Tab Menu

Followers

Wednesday, March 31, 2010

566 Hari Mencari Cinta_Prolog


Perjanjian…

FIRDAYU menongkat dagu memandang Nenek yang sedang khusyuk mengait. Entah apalah yang sedang neneknya itu kaitkan. Tak nampak apa pun hasilnya. Macam kait bodoh-bodoh aja. Peliknya Nenek begitu menumpukan perhatian sekali. Firdayu menarik nafas panjang. Nenek menyuruh dia pulang. Katanya nak bagi wasiat keramat pada Firdayu. Ingatkan perempuan tua itu nak mampus rupanya hidup lagi. Sihat walafiat. Sungguh kurang ajar cucunya ini. Tapi dari semalam Nenek tidak berkata apa-apa lagi dengannya. Dia mula tidak senang duduk. Bengang pun ada. Jika sekadar untuk mempermainkan dia baik dia tidak perlu pulang ke vila keramat Nenek. Sudahlah besar menakutkan pulak dengan hiasan-hiasan antik Nenek. Vila sebesar ini hanya ada empat penghuni. Nenek ditemani Pak Mamat yang muka sebijik macam penjenayah salah laku, Kak Jenab pula jenis suka beliakkan biji mata bila bercakap dan Atan budak yang ada sakit senyum tak henti-henti itu. Dimarah dengan teruk pun Atan boleh senyum. Tak ke sakit budak seorang itu? Orang-orang pelik ini sanggup duduk bersama Nenek yang cukup cerewet dengan mulut tidak berinsurans. Menggerunkan! Jauh di pendalaman pula. Banyak nyamuk dan unggas.

            Jika bukan kerana wasiat keramat itu tak ingin dia jejakkan kaki di vila keramat nenek. Babah kata Nenek beria-ia benar ingin menemui cucu kesayangannya ini. Setahu dia, babah bukan menantu pilihan Nenek. Sejak bila pula Nenek sudah berbaik dengan babah? Lagi-lagi Nenek memang tidak sebulu dengannya. Nenek wanita tradisional dan dia gadis serba kemodenan. Perempuan tua itu banyak tipu muslihatnya. Firdayu kena berjaga-jaga.

            “Yue…” Nenek memanggil nama manjanya. Firdayu tersentak. Ingatkan orang tua itu sudah menjadi bisu. Hari ini baru keluar suara. Berhari-hari dia duduk di situ sepatah perkataan pun Nenek tak keluarkan suara. Orang tua itu membisu saban waktu. Nenek memang menguji kesabarannya.

            “Ingat nenek dah bisu dengan Yue. Yue tahulah Yue cucu nenek yang paling kurang ajar. Tidak sebulu dengan nenek tak macam cucu kesayangan nenek yang berbelas-belas orang tu.” desis Firdayu. Nenek ketawa kecil. Firdayu memang jenis bercakap terus-terang tanpa bersembunyi. Firdayu tidak pandai berpura-pura.

            “Mari duduk dekat nenek Yue.” Nenek memanggil Firdayu lembut. Tersentak gadis itu. Sejak bila nenek tiba-tiba baik begini. Buang tabiatkah orang tua ini? Malas-malas Firdayu merapati neneknya. Nenek memalit senyuman manis. Firdayu benar-benar sudah menjadi gadis yang jelita. Sejelita wajah ibunya. Rasa menyesal kerana pernah menghalau anak perempuannya suatu ketika dahulu. Gara-gara tidak setuju berkahwin dengan lelaki bukan pilihannya. Biasalah orang-orang tua dahulu. Kalau marah pun bukannya lama. Sejuk juga hati tuanya. Sayang Firdayu tidak mewarisi sifat ibunya. Sikap yang buat babahnya pening kepala saban waktu.

            “Nenek jangan nak bermain muslihat dengan Yue. Yue tahu selama ini nenek bukannya sukakan Yue dan babah.” Firdayu pandang wajah yang kian dimakan usia itu. Nenek sudah berusia 70 tahun tapi Nenek masih tampak sihat dan kuat. Nenek tertawa lagi. Firdayu begitu berwaspada. Memang dia punya muslihat meminta Firdayu pulang ke pendalaman. Tapi Nenek tidak bermuslihat jahat pada Firdayu. Nenek akan menggunakan segala kepintaran yang ada untuk memerangkap Firdayu. Nenek mahu mengajar Firdayu!

            “Yue memang bijak membaca fikiran nenek.” 

            “Mestilah….sebab Yue warisi darah nenek jugak.”

            “Yue…nenek makin dimamah usia. Nenek tidak tahu entah bila masanya mata nenek ini akan terpenjam rapat. Harta nenek bertimbun-timbun tapi apa gunanya harta jika nenek masih hidup kesunyian. Anak-anak dan cucu-cucu nenek tidak hiraukan nenek lagi. Mereka sudah punya keluarga sendiri. Apa yang mereka mahukan dari nenek cuma harta. Nenek tahu Yue tidak sukakan nenek bukan? Nenek bencikan ibu bapa Yue tapi jauh di sudut hati nenek, masih ada kasih sayang untuk mereka. Tentu Yue tidak tahu ibu Yue adalah anak yang paling nenek sayangi. Memang nenek kecewa dengan ibu Yue kerana dia memilih babah Yue sebagai calon suami dia. Yue…semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka termasuklah nenek. Ego nenek memang tinggi hingga sanggup menghalau anak sendiri kerana tidak mahu menurut kemahuan nenek. Rasa kesal tetap ada di hati nenek saat ibu Yue meninggalkan vila ini. Nenek turut merasai kepedihan di hati setelah kehilangan ibu Yue. Nenek buangkan keegoaan dan bertemu dengan babah Yue. Nyata babah Yue seorang lelaki yang pemaaf walaupun luarannya nampak seperti lelaki yang kasar. Nenek yang silap tidak mahu mengenali babah Yue. Babah Yue berkahwin dengan ibu Yue bukan kerana harta mahupun rupa tapi kerana ketulusan dan kelembutan seorang wanita yang ada pada ibu Yue. Nenek juga tahu Yue langsung tidak pandang harta yang nenek miliki. Yue wanita bekerjaya dan punya segala-galanya dengan usaha Yue sendiri. Tapi disebalik kejayaan Yue…Yue masih kekurangan sesuatu dalam hidup Yue.” Panjang lebarnya mukadimah Nenek.

            Firdayu mengerutkan dahi. Apa yang kurang dalam hidupnya pula. Setahu dia tiada apa yang kurang. Kalau ada kekurangan pun dia hanya tidak mempunyai seorang ibu di sisinya. Mengingati ibu…Firdayu akan rasa sedih. Rasa kesal Nenek tidak akan dapat menghidupkan semula ibunya.   

“Nenek…straight the point. Nenek cakap saja apa yang nenek mahu dari Yue. Yue bukannnya boleh lama-lama duduk di vila usang nenek ni. Menyeramkan.” Firdayu memeluk tubuh dan saja-sajalah buat mengigil satu badan. Nenek ketawa.

            “Apa salahnya kalau nenek bermukadimah dulu sebelum nenek straight the point macam kata Yue tadi.” Nenek pun dah pandai ajuk cakap orang putih.

            “Sahlah ini mesti ada pakatan dengan babah. Sejak babah baik dengan nenek apa kata nenek dah meresap masuk dalam telinganya. Bercakap dengan Yue pun mesti ada nenek. Nenek ni….”

            “Mesti Yue nak cakap…sikit-sikit nenek…sikit-sikit nenek…sikit-sikit nenekkan…” Belum habis cakap nenek sudah mencelah. Tepat pulak terkaan orang tua itu.

            “Tahu pun.” 

            “Umur Yue sekarang dah berapa?” 

            “Apa kena pulak umur Yue dengan nenek ni? Janganlah berbelit-belit dengan Yue.”

            “Yue….” Nenek mulalah mengerlingnya tajam.

“Dah nak masuk 27 tahun.” Cukup tak berkenan kalau nenek merenung macam nak menelan dia hidup-hidup. 

            “Dah patut kahwin tu Yue.” Nenek melirik senyuman yang buat Firdau rasa menyampah sangat ingin melihatnya.

            Boleh agak dah apa yang muslihat nenek dengan babah. Ini mesti pasal dia tak kahwin-kahwin lagi. Apa yang nak kecoh sangat pasal dia tak berkahwin. Bukannya dia menyusahkan orang lain. Buat apa kahwin kalau lelaki-lelaki yang nak dijodohkannya itu tidak setaraf dengan dirinya. Dia tidak mahu lelaki yang berada di bawahnya baik segi pelajaran mahupun gaji. Babah selalu saja adakan sesi suai kenal dengan lelaki-lelaki pilihannya. Semuanya Firdayu tolak bulat-bulat. Sampai babah dah naik fed-up dengan sikap memilihnya yang satu ini. Jumpa yang kaya tak kacak pula. Jumpa yang kacak tak kaya pula. Jadi dia lebih suka bermain-main dari bersikap serius dalam soal percintaan.

            “Menyibuklah nenek ni.” Mulut Firdayu mula muncung sedepa. Benci sangat kalau soal kahwin dibangkitkan. Kalau tak kahwin pun Firdayu tidak heran. Dia punya segala-galanya. 

            “Hahahaha…nenek nak buat pertaruhan dengan Yue. Itupun kalau Yue berani sahut cabaran dari nenek.” Nenek sudah mengatur strateginya.

            “Pleaselah nenek…. Jangan buang masa Yue dengan benda-benda yang mengarut.” wajah Firdayu mula menjadi kelat.

            “Nenek tak buang masa Yue. Nenek takkan paksa Yue tapi nenek tahu Yue pantang dicabar bukan?” Nenek bingkas bangun dari kerusi malasnya. Dia menuju ke arah almari antik yang tidak tahu dari kurun ke berapa itu. Sebuah fail hitam dikeluarkan.

            “Hmmmmm. Kalau menarik Yue akan pertimbangkan.” Firdayu merenung tajam Nenek. Jika pulangannya lumayan apa salahnya kan. Lagipun Firdayu memang pantang kalau dicabar. 

“Dalam fail ini ada surat perjanjian dan syarat-syaratnya untuk Yue. Kalau Yue berani Yue kena sain agreement ini dengan nenek.” Terangkat-angkat kening nenek.

            Firdayu mencapai fail yang dihulurkan Nenek. Perlahan-lahan dia menyelak isi kandungan dalam fail tersebut. Bulat mata Firdayu melihat butir-butir yang ditulis kemas oleh nenek. Tidak lama kemudian dia mengetap bibir. Bengang.

            “Nenek sudah gila ke buat syarat mengarut begini!” Firdayu mencampakkan fail tersebut atas meja. Nenek ketawa kecil. Nenek tetap akan berusaha hingga Firdayu bersetuju dengan syaratnya. Nenek peluk bahu Firdayu lembut. 

            “Yue…syarat yang nenek berikan terlalu mudah. Yue cuma kena cari cinta dalam masa 566 hari. Jika Yue gagal maka segala harta benda milik Yue akan menjadi milik nenek dan sekiranya Yue berjaya maka segala harta nenek akan menjadi milik Yue. Yue sanggup? Lagipun gadis secantik Yue masakan susah untuk memikat hati lelaki.” Nenek mengumpan. 

            Firdayu mengusap dagu. Mencari cinta dalam masa 566 hari. Macam mana dia mahu dapatkan cinta dalam masa 566 hari. Lelaki mana yang tahan dengan perempuan cerewet dan banyak karenah seperti dia. Lagi tak tahan dia jenis mengikis habis-habisan. Lepas diikikis dia akan ucapkan ‘Good Bye’ pada setiap pasangannya yang dipermainkan. Ingat cari cinta ini macam cari kain baju ke? Gila! Nenek sudah gila! Tapi…ada tapinya juga. Tawaran Nenek cukup lumayan pada Yue. Dia memang dah punya harta dan dia boleh menambah harta lagi. Biar padan muka dengan cucu-cucu Nenek yang lain itu. Firdayu ketawa besar dalam hati. Dia mula membayangkan kemewahan yang bakal dia miliki. 

            “Baiklah…Yue setuju. So apa syarat-syarat seterusnya.” Firdayu mengulum senyuman penuh makna. Dia mula menyilangkan kakinya.
Nenek melirik senyuman lebar. Umpan sudah mengena!

Tuesday, March 30, 2010

Coke And Sundae_25

SIAPA pulak budak tiga orang ni? Tidak pernah Syamil nampak budak tiga ekor itu dalam kelas malam mereka. Bukan main mesra berbual-bual dengan Azyan. Syamil rasa cemburu. Apa tak cemburunya sebab sebelum ini hanya dia yang paling rapat dengan Azyan. Syamil amat takut kalau Azyan sudah tidak endah dengan kewujudan dia. Syamil makan hati lagi.

Wajah cemberut Syamil disedari oleh Azyan. Azyan tahu Syamil cemburu lihat dia dengan budak tiga orang tu. Dia bukan pilih kasih. Semua pelajarnya dilayan sama rata. Kesian dengan budak tiga orang tu. Banyak pelajaran yang mereka tertinggal. Tentu anda ingat dengan budak-budak yang menahan Azyan ketika pementasan teater pertama Azyan. Tidak menduga budak-budak tu menelefon Azyan untuk masuk ke dalam kelas tuisyennya. Dengan senang hati Azyan menerima mereka.

“Kenapa ni? Muka kelat semacam.” Azyan menegur lembut. Syamil didapati tidak menyenangi kehadiran budak tiga orang itu.

“Siapa budak tiga orang tu?” Syamil menyoal.

“Yang botak tu nama dia Lan. Yang rambut cacak durian tu Man dan yang muka lurus bendul tu Mie.” Azyan perkenalkan satu-persatu anak murid barunya itu kepada Syamil.

“Aik! Syam…takkan kau jealous kot. Don’t worrylah. Kau tetap kesayangan Kak Yan kau ini.” celah Salwa. Risau sangat budak kecik tu Azyan akan berpaling arah. Tapikan…ada sedikit kemusykilan di hati Salwa dengan Syamil ni. Diam-diam menyiasat budak bernama Muhammad Syamil Bin Ilyas ini. Nama bapaknya sama dengan nama bapak Syakir. Muka dia orang pun ada iras-iras jugak. Sikit saja irasnya. Bezanya Syakir tinggi lampai tapi Syamil kemetot. Tak adalah kemetot macam kekasih hati dia, Tengku Kudin.

“Siapa Jealous? Tak mainlah jeles-jeles ni.” Syamil mencebik.

“Iyalah tu. Tapi Syam memang comel kalau muka dia tukar kaler merah.” Salwa makin giat mengusik. Azyan ketawa.

“Tunggu apa lagi. Pergilah berkenalan dengan kawan baru awak tu.” arah Azyan. Dia kerling Syamil tajam.

“Tak mahulah. Kalau awek memang laju saya hulurkan salam perkenalan.”

“Tak padan dengan kecik! Akak tak ajar anak murid akak sombong tau.” Azyan memulas telinga Syamil. Syamil menyeringai.

“Sakitlah! Apa ni main paksa-paksa orang pulak!” desis Syamil. Azyan mula bercekak pinggang. Mencuka muka Azyan. Tak berkenan betul dia kalau ada pelajar yang menyombong.

Ini yang tak best kalau Azyan buat muka. Lemah semangat di buatnya. Nak tak nak Syamil paksakan diri juga berkenalan dengan budak tiga orang yang datang menyibuk itu.

“SAMPAI bila kau nak pendam perasaan Kir. Yan dah mula berkepit dengan Riz. Kau tak rasa apa-apa ke?” luah Salwa. Muak pula tengok Rizlan yang pandai bermuka-muka depan Azyan. Syakir langsung tidak ambil tindakan. Boleh duduk tenang membaca buku di perpustakaan. Siap nyanyi lagu Doraemon lagi. Lagu kegemaran Azyan tentulah Syakir tahu.

“Aku tak kisah.” balas Syakir selamba. Dalam hati Tuhan saja yang tahu.

“Tak kisah konon. Kau nak menangis berguling-guling baru kau nak menyesal. Yan dah bengap janganlah kau sama bengap.” getus Salwa. Marah dengan sikap sambil lewa Syakir. Suka tapi entahlah…tak faham dia dengan lelaki yang seorang ini.

“Bisinglah. Aku sedang sibuk dengan exam sekarang ni tiada masa nak fikirkan pasal Yan lah. Aku tak nak kena cantas leher dengan Cik Puan Zaharah yang kerek tu.” Nak menelaah buku pun tak senang. Salwa asyik mengekori buntut dia ke mana saja. Jangan dia ikut sampai ke tandas sudah. Masak nanti. Bercerai pulak Salwa dengan Tengku Kudin.

“Mulut kata kata sibuk tapi hati kata tidak.”

“Okay-okaylah. Aku surrender.” Syakir angkat kedua belah tangannya. Macam pesalah yang diberkas polis.

“Apa cerita dengan korang berdua ni. Korang ni dah macam Zaim dengan Syakirin yang aku dok baca dalam novel dua kali lima pulak. Salahnya angkat nikah saja yang korang belum lagi.”

“Kau pun kenal aku macam mana. Aku gelilah nak romantis-romantis ni. Aku
bukan mat jiwang macam Zek. Aku juga bukan dalam kategori mat blues. Aku adalah aku. Lagipun aku dah biasa layan Azyan macam itu.” Syakir tersengih.

“Hey Mr Sundae! Kalau korang asyik bertekak sampai bila-bila pun keadaan tak berubah. Jadilah jiwang karat sikit Kir. Bukan banyak mana pun. Sikit saja.”

“Aku nak ucap sayang pun rasa geli tau. Apatah lagi nak sebut I love you pada Azyan. Agaknya kalau ucap depan dia mahunya dia naik hantu.”

“Habis! Kau nak tunggu sampai bila? Sampai musang tumbuh janggut!” desis Salwa. Payah sangat Syakir ni. Nak cakap ‘I love you’ pun teruk nak mampus. Ada juga lelaki macam Syakir dalam dunia ini. Salwa dah gelengkan kepala.

“Hahahaha…pandai kau buat lawak jugak Wawa. Belajar dari Tengku Kudin ke?” Syakir ketawa mengekek.

“Tengku Saifudinlah.” Salwa membetulkan nama teman lelakinya. Syakir sama saja dengan Azyan. “Aku ada perkara nak tanya kau”

“Nak tanya apa?”

“Muhammad Syamil Bin Ilyas. Aku rasa kau tahu nama siapa yang aku sebut tadikan.” Terangkat-angkat kening tebal Salwa.

Riak muka Syakir sedikit berubah. Mestilah tahu. Nama adik dia. Adik yang di hantar khas untuk menjalankan siasatan di kelas tuisyen Azyan. Kantoilah pula.

“Macam mana kau tahu?”

“Aku kan adik-beradik Detective Conan.”

“Ceh! Syamil adik akulah.”

“Agak dah. Muka korang ada iras-iras sikit.” Tahu pun sebab Salwa ekori Syamil sampai ke rumah. Syamil langsung tak sedar. Biasalah. Profesional punya detektif tak bertauliah.

“Terus-teranglah dengan aku, Kir. Kau ingat aku bodoh ke? Aku tak bengap macam korang berdua.”

“Hmmmm!” Syakir merengus kecil. “Aku sukakan Azyan. Cuma aku tak tahu macam mana nak luahkan perasaan di hati pada yang empunnya diri. Aku mengaku aku bengap dalam soal hati ni. Aku bukan macam kau. Straight the point!”

“Baguslah kau mengaku kau bengap. Kau nak aku tolong tak?” Salwa offerkan diri ingin membantu.

“Thanks. Aku rasa tak perlulah.” Syakir menolak. Seganlah minta tolong dengan perempuan ni.

“Tak nak tak apa. Aku dah lama nak tanya. Apa barang yang Yan curi dari kau dulu? Bukan main serius kau tuduh dia pencuri.” Salwa pandang wajah Syakir tidak berkelip. Syakir tersengih.

“Dia curi hati aku.”

Monday, March 29, 2010

Coke And Sundae_24


KELAS Cik Puan Zaharah tamat dengan jayanya. Syakir seperti biasa membuat sedikit catatan sebelum keluar dari kelas. Di belakang tempat duduknya Mat Karan dan Nani sedang berbincang antara satu sama lain. Syakir tidak ambil endah akan perbualan dua teman baiknya itu. Selesai membuat catatan dia mula mengemaskan buku-bukunya masuk ke dalam beg. Syakir memberikan siulan kecil kepada dua temannya itu. Isyarat untuk mereka beredar.

            Mat Karan dan Nani berbisik sama sendiri. Syakir hanya membisu. Mengumpat dialah tu. Pasal dia dengan Azyan. Dalam beberapa hari ini Azyan memang dingin benar dengan Syakir. Bila tengok muka Syakir saja mesti dia buat satu pusingan macam di jalan raya itu. Jika tidak pun Azyan angkat kepala tinggi-tinggi seakan tidak nampak Syakir lalu di sebelahnya. Allergiclah tu tengok muka Syakir. Berjangkit dengan Nani. Tak syok lah kalau tidak dengar celoteh mulut Azyan. Syakir mesti lakukan sesuatu agar perhubungan mereka pulih seperti sediakala.

            “Eh! Azyan dengan siapa pula tu?” Mat Karan menundingkan jari. 

            Syakir segera memalingkan kepala. Seorang lelaki macho sedang berbicara dengan Azyan di dalam kafeteria. Manisnya wajah Azyan ketika berbual-bual dengan lelaki terbabit. Syakir amati wajah lelaki itu. Rasanya macam kenal. Mata Syakir terbuntang luas. Patutlah macam kenal. Itu Rizlan jurulatih kelab Boxing yang selalu dia lawati bersama Haziq dan Sofi. Bila pula Azyan kenal dengan Rizlan. Ini tak boleh jadi. Syakir pantas mebuka langkah panjang.

            “Perkara kecil aja. Tak sangka awak yang hantar jambangan bunga tu. Sayangnya saya buang dalam tong sampah.” tutur Azyan jujur. Siapa menduga dia punya seorang peminat misteri yang bertubuh sasa dan gagah. Macho tau.

            “Maaf kiranya I buat Cik Azyan terkejut. Sebenarnya sudah lama I perhatikan you sejak you menyelamatkan seekor kucing dari dilanggar. Kucing yang you selamatkan itu kucing I.”

            Azyan terlopong. Nyata dia tidak menyedari kehadiran Rizlan sebelum ini. Bibirnya memalit senyuman manis. Rasanya dia sudah jumpa orang yang dicari. Ciri-ciri lelaki idaman semuanya ada pada Rizlan. Kali ini Azyan yakin.

            “Riz!” jerit Syakir. Rizlan dan Azyan sama-sama berpaling.

 Azyan ketap bibir. Meluat tengok muka jambu Syakir. Buat masa sekarang senyuman Syakir tidak menggetarkan hati Azyan. Mata Azyan lebih tertumpu pada senyuman macho Rizlan. Lemahnya segala urat sendi melihat senyuman yang terpalit pada bibir basah Rizlan. SEKSI!

“Syakir! You pun belajar di sini juga.” Rizlan memaut tubuh Syakir sambil memeluk anak muda itu erat. Syakir sempat mengerling Azyan. Azyan tarik muka.

“Apa kau buat di sini?” saja Syakir mengajukan soalan yang dia sendiri sudah tahu akan jawapannya.

“Ermmm…macam nak cerita pada you. You masih ingat cerita I pada seorang gadis yang buat jatuh cinta pandang pertama?” Lalu Syakir anggukkan kepalanya. Rizlan merenung wajah ayu milik Azyan. Pandangan mata yang buat hati Syakir gelisah serba gelisah! Ada saja yang nak kacau buah hatinya itu. Mula-mula Haziq. Lepas itu Zekri. Sekarang Rizlan pulak. 

“Tak sangka kau sukakan gorilla ni.” 

“Siapa gorilla? Sedap-sedap mulut saja kau mengata aku!” Azyan melenking.

Korang berdua dah kenal?” Rizlan menyoal. Dia makin teruja untuk mengenali Azyan. Gadis secomel Azyan masakan akan dia lepaskan begitu saja.

“Lebih dari kenal. Aku kenal gorilla ni sejak dari sekolah lagi. Untuk pengetahuan kau Riz, gorilla ini aku yang punya.” Syakir menarik Azyan ke sisinya. Tajam dia merenung wajah Rizlan. Terpinga-pinga Azyan dengan kelakuan kurang sopan Syakir. Sesuka hati dia pegang lengan anak dara orang. Kalau dah kahwin tidaklah heran sangatkan. 

“Apa tarik-tarik orang ni!” Azyan mendengus. Dia menjauhkan diri dari berdekatan dengan Syakir. Mana boleh duduk dekat-dekat dengan musuhnya itu.

“Nampaknya dia tidak sukakan kau, Kir.” Rizlan sudah meneka melalui riak wajah Azyan. Rizlan mula memberikan renungan penuh makna kepada Syakir. Renungan mencabar.

“Apa kejadah pulak ni? Kau jangan nak buat kacau di sinilah Syakir!” Azyan mula tidak senang bila Syakir sudah berlawan mata dengan Rizlan. Apa tidak kena dengan mamat seorang ni. Takkan Rizlan pun musuh ketat Syakir macam si bapak buaya itu. Banyak rupanya musuh Syakir. Tapi bagi Azyan, Rizlan adalah lelaki yang baik. Jauh lebik dari Syakir. 

“Riz. Saya rasa lebih baik kita berbicara di tempat lain.” ajak Azyan. Rizlan menganggukkan kepalanya. Azyan membuka langkah melintasi Syakir. Macam biasa dia angkat kepalanya tinggi-tinggi macam perempuan berlagak. 

                “Syakir dalam soal cinta aku tak akan bertolak ansur dengan kau.” suara Rizlan separuh berbisik. Ditepuk-tepuk bahu Syakir lembut. Rizlan tersenyum sumbing lalu mengikuti langkah Azyan yang sudah jauh ke hadapan. Syakir mengetap bibir.

            Pedihnya hati Syakir hanya dia seorang yang tahu. Syakir dapatkan rasakan sinar yang bercahaya di mata Azyan ketika gadis itu memandang Rizlan. Tapi tak mengapa. Ini Syakirlah. Tiada perkataan ‘TIDAK’ dalam moto hidupnya. Nani dan Mat Karan segera merapati teman mereka. 

            “Kali ini kau bermasalah besarlah Kir. Aku tengok bukan main lembutnya Azyan melayan lelaki tadi.” ujar Mat Karan.

            “Itulah kau. Lambat sangat nak luah perasaan pada Yan.” celah Nani tidak puas hati. Syakir telalu berlengah-lengah.

            “Sibuklah korang ni! Dalam percintaan ada cabaran itu yang aku suka. Aku takkan menangis punyalah.” Syakir merengus. 

            “Kita orang bukan nak menyibuk Kir. Kita orang just nak menolong kau saja sebab pada mata kita orang ini kau dengan Yan pasangan yang secocok. Bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan.” getus Nani. Susah nak terima kalau Azyan bersama dengan orang lain. Lagi pening kepala Nani bia membayangkan Azyan dengan Zekri. Tak sepadan langsung. Rasanya hari-hari Zekri kena belasah dengan Azyan. Zekri kan gatal. Garfunya pula suka merayap-rayap. Tak boleh duduk diam. Nani tersenyum sendiri. Dia tidak menyangka yang dia dan Zekri berbaik-baik semula. 

            “Senyum ingatkan Zek ke?” Syakir memetikan jarinya pada depan muka Nani. Nani tersentak. Merona merahnya.

            “Kadang-kadang aku tak faham dengan perempuan ni.” Mat Karan mengarukan kepala.

            “Kalau tak faham jangan difahamkan buat menyemak kepala otak kau aja.” Syakir mengetuk kepala Mat Karan dengan bukunya. Mat karan tersengih. 

            Kebetulan sudah ada di cafeteria baik mereka bertiga melantak dulu sebelum ke perpustakaan. Bau aroma masakkan Kak Min café sudah menusuk ke dalam lubang hidung masing-masing. Ini yang mereka tak boleh tahan. Apa lagi….serbu!!!

SIMBOL love sudah timbul di dalam anak mata Azyan. Gelagat itu disedari oleh Salwa yang sedang enak menghirup teh tarik mamak corner. Mamat mana pulalah yang Berjaya menambat hati teman baiknya itu. Kalau Syakir memang tiada dalam senarai dah. Tolak tepi terus. Kesian pada Syakir. Nak kata tak ada rupa Syakir memang dah hensem dah sejak azali lagi. Tiada yang kurangnya pada Syakir kecuali mulut dia yang laser tu. Cakap tak tahu nak berlapik. Main sembur saja.

            Romantika juga mamat bernama Rizlan bin Yusof itu. Apa yang penting dia gagah dan hebat. Buat masa ini mereka akan berkenal-kenalan dulu sebelum mulakan perhubungan lebih serius. Dia akan tayang pada Syakir yang gadis lasak seperti dia pun boleh ada teman lelaki. Inilah peluangnya Azyan. Malaysia boleh! Azyan boleh! Ganbatte! Azyan meberikan semangat untuk diri sendiri.

            “Kau apa hal angkat-angkat tangan ni Yan. Macam orang tak betul saja aku tengok.” Salwa menegur.

            “Aku tengah bagi semangat kat diri aku sendiri.”

            “Semangat apa pulak ni? Semangat nak pikat hati Syakir ke?” 

            “Tiada nama lain ke kau nak sebut selain nama cicak kobeng tu! Berapa kali aku mahu bilang sama kamu. Aku ngak mungkin berpacaran dengan cowok bernama Syakir!” Campur anduk dengan bahasa Indo dah Azyan. Salwa ketawa kecil.

            “Iya…aku ngerti kalau kamu ngak bisa berpacaran sama itu cowok. Cowok itu selalu bikin kecoh sama kamu bukan? Tapi kamu jangan menyesal jika cowok itu jatuh jatuh ke dalam tangan cewek lain.” Salwa pun dah ikut slang Indo.

            “Huh! Kau ni apa pasal Wawa. Suka sangat nak rapat-rapatkan aku dengan Syakir. Menyampah tahu tak!” Azyan mahukan lelaki yang cool macam Rizlan bukan lelaki yang bermulut laser macam Syakir. Syakir tu perasan nak mampus. 

            “Kau tak risau ke awek cun macam Emelda tu nak tackle Syakir?”

            “Apah hal ni. Lantaklah kalau Emelda gedik tu nak pikat Syakir. Aku peduli apa! Apa kau ingat aku tak comel ke sampai dibandingkan dengan Emelda. Aku tahulah si gedik tu cantik!” Azyan melenting. Azyan memang tak dapat menandingi Emelda dari pelbagai segi. Tapi dia comel tau! Tak tipu punyalah.

            “Cakap sikit dah melenting.” Salwa menjuihkan bibirnya. Salwa memang tak suka Azyan memilih Rizlan sebab pada Salwa, Syakir lebih baik dari lelaki bertubuh sasa itu. Memanglah Syakir ada kekurangan tapi mereka sudah kenal hati budi Syakir.

            “Ala…macam tak biasa gaya aku bercakap. Aku dengan kau mana ada cakap lemah lembutkan. Aku cakap main redah aja.” Sejak bila pulak Salwa pandai ambil hati dengan kata-kata dia. Setahu dia Salwa jenis tak kisah apa dia cakap. Dia pun memang jenis cakap lepas. Baru Azyan sedar dia dengan Syakir agak-agak serupa. Guna perkataan agak-agak sebab Azyan segan nak mengakui yang mereka hampir serupa. 

Best sangat ke Rizlan sampai kau tangkap cinta dengan dia. Aku tengok biasa-biasa saja orangnya. Aku tak adalah nak nafikan yang Rizlan memang lebih gagah dari Syakir. Jurulatih kickboxing katakan.” Nyata terang-terangan Salwa tidak merestui perhubungan Azyan dengan Rizlan. Macam Azyan tu anak dia pulak.

“Ermmmm…soalan kau itu aku tak boleh nak jawablah Wawa. Jujurlah aku cakap aku tak terasa dub-dub bila bersama dengan Riz. Tapi bila dengan Syakir dub-dub pula jantung aku. Berdebar-debar hati aku.” Azyan siap buat demo lagi depan Salwa. 

Dah agak dah. Azyan memang bengap! Bengap hampir seratus-peratus. Petanda awal dah ada tapi bilah Azyan nak sedar diri ni! Salwa pula yang rasa bengang. Bengang sebab ada kawan yang otak lembab.

“Malas nak cakap dengan orang yang punya otak lembab macam kau, Yan. Dah bagi klu pun masih bongok lagi.” Salwa menjentik dahi Azyan. 

“Amboi! Berani kau kata aku bongok ye.” Azyan sudah memaut leher Salwa. Salwa ketawa mengekeh.

Friday, March 26, 2010

Coke And Sundae_23

MONYOK muka Syakir sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah. Cikgu Ilyas yang sedang membaca surat khabar itu berkerut dahi. Jarang dia lihat muka Syakir macam tongkang pecah begitu. Selalunya ceria dua puluh empat jam mengalahkan kanak-kanak ribena. Mulut Syakir yang riuh dalam rumah itu. Kalau yang menjerit mulut Syamil pulak. Syakir memang suka cari gaduh dengan adiknya.

Syakir campakkan beg galasnya atas sofa. Dia labuhkan punggung di sebelah abahnya sambil melepaskan keluhan berat. Fikirannya melayang entah ke mana. Hingga abah di sebelah dia boleh buat dek. Macam abah itu tak wujud. Cikgu Ilyas gelengkan kepala. Adalah tu yang tidak kena dengan anak sulungnya itu.

“Bergaduh dengan kekasih ke?” Cikgu Ilyas menyoal selamba. Sedangkan dia tahu anak terunanya itu mana kekasih lagi walaupun ramai peminat.

Syakir menoleh. “Sibuklah abah ni.”

“Abah memang sentiasa sibuk.”

“Tahulah abah sibuk. Abahkan pengetua. Ramai anak-anak dekat sekolah tu.”
“Tapi anak yang selalu buat abah sibuk hanya anak abah yang seorang ini. Beritahu abah anak gadis sapa yang buat anak abah sengsara ni. Bukan calang-calang gadis tu.” Cikgu Ilyas menepuk-nepuk bahu Syakir. Syakir agak perahsia sikit orangnya. Soal peribadi tak suka buka mulut. Syamil pun sama. Apa-apa hal dua beradik itu suka berkomplot. Kalau memberontak. Dua-dua memberontak.

“Abah…Kir manalah ada makwe lagi. Pandai-pandai saja abah ni.” Syakir mencebik. Tahu sangat abah nak korek rahsia dia. Jangan harap!

“Iyer ke? Habis yang hari itu abah nampak Syakir dengan seorang perempuan di mamak corner tu sapa? Comel sungguh awek tu. Tak baik berahsia denngan abah.”

Syakir menepuk dahi. Alamak kantoilah pulak. Dia pun tak tahu Azyan join Azuan tengok bola masa itu. Ini mesti abah menghendap dia ni.

“Itu adik Azuanlah. Anak Mejar Idris.”

“Wah! Anak Mejar. Bagus tu.” Cikgu Ilyas mengerling Syakir penuh makna. Kalau dulu memang dia melarang keras Syakir terlibat dengan kancah cinta monyet. Dia mahu Syakir menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran. Cikgu Ilyas amat tegas
mendidik anak-anaknya. Dia tidak suka anak-anaknya lalai dalam menentukan masa depan. Tiada niat mahu menghalang minat Syakir dalam bidang enjin kereta. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk Syakir dan juga Syamil.

Syakir buat muncung panjang. Sejak kebelakangan ini abah asyik menyibuk soal peribadinya. Pelik pun ada. Dia jeling pada Syamil yang sibuk buat kerja sekolah di atas meja makan. Khusyuk sekali adiknya itu sejak kebelakangan ini. Moga Syamil tidak bocorkan rahsia besarnya yang disorokkan. Kalau tidak nahas adiknya itu dia kerjakan.

“Diam pulak.”

“Kir nak naik atas dululah. Lagi pun Kir belum solat Asar lagi.” Syakir tak mahu bersoal jawab dengan abahnya. Dia bingkas bangun lalu menapak ke anak tangga.
Cikgu Ilyas hanya tersenyum. Faham benar dengan perangai Syakir. Hal peribadi tidak suka disentuh. Tak mengapa. Cikgu Ilyas tahu dengan siapa dia boleh berbicara. Syamil yang sedang menyiapkan kerja sekolah itu direnung. Syamil saja tempat utama Syakir mengadu cerita. Bukan susah mahu mengumpan anak bongsunya itu.

Syakir rebahkan diri atas tilam empuknya sebaik saja selesai mandi dan menunaikan solat Asar. Syakir mengelamun seketika. Payah betul mahu meluahkan perasaan pada Azyan. Masa inilah dia nak kenang-kenang semula bersama Azyan dari mula mereka berkenalan hingga mereka berpisah setelah tamat alam persekolahan. Dari benci bertukar menjadi sayang. Azyan adalah cinta pertama dan cinta terakhir Syakir. Tidak mudah untuk Syakir jatuh cinta dengan gadis lain. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya Syakir bila dia bertemu semula dengan Azyan. Azyan….di balik wajah ganas gadis itu terselit kelembutan yang orang lain tidak nampak kecuali dia. Masakan dia akan melupakan gadis yang menyelamatkan dia dari nahas jalan raya. Mungkin Azyan tidak ingat tapi tidak pada dia.

Lupakah Azyan pada parut kecil di tangannya itu. Luka yang Azyan balutkan dengan sapu tangan yang berwarna pink Hello Kitty. Pasti Azyan tidak ingat kerana ketika itu dia memakai helmet yang menutupi seluruh mukanya. Syakir menarik nafas panjang. Dia mengulum senyuman. Tentu Azyan tidak menduga siapa pengirim kenychain handphone Hello Kitty. Dia yang meletakkan keychain itu ke dalam beg sekolah Azyan. Kebetulan pula hari itu hari lahir Azyan. Syakir tidak dapat melupakan senyuman manis Azyan sewaktu menerima hadiah kecil darinya itu.

“Abang long! Mak panggil minum petang!” laungan Syamil mematikan lamunan Syakir. Kacau daun betul adiknya itu. Malas-malas Syakir keluar dari biliknya.

“Umph! Sedapnya…Mak buat goreng pisang.” Syakir sudah mengambil sepotong goreng pinggan di atas meja.

“Kesian tengok anak mak yang teringin sangat nak makan goreng pisang. Mujur saja di pasar tadi mak nampak ada orang menjual pisang. Jadi mak belilah.” Puan Mahani tersenyum senang hati.

“Macam orang mengindamlah kau Syam. Dulu satu tandan kau pulun pisang emas yang mak bawa dari kampung. Tak cukup lagi rupanya.” Syakir menyiku adiknya. Menyeringai Syamil.

“Lantaklah.” desis Syamil.

“Kir…mulalah cari pasal dengan adik.” Puan Mahani menjegilkan biji matanya. Kalau ingin tahu antara mak dan abah siapa yang paling tentulah mak mereka. Baik Syakir mahu pun Syamil, kedua beradik itu amatkan takutkan si mak dari si abah.

“Abang long yang mulakan dulu!” Syamil membela diri.

“Usik sikit dah marah.” Syakir menjuihkan bibir. Seronok tengok muka Syamil yang marah. Dia perasan sejak dua menjak ini Syamil agak lain macam. Apatah lagi kalau nama Azyan meniti di bibirnya. Bukan susah untuk Syakir meneka. Syamil suka pada Azyan. Tak padan dengan budak kecik! Ada hati nak mengorat buah hati pengarang jantung abangmu ini. Syakir nak ketawa pun ada. Buat masa ini dia buat macam tak tahu saja. Nak lihat sejauh mana tindakan Syamil. Pada Syakir adiknya itu tidak akan mendatangkan masalah besar. Syamil amat mudah untuk ditangani.