Tab Menu

Followers

Friday, November 25, 2011

Takdir Cinta luka - Bab 29


RIAK wajah Batrisyah berubah melihat lelaki di hadapannya itu. Itulah lelaki pertama yang menghancurkan hatinya. Lelaki yang buat dia seperti anak terbuang. Lelaki yang menuntut satu pengorbanan yang melukakan jiwa dan raganya. Lelaki yang mengatakan cinta sudah tiada lagi untuknya. Kini lelaki itu bertentangan dua mata dengannya. Namun perasaan itu telah lama lenhyap di hati Batrisyah. Cinta hanya pada suaminya, Faliq. Batrisyah memalitkan senyuman di bibirnya.
            Batrisyah mengaturkan langkah melepasi Ashraf. Tiada patah perkataan yang ingin dia bicarakan dengan lelaki itu. Kenangan lama sudah lama Batrisyah lupakan. Dia sentiasa mendoakan kebahagiaan buat Asharaf dan adiknya Farisya.
            “Risyah…” panggilan dari Ashraf buat langkah Batrisyah terhenti.
            Ashraf merapati Batrisyah. Dia meratah segenap wajah ayu milik Batrisyah yang semakin ayu itu. Batrisyah seakan bahagia sejah mendirikan rumahtangga bersama Faliq. Malah gadis itu tidak sedikit luak perasaan cintanya pada Faliq meskipun diketahui Faliq sudah tidak mengenalinya lagi. Ada sedikit rasa cemburu di dalam hati Ashraf.
            “Kau apa khabar?” Ashraf sekadar berbasa-basi.
            “Alhamdulillah…saya baik-baik sahaja. Awak pula apa khabar? Fad an anaknya sihat?” Batrisyah membalas lembut.
            “Mereka baik. Kau semakin tampak tenang biarpun suami tiada di sisi.”
            “Saya sentiasa menantikan dia pulang ke pangkuan saya kelak. Saya yakin di hatinya hanya ada cinta saya.” Batrisyah tersenyum lagi.
            Senyuman Batrisyah membikin hati Ashraf tidak keruan. Itulah senyuman yang pernah dia lupakan. Senyuman manis untuknya saat mereka bercinta dulu.
            “Maafkan aku, Risyah…aku telah banyak menyusahkan aku. Dan aku buat kau menderita.” Bicara Ashraf lemah. Kesal dengan sikap pentingkan dirinya.
            Batrisyah menarik nafas panjang. Dia mengangkatkan kepalanya menatap wajah Ashraf.
            “Itu cerita lama, Raf. Saya sudah lama melupakannya. Dan tidak pernah mendendami awak atau membenci awak. Mungkin takdir telah tertulis antara kita tiada jodoh.”
            Ashraf rasa tersentap. Hatinya tersentuh dengan kata-kata dari bibir Batrisyah itu. Kesal itu sudah tiada gunanya lagi. Dia hanya mengikut kata nafsu dengan mengkhianati cinta tulus Batrisyah.
            “Kalau masa itu dapat diputarkan semula aku pasti tidak akan menyakiti hatimu Risyah.”
            “Kita hanya mampu merancang Raf tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Risyah redha dengan ujian yang Allah berikan pada Risyah. Hidup tidak selalunya indah.” Hidup ini ada pasang surutnya. Ada suka da nada duka. Ada tawa dan ada tangisan. Ianya seimbang.
            “Aku sungguh menyesal kerana mengewakan kau, Risyah. Sungguh aku memang menyesal.” Ashraf meraup rambutnya ke belakang.
            “Raf…setiap perkara yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Jangan awak sesali atas apa berlaku antara kita. Tolong Raf…jagalah Fa dengan baik-baik. Dia amat mencintaimu.” Batrisyah mengharapkan bahagia untuk adiknya. Dia tidak peduli apa yang Farisya lakukan kepadanya sebelum ini. Baik dan buruk Farisya, dia adalah adik kandungnya.
            Ashraf terkedu.
            “Aku dah hampir putus asa dengan Fa. Mungkin ada baiknya aku buka cerita sebenar pada dia.”
            “Jangan Raf…Biarlah ia menjadi rahsia antara kita.”
            Ashraf terdiam. Dia tidak mengerti mengapa Batrisyah rela dirinya dibenci oleh Farisya. Bukankah patutnya dia yang dipersalahkan. Dia yang patut dibenci. Ashraf sudah tidak mampu melihat Batrisyah terus-terusan dibenci oleh Farisya. Dia punca pertelingkahan ini. Dia perlu memadam api cemburu di hati Farisya. Farisya perlu tahu yang kakaknya bukan seperti yang dia fikirkan.
            “Risyah...”
            “Maaf Raf…saya perlu pulang dulu. Lagipun langit sudah mendung. Ada umur kita berjumpa lagi. Assalamualaikum…” Batrisyah mula membuka langkahnya kembali.
            Waalaikumusalam…” Ashraf menjawab dalam hati. Dia memerhatikan langkah Batrisyah yang sudah jauh di depan mata. Ashraf turut mengaturkan langkahnya menuju ke arah kereta yang tersadai tidak jauh dari situ. 
DHIYA menghentakkan kaki apabila Faliq tidak mahu menemaninya. Dhiya menjadi bengang. Sebelum ini dia memang mahu Faliq menjadi pak sanggup namun semua itu sudah berlalu setelah menggugurkan kandungannya. Jika tidak berbuat demikian maka rahsianya akan terbongkar. Dhiya mengambil risiko demi maruah keluarga. Sikap tidak layan Faliq membuat Dhiya merasa bosan. Dia mencari hiburan di luar hingga menemukan dia kembali dengan Javon.
            Pertemuan dengan Javon melupakan Dhiya pada Faliq. Kebetulan Javon berada di Malaysia atas urusan perniagaan dalam beberapa minggu. Dhiya menghabiskan masanya dengan Javon. Dia sudah berhati-hati ketika bersama Javon. Ternyata Tuhan itu maha adil. Dhiya disahkan mengandung lagi. Kali ini Dhiya mendesak Datin Seri Qistiana mempercepatkan pertunangannya dengan Faliq.
            “Dhiya…kenapa muka cemberut ni?” Datin Seri Qistiana mengurut lembut bahu gadis itu.
            “Abang Faliq asyik dingin dengan Dhiya. Mungkin dia sudah ingatkan perempuan itu!” Desis Dhiya.
            “Perempuan itu sudah pergi. Masakan dia akan bertemu dengan Faliq semula.” Datin Seri Qistiana sudah berjaya menghalau Batrisyah dari hidup Faliq. Batrisyah dengan rela hati menjauhi Faliq.
            “Mana kita tahu auntie mereka bertemu senyap-senyap. Dhiya tak percayakan perempuan kampung itu. Masakan dia akan melepaskan Faliq.” Dhiya menghasut.
            Datin Seri Qistiana berfikir sejenak. Masuk dek akal juga kata-kata Dhiya itu.
            “Auntie cukup pantang kalau orang bermulut manis ni. Rasa macam nak bunuh saja perempuan tu. Kalau Dhiya nampak dia di mana-mana saja, Dhiya langgar terus. Kalau dah mati dia tak akan ganggu Faliq lagi.” Jelas ada api kemarahan di mata Datin Qistiana.
            Dhiya tersenyum meleret. Dia sudah agak wanita itu pasti akan termakan dengan kata-katanya. Datin Qistiana memang sayangkan dia dari kecil lagi lebih dari anaknya sendiri. Itu yang Dhiya suka dengan wanita itu.
            “Betul auntie. Perempuan macam tu patut langgar sampai mati saja.” Dhiya menyokong. Dia memang mahu Batrisyah di tanam dalam tanah. Sakitnya hati dia pada Batrisyah tidak pernah padam.
            “Dhiya…auntie akan pastikan Faliq berkahwin dengan Dhiya. Dhiya perlu bersabar dengan Faliq. Apa pun kita akan uruskan perempuan seorang itu dulu.” Selagi Batrisyah bernyawa selagi itu hati Faliq dikongkong oleh Batrisyah. Lambat-laun Faliq akan mengingati gadis kesayangannya itu.
            “Kalau Dhiya nampak saja dia atas jalan memang Dhiya akan langgar sampai mati. Kita boleh buat kes langgar lari auntie.” Dhiya sudah berbulat tekad. Dia takut apa? Batrisyah bukan anak orang ternama. Sekarang ini wang adalah segala-galanya. Dhiya boleh menggunakan wang untuk melepaskan diri dari tuduhan.
            “Siapa yang you nak langgar tu, Dhiya?” Suara Faliq bergema. Dia menuruni anak tangga merapati ibunya dan Dhiya. Bukan main kuat suara Dhiya berborak.
            “Abang Faliq…” Dhiya agak tergagap. Kalau Faliq dengar semua butir bicaranya tadi pasti mati dia dikerjakan Faliq.
            Datin Qistiana juga agak tidak keruan. Wajahnya sedikit berubah.
            “Ibu…Iq mahu keluar sebentar. Iq nak jumpa kawan sekejap.” Faliq sudah berada di muka pintu.
            Datin Seri Qistiana dan Dhiya menarik nafas lega. Kiranya Faliq tidak betul-betul mendengar perbualan mereka.
            “Baik-baik bawa kereta itu, Faliq…” pesan Datin Seri Qistiana.
            Faliq sekadar menganggukkan kepala.
            Faliq melangkah masuk ke dalam keretanya. Dia sebenarnya ingin mencari satu destinasi untuk tenangkan fikiran. Kebelakangan ini kepalanya sarat dengan wajah-wajah gadis itu.
            Dan siapa Batrisyah? Benarkah dia sudah berkahwin dengan gadis yang bernama Batrisyah itu? Faliq keliru. Memorinya sukar untuk diputarkan kembali. Kepalanya akan sakit bila dia cuba mengingatinya.

