“YOU
Ameer Dylan?” Seorang lelaki bertubuh sasa menahannya dari melangkah masuk ke dalam
perut kereta.
“Yes,
I’m…. So what?”
“You
kenal siapa I?”
“Perlu ke I kenal you? Jika tiada
urusan penting dengan I, jangan halang
laluan I.” Ameer Dylan menepis kasar tangan
lelaki terbabit.
“I
John, abang Bella. You kenal dengan
Bella bukan?”
Ameer Dylan memakukan matanya pada lelaki
bernama John itu. Dia mengorak senyuman nipis.
“So…
you ni big bro Bella lah? You
ingat I takut dengan you sebab badan you lagi sasa dan besar dari I?”
Ameer Dylan menepuk-nepuk dada bidang John.
“Berani you rosakkan adik I?” John
sudah mencengkam kot yang dipakai oleh Ameer Dylan.
“Masa kami bersama dan berseronok, kami
suka sama suka. I tak paksa dia untuk
tidur dengan I.” Senyuman sinis
menghiasi bibir Ameer Dylan.
John mengetap bibir. Ameer Dylan memang bukan jenis
yang mudah ditangani. Dia tahu lelaki itu punya banyak wang untuk membeli
segalanya. Jika tidak masakan Ameer Dylan begitu selamba begini.
“I
nak you kahwin dengan Bella! You kena bertanggungjawab pada dia! Atau
nahas you, I kerjakan!” John sudah melenting.
Ameer Dylan ketawa. Dia sudah dapat
mengagak permintaan dari John. Pasti suruh kahwin punyalah.
“Hahahaha…. Perempuan macam Bella tidak
layak menjadi isteri I. I tidak percaya pada ikatan perkahwinan.
You cari jantan lain untuk jadi pak
sanggup.” Ameer Dylan bukan jenis lelaki yang akan tunduk dengan sebarang
ugutan atau paksaan. Kes sebegini sudah biasa bagi dia.
“Benih dalam perut Bella anak you, Dylan! You kena bertanggungjawab pada Bella!” John makin hilang sabar
dengan Ameer Dylan. Dia sudah acapkali melarang Bella dari berhubungan dengan
Ameer Dylan. Bella terlalu degil. Inilah padahnya.
“I
bagi duit pada you dan suruh Bella
gugurkan kandungannya tu. So settle
problem. Berapa yang you perlukan?
Seratus ribu ringgit… dua ratus ribu ringgit… I boleh bagi asalkan Bella
tidak mengganggu hidup I lagi. Malah
kos untuk pengguguran pun I akan
tanggung. Satu pertukaran yang adil bukan?” Begitu mudah Ameer Dylan menuturkan
kata.
“You
memang lelaki tak bertanggungjawab Dylan…” John melepaskan penumbuk pada pipi Ameer
Dylan. Ameer Dylan terdorong beberapa langkah ke belakang.
Dia meraba-raba pada rahang mukanya. Boleh
tahan penangan John itu. Ameer Dylan merapati John.
“Dengar sini John!” Kolar leher baju John
direntap dengan kasar. Wajahnya sudah berubah menjadi bengis. “Perempuan tiada
apa-apa makna pada I. Mereka macam
kain baju I. I suka I pakai…. tak suka
I buang. You buat pilihan John. Terima wang dari I untuk gugurkan kandungan Bella atau family you yang akan mendapat
malu. Gangsters kecil macam you tidak mampu untuk mengapa-apakan I.”
John kerling Ameer Dylan sekilas.
Perwatakan Ameer Dylan yang satu ini memang menggerunkan.
“Huh! You
jangan fikir wang boleh membeli segalanya.” John merengus.
“Manusia tidak boleh hidup tanpa wang.
Kalau bukan kerana wang adik you yang
bodoh itu tidak akan jatuh dalam pelukan I.”
Ameer Dylan membidas.
“Hari ini I lepaskan you, Dylan. I terima wang you kerana maruah family I. Tapi I akan bunuh you jika you dekati Bella lagi.”
“I tak
berani nak promise. I takut adik you yang akan I mencari
nanti.”
“I
tidak akan benarkan adik I mendekati
you lagi.
