalah kewangan di dalam syarikatnya. Pada Elman, Weir seorang yang bermurah hati. Dia terhutang budi dengan lelaki itu. Elman tidak tahu muslihat di sebalik kebaikan yang dipamerkan oleh Weir. Ada topeng berselindung di situ.
            Elena Maria mencuri pandang ke arah Weir. Hatinya tertarik dengan lelaki itu. Lupa seketika pada wajah tunangnya. Weir menyedari yang dirinya menjadi perhatian Elena Maria. Anak bongsu kepada arwah Dato’ Ariffin. Tercari-cari juga bayang Eleanor. Nampak anak kedua kepada arwah Dato’ Ariffin tidak bekerja di bawah Mentari Constructions.

            “Saya ingin menjemput Encik Elman sekeluarga ke majlis ulang tahun Pacific Holdings. Jika ada kelapangan.”
            Weir merapati mejanya dan menetan butang interkom.
            “Zarina, bawakan kad jemputan majlis bilik pejabat saya.”
            “Baik Encik Weir.”
            “Terima kasih kerana menjemput saya sekeluarga.”
            “Jangan tak hadir.” Weir menepuk-nepuk bahu Elman.
            “Insya-Allah jika tiada aral melintang.”
            Elman meminta diri setelah salinan dokumen kontrak telah diberikan oleh pihak Pacific Holding.
 Saat menjejakkan kaki semula di Mentari Construction, Dahlia memaklumkan kedatangan Puan Marlia. Wanita itu menunggu di bilik pejabat Elman.
            Kerjasama antara Mentari Construction dengan Pacific Holdings mengundang rasa tidak puas hati Puan Marlia yang selama ini ingin menggabungkan Mentari Construction dengan syarikat miliknya. Puan Marlia berkecil hati tanpa memikirkan masalah kewangan Mentari Construction yang kian meruncing. Elman tidak berani untuk mengambil risiko. Dia memang tidak dapat memenuhi syarat tersebut. Lagi pun sememangnya dia tahu yang Puan Marlia berkenankan Eleanor menjadi menantunya. Mukhriz itu bukannya boleh dipakai sangat dan sering menimbulkan masalah. Baru-baru ini muka terpapar di dada majalah hiburan dengan perempuan-perempuan mengelilinginya. Model katakan.
            “Elman, kamu kecewakan auntie.” Puan Marlia membuka mulut sebaik Elman melangkah masuk ke kamar pejabatnya itu.
            “Maafkan saya, auntie.”
            “Kamu sendiri tahu yang arwah papa kamu mahu menggabungkan syarikat auntie dengan Mentari Construction. Masakan syarat begitu kecil tidak dapat kamu penuhi. Kamu boleh saja paksa El menerima aturan perkahwinan tu.”
            “Saya tahu tetapi saya tak boleh memperjudikan masa depan El tanpa kerelaan dia. Auntie sendiri tahu perangai El macam mana?” Adik keduanya itu keras kepala dan degil. Suka membuat keputusan sendiri dan bertindak adakalanya mengikut perasaan tapi Elman tahu Eleanor seorang yang penyayang. Jika tidak Eleanor tidak akan pulang semula ke Malaysia.
            “Kamu tidak berkeras dengan El. Kamu terlalu lembut hati.”
            “Auntie… sekalipun saya berkeras, El tetap tidak akan setuju. Malah saya juga tahu Mukhriz tidak bersetuju dengan usul auntie itu.” Elman tetap berlembut walau nada suara Puan Marlia itu keras bunyinya.
            “Soal Mukhriz auntie tahulah nak handle.”
            “Auntie… walau pun auntie memberikan masa pada saya, masa yang auntie berikan itu tidak menunggu Mentari Construction. Saya perlu merebut peluang yang ada. Pacific Holdings antara syarikat gergasi yang berdiri kukuh.”
            Puan Marlia terdiam sebentar. Dia akui syarikat miliknya tidak standing dengan Pacific Holdings.
            “Tiada apa-apa lagi yang auntie ingin perkatakan pada kamu. Good luck. Auntie pulang dulu.” Harapannya sudah punah.
            Elman menghantar Puan Marlia hingga ke muka pintu utama Mentari Construction. Sebaik Puan Marlia hilang dari pandangan mata barulah Elena Maria munculkan diri.
            “Kalau dari awal-awal Kak El terima usul perkahwinan tu kita tidak menghadapi masalah seteruk ini. Maybe selepas ini hubungan kita dengan auntie Marlia akan menjadi dingin.”
            “Soal kahwin bukan perkara enteng. Masalah kita sudah ada penyelesaiannya. Abang bukan jenis yang suka memaksa.” Elman kerling Elena Maria tajam.
            “Eleh, abang lebih sayangkan Kak El dari Elena. Sama saja macam arwah papa.” Cebik Elena Maria. Sakit betul hatinya.
            “Elena!”
            Elena Maria meninggalkan Elman sendirian. Elena Maria melekapkan telefon bimbit di-
telinga sebaik menerima panggilan dari tunangnya, Khir Rethwan.
            “I on the way ni.”
           


MUMMY, Sue tiada duit sekarang ni. Kami sedang susah sekarang. Duit yang ada pun kena berjimat-cermat.” Susana sedang berbicara dengan ibunya di luar. Dia langung tidak menyedari kehadiran Eleanor. Eleanor tidak sengaja mahu mencuri dengar perbualan tersebut.
            “Takkan sikit pun tiada. Menantu mummy tu banyak duit. Diakan sayangkan kamu. Apa yang kamu nak dia beri.”
            “Mummy… keadaan dulu tak sampai macam sekarang. Syarikat tengah ada problem. Sport car Sue pun sudah kena tarik. Sue pun dah lama tak pergi spa dan party rakan-rakan Sue.”
            “Hm... kamu tunggu apa lagi. Minta cerai dari Elman cari jantan lain yang boleh bagi kamu duit.”
            “Sue pun fikir begitu tapi bukan senang Abang Elman mahu lepaskan Sue.” Susana meminta-mintal rambutnya sambil duduk di buaian.
            Tersentak Eleanor mendengarnya. Susana tidaklah sebaik yang disangka. Perempuan plastik. Masa senang kau manjai bila susah kau nak tinggalkan. Patutlah aku tak boleh suka pada kau dari mula lagi.
            “Apa susahnya. Kamu desak saja dia. tidak pun cari jantan lain tunjuk depan dia. Mesti dia akan lepaskan kamu." Datin Rokiah memberikan cadangan kepada anak perempuannya.
            “Okay juga usul mummy tu.”
            “Pastikan kamu sudah ada calon lain.”
            “Ada mummy tapi belum declare lagi. Bagi Sue masa sedikit.”
            Bayangan wajah Weir serta-merta berada dalam fikiran Eleanor. Calon paling layak menggantikan tempat abangnya.
            “Ehem-ehem…” Eleanor berdeham kecil.
            Lekas-lekas Susana menamatkan perbualan dengan ibunya.
            “Mummy kita sambung cerita lain kali. Bye.” Susana mematikan talian telefonnya. Gusar juga hatinya jika Eleanor mendengar perbualan antara dia dengan ibunya.
            “Apa khabar Kak Sue?” Eleanor mendakap tubuh kakak iparnya itu.
            “Baik. Kenapa nak datang tak call dulu. Mana kereta El?”
            “Kereta El masuk workshopSo, El datang naik cab saja.”
            “El sihat?”
            “Alhamdulillah… sihat. El nak bermalam sehari dua kat sini.”
            “Baguslah. Mesti Abang Elman suka El datang. Lama El tak menjenguk kami.”
            “El busy dengan job. Bukan senang dapat cuti.”
            Eleanor tahu kemesraan yang ditunjukkan oleh Susana hanya lakonan semata-mata. Perempuan plastik. Senyumannya pun plastik.
            “El…” Mak Tun muncul di muka pintu.
            “Mak Tun…” El meluru memeluk tubuh Mak Tun. Kedua-dua belah pipi Mak Tun dikucup. Mak Tun sudah menjadi sebahagian dalam keluarganya. Eleanor tidak pernah menganggap Mak Tun sebagai orang luar.
            “Bila sampai?”
            “Baru saja. El rindukan masakan Mak Tun terutamanya gulai tempoyak ikan patin.”
            “Mak Tun pun rindukan El. El dah nampak kurus sangat ni. Kalau Mak Tun masak, kena makan lebih.”
            “Alright. Janji ada gulai tempoyak ikan patin.”
            Susana tidak suka melihat kemesraan Eleanor dengan orang gaji tua itu. Orang gaji sepatutnya dilayan seperti orang gaji. Eleanor menjinjing beg pakainnya masuk ke dalam bersama Mak Tun.
            “Ada orang gaji baru?” Bisik Eleanor pada telinga Mak Tun sebaik seorang gadis sebaya Elena Maria melintasi dengan segelas air di tangan.
            “Suriati namanya. Dia orang gaji khusus untuk Puan Susana.”
            Kening Eleanor bertaut. Amboi, ada orang gaji khusus untuk melayan kakak iparnya itu. Demand lebih nampak. Dalam kegawatan ekonomi macma ini pun masih mengupah ornag gaji lain? Sedikit demi sedikit rupa sebenar Susana sudah nampak di mata Eleanor.
            Eleanor menarik Mak Tun masuk ke bilik tidur sekali. Dia tersenyum melihat bilik tidurnya masih tersusun kemas sama sewaktu dia tinggalkan bilik itu.
            “Mak Tun duduk.”
            Eleanor menekan bahu Mak Tun agar duduk di birai katilnya itu. Dia membuka beg pakaiannya. Dua pasang kain batik dan sehelai tudung labuh yang masih berbalut kemas di dalam plastik dihulurkan kepada Mak Tun.
            “El…” Mak Tun terharu dengan pemberian Eleanor.
            “Untuk Mak Tun.”
            “Terima kasih El... kalau Mak Tun tegur El jangan marah ya.”
            Eleanor labuhkan punggung di sebelah Mak Tun sambil memeluk bahu wanita itu.
            “El tak marah. Janji!” El mengangkat sebelah tangan seperti orang sedang berikrar.
            “Kalau boleh mata Mak Tun ni tak mahulah tengok El pakai seksi-seksi sangat.” Mak Tun menegur lembut. Perlahan-lahan dia cuba membentuk gadis itu. Dia tahu Eleanor ada masanya mendengar teguran.
            Eleanor tersenyum.
            “Okay. Lepas ni El tak pakai skirt pendek-pendek dan seluar ketat-ketat sampai tertonjol mata lelaki tengok.”
            “El… kalau boleh biarlah pakaian yang menutup aurat. Yang labuh-labuh. Sedap mata Mak Tun memandangnya. Jangan kata kena tunggu seru sampai. Itu bukannya alasannya.”
            Mak Tun menasihatinya lagi.  
“El akan cuba.” Mendalam kata-kata Mak Tun itu. Dia tidak marah kerana dia tahu caranya berpakaian masih tidak sempurna dan agak seksi. “ Perut El sudah berkeroncong ni. Meh, El tolong Mak Tun di dapur.”
            “Boleh belajar masak-memasak dengan Mak Tun.”
            “Lecehlah memasak ni.”
            “El tu perempuan. Kenalah tahu memasak. Ini basuh beras pun orang putih kata failed.”
            “Amboi, Mak Tun dah pandai main speaking orang putih.”
            Rancak Eleanor dan Mak Tun berbual hingga sampai ke dapur. Rimas Susana mendengarnya. Dia sengaja menguatkan volume siaran televisyen yang ditonton. Susana lebih senang duduk di depan kaca televisyen dari menguruskan hal-hal rumah tangan. Jari-jemari halusnya tidak boleh membuat kerja-kerja berat. Rosak kukunya nanti.
HATI Elman sedikit terkilan melihat Susana yang hanya duduk goyang kaki tanpa mempedulikan dia yang pulang dari pejabat. Layanan Susana tidak lagi seperti awal perkahwinan mereka dulu. kedinginan Susana dirasai oleh Elman. Elman hanya menyimpannya dalam hati. Mungkin Susana marahkan dia kerana membiarkan kereta sportnya ditarik. Bayang Elena Maria tidak kelihatan di rumah. Elman menghela nafas panjang. Elena Maria makan di luar bersama tunang dia agaknya.
            Banglo ini sunyi sepi. Tiada gelak tawa Eleanor yang suka menyakat dia dan Mak Tun. Tiada gelak tawa anak kecil. Susana masih tidak bersedia memberikan dia zuriat. Lima tahun, lima tahun sudah berlalu masakan Susana masih belum memikirkan soal Zuriat. Umur mereka sudah berada di hadapannya dengan angka 3.
            Elman bersandar lesu di sofa. Malas dia mahu menyapa isterinya yang sedang leka menonton rancangan di kaca televisyen itu. Kali ini, dia biarkan saja rajuk Susana tanpa dipujuk. Eleanor memijak anak tangga perlahan-lahan. Dia ingin memberikan kejutan kepada Elman. Elman tidak tahu yang dia berada di sini.
            “Kesiannya Abang El…” Eleanor memeluk Elman dari belakang.
            Mendengar suara lunak manja di belakangnya membuatkan Elman memalingkan kepala.
            “El!” Bibirnya mengukir senyuman. Hilang rasa sengal-sengal di badan melihat senyuman manis Eleanor.
            “Surprise!”
            “Bila datang? Lama El tak jenguk abang.”
            “El sampai petang tadi. El ambil cuti. Cuti panjang.”
            Cuti panjang. Lain macam pula bunyinya.
            “El jadi penanam anggur semula.” Elman meneka. Dia mencuit hidung adiknya itu.
            “Bakal. El nak cari kerja lain.”
            “Kerja saja dengan abang. Urusan syarikat.”
            Pantas Eleanor menggeleng.
            “Abang… El nak berbicara sikit dengan abang di bilik bacaan.”
            “Hal apa tu. Penting?”
            “Penting.”
            “Baiklah.”
            Elman bangun dan menuruti langkah adiknya ke bilik bacaan arwah papa mereka. Eleanor menutup pintu setelah memastikan keadaan benar-benar selamat. Dia tidak mahu perbualan mereka dicuri dengar oleh Susana.
            “El tahu abang letih. Tengok wajah pun El rasa kesian dengan abang kerana bertungkus-lumus untuk syarikat.”
            “Kalau dah tahu kenapa tak mahu tolong abang?”
            “El suka berdikari sendiri. El mahu mencari pengalaman di luar dulu. Pada El, Experience it’s important.”
            “Apa hal yang El inginkan bincangkan dengan abang.”
            “El dapat tahu Mentari Construction bekerjasama dengan Pacific Holdings. Malah mereka memberikan bayaran 50% wang pendahuluan kepada Mentari Construction sebelum projek berjalan. Abang tahu Pacific Holdings milik siapa?”
            “Sudah tentulah abang tahu milik siapa. Pacific Holdings milik Weir Zafril.”
            “Abang… Weir Zafril tu licik. Pasti ada sebab dia membantu Mentari Construction. Masakan dengan mudah dia berikan kontrak pada kita.” Syak-wasangka Eleanor begitu kuat  dengan niat Weir membantu Mentari Construction. Senang betul Weir memberikan kontrak projek hotel mewah yang memakan belanja jutaan ringgit itu.
            “El memang mudah mengesyaki orang tanpa selidik dulu. Abang lihat tiada apa-apa muslihat di sebalik kontrak yang diberikan.”
            “Abang… El ada buat risikkan dengan company-company yang sering merebut tender dengan Pacific Holdings. Ada yang kata Pacific main politik wang untuk dapatkan projek.”
            “Sejak bila tukar profesion jadi penyiasat ni?” Elman mengerling adiknya.
            “El serius okay.”
            “El, abang terpaksa ambil risiko ini untuk kepentingan syarikat. Jika ada muslihat terselindung seperti yang El fikirkan, abang akan bertanggungjawab sepenuhnya.”
            Eleanor menggenggam jari-jemari kasar abangnya.
            “El janji. El akan bantu abang bila El sudah bersedia. El takkan lepas orang-orang yang cuba sakiti abang.” Bicara Eleanor seakan ada maksud yang tersirat di situ. Dia masih tidak membuka cerita tentang Susana kepada Elman.
            Elman mengusap-usap wajah adiknya itu.

Bab 6


DI meja makan hanya Eleanor bersama abangnya. Tiada Susana dan tiada Elena Maria.  Susana katanya sedang berdiet manakala Elena Maria makan di luar bersama tunang. Badan sudah seperti lidi pun Susana mahu berdiet lagi. Pada Eleanor, cantik itu tidak tertakluk pada badan yang kurus melidi saja. Cantik ada banyak kategori. Orang gemuk pun ada yang cantik. Eleanor mengajak Mak Tun dan Suriati duduk makan bersama mereka.
            Suriati menolak. Dia takutkan Susana akan memarahinya. Susana selalu berpesan yang orang gaji sepertinya tidak layak makan bersama majikan. Namun Eleanor tetap memaksa Suriati makan bersama mereka. Eleanor akan berdepan dengan Susana sekiranya Suriati dimarahi. Tiada perbezaan taraf antara mereka. Suriati manusia dan dia juga manusia. Kau ada kedudukan maka kau boleh pandang rendah orang lain. Eleanor bukan jenis manusia sebegitu.
            “Duduk, Suriati!” Arah Eleanor. Apa yang hendak ditakutkan sangat dengan perempuan seorang itu. Perempuan itu bukannya ‘mem’ besar dalam rumah ini.
            “Tapi…”
            “Enggak perlu tapi-tapinya. Aku bilang duduk!” Tekan Eleanor.
            Suriati jadi kecut lalu menurut arahan Eleanor. Dia sempat mengerling Susana yang baru turun dari tangga itu. Sengaja dikuatkan suaranya tadi agar Susana mendengarnya. Eleanor tersenyum simpul. Susana sudah menjeling tajam Eleanor. Elman menggeleng kepala. Jika Eleanor bertegang urat dengan Susana, maka tiada kedua-duanya akan mengaku kalah. Dia juga yang terpaksa menjadi orang tengah.
            “Kita tak perlu nak diet-diet tu. Buat sakit badan je. Asalkan makan makanan seimbang pun sudah cukup. Badan juga jangan malas berexcersice. Lagipun lauk-pauk atas meja ni banyak. Rugi membazir. Membazir itu amalan syaitan.” Eleanor memerli Susana.
            Susana mencebik. Dia tidak sukakan dengan kedua-dua adik perempuan Elman. Lebih-lebih lagi Eleanor. Eleanor sudah mula mencari pasal dengan dia. Jika dulu tidak begitu ketara sangat sikap dingin Eleanor terhadapnya.
            Suriati terus menundukkan kepalanya. Dia tidak berani untuk mengangkat kepala. Eleanor tersenyum panjang apabila melihat Susana berlalu. Dia tahu hati Susana sedang panas membara.
            “El…’
            “Not my false.”
            Susana masuk dengan wajah cemik. Elman diamkan saja tanpa membela. Eleanor pula sudah lain macam. Adik Elman yang seorang itu seakan berani mencari pasal. Ingin saja dia robek-robek mulut lancang Eleanor. Suriati bekerja di rumah ini pun atas permintaan dia. Dia yang meminta Elman mengaji seorang lagi pembantu rumah untuk dia. Mak Tun tu sudah berusia bukanlah larat melakukan itu dan ini yang disuruh. Dia yang mendesak Elman mencari pembantu rumah yang baru.
            Jari-jemari halusnya tidak sesuai melakukan kerja-kerja berat. Dia takut kukunya akan rosak. Telapak tangannya menjadi kasar. Sejak kecil dia sudah biasa mengharapkan pembantu rumah.
            “Suriati!” Susana sudah berteriak memanggil nama Suriati.
            Hampir tercekik Suriati menelan nasi. Dia ingin bangun tetapi lengan dicengkam kuat oleh Eleanor.
            “Duduk! Makan dulu.”
            “Tapi Puan Susana sudah memanggil saya.”
            “Puan Susana boleh tunggu. Bukannya dia sakit pun. Dia sihat walafiat. Kalau dia lapar dia ada kaki boleh turun sendiri makan.”
            Suriati duduk semula di kerusinya. Jelingan Eleanor lebih menakutkan dari Susana.
            “Suriati!” Susana masih menjerit di atas.
            Suriati diam tidak berkutik menjamu selera di meja makan. Dia serba salah. Dia ibarat kancil yang berada di antara harimau dan singa.  


AWAL pagi Eleanor sudah bangun untuk berjogging. Rutin seharian yang dilakukan pada waktu pagi. Eleanor merenggangkan otot-ototnya dengan senaman ringan. Seketika kemudian, dia sudah memijak kaki ke ruang tamu banglo mewah itu. Elman sudah duduk di meja makan sambil membelek surat khabar di tangan. Mak Tun menghidangkan sarapan pagi buat mereka. Roti bakar dan nasi goreng. Eleanor menarik kerusi dan duduk di sebelah Elman.
            Eleanor menuangkan kopi buat abangnya itu. Dia menggantikan tempat Susana yang sepatutnya melayan seorang suami. Eleanor turut mencedukkan nasi goreng buat Elman di dalam
pinggan. Dia letakkan pinggan berisi nasi goreng itu di hadapan Elman.
            “El yang masak awal-awal pagi selepas subuh.” Suara Mak Tun.
            “Baunya pun sudah menyelerakan. Terima kasih El.”
            “Mak Tun tolongkan tapaukan untuk Abang Elman.” Pinta Eleanor.
            “Sekejap ya.”
            Mak Tun berlalu kemudian kembali bersama bekas makanan yang berisi nasi goreng. Elenaor letakkan di sisi Elman.
            “Abang tak patut manjakan sangat Kak Sue.” Bibir Eleanor muncung panjang.
            “Kak Sue tu isteri abang. Mestilah abang manjakan dia.”  Elman memicit hidung Eleanor.
            “Sayang isteri okay tetapi jangan sampai pijak kepala abang.”
            “Sejak bila El makin anti dengan Kak Sue ni?”
            “Anti El bersebab.”
            Elman menjamah sedikit nasi goreng di pinggan. Kopinya juga hanya diminum sedikit.
            “Abang kena pejabat dulu.” Elman mengangkat briefcasen dan tidak lupa bekal nasi gorengnya.
            “Carefully drive.” Pesan Eleanor. Dia sudah menyuapkan roti bakar yang disapukan dengan planta.
            “Okay dear.” Elman tersenyum. Eleanor begitu mengambil berat akan dirinya.
            Bunyi deruan enjin kereta Elman sudah tidak kedengaran lagi di gegendang telinga Eleanor. Agak tergesa-gesa dia menghabiskan minumannya sebaik melihat Suriati turun dari anak tangga menjinjing plastik-plastik berisi pakaian itu. Laju kakinya menapak menghampiri Suriati.
“Ke mana awak mahu bawa pakaian-pakaian ini?” Dahi Eleanor berkerut melihat Suriati mengangkat pakaian yang siap berbungkus itu keluar.
            “Saya mahu hantar kedai dobi Cik El.”
            “What?”
            “Rumah ini ada mesin basuh. Kenapa perlu dihantar kedai dobi pulak.” Eleanor bercekak pinggang.
            Suriati menundukkan kepalanya.
            “Maaf, saya bukan sengaja mahu menengking awak. Pakaian siapa dalam plastik ni?”
            “Puan Susana.” Lambat-lambat Suraiti membalas.
            “Hm! Bak sini.” Eleanor merampas plastik yang berisi pakaian-pakaian kotor itu dari tangan Suriati. Tergaman seketika Suriati dengan tindakan Eleanor itu. Langkah pantas diatur mengejar Eleanor. Dia takut dimarahi oleh Susana nanti. Angin Susana tidak baik dari malam tadi.
            Eleanor mengetuk pintu bilik tidur itu kuat. Dia tahu Susana masih tidur pulas di atas katil. Perempuan seorang ini semakin malas. Semua pekerjaan dalam rumah ini mengharapkan pembantu rumah. Bergegar pintu bilik itu diketuk Eleanor. Dia tidak kisah jika bising yang dibuatnya itu turut menganggu tidur Elena Maria. Adik bongsunya itu pun sama. Pergi pejabat matahari sudah tegak atas langit. Kemudian duduk dalam pejabat goyang kaki.
            “Hey, bangun! Kalau bom meletup pun tak sedar agaknya.” Eleanor masih mengetuk pintu bilik itu dengan kuat. Kalau boleh biar pintu bilik itu tercabut sekali.
            Susana menekup kedua-dua belah telinganya. Dia mula memaki-hamun dengan tingkah Eleanor yang kurang sopan.
            “Eeiiii… Perempuan seorang ni tak patut balik sini lagi!” Susana bingkas bangun dari katil. Dia memulas tombol pintu.
            Eleanor yang sedang tersengih di depan matanya cukup menyakitkan hati.
            “Ini pakaian Kak Sue kan? Cuci sendiri!” Eleanor mencampakkan beg plastik berisi pakaian itu terus ke dalam bilik tidur tersebut. Setelah itu, dia menyapu-yapu kedua belah tangannya.
            “El!”   
            “Ekonomi dalam keluarga ini sedang meleset. Jadi kena berjimat-cermat. Mesin basuh tu bukan barang perhiasan!” Susana perlu diajar. “Satu lagi orang gaji dalam rumah ini hanya membantu bukan hamba abdi, okay!”
