Tab Menu

Saturday, February 19, 2011

Coke and Sundae II - bab 2

“PAKAI topi keledar untuk keselamatan.” Ayat biasa yang Azyan tuturkan kepada Ameerul. Ameerul tersengih menampakkan barisan giginya. Setiap pagi, ibunya yang menghantar dan mengambil dia di Tadika Rasa Sayang. Ayahnya tiada masa untuk menjenguk. Sibuk dengan kerja seharian di hospital. Awal pagi sudah keluar maka pulangnya lewat malam. Ibunya tidak pula merungut dengan kesibukkan melampau ayah. Ibu punyalah percaya seratus peratus pada ayah. Boleh percaya ke ayah dia itu? Ada juga kemusykilan di hati Ameerul. Tidak kisahlah Ameerul. Yang penting ayah dan ibunya sentiasa ada bersama dia. 

            Ameerul sudah membonceng di belakang skuter milik ibunya. Semenjak kes kemalangan setahun yang lalu, ibunya fobia mahu membawa kereta. Terpaksalah ibunya menunggang skuter semula. Kereta ibu sudah diberikan kepada Pak Usunya untuk berulang-alik Ke Kuala Lumpur bila cuti. Siapa lagi kalau bukan adik ayahnya, Syamil. Skuter Azyan bergerak meninggalkan pekarangan rumah mereka. 

            Sampai di Tadika Rasa Sayang, Azyan membukakan helmet di kepala Ameerul. Pipi comel Ameerul dikucup lembut. Dia hulurkan bekalan buat anak kesayangannya itu. Roti sardin kegemaran Ameerul. Ameerul mengucup tangan dan pipi ibunya sebelum dia melangkah masuk ke dalam tadika.

            “Siapa itu?” Seorang lelaki yang turut menghantar anaknya bertanya kepada salah seorang guru tadika berkenaan. 

            “Oh! Itu ibu Ameerul Hasif.” balas guru tadika yang bertudung litup itu.

            “Ameerul Hasif. Budak yang gigit telinga anak saya itukah?” soalnya lagi. Guru tadika itu menganggukkan kepalanya.

            “Cantik juga ibu dia.” 

            “Tak payahlah nak berangan Encik Ikhwan. Dia masih ada suami lagi. Hensem lagi suami dia dari Encik Ikhwan.” Guru tadika itu menyerahkan resit yuran yang sudah siap ditulis kepada lelaki tersebut. Duda anak satu ini memang gatal.

            Encik Ikhwan beredar ke keretanya. Azyan sudah tidak kelihatan. Dia baru ingin berkenalan dengan wanita itu. Sekejap betul hilangnya. Encik Ikhwan mengeluh hampa. Semoga pertemuan seterusnya dia dapat menghulurkan salam perkenalan. 

            Ameerul duduk bersebelahan dengan kawan baiknya Syafiq, anak kepada teman baik ibu
nya Salwa. Mereka duduk di dalam kelas Matahari. Syafiq agak kecil sedikit dari Ameerul. Ikut baka ayah dia yang kemetot tu. Ibunya yang cakap begitu pada dia. Ibunya memang tidak menipu. Ayah Syafiq memang kemetot! Dia bersyukur ayah dia tinggi dan hensem orangnya. Ameerul menarik nafas lega. 

            Suasana yang riuh dalam kelas itu menjadi senyap apabila Cikgu Sharifah melangkah masuk. Cikgu yang paling ditakuti oleh murid-murid kelas Matahari. Cikgu Sharifah kedekut dengan senyuman. Ameerul memang tidak suka benar dengan cikgunya itu. Dialah murid yang punya peratusan paling tinggi kena denda dengan Cikgu Sharifah. Dia suka sangat menyakat cikgu tersebut. Tetapi hari ini dia menjadi murid yang pendiam. Apa tidaknya, dia tengah sakit gigi. Ibunya mahu membawa ke klinik gigi setelah habis kelas nanti. Gerun dia mahu membayangkan wajah doktor gigi itu nanti. Pasti menakutkan! Spontan dia memeluk tubuh. 

“TAK nak!” Ameerul menangis sambil memeluk tiang lampu tanpa mahu melepaskannya. Azyan sudah puas memujuk tetapi Ameerul tetap berdegil tidak mahu masuk ke dalam klinik gigi tersebut. Umpan dengan anak patung beruang pun si anak itu tetap menggelengkan kepala. Azyan mati akal. 

Dia terpaksa menelefon Syamil untuk meminta bantuan kecemasan. Hari ini rasanya Syamil sedang bercuti. Mujur Syamil sudi untuk memberikan pertolongan. Geleng kepala Syamil melihat telatah Ameerul. Dia ketawa kecil. Boleh tahan juga degilnya anak saudara dia ini. Ameerul tidak ubah macam ibu dan ayahnya juga.

            Syamil merapati Ameerul yang masih memeluk tiang lampu itu. Cemberut muka Ameerul. Air mata sudah membasahi pipi comelnya. Ameerul tetap berkeras tidak mahu berjumpa doktor gigi. Erat betul dia memeluk tiang lampu itu. Karang kalau dia rentap budak seorang ini bertambah pula meraungnya. 

            “Tak macholah budak lelaki menangis.” desis Syamil. “Kalau Meerul tak cabut gigi nanti ada ulat makan gigi Meerul. Eeiiii gelinya.” Siap Syamil buat mimik muka. Dia sedang cuba memujuk anak saudranya itu.

            “Mana ada ulat makan gigi.” gerutu Ameerul. Bulat anak matanya merenung muka Syamil. 

            “Apa pulak takder. Ada ulat besar makan gigi.” Syamil menakut-nakutkan Ameerul. Ameerul memandang ibunya. Azyan anggukkan kepala mengiakan kata-kata Syamil. 

            “Tipu!” Dia meninggikan suaranya. Ameerul mengetap bibir. Berani orang dewasa seperti ibu dan pakciknya menipu budak kecil seperti dia. 

            “Kenapa Pak Usu nak tipu Meerul? Tidak percaya Meerul boleh bertanya pada ayah Ameerul. Diakan doktor.” Syamil buat muka serius habis. 

Azyan menahan ketawa. Harap-harap taktik Syamil menjadi. Dia sudah letih melayan kerenah anak terunanya yang seorang ini. Kalau Syakir minta maaflah hendak pujuk rayu ini. Dia main heret aje. Macam dia heret Azyan masuk kelab teater dia dulu. Tapi sekarang Syakir hanya suka heret Azyan masuk bilik tidur. Hehehehehe….

            “Kalau cabut gigi, ulat takkan makan gigi Meerul?” soal Ameerul. Syamil tersengih. Dia anggukkan kepalanya. “Tapi Meerul takut jumpa doktor gigi. Dia makan orang.” tambahnya lagi. 

            Syamil ketawa. Dia usap-usap lembut rambut anak saudaranya itu. Entah siapalah bagi cerita mengarut itu pada Ameerul. Bila masa pula doktor gigi makan orang!

            “Doktor gigi tak makan orang. Dia cuma nak bagi gigi Meerul baik aje.”

            “Betul.” Ameerul merenung ke dalam anak mata Syamil.

            “Betul! Pak Usu tak tipu. Doktor gigi kat sini cun tahu. Dia baik sangat.” Bersungguh-sungguh Syamil memujuk. Lega hati Azyan kerana Ameerul termakan dengan kata-kata adik iparnya itu. 

            Ameerul leraikan pelukan dari tiang lampu tersebut. Dia merapati Syamil sambil menghulurkan kedua belah tangannya. Dia pinta Syamil dukung dia. Syamil mengangkat tubuh anak saudaranya itu. Boleh tahan beratnya. Ini mesti berat tulang. Azyan gelengkan kepala. Manja! Mereka melangkah masuk ke dalam klinik gigi berkenaan. Setelah memberikan nama di kaunter, mereka duduk di bangku menunggu. 

            Syamil mengerling Azyan dengan ekor mata. Azyan semakin berseri sejak berkahwin dan punya anak yang comel ini. Apa boleh buat memang tiada tertulis jodoh antara dia dengan Azyan. Azyan adalah milik Syakir. Dia yakin Azyan bahagia bersama dengan abangnya. Dia boleh lihat pada wajah Azyan. Dia juga yang masih sendiri. Tidak mengapa. Suatu hari nanti dia akan bertemu jua dengan gadis yang ditakdirkan untuk dia. Dia tidak kisah pada paras rupa yang penting hatinya mesti cantik! Emak sudah memberikan pesanan sebelum dia mahu mencari calon menantu untuk emak. “Duit mesti ada dalam kocek sebelum mahu meminang anak orang.”

            “Ameerul Hasif Bin Muhammad Syakir.” Nama Ameerul dipanggil. Azyan memimpin tangan anaknya masuk ke dalam. Syamil duduk menanti di luar. 

            “Eh! Awak Syamil kan?” Seorang gadis ayu yang duduk bersebelahan dengannya menegur. Syamil berpaling.

            “Dora-Dora.” ujarnya separuh terkejut. Tidak perasan dia akan kehadiran gadis itu. Gadis itu mengulum senyuman. 

            “Danialah bukan Dora-Dora. Siapa tadi tu?” 

            “Kakak ipar dan anak saudara saya. Apa awak buat di sini?”

            “Saya? Saya tunggu kakak saya kat dalam tu. Dia ajak saya temankan dia lunch nanti.”
jelas Dania. 

            “Kakak awak doktor gigi?”

            Laju Dania anggukkan kepalanya. 

            “Saya tidak tahu pula awak ada seorang kakak.” Syamil mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dania kalau dia senyum macam susu pekat lemak manis. Teman sekelasnya ini memang tak lekang senyuman di bibir. 

            “Awak tak pernah tanya.” 

            Syamil tersengih. Masakan dia ingin bertanyakan perihal diri Dania satu-persatu. Mereka berkenalan pun tidak sampai dua bulan. Perkenalan yang tidak disengajakan. Semuanya gara-gara kapal terbang kertas tersalah target. Lain yang dia nak tuju lain pula yang kena tuju. Mujur yang di tuju itu bukan gorilla di tengah hutan.

            Setengah jam kemudian Azyan keluar mendukung Ameerul dari bilik rawatan. Ameerul memaut erat tubuh ibunya. Si kecil itu tidak menghiraukan lagi keadaan sekelilingnya. Matanya nampak merah berair. Azyan melemparkan senyuman kepada Dania. 

            “Kak Yan…kenalkan kawan satu kelas dengan Syam. Dora-Dora.” ujar Syamil. Dania ketawa. Itu gelaran yang Syamil berikan padanya. Nyata tiada riak kemarahan di wajah ayu Dania.

            “Dora-Dora?” Azyan mengerutkan dahi. Macam nama kartun dalam peti televisyen pula.

            “Nama saya Dania Batrisya tapi sebab saya ni suka tengok Dora The Explorer maka lekat nama Dora pada saya. Si Syamil ni pulak tokok tambah jadi Dora-Dora.” ceritanya.

            Azyan gelengkan kepala. 

            “Okaylah Dora-Dora. Kami kena beransur dululah. Kita jumpa di kuliah nanti.”

            “Okay. Ya! Kita jumpa di kuliah nanti.” Dania melangkah masuk ke bilik rawatan. Syamil hanya melirik lenggok Dania dengan ekor matanya.

            Azyan beriringan keluar bersama Syamil. Ameerul masih erat memaut ibunya. Naik lenguh tangan Azyan mendukung Ameerul. Bukannya ringan. Berat! Syamil nak dukung dia tak mahu. 

            “Akak balik dululah Syam. Sampaikan salam akak pada abah dan mak ya.” Mereka perlu berpisah di sini. Hala tujuan berlainan arah.

            “Kak Yan tak mahu Syam hantarkan akak dengan Meerul?”

            “Tak payahlah. Skuter akak mahu campak kat mana.”

            “Campak dalam longkang.” gurau Syamil. 

            “Banyak cantik Syam. Syam nak kena cantas dengan Abang Syakir ke? Dia yang belikan akak skuter kaler pink tu sejak akak allergic nak bawa kereta tau.” gerutu Azyan. Skuter dia sudah tinggal kenangan. Tidak tahulah di mana skuter itu berada kini. Entah siapa yang dengki mencuri skuter buruknya itu.

            “Tahulah Abang Syakir tu sayang sangat kat akak. Jealous Syam!”

            “Ala…tu yang tadi tu boleh tahan orangnya. Berisi tapi ayu. Akak suka tengok lesung pipit kat pipi dia. Ada macam Pretty Zinta.” Terangkat-angkat kening Azyan.

            “Siapa pulak ni?” Syamil mengusap dagu yang sudah ada janggut seciput itu.

            “Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak.” giat Azyan. 

            “Mana ada pura-puranya kak.” 

            “Dora-Dora!” desis Azyan. Lembab adik iparnya ini.

            Syamil mencebik. Dania pula yang dikaitkan.

3 comments: