Tab Menu

Followers

Friday, January 2, 2015

DEMI CINTAKU, DEMI CINTAMU (BAB 1, BAB 2) - versi edit


(*Mungkin ada yang tidak baca di Ilham Karya jadi saya masukkan dalam blog juga. :)

“EL tidak bersetuju?” Eleanor naik berang.
            Papa mahunya ke sini hanya untuk aturan perkahwinannya. Riak wajah Dato’ Ariffin berubah melihat tingkah anak gadisnya itu.
            “Duduk dulu El.” Jemput Puan Marlia lembut.
            “No, thanks.” Eleanor menyilangkan tangannya.
            “El, duduk dulu. Kita discuss.” Pujuk papanya.
            “Perkahwinan ini tidak akan terjadi. Muktamad!” Rengus Eleanor lalu mengorak langkah keluar dari restoran tersebut.
            “I’m sorry Mar.” Dato’ Ariffin bergegas mengekori langkah anak gadisnya. Puan Marlia dan dua lagi tetamu itu tertegun di tempat duduk masing-masing.
            Eleanor membuka pintu keretanya.
            “El!” Dato’ Ariffin melolos masuk ke dalam kereta anak gadisnya itu.
            Eleanor menghidupkan enjin keretanya. Eleanor mendengus kecil sambil memusingkan stereng keretanya.

            Eleanor mengertap bibir geram. Perbualan telefon dengan Mukhriz anak lelaki Puan Marlia itu cukup memanaskan hatinya.
            “Helo, Boleh I bercakap dengan Eleanor Dato’ Ariffin.”
            “Ya, I’m speaking here.”
            “Nama I mukhriz. I anak kepada Puan Marlia.”
            “So, what? I kenal you ke?”
            “Kita saling tidak mengenali but papa you dan mama I berkawan rapat.”
            “Itu bukan problem I.”
            “Problemnya parent kita mahu satukan kita.”
            “What?”
            “You tak tahu yang papa you ajak you bertemu dengan mama I atas sebab ini. Mereka juga mahu I bertemu dengan you.”
            Eleanor menggigit jari. Patutlah papa beria-ia suruh dia mahu bertemu dengan Puan Marlia. Ada muslihat disebaliknya.
            “So, you agreed dengan aturan perkahwinan ni?”
            Lelaki bernama Mukhriz itu ketawa.
            “I tidak akan berkahwin dengan perempuan yang langsung I tidak kenal. Lagi pun I sudah ada girlfriend. Perkahwinan ni pun sebab nak selamatkan bisnes papa you.”
            “Apa maksud you?”
            “I rasa better you tanya pada papa you. I nak masuk tidur. Girlfriend I sedang menunggu di bilik. Nite baby. Muahhh!” Mukhriz membuat bunyi ciuman di talian.
            Perasaan marahnya meluap-luap. Papa membuat aturan tanpa memberitahu padanya dulu. Kenapa mesti dia yang menjadi mangsa dalam masalah papa?
Dato’ Ariffin di sebelah Eleanor berasa cemas melihat pemanduan anak gadisnya itu. Eleanor memandu melebihi had laju.
“El, please…”
“El sudah katakan yang El tidak bersetuju.” Gumam Eleanor agak kasar.
            Zaman moden ini pun masih main-main dipaksa untuk berkahwin. Dia tidak suka teman hidupnya ditentukan oleh keluarga.
            Dato’ Ariffin menghela nafas panjang. Hubungan antara dia dengan anak keduanya itu sudah lama keruh. Eleanor anak yang kuat memberontak. Lebih suka mengikut kepalanya sendiri.
            “El, jumpalah dulu anak auntie Marlia tu.”
            “Papa, El tidak akan bertemu dengan anak auntie Marlia. El sudah berikan kata putus pada papa. El tak mahu berkahwin. I’m not ready yet.”
            Dia sudah letih bertengkar dengan papa. Papa masih juga mahu memaksa dia. Fikirnya kepulangan semula dia ke Malaysia untuk menjernihkan semula hubungan dengan papa tetapi dia silap. Dia tidak patut pulang. Kenapa papa tidak mahu memahami perasaan dia? Dia tahu yang perkahwinan aturan papa itu ada tujuannya. Papa ingin menyatukan perniagaan bersama Puan Marlia. Eleanor tidak akan bersetuju dengan cara papanya.
            Dato’ Arifin membisu. Tidak tahu apa lagi cara untuk memujuk anak gadisnya itu.  Sikap degil dan keras kepala Eleanor sukar untuk ditangani. Perasaan malu menghimpit Dato’ Ariffin. Dia seperti tidak pandai mengajar anak.
            “El…”
            “Mukhriz ada call El. Dia sudah ada girlfriend dan dia juga tidak bersetuju dengan usulan perkahwinan aturan keluarga ni. Alasan nak eratkan perhubungan dua keluarga tetapi sebenarnya El dijadikan alat untuk papa menyatukan perniagaan papa dengan auntie Marlia.” Eleanor terus memotong kata-kata papanya.
            “Papa akui tetapi itu hanya salah satu syaratnya untuk Marlia membantu papa. Jika kamu tidak bersetuju papa tidak boleh berbuat apa-apa.”
            “Papa… El minta maaf sebab terpaksa kecewakan papa.”
            “El, lori!” Dato’ Ariffin memekik cemas.
            Eleanor memusing stereng keretanya mengelakkan keretanya dari berlanggar dengan lori terbabit tetapi dia hilang kawalan apabila brek keretanya tidak makan. Keretanya melanggar tiang elektrik. Kepalanya sakit, pandangan matanya semakin menjadi gelap.
            “Papa…”