            “Bitch!” Susana memaki Eleanor.
            Eleanor ketawa senang hati. Pintu bilik tidur yang berhampir terbuka. Wajah Elena Maria terpacul di muka pintu.
            “Pagi-pagi sudah memekak!” Desis Elena Maria.
            “Bangun pun seorang lagi puteri dari peraduan.”
            Elena Maria tidak membalas. Dia menutup semula pintu biliknya. Eleanor menjungkit bahu. Dia tidak berkecil hati dengan sikap Elena Maria yang tidak mahu bertegur sapa dengannya itu.


“KOPInya Encik Weir.” Kak Nona meletakkan di atas meja bacaan Weir.
            Weir yang sedang menelaah dokumen-dokumen di atas mejanya itu mengangkat kepalanya. Dia mengukir senyuman. Kaca mata putih yang dipakainya dia tanggalkan.
            “Terima kasih Kak Nona.”
            “Kak Nona tengok, Encik Weir ni kuat sangat bekerja sampai lewat-lewat malam. Sesekali kena berehat. Tengok bawah mata tu sudah lebam. Tak tidur malam tadilah tu.” Kak Nona mengomel.
            Weir tersenyum kecil.
            “Kak Nona membebel macam arwah ibu saya.”
            “Arwah sudah berpesan agar akak tengok-tengokkan Weir. Dia tahu yang Encik Weir ni hantu bekerja. Arwah risaukan Encik Weir.”
            “Saya perlu ke pejabat. Tak perlu Abang Sudin hantarkan saya. Saya boleh ke pejabat memandu sendiri. Kak Nona pesan dengan Abang Sudin ye.”
            “Baiklah.”
            Suami isteri itu cukup mengambil berat perihal dirinya. Kak Nona melangkah keluar dari bilik bacaan itu. Biasanya dia akan ke vila milik Weir untuk memasak dan mengmas vila tersebut. Rumahnya berada di belakang vila tersebut untuk memudahkan dia dan suaminya berulang-alik. Weir cukup baik hati seperti arwah ibunya. Pelajaran anak-anak Kak Nona dan Abang Sudin turut dibiayai. Mereka tidak tergerak hati membiarkan Weir sendirian di vila itu.
            Weir menyarung kemeja jalur biru air laut pada tubuhnya. Dia seorang lelaki yang menjaga penampilan. Rambut pendek yang tercacak itu disapukan dengan gel. Weir memandang dirinya di hadapan cermin. Lelaki segak juga cerewet memilih pasangan. Contohnya dia. Selepas kecewa dia tawar hati untuk membuka pintu hatinya terhadap kaum wanita sehinggalah dia bersua dengan Eleanor. Gadis itu seperti ada satu something yang special padanya. Weir akan cuba mengugut Aleeza untuk mengetahui lebih lanjut tentang Eleanor. Selain itu dia ada merencana sesuatu yang lebih menarik. Elman, Susana, dan Elena Maria saling berkaitan dengan Eleanor. Dia perasan Elena Maria seakan tertarik dengan dia.
            Weir memasang simpulan tali lehernya. Semburan minyak wangi yang sentiasa menyegarkan bau badannya. Dia mencapai kot yang terletak di atas katil. Kebiasaan pakaiannya untuk dia ke pejabat, dia akan menguruskan sendiri. Begitu juga dengan keadaan bilik tidurnya itu. Kak Nona tidak pernah mengusik atau mengemas bilik tidurnya.
            Orang selalu kata bos mestilah selalu lewat masuk ke pejabat dari pekerja tetapi Weir jenis yang mementing masa. Seorang bos juga boleh masuk awal seperti pekerja. Malah lebih awal dari pekerja.
            “Encik Weir tidak mahu bersarapan dulu?”
            “No, thanks. Kak Nona makan dengan Abang Sudin sajalah. Saya breakfast di pejabat.”
            “Kalau begitu saya bekalkan Encik Weir nasi lemak.”
            “Okay juga.”
            “Sekejap ya.”
            Kak Nona kembali dengan tupperware yang berisi sambal tumis, telur, timun dan nasi lemak. Dia hulurkan kepada Weir.
            “Thanks Kak Nona.”
            Weir itu bukannya boleh dipercayai sangat. Cakap sahaja bersarapan di pejabat. Apabila menghadap kerja terus lupa sarapan pagi.                   

3 comments: