Tab Menu

Followers

Friday, October 26, 2012

Enjit-Enjit Semut - Bab 1

Ehem...kembali dengan versi baru.

Kisah romantik komedi Jan dan A'an 



TENDANGAN bayangan maut! A’an mempraktikkan gear kakinya menendang pokok pisang di belakang rumahnya itu. Bongok (bodoh) betul pokok pisang itu tidak bergerak langsung. Kau yang bongok (bodoh) A’an. Pokok pisang memanglah tidak bergerak sekalipun kau cantas dia. Luyai pokok pisang itu dikejarkan A’an. Empat orang jin ifrit (merujuk pada adik-beradik tiri A’an) yang berada di hadapannya itu sekadar menelan air liur berkali-kali. Apakah mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti pokok pisang itu? Itupun nasib baik tidak buat gaya lipat-lipat dia macam filem Ninja Assassin kegemaran dia tu. Sebabnya mudah, A’an pakai kain batik. Kenalah control sikit ye tak? Budak empat ekor itu menekup mulut masing-masing. Tahan ketawa.

            Amukkan A’an makin menjadi-jadi dengan kenakalan empat orang jin ifrit itu. Sudahlah hatinya masih sedih pasal dia kena buang kerja gara-gara bagi mamat yang konon hensem itu minum air cuci lantai. Tidak sampai satu minggu bekerja sudah dipecat. Balik kampung kena bebel panjang dengan Opah. Mamat yang konon hensem itu yang mulut macam longkang siapa suruh? Bukan salah dia pun walau mamat itu tidak melakukan gangguan seksual. Padanlah muka dengan muka dia minum air ‘istimewa’ yang dia buat. Rasakan! Hati tengah panas. Empat orang jin ifrit pulak buat lawak antarabangsa dengan dia. Dia sedap tidur untuk melupakan kedukaan di hati tetapi budak empat orang itu boleh conteng-conteng muka dia jadi Pandawomen. Sebijik tau. Hitam legam bulatan pada keliling mata dia. Sungguh budak empat orang itu ada jemari kesenian yang menyeleweng. Kurang asam segala asam empat orang jin ifrit tu. Buat pedajal dengan dia.

            “Korang empat orangmemang nak kena belasah dengan akak kan?” A’an pandang muka empat orang jin ifrit itu satu persatu. Nasiblah rotan yang dia beli telah patah kelmarin. Kalau tidak seorang demi seorang punggungnya kena sebat.

            “Siapa suruh akak tidur mampus. Kita orang lapar tahu. Opah takder, akak tu asyik buat tahi mata saja bukan nak masak.” Hadif bertindak sebagai ketua kepada adik-adiknya bersuara. Dia tersengih menunjukkan barisan giginya yang rongak.

            Menyeringai A’an merenung Hadif yang berusia 12 tahun ke bawah itu. Dalam geng empat orang jin ifrit itu, Hadif adalah jin yang paling cerdik dan pandai berkata-kata. Yang tiga orang lagi tu hanya mengikut telunjuk saja.

            “Amboi! Dah tak sayang mulut ye.” Apa lagi A’an pulas telinga capang Hadif. Menjerit kesakitan kawan tu. Sakit siot. A’an pulas kuat-kuat.

            “Sakit! Sakitkah akak!” Adu Hadif.

            “Tahu pun sakit. Hah! yang tiga orang tu apa yang korang dok tercegat lagi. Mari Sini akak pulas telinga korang sorang-sorang.”

            Budak lagi tiga orang itu gelengkan kepala. Mereka menyorok di belakang Hadif.

            “Pandai buat salah maka pandailah korang tanggung akibatnya ye. Apa korang ingat muka akak ni kertas lukisan.” A’an menunjalkan jari telunjuknya pada seorang demi seorang. Dengan budak empat orang  itu tak boleh bagi muka. Hari-hari bikin onar. Kalau kepala dia yang tidak pening, kepala Opah pulak yang pening.

            Emak cuma pandai beranak lepas itu tinggalkan anak-anak dengan suaminya barunya itu dengan dia dan Opah. Mak lari ikut laki kesayangan dia entah menghilang ke pelusuk benua mana. Meradang A’an bila kena tipu bulat-bulat dengan emak. Konon nak tumpangkan sekejap! Rupanya nak tinggalkan untuk selama-lamanya. Ada surat hitam putih sebelum mak cabut lari. Kalau tinggalkan harta tak mengapalah jugak. Bengang tahap impak maksima tahu!

            “Kak A’an. Maafkan kami…maafkan kami…maafkan kami…” Empatorang jin ifrit itu susun jari nyanyi lagu ‘Maafkan Kami’ macam dalam cerita Pendekar Bujang Lapok. Barisan lagu itu yang mereka tahu.

            “Ooo…Takut ye. Takder maaf bagi korang empat orang! Dengan segala hormatnya akak perintahkan korang empat orang duduk dalam jamban sampailah matahari terbenam.”

            Budak empat orang itu saling berpandangan. Kurung dalam jamban? Eeiiii…busuk. Kalau dengan dalam kandang Johnny bolehlah tahan lagi.

            “Tak mau! Busuklah akak. Tadi Akim berak tak jirus.” Hannah sudah menekup hidungnya. Hakim tersengih-sengih macam kerang busuk.

            Yang lain anggukkan kepala.

            “Mintak maaflah banyak-banyak adik-adik ku sayang. Segala surat menyurat tidak akan dilayan.” A’an mengoyang-goyangkan jari telujuknya.

            “Ada tahi. Tak naklah. Baik duduk dengan Johnny. Bersih sikit.” Celah Asmawi pula.

            “Pergi masuk dalam jamban cepat!”

            “Kak…ada tahi! Busuk!”

            “Pergi cepat!”

            “Tak nak!” Balas budak empat orang itu serentak. Terketap-ketap bibir A’an. Berani ye nak melanggar perintah Tuan Puteri A’an ini.

            “Masuk!” A’an meninggikan suaranya. Terjegil biji mata. Kecut perut empat orang jin ifrit tadi. Ligat mereka membuka langkah berlari masuk ke dalam jamban belakang rumah itu.       

            A’an mana pernah mahu berbaik-baik dengan adik-beradik tirinya itu. Dia lari kerja dekat Kuala Lumpur pun sebab tidak tahan dengan perangai budak-budak tu. Sakit anak tekak kena jerit saban hari. Kalau tidak budak-budak tu tak makan saman punya. Telinga sentiasa buat pekak badak. Itu sebab Opah yang kerap kena buli. Tapi sekarang A’an allergic nak jejak kaki ke Kuala Lumpur dah. Ada cerita tersendiri. Nantilah-nantilah kita buka balik ye. Rezeki ada di mana-mana. Iron Lady macam dia bukan tahu reti duduk diam. Macam-macam kerja dia boleh buat. Nak kerja lebih bagus dia ada PMR aja. Dia tidak setanding dengan Peah atau nama sebenarnya Sephia. Peah ada SPM. Sebut pasal Peah, mesti A’an geli anak tekak dengan anak Mak Eton ngok ngek yang perasan lawa sesangat dalam kampung Parit 4/6L ini. A’an pernah tarik-tarik rambut dengan Peah. Biasalah kes rebutkan Aizam, anak Tok Sidang yang ada motorsikal TZM tu. Jejaka hitam-hitam manis. Sungguh hitam di pandang manis. Bukan calang-calang tau. Budak Uitm dekat Shah Alam. Rebutan anak-anak gadis di kampung termasuklah A’an sekali dalam senarai.

            A’an mengeluh panjang. Ingat petang nanti di nak ke gerai Kak Oni. Sambung balik buat nasi lemak dan kuih-muih hantar kat gerai Kak Oni. Nak harapkan bendang yang tak sampai sekangkang kera itu, berapa senlah yang dapat. Nak jual Johnny dia tak sanggup. Johnny satu-satunya kekasih hati yang dia ada. Mbekkkkkkk….dengar suara Johnny memanggil bergegas A’an buka kaki. Mesti Johnny lapar nak makan rumput. Kesian Johnny aku. Hari-hari makan rumput. Nantilah Johnny kalau ada duit nanti aku bagi kau makan mewah sikit. KFC ke? Mc Donald ke? Burger King ke? Mereng otak si A’an ni.

Di balik takbir kota pulak….

“MAK tak kira Jan. Mak mahu Jan kahwin dengan Zetty jugak!” Tekan Puan Rubiah. Dia kerling si anak terunanya tajam. Jan buat muka selamba dia sambil bermain-main dengan pen di tangan. Lantaklah emak mengamuk sakan ke apa. Nak hempas meja dan kerusi dalam bilik pejabat itu pun tidak mengapa. Macam kata budak Aiman dalam corong radio tu. Aiman tak kisah. Jadi Jan pun tak kisah. Bukan harta orang lain. Harta sendiri jugak.

“Apa susahnya. Mak suruh sajalah Abah yang kahwin dengan Zetty. Abah ada kuota lagi tiga di belakang yang kosong.” Jan memberikan cadangan bernas buat bondanya. Boring tahu tak asyik buka pasal kahwin ni. Calonnya tak ada orang lain melainkan Zetty anak Pak Akob tu. Menyeringai Puan Rubiah dengan kata-kata Jan.

            “Abah kau kalau nak kahwin lagi satu kena langkah mayat mak dulu.”

            “Kalau abah kahwin lari ke Siam bukan mak tahu pun. Hati-hati mak. Abah tu nampak aja diam-diam ubi tapi berisi tau. Mak kan asyik sibuk dengan persatuan wanita mak. Abah kesunyian. Tiada orang nak jaga makan minum macam Jan jugaklah. Balik rumah abah tengok muka Jan…Jan tengok muka abah. Itupun bahaya juga mak. Takut abah dengan Jan terpesong dari laluan.” Jan memberikan nasihat. Dalam hati ketawa bagai nak rak sebab mengenakan emaknya. Emakkan sayang bebenor pada abahnya. Bukannya boleh dengar abahnya ada skandal dengan perempuan lain. Pecah pinggan mangkuk jenama Arcopal di dapur tu. Sampai Kak Misya dengan Kak Alin pun takut bila emak dirasuk Penunggu Gunung Raya.

            “Terpesong apanya Jan. Kau tu anak jantan. Takkan jadinya haruan makan anak tu.” Desis Puan Rubiah.

            “Mana mak tahu anak haruan yang di makan tu jantan atau betina? Entah-entah anak jantan pun dia makan mak.”

            Puan Rubiah mengetap bibir. Aik! Nampak gaya topik perbualan sudah berubah arah ni. Jan nak mengelak lagi. Sebut pasal Zetty saja mesti dia akan cuba ubah tajuk. Hantu punya anak!

            “Jangan kau nak mengarut dengan mak. Mak cakap pasal engkau bukan pasal abah engkau.”

            “Mak ni suka main paksa-paksa oranglah. Karang orang lari dari rumah kang baru mak tahu.” Membuntang besar anak mata Puan Rubiah dengarnya. Acap kali sebut nama Zetty saja mesti Jan ugut nak lari dari rumah. Tapi masih tak lari-lari pun anak terunanya yang seorang itu.

            “Berani sangatlah kamu nak lari rumah Jan. Toksahlah kamu nak ugut mak lagi. Kamu ingat mak takut dengan ugutan bodoh kamu tu.” Puan Rubiah menjuihkan bibirnya. Jan ketawa.

“Mak tak bestlah anak teruna kena paksa kahwin ni. Macam ala-ala Sabariah cerita Ibu Mertuaku pulak. Salahnya Jan ni lelaki Sabariah tu perempuan. Dah la Zetty montel. Penyek Jan kena hempap!” Omel Jan. Tak berkenan sungguh kalau isu kahwin diungkitkan. Macam dia kemaruk sangat nak berbini. Emaknya pun satu apa yang best sangat pada Zetty montel tu. Si minah tu makin hari makin montel Jan tengok. Nak ngap lepas kahwin nanti pun tak berseleralah. Orang nak slim sikit. Gebu pun okay. Terbuka jugalah selera lelakinya.

“Apa pun alasan Jan, mak tak terima. Hujung minggu tunang. Akhir bulan Jan kahwin dengan Zetty!” Nah! Puan Rubiah anak Haji Sulaiman sudah menetapkan keputusan. Jan tak boleh bantah.

So tak boleh nak buat sms lagilah ni.” Jan menongkat dagu. Dia mengorak senyuman. Tak tergugat dengan kata-kata emak sebentar tadi. Ini anak lelaki beb! Bukan anak perempuan. Sah-sah Jan akan bikin plan baik punya buat bonda tercinta. Emak yang cari pasal dulu ye.

“Sms dah ditutup!” Puan Rubiah hentak tangan atas meja. Jan mesti ikut cakap dia. Dia tahu Jan sayangkan dia.

“Orait! Mak buat persiapan semua. Jan ikut sajalah.”

“Betul ke Jan? Mak tak salah dengarkan?” Soal Puan Rubiah bagaikan tidak percaya dengan kata-kata anak terunanya itu. Terkedip-kedip mata bonda yang pakai bulu mata palsu tu. Biasalah emakkan peminat bulu mata Rozita Che Wan.

“Mak pekak badak tak?” Jan pulak yang menyoal.

Puan Rubiah menjegilkan biji mata. Bulat besar macam mata ikan emas. “Kalau mak tak pekak betullah tu. Jan pun tak sabar-sabar nak duduk atas pelamin.” Jan mengiakan. Kena buat lonjak-lonjak sikit bagi emak percaya. Kang dia syak lain pulak kalau buat muka tahap blur. Emak pulak jenis cepat sangat percaya bulat-bulat. Itu yang bagus sangat tu.

“Sekarang juga mak kasi tahu dengan abah kau!” Gembira tak terkata emaknya itu dengar kata persetujuan dari anak terunanya ini. Bergegas Puan Rubiah mengatur keluar dari bilik pejabatnya. Iyalah, diakan anak yang paling suka melawan kata emak. Sepatah emak cakap dua puluh patah dia jawab. Jan hanya senyum memanjang.

Jan bersandar pada kerusi eksklusifnya. Esok dia akan berikan berita paling gempak buat emak dan seisi keluarga. Agak-agak masuk surat khabar ke? Kalau masuk bertambah haru-birulah keluarga Encik Mokhsin. Jan ketawa mengekeh. Siapa suruh emak cari pasal dengan dia. Tak bagi kertas hitam putih.

“Amboi Jan! Senyum-senyum kambing.” Muka Safuan tertonggok di muka pintu.

Kus semangat! Mamat seorang ni tak tahu nak bagi salam dulu. Main terjah je. Sudahlah muncul ikut suka hati dia. Macam dia jugak. Safuan bukan orang lain dengan dia. Satu ofis dengan dia jugak. Bezanya dia pangkat atas sikit dari Safuan. Bukan senang nak jumpa kawan macam dia yang ada otak gila-gila remaja. Ada masa-masa tertentu saja Jan berlagak serius. Bila naik angin habis satu pejabat dia mengamuk sampai mengaum-gaum cam singa mati bini. Macam ada satu kes seminggu yang lalu. Ada minah cleaner yang bengap bagi dia minum air cuci lantai. Mujur tak meninggal. Pecat dua puluh empat jam! Ala pejabat bapa saudara diakan…

“Jom! Kita melepak!” Ajak Safuan. Bosan gila dalam bilik pejabat yang air-cond dua puluh empat jam itu. Beku otak. Safuan sudah duduk bersilang kaki di hadapan Jan.