KU Izham nyaris mahu menampar pipi gebu Syakila. Sakit sungguh hatinya dengan tingkah-laku isterinya itu. Syakila makin melampau. Syakila tidak sudah-sudah iri hati dengan Batrisyah. Syakila tidka tahu yang Batrisyah banyak membantu mereka. Rumah ini adalah hasil dari pinjaman wang Batrisyah. Batrisyah pinta agar dia mendiamkan diri. Dan dia rasa sudah tidak mampu bertahan dengan sikap Syakila.
            Syakila memandang tepat ke dalam mata Ku Izham. Dia cukup bengang dengan kedinginan Ku Izham. Hatinya meronta kuat mengatakan Ku Izham punya hubungan sulit dengan Batrisyah. Suaminya itu kerap bertemu dengan adiknya itu. Sungguhpun Batrisyah sudah berkahwin namun suaminya sudah meninggalkan dia. Dasar perempuan tidak elok memang tidak akan bahagia!
            “Sya patut tahu hati budi Risyah. Risyah itu sudah banyak berkorban. Cukup-cukuplah Sya cemburukan dia.” Gerutu Ku Izham.
            “Huh! Risyah tu muka saja baik tapi hatinya tidak. Abang ni suka sangat bela dia? Abang ada apa-apa dengan dia ke? Jangan kata benih dalam perut dia benih abang sudah!” Syakila menjuihkan bibir.
            Ku Izham beristiqfar panjang. Sampai begitu sekali tuduhan Syakila pada Batrisyah. Ku Izham menghela nafas kecil.
            “Fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh. Sanggup Sya tuduh abang begitu. Risyah sudah abang anggap macam adik kandung abang sendiri.”
            Syakila menjuihkan bibir. Iyalah tu…kalau tidak masakan Ku Izham bersusah payah mencari Batrisyah untuk menerangkan kedudukan sebenar mengenai cerita yang dia dan Farisya sampaikan kepada Syed Ibtisyam dulu.
            “Tak perlu mahu ajar Sya. Abang jangan nak jadi ustaz pulak.” Rengus Syakila. Dia tidak faham mengapa Ku Izham asyik mahu memenangkan Batrisyah apabila mereka bertekak fasal adiknya itu.
            “Abang bercakap benda yang betul. Sya…kalau bukan kerana Risyah…rumah ini pun abang tak membelinya untuk Sya tahu. Sya hanya pandai menghabiskan wang dan tidak tahu berjimat-cermat.” Ku Izham membuka cerita.
            “Apa yang abang mengarut ini?”
            “Abang tak mengarut Sya. Batrisyah bukan jenis yang suka menunjukkan amal jariahnya. Dia membantu tanpa meminta balasan. Sya saja yang suka berfikirkan yang bukan-bukan tentang dia. Sya dengki Risyah bukan?” Ku Izham menduga isterinya.
            Syakila tersentap. Dia mengerling suaminya itu tajam. Sakit hatinya dengan pujian melambung tinggi suaminya pada Batrisyah.
            “Huh! Abang ingat Sya akan percayakan kata-kata abang itu? Sya tidak buta bang.”
            “Sya memang buta. Buta menilai permata di hadapan Sya. Sya ikutkan kata hati. Tidak elok ada rasa iri hati Sya.” Itu yang Ku Izham lihat pada perilaku Syakila. Manusia tidak akan lari dengan sifat tidak puas hati.
            Syakila menggigit bibir. Dia cukup terhenyak dengan kata-kata Ku Izham. Syakila bingkas bangun masuk ke dalam bilik. Dia mengunci biliknya dari dalam. Hatinya bagaikan dirobek kerana Ku Izham melebihkan Batrisyah dari dia.
            Ku Izham menggelengkan kepala. Susah mahu menasihati orang yang memang tidak makan nasihat ini. Dia berharap Syakila akan menyedari kesilapannya suatu masa nanti. Dia mahu mereka adik-beradik berbaik semula. Dia bersimpati dengan Batrisyah. Lepas satu masalah timbul lagi masalah yang lain. Batrisyah menanggung beban perasaan sendiri. Semoga Batrisyah menemui bahagianya kelak. Itu doa Ku Izham.

Wednesday, November 23, 2011

Takdir Cinta luka - Bab 28


BATRISYAH tekad untuk menetap di kampung bersama abahnya. Dia mahu memulakan hidup baru. Batrisyah ingin membesarkan anaknya dengan susasana kampung. Dia mengusap perut yang kian membesar dan menunggu masa untuk melahirkan cahaya matanya. Batrisyah mengukir senyuman. Dia mendekati ayahnya sedang asyik menatap suratkhabar. Qais sedang duduk menongkat dagu menonton rancangan bola sepak kegemarannya. Batrisyah duduk di sisi Qais. Dia memberikan isyarat kepada Qais supaya merendahkan sedikit volume peti televisyen tersebut. Qais menurut tanpa banyak soal.
            “Abah…Risyah ada hal nak cakap sikit pada abah ni.” ujar Batrisyah. Haji Sufian menurunkan suratkhabarnya kemudian menanggalkan cermin matanya yang berbingkai tebal itu. Di renung wajah anak gadisnya itu.
            “Apa halnya…kamu nak kahwin lain ke Risyah?” soal Haji Sufian. Tawa Batrisyah meledak. Haji Sufian dan Qais turut tertawa besar. Rumah yang suram itu kembali serinya malam ini.
            “Abah ni…ke situ pulak dia…Risyah ni masih isteri Faliq tau.”
            “Habis tu?”
            “Abah…Risyah tidak menyalahkan Faliq atas apa yang berlaku pada Risyah. Risyah redha abah…Risyah Redha segala ujian yang Allah berikan pada Risyah. Tapi Risyah yakin suatu masa nanti Faliq akan mengingati Risyah.” Haji Sufian membisu. Hatinya tersentuh dengan kata Batrisyah. Anak itu kerap kali dilukai. Batrisyah bijak menyimpan kedukaan.
            “Risyah sudah behenti kerja di bandar. Risyah ingat nak duduk kampung temankan abah. Risyah nak habiskan kehidupan Risyah dan anak Risyah di sini bersama-sama abah. Tidaklah abah sunyi duduk seorang diri di kampung.” Batrisyah menyatakan hasratnya.
            “Hai…baru hari ini kau tahu abah sunyi duduk seorang di kampung.” Balas Haji Sufian dengan senyuman di bibir. Ada juga temannya bila Batrisyah duduk di kampung. Tambahan pula dia bakal menimang seorang lagi cucu.
            “Abah…Qais selalu temankan abah masa cuti semester. Abah tak keseorangan bila Qais balik.” Qais mencebik. Pura-pura merajuk.
            “Ehem…ada unsur cemburu nampaknya…” balas Batrisyah selamba. Kedua-dua anak-beranak itu ketawa. Lama benar mereka tidak berbual mesra seperti ini.
            “Mestilah…Qais yang paling kerap temankan abah di kampung. Abah boleh pulak kata abah sunyi.” Qais memuncungkan bibirnya.
            Batrisyah mengangkatkan keningnya. “Eleh…apa pun Kak Risyah tetap anak kesayangan abah.” Batrisyah memeluk bahu abahnya.
            “Anak bongsu lagi manja tau.” Qais tidak mahu beralah.
            “Tak juga.” Batrisyah menjuihkan bibirnya.
            Haji Sufian menggelengkan kepala. Batrisyah kalau sudah dapat bertegang urat dengan Qais sampai esok tidak habis. Dua-beradik itu bukannya tahu nak mengalah. Qais pun lebih kurang sama feelnya dengan Batrisyah. Ada degil. Ada keras kepala. Haji Sufian hanya menadah telinga mendengar kedua anaknya itu berlawan kata. Kalau sudah kering tekak nanti tahulah mereka diam.

FALIQ tidak pernah menyenangi kehadiran Dhiya di rumah. Sejak dia keluar dari hospital dirinya bagaikan tidak bebas untuk ke sana dan ke sini. Ibu seakan mahu mengawal pergerakkan dia. Malah Dhiya asyik menghimpit hingga dia naik rimas dengan gadis itu. Faliq merebahkan diri di atas katil. Dia malas mahu melayan kerenah Dhiya. Hatinya tidak berkenan dengan gadis itu. Dia tidak faham mengapa ibu beria-ia mahu dia mengikat pertunangan dnegan Dhiya.
            Faliq bingkas bangun dari pembaringan. Dia seakan teringatkan sesuatu. Ya! Sejak dia keluar dari hospital wajah gadis itu sentiasa menemani tidur malam. Gadis itu yang tidak lekang dari senyuman. Apabila ingin digapai tidak kesampaian. Gadis yang menangis saat dia mengatakan dia tidak mengenalinya. Dia benar-benar tidak mengenali gadis itu. Dia tidak dapat mengingatinya. Otaknya seakan kehilangan separuh dari memori kelmarin.
            “Faliq…” Ketukan bertalu-talu di luar pintu biliknya. Suara ibunya memanggil lembut.
            Faliq bangun dan memulas cembul pintu. Dia mengukir senyuman nipis. Datin Seri Qistiana melangkah masuk. Bilik Faliq seakan suram seperti tuannya juga. Datin Seri Qistiana perasan pada perubahan Faliq. Faliq tidak banyak bercakap dan sering di-
lihat termenung panjang. Janganlah Faliq memikirkan fasal Batrisyah. Dia tidak mahu Faliq mengejar gadis itu lagi. Dia sudah mengaturkan segalanya untuk Faliq dan Dhiya. Dhiya yang perlu berada di hati Faliq dan bukannya Batrisyah.
            “Dhiya sudah lama menunggu Iq di bawah. Hari ini kan Iq perlu temankan Dhiya untuk membeli barang-barang tunang nanti. Cincin tunang Dhiya pun masih belum dibeli lagi.” Datin Seri Qistiana mula membebel.
            Faliq mengeluh kecil. Dia malas mahu keluar dengan Dhiya. Bagai ada benteng antara dia dan gadis itu. Faliq membatukan diri. Dia tidak mengendahkan bebelan dari ibunya.
            “Ibu sahaja temankan dia. Iq mahu berehat. Lagipun kepala Iq penting. Kerja bertimbun di pejabat.” Faliq merebahkan dirinya semula di atas katil.
            Datin Seri Qistiana merengus kecil. Geram benar dia dengan perangai tidak endah Faliq. Faliq makin menyibukkan diri dengan kerja di pejabat semata-mata mahu mengelakkan diri dari Dhiya.
            Dati Seri Qistiana terpaksa mencari alasan kepada Dhiya. Dia tidak boleh memaksa masa ini. Cukuplah Faliq bersetuju mengikut katanya untuk menerima Dhiya. Faliq menarik nafas lega apabila melihat kelibat Datin Seri Qistiana tiada di dalam bilik tidurnya. Dia masih memikirkan kata-kata Farah beberapa hari yang lalu.
            “I heran kerana Encik Faliq mengingati I tetapi tidak mengingati isteri Encik Faliq.”
            “Isteri?” Faliq kebingungan. Bila pula dia berkahwin?
            “Batrisyah! Macam mana Encik Faliq boleh lupa isteri Encik Faliq?” Farah mengerlingnya tajam.
            “Siapa Batrisyah?” Faliq menyoal Farah. Farah menepuk dahi.
            “Batrisyah itu isteri Encik Faliqlah.” Mahu saja Farah menunjal dahi Faliq. Dia sudah ulang banyak kali pun Faliq tidak faham.
            Faliq termangu seketika. Dia memicit kepalanya. Sungguh dia tidak dapat mengingati gadis bernama Batrisyah itu. Benarkah Batrisyah itu isterinya? Tiada pula gambar perkahwinan mereka di dalam bilik tidurnya. Ibu juag tidak mengatakan dia sudah punya seorang isteri.
            “Maaf…aku tak tahu siapa Batrisyah.” Balas Faliq lemah.
            Farah kelihatan mengeluh kecil.
            “Saya rasa mahu hentak kepala Encik Faliq dengan fail ini agar Encik Faliq ingat semuanya.” Desis Farah geram.
            Batrisyah…nama mula bermain di kotak fikiran Faliq. Siapakah Batrisyah?

PUAN Suria meletakkan ganggang telefon. Bibirnya memalit senyuman kecil saat menerima perkhabaran yang Batrisyah ingin menetap di kampung bersama abah dan adiknya, Qais. Syukurlah yang Batrisyah semakin kuat dan tabah tanpa Faliq di sisinya. Dia juga sudah berbulan-bulan tidak bertemu dengan Faliq. Dia yakin Datin Seri Qistiana tidak mahu Faliq bertemu dia. Urusan kerja pun Encik Zulkifli yang mengambil alih. Puan Suria tidak kuasa mahu menatap wajah wanita angkuh itu yang sukarelawan menggantikan tempat Faliq.
            Puan Suria bercadang mahu melawat Batrisyah bila ada kelapangan. Doa Puan Suria sentiasa mengiringi Batrisyah. Moga ketenteraman Batrisyah tidak diganggu lagi. Cukuplah dengan segala keperitan yang Batrisyah harungi selama ini.
            “Puan Suria…ada orang ingin bertemu dengan puan.” Suara Ummi kedengaran dalam interkom.
            Tandan dahi Puan Suria berkerut. Siapa agaknya yang mahu bertemu dengan dia?
            “Siapa?”
            “Dia kata dia kawan baik Batrisyah. Nama dia Baby Liyana.”
            Mata Puan Suria membulat besar.
            Baby Liyana…Apa lagi yang gadis gunting dalam lipatan itu mahukan? Dia sudah Berjaya memiliki Syed Ibtisyam. Mengapa dia perlu mencari Batrisyah setelah begitu lama menghilangkan diri.
            “Suruh dia masuk.” Arah Puan Suria.

Tuesday, November 22, 2011

Takdir Cinta luka - Bab 26

WAYAR berselirat pada tubuh Faliq. Faliq memerlukan alat penafasan di hidungnya. Kecederaannya berat di bahagian otak kerana hentakkan yang kuat. Doktor memberitahu berkemungkinan besar Faliq akan kehilangan ingatan apabila dia sedarkan diri. Puan Suria memeluk tubuh Batrisyah. Ujian yang sungguh berat buat Batrisyah. Apa yang akan Batrisyah lakukan jika Faliq langsung tidak mengingatinya. Pasti hati ini akan berasa sakit sekali.
            Batrisyah menggenggam erat jemari Faliq. Dia mahu menemani di sisi suaminya sehingga suaminya membuka mata. Dia tidak akan membiarkan Faliq tidak berteman.
            “You pasti mahu tinggal di sini?” soal Puan Suria.
            Batrisyah menganggukkan kepala.
            “Kalau you perlukan apa-apa you must contact I.” Puan Suria menepuk lembut bahu Batrisyah.
            “Terima kasih.”
            “Risyah….I harap you tabah.” Puan Suria merasai apa yang sedang dirasai oleh Batrisyah itu.
Batrisyah tersenyum pahit. Dia mengalih pandang pada wajah Faliq yang sedang terbaring di atas katil putih itu. Mata Faliq terpenjam rapat. Nafasnya masih berombak perlahan.
Puan Suria melangkah keluar dari wad berkenaan. Satu-persatu dugaan untuk Batrisyah. Hati Puan Suria dilanda hiba. Datin Seri Qistiana pasti akan dimaklumkan dengan kemalangnan yang menimpa anak lelaki tunggalnya. Bagaimana Batrisyah akan menghadapi wanita angkuh itu?
“Abang…apa yang berlaku antara kita, Risyah tetap mencintai abang. Hanya abang terpahat di hati Risyah biarpun nyawa Risyah bercerai dari jasadnya.” Bisik Batrisyah perlahan.
Air mata Risyah menitis pada wajah Faliq yang masih tidak sedarkan diri itu. Batrisyah mengucup lembut dahi suaminya. Dia mengusap-usap wajah Faliq dengan penuh kasih dan sayang.
Lelaki ini yang memberikan debaran di hatinya. Lelaki ini yang tidak pernah jemu
berada di sisinya saat dia terluka. Lelaki ini yang menyatakan keikhlasan untuk mencintainya…melamarnya…menjadikan dia suri hatinya….sungguh mendalam cinta Faliq terhadapnya.
            Batrisyah terlena di sisi Faliq dengan hanya bertemankan lengan sebagai pengganti bantal. Doa Batrisyah moga Faliq akan sedar dan melihat dia di sisinya.

LAJU langkah Datin Seri Qistiana menuju ke wad yang menempatkan Faliq setelah menerima berita yang Faliq mengalami kemalangan. Dia bergegas bertolak dari Jakarta dengan penerbangan pertama. Hati tuanya gundah dengan keadaan Faliq yang parah. Dhiya dan mamanya turut membuntuti langkah Datin Seri Qistiana.
            Cembul pintu wad itu dipulas perlahan. Mata Datin Seri terbeliak besar melihat gadis yang berada di sisi Faliq itu. Begitu berani gadis itu memaut erat jemari anaknya. Dia yakin gadis bertudung litup yang menemani Faliq itu adalah Batrisyah. Mengapa gadis itu mesti berada di sisi Faliq?
            Datin Seri Qistiana meluru ke arah Batrisyah. Dia dengan sengaja menjerkah Batrisyah hingga Batrisyah itu terjaga dari tidurnya. Terpisat-pisat Batrisyah membuka matanya. Batrisyah mengetap bibir melihat tiga manusia yang berada di depan matanya. Dia amati ketiga-tiga wajah manusia itu. Dia kenal dengan gadis yang bermuka cemberut itu. Gadis yang pernah menyerangnya dulu. Gadis yang mengakui dia adalah tunangan Faliq dari kecil. Dan wanita anggun yang sedang memandang dia dnegan jelek itu pastinya Datin Seri Qistiana, ibu Faliq merangkap ibu mertuanya.
            Batrisyah memalitkan senyuman nipis di bibir. Dia menghulurkan tangan untuk menyalami Datin Seri Qistiana. Wanita itu tampak tidak sudi menyambut hulurannya. Batrisyah tahu dia tidak setaraf dengan Datin Seri Qistiana. Dia tidak mengambil hati dengan tingkah-laku Datin Seri Qistiana.
            “You Batrisyah?” Datin Seri Qistiana menjeling Batrisyah tajam.
            “Ya….saya Batrisyah.”
            Datin Seri Qistiana tergamam. Dia memuji Batrisyah dalam hati. Gadis itu memang jelita meskipun tidak bergaya seperti Dhiya. Wajahnya putih kemerahan itu yang menarik perhatian Datin Seri Qistiana.
            “You buat apa di sini?”
            Batrisyah termangu seketika.
            “I tanya you jawab! Atau you ini pekak!”  Datin Seri Qistiana meninggikan suaranya. Puan Sri Dahlia dan Dhiya tersenyum sinis melihat Batrisyah diherdik oleh Datin Seri Qistiana.
            “Maaf Datin Seri…Apa pun saya tetap akan menunggu Abang Faliq sedar. Saya mahu berada di sisi Abang Faliq.” Batrisyah tidak berterus-terang akan statusnya sebagai isteri Faliq. Dia sudah berjanji dengan Faliq. Faliq sendiri akan memberitahu pada ibunya.
            “You siapa? Isteri Faliq ke?” Puan Sri Dhalia menyampuk.
            Batrisyah hanya tersenyum. Dia tidak membalas pertanyaan Puan Sri Dahlia itu.
            “Huh! Perempuan kampung ni sudah guna-gunakan Abang Faliq. Dia ni hanya mashukan harta auntie sahaja.” Sela Dhiya.
            “Saya sudah cakap yang saya hanya mahu berada di sisi Abang Faliq hingga Abang Faliq sedar.” Suara Batrisyah masih berlembut.
            “I tak benarkan!” Datin Seri Qistiana membantah.
            “Saya tetap akan menemani Abang Faliq.” Tegas Batrisyah. Dia merenung ke dalam anak mata Datin Seri Qistiana.
            Gadis ini memang berani melawannya. Berang Datin Seri Qistiana dengan sikap degil Batrisyah itu. Batrisyah tidak mempedulikan Datin Seri Qistiana, Puan Sri Dahlia dan Dhiya. Dia duduk di sisi Faliq semula. Jemari kasar Faliq dipaut erat.
            “Perempuan tidak tahu malu!” Cebik Dhiya.
            Batrisyah buat tidak dengar. Mata kuyunya menatap wajah milik Faliq. Doktor mengatakan Faliq akan melepasi tahap kritikal apabila menjelang pagi. Batrisyah bersyukur kerana keadaan Faliq tidak kritikal lagi. Deruan nafas Faliq juga kian teratur.
            “Abang Faliq...” bisik Batrisyah perlahan.
            Faliq membuka matanya perlahan-lahan. Pandangan matanya agak kelam. Dia memandang seluruh bilik yang serba putih itu.
            “Ya Allah! Alhamdulillah…Abang Faliq dah sedar…” Batrisyah mengucap syukur ke hadrat Ilahi.
            Datin Seri Qistiana terus merapati anaknya. “Faliq…”
            “Ibu…” balas Faliq lemah. Mata Faliq tertacap pada wajah ayu milik Batrisyah.
Dia seakan tidak mengenali isterinya itu.
            “Abang Faliq…” Batrisyah memanggilnya lembut. Sememangnya dia sudah tahu kemungkinan yang akan berlaku. Faliq tidak mengenali dirinya. Namun hanya dia…hanya dia yang Faliq tidak kenali.
            “Awak…awak siapa? Siapa dia ni ibu?” Faliq menyoal lemah. Dia mengenali ibunya. Dia mengenali Dhiya. Dia mengenali Puan Sri Dhiya tetapi dia lupa pada Batrisyah. Batrisyah isterinya itu.
            Batrisyah tersenyum pahit. Tubuhnya ditolak oleh Datin Qistiana hingga terdorong ke belakang. Datin Seri Qistiana seakan tidak membenarkan dia mendekati Faliq.
            “Nyah you dari sini!” Datin Seri Qistiana memaut lengan Batrisyah dan membawa keluar dari wad tersebut.
            “Abang Faliq…” Belum sempat Batrisyah menjejaki semula bilik itu, pintunya telah ditutup oleh Datin Qistiana.
            Saat itu Puan Suria muncul bersama Encik Zulkifli dan Qais. Batrisyah terus mendakap tubuh Puan Suria. Dia menangis etresak-esak di bahu wanita itu. Puan Suria mengusap lembut belakang Batrisyah. Qais mengerutkan dahi. Apa yang telah berlaku pada kakanya?
            “Abang Faliq sudah lupa pada Risyah. Abang Faliq tidak mengenali Risyah lagi.” Tangisnya.
            Puan Suria meleraikan pelukannya. Batrisyah perlukan semangat. Batrisyah perlukan sokongan. Dia akan bersama Batrisyah. Puan Suria ingin melangkah masuk namun ditahan oleh Batrisyah.
            “Ibu Faliq…ada di dalam.” Batrisyah tunduk sayu.
            “Jadi dia yang halau you keluar.” Puan Suria menyoal. Batrisyah membisu. Puan Suria memulas cembul pintu tetapi Batrisyah menahannya.
            “Abang Faliq baru sedarkan diri…Risyah tidak mahu fikiran Abang terganggu kerana Risyah. Doktor cakap amat bahaya jika Abang Faliq didesak untuk mengingati benda yang dia sudah lupa.” Ujarnya lembut. Air matanya masih bersisa.
            “Kak Risyah..”
            “Risyah…”
            “Kita balik dulu kak. Risyah penat…” Batrisyah memandang sayu Puan Suria.
            Puan Suria menghela nafas kecil. Dia memikirkan keadaan Batrisyah yang sedang berbadan dua itu. Dia pautnya kedua bahu Batrisyah dan memimpin gadis itu berjalan keluar. Qais turut berada di sisi kakaknya. Hati Qais dibelenggu dengan perasaan tidak enak.
            Ya Alah…kau berikanlah kekuatan kepada kakakku…Qais berdoa dalam hati. Dia tidak sanggup melihat kakaknya terluka lagi.
           
SATU kenyataan yang cukup kejam buat Batrisyah. Faliq benar-benar telah melupakan dia. Malah Faliq akan sakit kepala apabila cuba mengingati Batrisyah. Batrisyah tidak tegar untuk memaksa mengingati dia. Cukup dia melihat Faliq telah kembali pulih dari kecederaannya. Datin Seri Qistiana jua tidak mahu dia melawat Faliq di Hospital. Dia akan dihalau jika mendekati Faliq.
            Batrisyah hanya menangis dan menangis untuk meluahkan segala rasa di hati. Dia harus redha dengan hakikat. Faliq sudah semakin jauh darinya. Suami yang dicintai bakal meninggalkan dia sendirian.
            “Kalau perempuan Risyah nak letak nama apa?” soal Faliq pada suatu ketika mereka sedang berkelah di tepi pantai.
            “Nur Sufi Imanina…” balas Batrisyah lembut.
            “Amboi! Bukan main panjang namanya sama macam ibunya juga. Nur Sufi Batrisyah…” Faliq memicit hidung Batrisyah.
            “Kalau lelaki…” Giliran Batrisyah bertanya kepada suaminya.
            “Abang letak nama Faliq Imtiyaz,” Faliq mula mengusik.
            “Faliq Imtiyaz Bin Faliq Imtiyaz...Abang jangan nak buat lawak tau.” Batrisyah menarik cuping telinga Faliq. Faliq ketawa kecil. Garang lagi isterinya itu.
            Kenangan itu masih kukuh dalam kotak ingatan Batrisyah. Batrisyah redha andai kebahagiaannya bersama Faliq hanya sampai setakat ini. Dia redha untuk melepaskan Faliq biarpun luka terpahat di hati.
            “Abang…” Esakan Batrisyah berlagu lagi.
            Qais memerhatikan kakaknya dari jauh. Hatinya turut tersentuh melihat kesedihan si kakak. Mengapa begini jadinya kisah cinta kakak dan Abang Faliq….

Saturday, November 19, 2011

Takdir Cinta luka - Bab 25


“I mahu cari Nur Sufi Batrisyah!” Datin Seri Qsitiana meluru masuk ke Lavender’s Associates. Puan Suria yang sedang berbincang bersama Encik Zulkifli itu tersentak. Datin Seri Qistiana merenung wajah Puan Suria dengan pandangan meluat.
            Dia tidak pernah menyukai Puan Suria walaupun Faliq rapat dengan wanita itu. Dia tidak mempedulikan Puan Suria. Dia hanya ingin bertemu dua mata dengan Batrisyah.
            “I mahu bertemu dengan Batrisyah!” Datin Seri Qistiana bercekak pinggang. Riaknya sungguh angkuh. Encik Zulkifli tidak menyenangi kehadiran wanita ini. Wanita yang kononnya berkedudukan ini lebih cetek pemikirannya.
            “Maaf...orang yang Datin Seri cari tiada di sini.” Suara Encik Zulkifli lembut.
            “So…masakan waktu bekerja dia sudah keluar lunch.”
            Gelilah tengok lagak wanita tua ini. Gedik semacam. Apalah nasib Faliq punya ibu tidak normal begini. Berlagak nak mampus. Tiada tahu rasa hormat.
            “Dia MC. Dia tidak sihat.” Balas Puan Suria.
            Datin Seri Qistiana mencebik. Orang dicari tidak ke temu lebih balik dia tidak menyemak di syarikat kecil ini. Dia tidak faham mengapa Faliq boleh bekerjasama dengan syarikat kecil ini.  Kalau dia, minta maaflah. Syarikat kelas rendah! Datin Seri Qistiana melangkah keluar.
            “Bagaimana? You ada jumpa gadis itu?” Puan Sri Dahlia menjuihkan bibirnya. Datin Seri Qistiana menggeleng laju.
            “Habis tu? Macam mana ni? You pun kata yang Faliq jenis tekad membuat keputusan.” Sambung Puan Dahlia.
            Datin Qistiana tersenyum…
            “Faliq tidak boleh membantah kata I. Dia akan ikut cakap I.”
            “You yakin?”
            “Faliq anak I. Lagipun perempuan itu tidak layak menjadi menantu I selain dari Dhiya.” Datin Seri Qistiana menegaskan pendiriannya kepada Puan Sri Dahlia.
            Puan Sri Dahlia tersenyum. Lagi pula Dhiya memang sukakan Faliq. Faliq saja yang buat tidak nampak akan anak gadisnya itu. Entah apa yang menarik pada perempuan
kampung itu.
            Kedua wanita itu beredar menuju ke kereta mereka. Kelibat mereka disedari oleh Faliq yang kebetulan ingin mengadakan perbincangan dengan Puan Suria dan Encik Zulkifli. Datin Seri Qistiana tidak menyedari kehadiran Faliq kerana lelaki berselindung di balik keretanya. Dia malas mahu bertemu dengan ibunya. Mereka pasti akan bertekak soal Dhiya.
            Faliq tidak boleh berlengah lagi mengenai perkahwinannya dengan Batrisyah. Dia perlu bersedia dengan segala kemungkinan. Dia akan memberitahu ibunya fasal Batrisyah. Tambahan pula mereka bakal menimang cahaya mata. Ibunya bakal menjadi seorang nenek. Mungkin dnegan kehadiran cahaya mata mereka, ibunya akan berlembut hati dan menerima Batrisyah.
            “Faliq…” Puan Suria menegur sebaik lelaki itu melangkah masuk. Faliq tersenyum. Dia agak lewat kerana menghantar Batrisyah ke klinik membuat pemeriksaan. Kebelakang ini alahan Batrisyah agak teruk sedikit. Maklum mengandung anak pertama.
            “I tahu apa you nak cakap. Ibu I datang sini kan?” Faliq mengangkatkan keningnya.
            “Bijak pun you. You terserempak dengan dia ke?”
            “I menyorok.”
            “You menyorok?” Puan Suria membulatkan anak matanya.
            “I malas mahu bertegang urat dengan ibu. Sakit tekak I.” Rengus Faliq. Dia duduk di sofa tamu itu.
            “Baiklah you cakap dengan ibu yang you sudah menikah dengan Batrisyah. Tiadalah dia mahu paksa you berkahwin dengan Dhiya.” Celah Encik Zulkifli.
            “I sokong you, Zul.” Puan mengangkatkan tangannya.
            Dua lawan satu. Sah-sah memang Faliq kalah.
            “I memang mahu beritahu pada ibu malam ini. I sudah bincangkan dengan Batrisyah. Dia mengikut saja kata I.” Dia mahu ibunya dari mulutnya sendiri dan bukan dari mulut orang lain.
            Puan Suria mencebik. Batrisyah bagi muka sangat pada Faliq. Orang sayang suami katakan.
            “Batrisyah manjakan you.” Juih Puan Suria. Faliq tersengih.
FALIQ meletakkan fail-fail lanskap di dalam tempat duduk belakang keretanya. Dia mengerling jam di tangan. Jarum pendek sudah tepat menunjukkan pukul enam petang. Faliq mahu terus ke rumah ibunya. Dia ingin berbincang soal perkahwinan rahsianya dengan ibu. Masakan dia mahu menyimpan rahsia yang bertahun-tahun dengan ibunya itu. Ibu pula asyik mendesak dia berkahwin dengan Dhiya.
            Faliq memulas kunci keretanya. Jelas terpamer kepenatan pada wajah kacak Faliq. Batrisyah sudah memesan agar dia pulang ke rumah berehat dahulu. Faliq berdegil jua. Nasihat Batrisyah tidak diendahkan. Kereta BMW Faliq keluara dari tempat parkir menyusur masuk ke jalan jalan. Faliq memandu mengikut had laju. Adakalanya matanya agak berat sedikit. Dia agak menagntuk kerana kekeurangan tidur yang cukup. Ada beberapa projek yang menghadapi masalah dalaman.
            Faliq membehentikan keretanya di simpang empat mengikut lampu isyarat. Dia membuka radio kereta. Rasa mengantuk tidak boleh dilayan sangat ketika memandu. Kalau dia seorang perokok pastinya sudah berbatang-batang rokok disedut. Lampu isyarat sudah bertukar warna dari merah kepada hijau. Saat keretanya mula berjalan sebuah kereta yang seperti hilang kawalan laju di arah kiri. Kereta tersebut merempuh kuat kereta milik Faliq. Dentuman kuat kedengaran. Kereta Faliq terbalik di tengah jalan. Faliq sudah berlumuran darah di tempat duduknya.
            “Faliq!” Batrisyah terjaga dari tidurnya. Batrisyah beristighfar meraup wajahnya. Dia bingkas menyelak selimutnya dan bangun dari katil.
            Mimpi buruk itu menakutkan Batrisyah. Batrisyah mengerling jam di dinding. Pukul sembilan malam. Faliq masih tidak pulang lagi. Adakah Faliq tidur di rumah ibunya malam ini. Rasanya Faliq memberitahu akan pulang ke rumah. Batrisyah sudah masakkan makan malam untuk Faliq. Dia tertidur sementara menunggu Faliq balik tadi.
            Batrisyah mencapai telefon bimbitnya. Nombor telefon suaminya itu ditekan. Tiada jawapan. Nombor suaminya tidak dapat dihubungi. Batrisyah tidak sedap hati. Dia meluru ke bilik air mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak. Hati Batrisyah tenang setelah bersujud kepadaNYa di atas sejadah itu. Semoga Allah melindungi Faliq dari sebarang kecelakaan. Itu doa Batrisyah.
            Batrisyah melipat telekung dan sejadahnya. Dia tersentak apabila deringan telefon bimbitnya berbunyi. Nama Puan Suri tertera pada skrin telefon.
            “Assalamualaikum…” Batrisyah memberikan salamnya.
            “Waalaikumusalam…Risyah lekas bersiap. I datang ambil you di rumah you.” Nada suara Puan Suria seperti orang dalam kecemasan.
            “Kenapa? Ada apa-apa yang tidak baik berlaku pada Faliq ke?” soalnya. Batrisyah tidak dapat mengawal perasaan ingin tahu. Hatinya berdebar kuat bagai ada sesuatu yang menimpa suaminya.
            “Faliq kemalangan…keadaan dia amat parah!”
            Telefon bimbit Batrisyah terlepas dari pegangan.
            “Ya, Allah!”

AIR MATA Batrisyah tidak henti-henti mengalir ketika berada di dalam kereta Puan Suria. Dia amat risaukan keadaan Faliq. Puan Suria mengatakan ada kereta hilang kawalan dan merempuh kereta suaminya. Kata Puan Suria pemandu kereta itu bersama temannya mati serta-merta di tempat kejadian.
            “Bersabar Risyah. Kita sama-sama mendoakan Faliq selamat.” Puan Suria cuba menenangkan Batrisyah di sebelahnya. Itu saja yang mampu dia perkatakan.
            “Risyah takut….Risyah takut kehilangan Faliq.” Dia sayang dan cintakan Faliq. Dia tahu yang ajal dan maut di tanganNYA. Macam abah kata, yang hidup pasti akan mati. Tiada yang kekal di bumi ini kecuali di kahirat kelak.
            “Risyah….segalanya adalah ketentuan dari Allah. You kena ingat tu. You jangan fikir yang bukan-bukan.”
            Batrisyah membisu. Hatinya gelisah memikirkan keadaan Faliq.
            Ya, Allah…selamatkanlah suamiku….