SEDAR-sedar dia sudah terbaring di katil hospital. Eleanor bangun dan memengang kepalanya yang sudah berbalut. Dia pandang kiri dan kanan. Wajah Abang dan kakak iparnya semakin jelas di depan mata. Begitu juga dengan wajah Puan Marlia. Otaknya berputar ligat mengingati apa yang berlaku. Papa!
            “Papa… macam mana dengan papa?” Dia terus memaut lengan abangnya.
            “Bertenang dulu El.”
            “El nak tengok papa.” Eleanor bingkas bangun dari katilnya tetapi ditahan oleh Elman, abang sulungnya itu.
            “Papa dah tiada Kak El!” Suara Elena Maria adik bongsunya.
            Eleanor tertunduk semula di katil.
            “Papa…” Air mata laju menuruni pipi Eleanor.
            Elman memeluk bahu adiknya itu.
            “Kak El yang bunuh papa!” Elena Maria memandangnya dengan renungan amarah. Dia memang tidak suka dengan sikap kakaknya yang suka melawan kata itu. Jika kakaknya itu tidak pulang semula, papa tidak akan mati.
            “Elena!” Elman tidak suka dengan kata-kata yang keluar dari mulut Elena Maria itu. Apa yang terjadi sudah suratan takdir. Tidak perlu menyalahkan sesiapa dalam soal ini.
            “Betul apa yang Elena cakap. Kalau bukan sebab Kak El, papa tidak akan mati. Kak El yang bunuh papa!” Elena Maria meninggikan nada suaranya. Seratus-peratus menyalahkan kakaknya. “Kenapa bukan Kak El saja yang mati!”
            Eleanor tidak menangkis kata-kata Elena Maria itu. Betul kata adiknya itu, dia punca kematian papa. Menyesal sudah tiada gunanya lagi. Papa pergi tidak akan kembali. Puan Marlia merapati. Dia tidak senang melihat pertelingkahan yang tercetus di depan matanya itu. Mulut Elena Maria memang tidak berlapik. Tambahan pula gadis itu memang cepat panas baran.
            “Kak El menangis air mata darah sekalipun, papa tidak akan hidup balik!” Elena Maria terus-terusan menekan perasaan Eleanor. Dia tidak kisah jika kakaknya itu dihimpit perasaan bersalah seumur hidup.
            “Elena…”
            “Auntie tak perlu sebelahkan Kak El. Selama ini pun Kak El memang suka bertelagah dengan papa. Sakitkan hati papa. Kak El hanya pentingkan diri sendiri. Kak El tidak pernah fikirkan perasaan papa langsung! Papa aja yang sayangkan dia!”
            Elman tidak mahu bercakap banyak. Dia menarik lengan Elena Maria dan mengheret adiknya keluar dari wad tersebut.
            “El… sabarlah.” Puan Marlia bersimpati. Dia menyentuh lembut bahu Eleanor.
            Eleanor memeluk tubuh sambil menangis semahu-mahunya. Terhingut-hingut bahunya menahan esakan.
             

ELEANOR memandang titisan-titisan air hujan di jendela. Dia lebih suka berkurung di dalam bilik kebelakangan ini. Sejak kemalangan yang meragut nyawa papanya, dia banyak berdiam dan termenung panjang. Makan minumnya yang tidak menentu itu meresahkan hati Elman. Elman tidak menyalahkan adiknya itu atas apa yang berlaku. Pihak polis mengatakan ada orang yang memotong brek kereta Eleanor.   
            Eleanor membuka mesej-mesej di dalam telefon bimbitnya. Satu-persatu mesej itu dibaca. Mesej-mesej dari papanya itu membuatkan hatinya terasa pilu dan sendu. Tanpa sedar air mata Eleanor mengalir perlahan menuruni pipi.
            Kata-kata papa pada malam di bilik tidurnya itu masih tersimpan di kotak ingatan. Mungkin papa fikir dia sedang tidur ketika itu. Dia hanya berpura-pura melelapkan matanya. Dia seakan masih terasa papa mencium dahinya dan mengusap-usap rambutnya.
            “Papa ingin memperbaiki semula perhubungan papa dengan El tetapi papa tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Papa tidak pernah membenci El.”
            “Papa sayangkan anak-anak papa. Ada masanya papa terlalu ego dan tidak mahu memahami perasaan anak-anak papa terutamanya El. Papa tahu papa berkeras pada El. El… papa minta maaf.”
            Eleanor menyapu air mata yang mengalir.
            “El minta maaf papa.”
            Eleanor menekan nombor di telefon bimbitnya. Dia menghubungi seseorang. Kemudian dia mengemaskan pakaiannya masuk ke dalam beg. Dia tidak betah untuk tinggal di sini lagi. Dia tidak mungkin akan menerima syarat yang ditetapkan oleh Puan Marlia itu. Bingkai gambar keluarganya itu turut di masukkan ke dalam beg pakaiannya. Eleanor menarik bagasi pakaiannya keluar dari bilik tidurnya. Laju kakinya memijak anak tangga.
            “El, nak ke mana ni?” Soal Elman.
            “El nak keluar dari rumah ini.” Eleanor membalas lembut.
            “Why?”
            “Walau pun papa sudah tiada, El tetap tidak berganjak dengan keputusan El. El tak boleh terima aturan perkahwinan tu.”
            “See? Kak El memang pentingkan diri sendiri.” Elena Maria menyampuk. “Biarkan saja Kak El berhambus dari rumah ni!”
            “Shut up Elena!”
            Eleanor tidak mengerti mengapa Elena Maria tidak menyenangi dia dari dulu. Dia tidak pernah memusuhi adiknya itu. Jauh sekali membenci.
            Elena Maria merengus kecil. Elman masih mahu berpihak di sebelah Eleanor. Semua orang sayangkan Eleanor lebih darinya.
            “El, abang tak mahu lihat kita adik-beradik ni berpecah belah. Abang tak halang keputusan El. Jika itu yang terbaik untuk El. Pintu rumah ini sentiasa terbuka untuk El kembali.” Dia akan cuba memikirkan cara lain menyelamatkan syarikat peninggalan arwah papa. Dia juga kurang bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh Puan Marlia. Bukan dia tidak kenal dengan sikap ‘playboy’ anak bongsu Puan Marlia itu. Dia tidak mahu memperjudikan masa depan Eleanor.
            “Thanks abang.”
            “Jika ada apa-apa masalah call abang.” Pesan Elman.
            Eleanor memeluk Elman. Eleanor melangkah keluar dari banglo mewah itu dalam hujan yang masih renyai-renyai. Sebuah teksi sudah sedia menunggu di luar pagar.
          

Bab 2


“BAGI I masa. I akan jelaskan semua bayaran tu.”
            Talian terputus. Pihak pemiutang seakan tidak bagi muka. Elman benar-benar menemui jalan buntu.
Elman menghempaskan fail di atas meja. Dia melurutkan rambutnya ke belakang kemudian berkali-kali meraup mukanya. Otaknya sedang kusut. Syarikat sedang mengalami masalah bebanan hutang yang serius. Eleanor sudah duduk berasingan. Elena Maria pula, selalu pulang lewat malam. Dtang ke pejabat jarang sekali. Dia sudah letih dengan kerenah Elena Maria yang tidak mahu mendengar nasihat.
            Elman menutup lap-topnya kemudian dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Panggilan telefon dari isterinya, Susana tadi seperti ada kecemasan berlaku di rumah. Elman sempat berpesan kepada setiausahanya yang dia tidak mungkin kembali semula ke pejabat.
            Susana meluru ke arah Elman sebaik suaminya itu keluar dari perut kereta. Wajah cemas Susana merisaukan hati Elman seakan ada perkara yang tidak baik berlaku.
            “Sayang, sport car I.” Susana merenggek.
            Elman menghela nafas panjang. Setakat kereta mahal itu ditarik, apalah sangat.
            “Sport car you kena tarik.”
            Susana mengganggukkan kepalanya.
            “You nak ke mana-mana I akan hantarkan you. Biarlah sport car tu ditarik.”
            Susana mencebik sambil menyilangkan tangan ke dada dengan muka semakin masam. Malulah dia pada teman-temannya nanti. Perbelanjaan tersekat, kereta ditarik, apa lagi yang tinggal? Silap haribulan banglo ini juga akan dilelong untuk membayar hutang-pemiutang.
            “You tahu I dari kecil tidak pernah hidup susah. Malu I tahu jika kawan-kawan I dapat hidu keadaan I sekarang.”
            Elman duduk di sebelah Susana lalu mengusap-usap bahu isterinya itu. Dia tahu Susana sedang marah dan isterinya itu tidak biasa hidup dalam kesusahan begini.
            “Sayang… I sedang berusaha sedaya mungkin. Sabar sikit ya.” Elman memujuk.
            “I sudah penat mahu bersabar.”  Susana bangkit lalu memijak anak tangga masuk ke bilik tidur mereka.
            Elman memicit-micit kepalanya. Ada ketikanya sikap Susana melemaskan dia. Susana seakan tidak mahu mengerti masalah yang dia hadapi. Apa guna isteri jelita jika mementingkan diri sendiri. Dia sendiri tidak pasti lagi setakat mana kasih sayang Susana terhadapnya. Dia mula menyedari perubahan pada isterinya itu.
            “Airnya Elman.”
            “Terima kasih Mak Tun.”
            Pembantu rumah yang dipanggil Mak Tun itu berlalu ke dapur. Gaji Mak tun pun sudah tertunggak 3 bulan tidak dibayar. Mak Tun tidak pula bising-bising meminta wang gajinya. Hati budi Mak Tun sudah dikenali. Mak Tun sudah lama bekerja dengan keluarganya. Mak Tun yang mengasuhnya mereka adik-beradik dari kecil.


PLEASE ElLet’s me explain!”
            Geli telinganya mendengar suara maco lelaki itu lagi. Allergic pun ada.
“Hairie, I sudah tidak percayakan you!” Eleanor memalingkan mukanya. Eleanor mengaturkan langkahnya laju. Hairie sudah mengejar dari belakang.
“El! Bagilah I peluang!” Hairie menyaingi langkah Eleanor.
“Lelaki semuanya sama. Liar!”
“El… please, dengar dulu apa I nak cakap!”
“Cukup! I tak mahu dengar apa-apa penjelasan dari you. Kalau you boleh cari bunga di taman yang lain., I juga boleh cari kumbang yang lain. Kumbang banyak di KL ni.”
Eleanor segera meloloskan tubuh ke dalam Honda Fit (Jazz) berwarna kuning miliknya. Dia bosan diburu lelaki meroyan seperti Hairie. Lepas putuskan hubungan, merayu-rayu untuk berdamai semula. Inilah jantan, lepas puas enjoy dengan perempuan lain, cari kita semula. Konon-kononnya  dipermainkan perempuan tu. Perempuan tu saja nak balas dendam. Alasan sudah lapuk bagi Eleanor kerana perempuan yang merampas Hairie dari dia memang dia cukup kenal sangat. Siapa lagi kalau bukan Yuhana. Dia cukup tidak faham dengan peel minah seorang ini. Kenapalah Yuhana suka sangat mengacau teman-teman lelaki dia. Apa motif perempuan itu agaknya? Cemburu? Kalau dia cantik dari Yuhana, itu bukan salahnya. Cantik itu anugerah dari Tuhan.
            Eleanor tidak menunggu lama. Keretanya terus bergerak dari tempat parkir. Hairie tidak sempat untuk menahan. Jelas riak hampa dan kecewa pada wajah Hairie. Kenapa dia mudah sangat termakan dengan kata-kata Yuhana? Eleanor tu nampak saja seperti seorang yang dingin, tetapi bila bercinta memang serius.
            Aku takkan menangis kerana lelaki lagi. Eleanor memengang erat stereng keretanya. Boleh dikatakan dia cukup serius dalam perhubungannya dengan Hairie. Hati perempuannya terhiris dengan kata-kata perpisahan dari mulut Hairie. ‘Kita break, I sudah jumpa gadis yang layak untuk I jadikan isteri.’ Lelaki seperti Hairie cukup senang melafazkan kalimah cinta dan cukup senang mengungkapkan kata-kata perpisahan. Ucap I love you bagai nak rak dengan dia, tapi dalam pada masa yang sama bermadu kasih dengan Yuhana di belakang dia. Entah ayat apa yang perempuan tu jampi serapah sampai begitu mudah Hairie lupakan dia. Sampai hati Hairie mengkhianati cinta tulusnya.
            Shit! Shit! Shit! Kenapa air mata ni mahu mengalir juga? Eleanor memarahi diri sendiri. Kau boleh jumpa lelaki yang lebih hebat dari Hairie. Come on El… kau sendiri pernah cakap, kumbang bukan seekor. Banyak lagi kumbang yang berbaris di belakang menunggu balasan cinta kau.
            Eleanor mengalihkan wajahnya ke sisi. Bulat bola matanya melihat seorang lelaki memerhatikan gelagatnya itu. Dia tidak perasan ada kereta lain di sisi keretanya.
            “Apa tengok-tengok! Tak pernah tengok perempuan menangis ke?” Eleanor menaikkan cermin keretanya.
            Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, Eleanor terus memecut keretanya. Dia membuka cd dari penyanyi yang diminatinya. Lagu-lagu nyanyian Liza Hanim bergema dalam kereta bersama suara tangisan Eleanor.
            Eleanor melangkah ke pejabat dengan wajah suram. Tiada senyuman manis menghiasi bibirnya seperti selalu. Dia menghenyakkan punggung di kerusi lalu mencapai buku catatan untuk memeriksa jadual Dato’ Bakri. Tiada temujanji penting untuk lelaki itu. Eleanor menarik nafas panjang. Dia memulakan hidup baru dan mencari pekerjaan. Dia tidak menduga yang diterima bekerja di syarikat ini. Seorang yang berkelulusan engineering bekerja sebagai setiausaha. Dia sudah timba dengan pelbagai jenis pekerjaan. Jika tidak bersesuaian dia akan berhenti kerja.
            “El…” Dato’ Bakri sudah muncul di hadapan mejanya.
            “Sorry Dato’, I lewat masuk ofis.” Eleanor cuba semanis mungkin mengukir senyuman. Matilah dia kena marah dengan orang tua ni.
            “Kenapa you lunch tak tunggu I?” Tajam mata Dato’ Bakri mengerling Eleanor. Pandangan mata yang membuatkan Eleanor tidak selesa. Orang tua miang ni kalau naik angin boleh tahan juga gerunnya.
            Fikirnya tadi Dato’ Bakri marahkan dia lewat masuk ke pejabat. Dia silap membuat terkaan.
            “I ada hal emergency tadi. Next time kita boleh lunch bersama.” Eleanor mengukir senyuman kelat. Next timelah sangat.  Dia sering mencari alasan untuk mengelak keluar bersama orang tua miang itu. Tak larat dia menghadap masalah dengan kedua-dua isteri Dato’ Bakri. Kalau menyerang bukannya main siasat kes terlebih dahulu. Naib baik tidak bertumpuk dan bertampar.
            “Pastikan next time you lunch dengan I.” Keras bunyinya.
            Dato’ Bakri seperti melampau pula. Peduli apa dia mahu keluar makan bersama siapa? Dia bukan isteri Dato’ Bakri. Lelaki itu yang gila bayang sendiri. Staf-staf yang lain mula memandang ke arah dia. Mereka memang tahu Dato’ Bakri gilakan Eleanor hingga mencetuskan kontroversi di dalam syarikat. Calon isteri ketiga Dato’ Bakri. Loya anak tekak Eleanor digelar begitu. Tidak pernah dia berfikir mahu berkahwin dengan orang tua miang tu. Minta dijauhkan sama sekali. Dia mahu cari lelaki yang bujang tara tang-tang. Bukan lelaki orang. Duda pun tidak mengapa.
            “El, masuk ke pejabat I sekejap. Ada hal yang ingin I bualkan dengan you.”
            Interkom di mejanya berbunyi;
            “Baik, Dato’.”
            Eleanor mencapai buku nota dan pen.