“Melepak tengorak kau. Aku ada appointment dengan Miss Jane pukul dua beb! Inilah masanya aku nak tackle amoi seksi ala-ala Zhang Yi Yi tu. Malam nanti boleh ajak dinner.” Terbayang muka Jane dalam kepala Jan. Kecur air liur bila teringatkan pinggul Jane yang montok gitu.

“Kau memang gatal!”

“Aku memang gatal.” Akui Jan. Siapa kata lelaki tak gatal kalau nampak perempuan seksi jamu mata. Gatal tau. Tapi Jan gatal ala kadar. Tak mahulah lebih-lebih sangat. Bahaya!

“Memang elok pun mak kau jodohkan kau dengan Zetty montel. Baru padan dengan muka kau.” Safuan ketawa. Janlah yang buat tokok tambah montel di belakang nama Zetty. Montel-montel Zetty anak gadis Pak Akob tu putih melepak macam Zizie Izetti.

“Aku heran dengan kau, Jan? Emak kau asyik paksa kahwin dengan Zetty montel kau boleh duduk relaks aja. Kau dah boleh terima budak Zetty itu ke?” Safuan mengusap janggut ciputnya.

            “Kau curi dengar ye!” Jan mengoyangkan jari telunjuknya. Safuan tersengih. “Kau ingat aku bongok sangat ke nak terima Zetty jadi bini aku. Aku saja main acah-acah dengan mak aku. Lagipun aku dah punya plan baik nak buat gempak tahap boleh buat kau ketawa berguling-guling punyalah nanti.” Jan angkat-angkatkan keningnya.

            “Ini yang lagi syok aku nak dengar ni. Apa plan kau yang baik bangat kau dah buat Jan?” Safuan sudah tidak sabar.

            “Aku nak lari dari rumah.” balas Jan bersahaja. Safuan memberliakkan biji mata sebesar-besarnya. Jan buat lawak antarabangsa Ujang ke? Tapi bila tengok muka Jan, mamat seorang tu macam serius habis. Mungkin kali ini Jan tak main-main. Tidak lama kemudian terburai tawa Safuan. Nasib baik dalam pejabat. Kalau tidak boleh ketawa bergolek-golek.

Wednesday, October 17, 2012

Nilai Cintanya....- NC17


BOLEH tahan gadis yang ingin Ameer Dylan sunting sebagai surinya itu. Manis orangnya walau bertudung liput. Damien senyuman penuh makna. Dia mengangkat barang-barang yang dibeli oleh Sufi Alisha untuk di bawa masuk.

            Sufi Alisha memperkenalkan Damien kepada Hajah Solehah. Wanita itu menerima kehadiran Damien dengan hati terbuka. Jarang ada pemuda yang ringan tulang seperti Damien ini. Malah Damien cepat mesra dengan penghuni di rumah kebajikan orang tua itu. Malah Umi Embun turut menyenangi keramahan Damien.

            Damien memberitahu dia hanya ada seorang kakak. Ibu bapanya sudah tiada sejak kecil. Dia dan kakaknya membesar di rumah anak yatim. Dia dan kakaknya berusaha keras untuk lari dari kesempitan hidup. Cerita Damien menyentuh telangkai hati Sufi Alisha.  Siapa sangka lelaki tampan itu pernah melalui keperitan hidup yang sukar. Sufi Alisha mengucapkan syukur di dalam hati. Dia masih ada tempat bergantung ketika masih kecil. Dia merasa kasih sayang ibu bapanya.

            “Bolehkah saya datang ke sini lagi?” Damien ingin merapatkan perhubungan dengan Sufi Alisha. Dia akan mendekati gadis itu secara perlahan-lahan.

            “Datanglah Damien…boleh lawat makcik lagi.” Umi Embun membalas.

            Sufi Alisha tersenyum. Jarang Umi Embun mudah rapat dengan orang yang baharu dikenalinya.

            “Lepas ini adalah tempat saya untuk bermanja.” Damien ketawa kecil. Dia kerling Sufi Alisha dengan ekor matanya.

“Sufi…saya pulang dulu.” Damien meminta diri.

            Sufi Alisha tersenyum dan menganggukkan kepala. Damien seorang lelaki yang bersopan-santun. Umi Embun sudah tersenyum-senyum. Lepas ini dia akan soal siasat tentang Damien dari Sufi Alisha.

            Kereta yang dipandu Damien meluncur laju. Dia sengaja mahu mendekati Sufi Alisha. Sepanjang mereka berbual tiada langsung topik mengenai Ameer Dylan diutarakan oleh gadis itu. Sufi Alisha tidak banyak bercakap berbanding dengan orang tua yang dipanggil Umi Embun itu. Apakah Delina menipu dia? Benarkah Sufi Alisha ini yang Ameer Dylan gilakan itu? Tidak masuk di akal.

            Sufi Alisha menyalinkan selimut pada setiap katil dalam bilik tersebut. Dia menjawab sepatah dua sahaja apabila ditanya oleh Umi Embun mengenai Damien. Dia baharu mengenali Damien. Itu pun secara kebetulan dalam eksiden kecil. Umi Embun kata mahu lebih keji selidik tentang Damien jika lelaki itu datang melawatnya lagi. Katanya lagi kalau Damien itu lelaki baik-baik, Umi Embun mahu jodohkan dengan dia. Sufi Alisha gelengkan kepala dan hanya mampu tersenyum.

            Dia mengangkat bakul yang berisi selimut kotor itu keluar bilik. Pintu bilik itu ditutup rapat. Lepas ini dia akan melakukan pembersihan di bilik lain pula.

            “Sufi!” Suara Rohani menghentikan langkah Sufi Alisha. Sufi Alisha berpaling.

            “Ya Kak Ani….” Balasnya lembut.

            “Ada orang cari Sufi.”

            “Siapa Kak Ani?”

            “Tuan Haji Abbas….dia cakap dia ayah kepada Ameer Dylan.”

            “Ayah Ameer Dylan?” Sufi Alisha mengingati wajah lelaki sebaya Haji Fakrudin. Lelaki yang dia temui di CASA SAUJANA. Sufi Alisha menampar wajah Ameer Dylan juga di hadapan lelaki itu.

            Sufi Alisha memberikan bakul tersebut kepada Rohani. Apa agaknya tujuan Tuan Haji Abbas mahu bertemu dengan dia. Sufi Alisha menarik nafas kecil. Moga tiada apa-apa yang  tidak elok ingin Tuan Haji Abbas ingin katakan pada dia nanti.

            Tuan Haji Abbas kelihatan sedang berbual dengan Haji Fakrudin. Mereka tampak mesra dan seperti sudah kenal lama. Bibirnya menguntum senyuman manis sebaik melihat kelibat Sufi Alisha. Haji Fakrudin memberikan ruang untuk Tuann Haji Abbas berbicara dengan Sufi Alisha.

            “Assalamualaikum Sufi…”

            “Waalaikumusalam…” Tuan Haji Abbas pastinya sudah mengetahui nama dia.

            “Maaf jika kehadiran pakcik ini menganggu kerja Sufi.”

            “Tidak mengapa. Ada hal apa ya pakcik mahu bertemu dengan Sufi?” Lembut Sufi Alisha menutur kata.

            Tuan Haji Abbas diam seketika. Dia usap janggutnya yang sudah memutih itu. Ada baiknya dia bercerita tentang perihal Ameer Dylan kepada Sufi Alisha.

            “Terlebih dahulu pakcik mohon maaf atas sikap Dylan terhadap Sufi. Pakcik tahu dia biadap dan sering menganggu Sufi.” Tuan Haji Abbas begitu merendah diri. Sikap yang berbeza dengan Ameer Dylan.

            “Tidak mengapa pakcik.”

            “Pakcik memang terkejut apabila mengetahui Dylan mahu berkahwin dengan Sufi. Pakcik tidak tahu-menahu akan hal tersebut. Pakcik juga tidak tahu yang dia mendesak Sufi menerima lamarannya…” Tuan Haji Abas menarik nafas panjang.

            “Dylan itu memang banyak sikap buruk. Dia kaki perempuan, kaki mabuk dan kaki rokok. Dia sering mempergunakan wang untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Pakcik tidak tahu di mana silap pakcik mendidik dia masa kecil dulu.”

            Tuan Haji Abbas membuka satu-persatu cerita tentang Ameer Dylan. Sufi Alisha memasang telinganya.

            “Sufi…Dylan bukanlah anak kandung pakcik. Pakcik berkahwin dan tiada zuriat. Isteri pakcik meninggal dunia akibat barah. Pakcik jumpa Dylan ketika dia berusia dalam lingkungan enam tahun. Dia tidur di atas lorong kaki lima beralas kotak. Rupa dia masa itu comot dan pakaiannya compang-camping. Badan dia amat kurus dan ada kesan-kesan dipukul di situ. Pakcik ambil Dylan menjadi anak angkat pakcik…”

            Kali ini Tuan Haji Abbas memandang wajah Sufi Alisha. Pandangan mata yang cukup redup.

            “Pakcik asuh Dylan macam anak sendiri. Pakcik berikan Dylan didikkan secukupnya. Tapi…pakcik tak tahu apa yang ada tersimpan di hati Dylan. Pelajaran agama yang pakcik berikan dia pandang remeh dan dia semakin liar apabila melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Pakcik sentiasa berlembut dan menasihati Dylan namun seolah-olah hatinya sudah hitam. Nasihat pakcik tidak pernah dia endah cuma dia tidak pernah meninggikan suara pada pakcik. Dia cukup menghormati pakcik.”

            Sufi Alisha membisu. Dia langsung tidak mencelah kata-kata Tuan Haji Abbas.

            “Dylan seorang yang pemendam dan juga pendendam. Dia bencikan mama dia.”

            “Kenapa dia bencikan mama dia?” Baharu Sufi Alisha membuka mulut.

            “Ada kisah yang mengayat hati di sebaliknya…” Balas Tuan Haji Abbas. “Sufi…pakcik tidak mahu merosakkan masa depan gadis sebaik Sufi. Beritahu pakcik jika ada perkara yang lebih memalukan Dylan buat pada Sufi. Pakcik akan bantu Sufi…” Sambungnya lagi.

            “Terima kasih pakcik atas keprihatinan pakcik pada saya. Beruntung Encik Ameer kerana mempunyai ayah angkat yang baik seperti pakcik.” Sufi Alisha dapat lihat kasih sayang Tuan Haji Abbas pada Ameer Dylan tiada berbelah bagi.

            “Pakcik sayangkan Dylan dan tidak mahu dia bergemulangan dengan noda dan dosa.” Tuan Haji Abbas tidak pernah behenti berdoa untuk perubahan anak angkatnya itu. Biar apa orang kata mengenai Ameer Dylan namun dia masih yakin Ameer Dylan boleh berubah kelak. Dia menantikan saat itu.

            “Pakcik…jika pakcik tidak keberatan, boleh pakcik ceritakan kisah silam anak angkat pakcik?” Entah mengapa hati ini membuak ingin mengetahuinya.

            “Betul Sufi ingin tahu?” Duga Tuan Haji Abbas.

            Sufi Alisha anggukkan kepala.

            “Baiklah…pakcik akan ceritakannya.”

            Sufi Alisha tersenyum.                                  

SUFI Alisha melipatkan telekung dan sejadahnya. Dia memohon petunjuk dari Yang Maha Esa. Kisah Ameer Dylan telah membuka ruang di hati Sufi Alisha. Hatinya tersentuh. Seorang ibu sanggup membuang dan membenci anaknya sendiri. Lelaki itu tiada kasih sayang seorang bapa yang pergi tidak kembali dan juga kasih seorang ibu yang tidak mengakui dia sebagai anak. Sejak kecil lelaki itu sudah melalui saat getir dan keperitan hidup di jalanan. Tanpa sedar Sufi Alisha menitiskan air matanya.

            Apa yang diingini oleh Ameer Dylan dalam hidupnya? Kenapa dia berubah menjadi seorang lelaki yang mementingkan kemewahan dunia lupa pada keindahan akhirat? Untuk mendapatkan jawapannya, Sufi Alisha ingin menerokai hati lelaki bernama Ameer Dylan itu. Tapi bagaimana? Sufi Alisha tersenyum.

            Ya, Allah…moga apa yang aku buat ini adalah betul. Aku mahukan hatinya yang hitam itu kembali bersih dari noda dan dosa. Sesungguhnya apa yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Dan aku yakin di hati dia masih terselit nilai kemuliaan itu.

            Sufi Alisha memandang gambar arwah ayah dan ibunya. Ayah…ibu…Sufi yakin keputusan yang Sufi buat ini adalah tepat. Sufi tidak menyesal menerima dia sebagai nakhoda Sufi. Allah itu Maha Mengetahui setiap apa yang diaturkan kepada umatNya.


SUFI Alisha mengaturkan janji temu dengannya. Ameer Dylan rasa seperti bermimpi. Sungguh dia amat teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan gadis itu. Pastinya gadis itu sudah membuat keputusan tentang lamaran tersebut. Laju dia mengaturkan langkah masuk ke dalam restoran yang boleh dikelaskan tahap dua bintang.

            Manisnya Sufi Alisha yang berjubah ungu dan memakai tudung dengan warna yang sama. Lain dari kebiasaan di pandangan mata Ameer Dylan. Gadis yang tidak pernah mengenakan sebarang solekan di wajahnya. Bibir yang mengenakan sebarang warna gincu itu sudah cukup kemerahannya.

            Sufi Alisha melemparkan senyuman sebaik melihat Ameer Dylan merapatinya. Sopan dia menjemput lelaki itu duduk. Seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan namun Ameer Dylan menolak untuk memesan apa-apa di restoran itu.

            “Assalamualaikum Encik Ameer…Apa khabar hari ini?

“Waalaikumusalam…I sentiasa sihat.” Balasnya. Bila berlakon kenalah memainkan peranannya sebaik mungkin.

“Maaf sekiranya ajakkan saya ini mengganggu kerja Encik Ameer.”

It’s okay. Apa tujuan Cik Sufi bertemu dengan I?” Sebelum ini hanya dia yang asyik mengekori gadis itu. Sebarang pelawaannya gadis itu tolak dengan pelbagai alasan.

Sufi Alisha tersenyum. Sikap tenang Sufi Alisha menggusarkan hati Ameer Dylan.

“Encik Ameer Dylan…saya sudah fikirkan lamaran encik semasak-masaknya. Saya terima lamaran encik.” Ujar Sufi Alisha lembut.

            Ameer Dylan benar-benar tersentak mendengar jawapan yang tidak di duga dari bibir Sufi Alisha itu. Bukankah selama ini Sufi Alisha cukup keras menolak lamarannya. Dia bagaikan tidak percaya.

            “You tidak menipu I?” Ameer Dylan inginkan kepastian.

            Sufi Alisha mengangguk. Lamaran diterima bukan kerana wang atau kekayaan Ameer Dylan tapi ada sesuatu yang perlu dia lakukan demi lelaki itu. Dia ikhlas menerima baik dan buruk lelaki di hadapannya itu. Malah dia sudah menyatakan hasratnya itu kepada Tuan Haji Abbas. Pada mulanya Tuan Haji Abbas tidak bersetuju. Dia menyakinkan Tuan Haji Abbas bukan denan janji atau sumpah tetapi melalui keikhlasan di hatinya.

            “Tetapi ada syaratnya…”

            Ada syarat pula? Mahu banglo dan kereta sebiji ke? Itu yang sering diingin oleh seorang wanita yang mahukan kemewahan hidup. Atau Sufi Alisha mahukan intan dan berlian. Bendak kecil, dia boleh berikan semua benda itu.

            “So…apa syarat you?”

            “Saya mahukan majlis pernikahan yang cukup sederhana. Hantaran yang diberikan cukuplah senaskah Al-Quran, telekung sembahyang dan sejadah.”

            Tersentap Ameer Dylan. Apalah perempuan seorang ini. Itu yang dipinta sebagai hantaran dan mahu pula majlis pernikahan yang begitu ringkas. Dia mahukan majlis yang penuh gemilang untuk perkahwinan mereka. Kalau boleh jadi ‘wedding of the year’ masuk ke dalam media.  Jika bercerai nanti cakap sahaja tiada jodoh. Habis cerita.

            Dahi licinnya sudah berlapis-lapis kerutannya. Dia berfikir sejenak. Permintaan kecil Sufi Alisha amat besar pada dia. Bukan sahaja mengenai hantaran yang dipinta tetapi majlis pernikahan tersebut. Malulah diketawakan orang nanti. Dia bukannya orang yang tidak berkemampuan mengadakan majlis perkahwinan yang besar. Dia sanggup menanggung segala kos perbelanjaan. Sufi Alisha tidak perlu mengeluarkan walau sesen wang pun.

           “Sufi…you nak samakan I dengan kelas you ke? Please jangan menghina I.” Desis Ameer Dylan.

            “Encik Ameer…saya tidak menghina awak. Bukankah pembaziran itu tidak elok. Biarlah majlis pernikahan itu bersederhana.” 

            Ameer Dylan terdiam. Kalau membantah usul yang diberikan mungkin Sufi Alisha akan mengubah fikiran tidak mahu berkahwin dengan dia pula. Ikutkan sahaja kehendak gadis itu.

            “Baiklah…”

Monday, October 15, 2012

100x Kau Benci Padaku, 1000x Ku Suka Padamu - Bab 3


“ASSALAMUALAIKUM….Ibu, Meerul dah balik bawa kawan.” Ameerul Hasif laju menanggalkan kasutnya. Tengku Syafiq dan Fesal mengekorinya dari belakang.

            Sunyi sepi rumah Ameerul Hasif. Tiada suara riuh-rendah Adib Aqil dan Aqil Aisar. Agaknya si kembar itu ada kelas tuisyen. Elok sangatlah adik kembar itu berambus ke kelas tuisyen dari membuat onar di rumah. Naik tegang muka Puan Nur Azyan bila si kembar itu bikin perangai.

            “Oh…ibu…” Ameerul Hasif sudah berdendang memanggil ibunya.

            Puan Nur Azyan sudah tercongok di pintu dapur dengan sudip di tangan. Tidak boleh senang sikit dia mahu memasak. Dia melirik senyuman pada Tengku Syafiq dan Fesal.

            “Ibu…diaorang mahu tumpang makan sini. Macam biasa ya.” Ameerul Hasif mengenyitkan mata pada kedua teman baiknya itu.

            “Ibu siapkan dulu masakan ibu di dapur. Meerul bawakan air untuk kawan-kawan tu.” Puan Nur Azyan berlalu ke dapur semula. Dia sudah biasa dengan kehadiran Tengku Syafiq dan Fesal, Tambahan pula Tengku Syafiq itu anak kepada kawan baiknya.

            “Wah, tak sabar nak jamu ketam masak lemak cili api ibu kau, Meerul. Kecur air liur aku dah.” Suara Fesal.

            “Hehehehe…Ibu aku masak memang best. Tapi kadang-kadang aku heran jugak sebab perut ayah aku tak juga ke depan sedangkan makan bukan main pelahap lagi. Maintain je ayah aku tau.”

            “Ayah kau doktor mestilah tahu jaga badan. Kau pun tak buncit jugak aku tengok.” Tengku Syafiq menepuk lembut bahu Ameerul Hasif.

            Ameerul Hasif tersengih. “Biasalah…aku kadang-kadang diet tau.”

            “Ceh! Diet konon. Habis yang melantak dua mangkuk laksa tadi diet apanya..” Fesal menjegilkan matanya pada Ameerul Hasif.

            Ameerul Hasif hanya ketawa. Bab makan dia memang nombor satu. Bab memasak juga dia memang nombor satu. Belajar memasak dari atuk dan ibu tercinta adalah kenangan terindah buat Ameerul Hasif. Paling tak tahan dia terpaksa menggunakan perisai sewaktu menggoreng ikan.

            “Meerul…bila kau nak masakkan untuk kami pula? Tekak aku teringin sangat nak merasa air tangan kau.” Fesal menjongketkan keningnya.

            “Air tangan aku khas untuk isteri aku je.”

            “Ceh!” Fesal mencebik bibir.

ALHAMDULILLAH….rezeki memang sentiasa tidak tolak. Tengku Syafiq dan Fesal mengusap-usap perut yang sudah kekenyangan itu. Kalau hari-hari makan sedap macam ini mahu naik kilo dalam badan. Badan pun sudah tidak larat mahu bangun dari sofa.

            Ameerul Hasif lepas makan sudah ke dapur membantu ibunya mengemas. Satu lagi kerja kegemaran anak teruna Doktor Muhammad Syakir dan Puan Nur Azyan. Ringan tulang kata orang-orang tua. Tengku Syafiq dan Fesal tidak larat untuk membantu. Ala…mereka kan tetamu di rumah ini.

            “Kalau Meerul ada adik perempuan kan best? Boleh ayat sikit.” Fesal memakukan mata pada gambar sekeluarga yang terpapar pada dinding di ruang tamu itu. Ini mesti gambar hari raya tahun lepas. Ameerul Hasif pakai baju melayu warna ungu.

            “Adik aku yang comel tu kau tak mahu ayat ke?” Soal Tengku Syafiq.

            “Si Syazleen tu…” Fesal memuncungkan bibirnya. Dia tidak berkenan dengan adik Tengku Syafiq yang terlalu menjaga kebersihan itu.

            Teringat dia masa mengajak tengku Syazleen menonton wayang. Dia tidak sengaja tumpahkan popcorn pada baju gadis tersebut. Tengku Syazleen boleh minta balik sebab mahu salin baju. Siap buat muka pula. Sudahnya mereka tidak jadi menonton wayang. Wang beli tiket melayang begitu saja. Ada juga manusia macam Tengku Syazleen dalam dunia ini. Serik Fesal dibuatnya. Itu yang pertama dan terakhir dia mengajak Tengku Syazleen keluar. Cantik belakang kira.

            “Minta maaf Fiq…aku bukan memilih sangat tapi adik kau yang cun itu sudah terkeluar dari senarai calon teman wanita aku.”

            “Berlagak kau ya…” Desis Tengku Syafiq.

            “Kau tak cuba kenenkan Syazleen dengan Meerul ke?”

            Tengku Syafiq mencemik muka.

            “Meerul kata dia nak cari awek macam Megan Fox. Sexy dan hot..”

            “Sexy dan hot sangatlah….”

            Mereka berdua terus tutup mulut sebaik melihat kelibat Ameerul Hasif. Ala telinga lintah macam Ameerul Hasif sah-sah memang sudah dengar kedua teman baiknya mengutuk dia dari belakang. Tak baik tahu…dosa..Dia hanya tersengih-sengih sambil menyilangkan tangan.
           
“ZARA!” Terkocoh-kocoh Johairy mengejar gadis yang ligat mengatur langkah di hadapan itu. Jalan langsung tidak menoleh ke belakang.

            Zara Sofia merengus kecil. Ini yang dia malas kalau mengajak Johairy keluar bersama untuk membeli-belah. Jalan kemain lembab!

            “Cepatlah Joe!” Jerit Zara Sofia.

            “Sabarlah nok…kaki I dah sakit ni.” Berlapis-lapis sudah dahi Johairy.

            Alahai tulang macam sotong betul. Zara Sofia mula mengeluh. Kalau tidak fikirkan si sotong ini ada kereta memang dia tidak ajak keluar.

            “Kau tu lelaki nok. Stamina kenalah kuat sikit.” Bebel Zara Sofia. Kalau perempuan sudah lama dia pulas telinga si Johairy.

            “Menagah I dah nok. Bagi I aturkan pernafasan dulu.” Macam orang semput lagak gaya Johairy.

            Panas pula hati Zara Sofia melihat gelagat Johairy yang mengalah orang perempuan. Dia mengomel tentang Johairy sednagkan diri sendiri pun dua kali lima sahaja. Lembik dan selalu kena buli dengan teman sekuliah siapkan assignment mereka. Malah bertambah lemah apabila Mike yang turut sama jadi pembuli. Zara Sofia memang cair bila Mike yang meminta pertolongan.Zara Sofia memang cair bila Mike yang meminta pertolongan. Orang gila baying katakan.


            Johairy suka kata dia bodoh dan perasan sendiri. Johairy kata dia telah dipergunakan oleh Mike untuk kepentingan sendiri. Dia tidak kisah. Cara itu saja yang dapat dia dekati Mike.

            “Sudah ke belum?” Soal Zara Sofia. Jam ditangan dia kerling berkali-kali.

            “I tarik nafas kejap nok…” Tarik hembus, tarik hembus….stamina kembali pulih.


            “Jom, kita gerak sekarang…”

            “You terburu sangat kenapa?” Johairy menyaingi langkah Zara Sofia.

            “I takut tak dapat baju t-shirt yang ada tulis Love tu.”

            “You nak bagi hadiah pada Mike ya?”

            “Mestilah. Hadiah special.”

            “Macam mamat hensem tu nak terima hadiah you. Sudah tu pula beli baju t-shirt tulis perkataan Love. Gelilah…”

            Zara Sofia menyeringai.