John beredar dengan kemarahan yang masih
bersisa. Ameer Dylan tersenyum lebar. Ugutan John tidak akan mendatangkan kesan
kepada Ameer Dylan. Perempuan seperti Bella tiada tempat di hatinya. Bella sama
sahaja seperti perempuan-perempuan yang pernah mendampinginya. Sanggup menjual
harga diri demi kesenangan hidup.
Sebaik Ameer Dylan berada di dalam perut
kereta, telefon bimbitnya berbunyi. Bibirnya melirik senyuman.
“Helo, sayang… I sedang on the way.
Setengah jam lagi I sampai.”
Ameer Dylan menghidupkan enjin kereta.
“PUAN…
pengorbanan seorang ibu tidak boleh dibandingkan dengan wang ringgit. Kalau
seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak masakan sepuluh orang anak tidak
dapat menjaga ibu yang satu. Sampaikah hati puan meninggalkan ibu puan di sini?”
Kata-kata gadis bertudung putih itu benar-benar membuatkan wanita anggun di hadapannya
itu berwajah kelat.
Gadis itu berwajah ayu dan lembut tetapi
tutur katanya agak berbisa sekali. Dia sudah melaburkan wang derma ke rumah
kebajikan orang tua ini namun gadis ini seakan tidak melihat jasa yang dia
taburkan.
“Mother
I akan lebih terjaga duduk di sini. I
orang berkerjaya… tiada masa untuk menjaga kebajikannya. I tahu apa yang terbaik untuk mother
I. Lagipun I letih mahu melayan
kerenah orang tua yang sudah nyanyuk.” Puan Zaharah membalas dengan nada yang
meninggi. Semua mata terarah ke arah mereka.
“Puan… seorang ibu tidak pernah merungut
menjaga kebajikan anaknya ketika kecil. Kenapa ya, bila seorang ibu sudah uzur,
anak-anak tak larat nak jaga maka perlu hantar ke rumah orang-orang tua. Alasan
kononnya ibu dapat dijaga dengan baik di sini. Anak-anak lupa agaknya siapa
yang melahirkan mereka.” Gadis itu mematahkan kata-kata Puan Zaharah. Terdiam
wanita itu.
“Sufi Alisha!”
Pantas gadis itu berpaling sebaik namanya
dipanggil lantang. Lelaki segak bersut serba hitam itu dengan mendekati.
“Jangan awak berkurang ajar dengan mama
saya.” Lelaki itu menyambung lagi.
“Saya bercakap benda yang betul. Saya
tidak meninggikan suara dengan mama awak, Encik Zairul Hisyam.”
Mereka saling bertatapan mata. Lelaki itu
melepaskan keluhan kecil. Dia sudah lelah dengan sikap Sufi Alisha dengan keras
kepala dan suka membidas itu. Hubungan mereka semakin tegang jika Sufi Alisha
masih bersikap sedemikian rupa. Nampak saja Sufi Alisha gadis yang lemah-lembut
namun hati gadis itu sekeras kelikir.
“Putuskan hubungan Zairul dengan dia! Mama
tak suka dapat menantu yang suka melawan cakap macam dia. Esok-esok dia pijak
kepala mama pula.” Puan Zaharah sudah memalingkan mukanya. Sebelum ini dia
memang berkenan dengan Sufi Alisha. Dia tidak kisah dengan pilihan anak teruna
sulungnya itu asalkan anaknya itu gembira.
Zairul Hisyam tersentak.
“Mama…”
“Kalau dia tidak minta maaf pada mama,
mama tidak akan merestui hubungan kamu lagi. Keputusan mama muktamad!” Pantang
baginya jika ada yang berani melawan. Anak-anaknya dididik menurut kata.
Zairul Hisyam memandang ke arah Sufi
Alisha yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
“Sufi… please…”
Zairul Hisyam seakan merayu pada gadis itu.
Sufi Alisha menggelengkan kepalanya.
“Awak tidak kesian pada nenek awakkah
Zairul? Dia perlukan perhatian dari anak dan cucu-cucunya. Mengapa kejam sangat
sampai sanggup meninggalkan dia di sini? Orang gaji dua tiga orang tetapi ibu
seorang tidak terjaga sebab dia sakit tua. Di mana pengorbanan anak kepada
seorang ibu?” Wajah Sufi Alisha kian sayu.
“Sufi Alisha!” Zairul Hisyam sudah
mengangkat tangannya.
“Perkara yang betul dipandang salah.
Perkara yang salah dipandang betul..” Sufi Alisha masih berani untuk bersuara.
“Zairul! Putuskan saja hubungan Zairul
dengan perempuan ni! Muktamad!” Puan Zaharah berpaling dan melangkah keluar. Tidak
kuasa untuk dia bertekak dengan gadis kolot itu lagi. Buang wang sahaja dia
melaburkan derma di rumah kebajikan orang tua ini.
Zairul Hisyam mengetap bibir. Dia perlu
memilih antara dua. Sufi Alisha atau mamanya?
Zairul Hisyam tiada pilihan.
“Awak benar-benar mengecewakan saya,
Sufi.” Zairul Hisyam hampa dengan sikap keras kepala Sufi Alisha yang tidak
mahu mengalah. Dia sayangkan gadis itu tetapi masakan dia mahu menentang
kata-kata mama yang dia sayangi.
“Awak yang mengecewakan saya, Zairul.”
Sufi mengalihkan pandangan matanya dari
terus
bertentangan dengan Zairul Hisyam.
“Sufi… saya cintakan awak.” Luah Zairul
Hisyam. Dia mahu Sufi Alisha tahu yang dia benar-benar mencintainya.
“Tapi awak tidak cintakan kasih dan
sayang. Awak tidak cintakan nenek awak yang uzur ini.”
Zairul Hisyam terkedu.
“Maafkan saya, Sufi…”
“Saya sudah maafkan awak, Zairul. Mungkin
sudah ditakdirkan yang kita tidak berjodoh. Saya bukan rusuk kiri awak yang
terpisah.” Wajah tenang Sufi Alisha menambahkan sakit di hati Zairul Hisyam.
Berat hatinya untuk melepaskan Sufi Alisha.
“Sufi….”
“Zairul… tiada manusia yang sempurna dalam
dunia ini. Sehebat mana pun kita, setinggi mana pun kita belajar, kita masih
ada kekurangannya… Melainkan DIA yang sempurna.” Sufi Alisha mengukirkan
senyuman di bibirnya.
Zairul
Hisyam terpana.
“Sufi Alisha… nama awak tetap terpahat di
hati saya. Jika ada jodoh kita, kita pasti akan bersama kelak.”
Zairul Hisyam mengaturkan langkah longlai.
SUFI
Alisha mengucup lembut pipi wanita yang sudah dimamah usia itu. Dia usap lembut
wajah wanita yang sedang bermenung di balik jendela itu. Sikap mesranya
terhadap penghuni-penghuni rumah kebajikan orang tua itu amat disenangi.
Rata-rata penghuni rumah kebajikan itu menyayanginya. Dia gadis yang tidak
pernah merungut dengan kerenah-kerenah penghuni di situ. Malah ada yang sudah
menganggapnya seperti anak sendiri. Limpahan kasih sayang dari Sufi Alisha
tidak berbelah bagi.
“Bila Sufi sudah berumahtangga nanti,
umi mesti berasa sunyi.” Umi Embun adalah salah seorang
penghuni yang sebelum ini sering menimbulkan masalah kepada Sufi Alisha. “Umi… apa umi cakap ni? Umi ingat Sufi akan
melupakan umi ya.” Sufi Alisha memaut bahu Umi Embun.
“Iyalah…
Zairul itu orang senang. Dia mesti akan bawa Sufi jauh-jauh.”
Sufi Alisha ketawa kecil.
“Umi… Sufi tiada apa-apa hubungan istimewa
dengan Zairul. Sufi tahu dia suka pada Sufi dan dia melamar Sufi untuk menjadi
suri di hatinya. Tapi perasaan Sufi tiada untuk dia.” Sufi Alisha mula
menyikatkan rambut Umi Embun
yang sudah terurai itu.
“Masakan Sufi tiada langsung suka pada
Zairul. Zairul tu serba-serbi lengkap untuk menjadi idaman ramai anak gadis.” Umi Embun muncungkan bibirnya.
“Umi… Dia memang cukup lengkap segalanya
tapi dia belum lengkap untuk menjadi seorang suami yang akan membimbing Sufi ke
jalan Allah kelak. Sufi tidak memilih pada paras rupa tetapi hatinya. Sufi akan
menerima dengan hati yang ikhlas jika telah tersurat oleh-NYA yang Zairul
adalah pasangan Sufi.”
Sufi
Alisha teringat pada kata-kata ustaznya di sekolah dahulu. Cinta merupakan perasaan fitrah yang
Allah s.w.t anugerahkan kepada kita. Cinta sesama manusia adalah fitrah yang
Allah jadikan sejak penciptaan Nabi Adam a.s. di mana Allah swt menghadirkan
Siti Hawa di sisi Nabi Adam a.s sebagai peneman suka dan duka. Walaupun
disingkirkan dari syurga, dan dipisahkan di dunia, cinta mereka tetap utuh dan
mereka sangat setia antara satu dengan yang lain. Percintaan Zulaikha dan Nabi
Yusuf a.s. Setelah bertahun-tahun mencintai Yusuf, akhirnya Zulaikha menemui cinta yang
sebenar-benarnya. Walaupun Yusuf a.s menjadi miliknya, namun cinta al-Khaliq
memenuhi ruang hatinya. Cinta mereka bukanlah cinta berlandaskan nafsu
semata-mata. Malah, disertakan keimanan kepada Allah swt.
Namun begitu, jika dilihat
percintaan zaman sekarang, kebanyakan muda-mudi tidak meletakkan Allah swt
sebagai matlamat yang utama. Mereka sanggup mengabaikan apa yang dituntut oleh
syara’ untuk memuaskan nafsu mereka.
Tidak salah untuk bercinta. Islam juga
menyokong couple atau bahasa
Melayunya berpasangan. Tapi, ada syarat untuk ber’couple’ dalam Islam. Syaratnya ialah perlu melalui fasa pernikahan
dahulu. Maka Islam menghalalkan hubungan ber’couple’ yang terbina. Alangkah indahnya menikmati percintaan di
jalan yang halal dan diredhai Allah swt. Hati merasa lebih tenang, malah tidak
perlu bimbang tentang fitnah dan zina.
“Umi
percaya yang Sufi akan mendapat lelaki yang baik-baik.” Hati Umi Embun tenang
setiap kali melihat wajah ayu Sufi Alisha. Alangkah bertuahnya jika dia
mempunyai anak sebaik Sufi Alisha.
“Umi…
Allah sentiasa menguji sejauh mana ketaatan dan kesabaran umatnya. Sufi
bersedia dengan ujian-NYA jika Sufi ditadkirkan bertemu dengan jodoh dengan
lelaki yang bukan seperti Sufi impikan. Siapa tahukan?” Bumi Allah ini hanya
persinggahan sementara untuk manusia melalui pelbagai ujian dalam ranjau kehidupan.
Umi
Embun tersenyum.
“Sufi…
umi sentiasa doakan yang baik-baik untuk Sufi. Umi tak mahu Sufi menderita
macam umi yang sebelum ini asyik menyalahkan takdir sedangkan umi tidak
berusaha untuk mengubahnya. Umi lupa untuk berdoa dan memohon kepada-NYA.” Umi
Embun menggenggam jemari halus Sufi Alisha. Dia sayangkan Sufi Alisha. Dia
tidak mahu Sufi Alisha disakiti.
“Terima
kasih umi kerana mendoakan untuk Sufi.” Sufi Alisha memeluk erat tubuh Umi
Embun.
“Ingat
Sufi… doa umi bersama Sufi. Sufi anak umi…”
Setitis
air mata jatuh pada pipi gebu Sufi Alisha. Terima kasih Ya Allah, kerana
memberikan aku kasih sayang tidak bertepi di sini. Aku akan jaga ikatan kasih
sayang bersama penghuni-penghuni di sini sebaik-baiknya. Terima kasih kerana
menumpangkan
kasih sayang dari mereka yang tidak sedarah
sedaging denganku.
Sufi
Alisha menyapu air mata yang mengalir.
tertarik dengan judul ceritanya
ReplyDelete