ELEANOR menongkat dagu. Dia hempaskan tas tangannya atas meja. Orang tua miang keladi. Ada hati nak jadi aku isteri nombor tiga dia! Dia fikir dia kaya-raya, ada banyak duit, dia senang nak tundukkan aku? Mata aku tidak akan kelabu tengok semua tu. Orang tua tu memang bermimpi di siang harilah. Eleanor memaki hamun dalam hati.
“Kenapa kau hangin satu badan ni, perempuan?” Aleeza menegurnya.
“Aku sedang sakit hati segala hati.” Eleanor mendengus.
Aleeza tergelak kecil. Dia pandang muka cemberut Eleanor. Kalau bukan pasal Dato’ Bakri mesti pasal Hairie. Dua lelaki itu sahaja yang menyusahkan hidup sahabatnya itu.
“Serius bunyinya. Siapa yang sedang menyakitkan hati segala hati kau tu. Hairie or orang tua miang tu.”
“Dato’ Bakri! Kau tahu orang tua miang tu melamar aku jadi wife dia nombor tiga. Pleaselah…” Eleanor menunjukkan angka tiga dengan jarinya.  
Tawa Aleeza mati.
“Kau, biar betul?”
I’m serious! Aku tak kemaruklah nak jadi wife nombor tiga dia. Kahwin ikut nafsu. Banyak lagi ibu-ibu tunggal yang susah perlukan perlindungan tapi tak nak pulak dia.” Eleanor merengus kasar.
“Geli anak tekak aku dengar orang tua miang tu melamar kau. Kau pun satu. Layankan sangat orang tua tu.”
Eleanor mengertap bibir. Ada benarnya kata-kata Aleeza itu. Dia layan Dato’ Bakri pun sebab lelaki itu bos dia. Layanan biasa seorang pekerja tidak lebih dari itu.
Rambut ikalnya dikibas ke belakang. Kali ini Aleeza mengulum senyuman. Siapa yang tidak terpikat dengan sahabatnya itu. Kulit putih melepak. Cantik dengan alis kening yang asli melentik. Tambahan pula, Eleanor agak seksi orangnya. Adakalanya dia iri hati juga dengan kecantikkan milik Eleanor.
“Aku ingat nak resign.”
“Kau kerja di situ baru lima bulan. Agak-agaklah nak resign.”
“Tak kuasa aku dah menghadap muka orang tua miang tu. Silap haribulan aku yang jadi gila. Aku pun dah bosan kena attack dengan kedua-dua isteri Dato’ Bakri. Lagi-lagi isteri kedua dia tu. Siap main ugut-ugut aku lagi. Macam aku kemaruk sangat nak laki dia.”
“Suka hati kaulah. So, apa citer kau dengan mamat sorang tu? Rimas juga bila dia call dan mesej aku tanya pasal kau. Kau gaduh dengan dia ke?” Dia mahu juga tahu perkembangan hubungan cinta Eleanor dengan Hairie. Eleanor sebelum ni nampak serius benar dalam perhubungannya dengan Hairie. Sekarang ni nampak hubungan mereka senyap pulak.
Eleanor takkan buka mulut jika tak ditanya.
“You means Hairie?”
“Siapa lagi kalau bukan dia atau kau ada main cinta dengan kerabat tengku pulak?”
Eleanor menguis-guis hujung rambutnya.
“Entahlah.” Suara seperti orang tidak bermaya.
“Kau dah break-up dengan Hairie ke? Kenapa aku tak tahu?”
“Aku tak nak cerita pasal Hairie lagi.”
“Apa dah berlaku? Storylah kat aku. Sebelum bukan main kau hangat bercinta dengan dia. Siang malam telefon melekat kat tangan.”
“Kau tak payah tanya kenapa? Mamat tu dah takde dalam kamus hidup aku!”
“Okay-okay.” Aleeza mengangkat kedua-dua belah tangannya. Dia dapat merasakan angin Eleanor tidak baik.
Aleeza mengintai jam di tangan. Keningnya bertaut rapat. “Jarum jam aku tak bergerak. Pukul berapa sekarang?”
“Pukul enam petang. Kenapa?”
Gosh. Aku lupa nak menjemput Fifi di airport.”
“Fifi?”
“Sepupu aku.”
Kelam-kabut Aleeza menarik tangan Eleanor. Eleanor tidak sempat menghabiskan minuman yang masih tinggal separuh itu.
Aleeza mengheretnya sekali ke lapangan terbang. Eleanor menurutkan saja langkah Aleeza. Janji Aleeza penuhkan tangki minyak keretanya seperti yang dijanjikan. Mata Aleeza meliar mencari kelibat sepupunya. Sepupunya itu boleh tahan kuat merajuknya. Anak manja katakan. Dia pula jenis yang tidak pandai dalam soal pujuk-memujuk ini. Kalau sepupunya itu sudah beredar menaiki teksi pulang ke rumah memang masak dia dibebel oleh Mak Langnya nanti.
Fifi pun satu. Bukannya tidak tahu nombor telefon dia. Mengapa tidak menghubungi
dia jika sudah sampai di lapangan terbang. Menyusahkan betul anak manja Mak Langnya itu.
Aleeza menjerit kecil sebaik bahunya disentuh dari belakang. Mujur saja dia tidak melatah. Aleeza memalingkan tubuhnya.
“Fifi!”
Fifi ketawa geli hati. Eleanor sekadar menggelengkan kepala. Matanya terpaku pada lelaki kacak berkaca mata hitam yang berdiri di sebelah Fifi itu. Fifi memaut lengan sasa lelaki di sebelahnya itu. Nampak begitu mesra. Barangkali kekasih hati.
“Fifi balik dengan uncle Weir.”
Uncle? Telinga dia tidak silap dengar rasanya. Muda dan kacak begini sudah bergelar pakcik. Eleanor tersenyum sendiri. Salah telahannya sebentar tadi. Apa yang ingin dihairankan sangat. Umur belasan tahun pun sudah ada yang bergelar datuk mahupun nenek.
“Tapi Mak Lang…”
“Tak apa. Uncle sudah call mama Fifi tadi.” Lelaki yang dipanggil Uncle Weir itu memintas kata-kata Aleeza.
Aleeza mencemik muka. Fifi menjuihkan bibir. Dia tidak suka sebenarnya Aleeza menjemputnya di lapangan terbang. Dia memang sengaja tidak menghubungi Aleeza sebaliknya menghubungi pakciknya itu.
Fifi sempat mengerling pada Eleanor. Hatinya berdetik cemas melihat teman Aleeza yang cantik itu.
Uncle kita pulang sekarang.” Terus saja dia mengajak Uncle Weirnya itu pulang. Tangannya langsung tidak lepas dari memaut lengan lelaki itu.
Gelagat Fifi menjengkelkan hati Aleeza. Nampak sangat mengada-ngadanya. Sudah besar panjang begini masih berperangai keanak-anakkan. Tiada rasa segan dan malu dikhalyak ramai.
Lelaki dipanggil Uncle Weir itu menanggalkan kaca mata hitamnya. Mata jernih berwarna hazel itu merenung Eleanor atas dan bawah.
“Saya seperti pernah tengok awak.” Ujarnya.
Eleanor tersenyum tawar. Pernah tengok dia? Rasanya mereka tidak pernah terserempak di mana-mana. Biasalah ayat lelaki hendak mengayat.
Uncle Weir…” Fifi sudah merengek.
Sorry, lain kali kita bertemu, kita berkenalan.”
Berkenalan? Dia tidak mengharapkan ada pertemuan lagi antara mereka? 

2 comments: