Tab Menu

Followers

Thursday, June 30, 2011

Nota Berwarkah Pilu

 

Nota berwarkah pilu.

14 November 2002
Hai hati! Gembiranya aku pada hari ini kerana Lan telah meluahkan segala perasaannya pada ku. Tidak sia-sia perkenalan kami selama tiga tahun ini. Rupanya Lan juga menyimpan perasaan sepertiku. Kiranya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Masihku ingat perkenalan pertama kami. Lan mengenaliku di dalam majalah sekolahku. Apa tidaknya adik Lan adalah juniorku. Ketika itu aku di tahun akhir tingkatan enam sedangkan Lan menuntut di Uitm Sri Iskandar. Telefon menjadi perhubung setia antara kami. Dia tidak betah menelefon saban malam. Kami akan berbual-bual panjang dengan topik berlainan. Ucapan selamat malam adalah penghujung perbualan kami. Tapi sayangnya…selepas keputusan STPM ku di keluarkan aku tidak dapat mana-mana tawaran universiti walaupun keputusanku agak elok. Aku hampa. Ada juga aku mendapat tawaran belajar di kolej namun memandangkan kos perbelajaan aku pendamkan saja niatku. Keluargaku bukannya orang senang. Maka aku ambil keputusan untuk bekerja. Ku fikirkan perhubungan kami dipertengahan jalan tapi aku silap. Lan masih cuba menghubungiku hinggalah pada 14 November 2002 Lan meluahkan isi hatinya yang dia mencintaiku.

14 Disember 2002
Ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Lan memberikan satu pesanan ringkas yang cukup mengecewakan hatiku. Aku menanyakan mengapa dia mahu berpisah dengan ku. Apakah salahku? Lan tidak menjawab pertanyaanku. Lan hanya menyuruh aku menjaga diri baik-baik. Katanya dia tidak layak untukku gadis sebaikku. Dia akan mengirimkan sepucuk surat kepadaku untuk memberikan penjelasan segala-galanya. Itu kata-kata terakhirnya padaku.

Kemudian Lan menghilangkan diri tanpa khabar berita. Surat yang ku tunggu jua tidak kunjung tiba. Hatiku pasrah. Mungkin tiada jodoh antara kami. Keadaan syarikat tempat kerjaku yang tidak beberapa stabil membuatkan aku terpaksa behenti kerja. Aku mencari pekerjaan baru. Aku ingin melupakan kedukaan di hati.
Alhamdulillah aku sudah punya kerja baru walaupun hanya sekadar sebagai pembantu kedai alat tulis. Gaji yang kecil tidak mematahkan semangat aku untuk menjalani kehidupan ini. Aku tetap berusaha mendapatkan pekerjaan yang stabil. Namun masih belum ada rezeki untukku.

14 Febuari 2003
 Ku fikirkan cinta itu tidak lagi hadir dalam hatiku. Aku silap buat pengiraan. Kehadiran lelaki itu membuka pintu hati ku untuk bercinta lagi. Dia hanya menggelarkan namanya R pada ku. R lelaki yang kacak dan bergaya. Aku pula gadis simple dari pelbagai segi. Kami berkenalan melalui sms. Permulaan dari seorang kawan kami menjadikan hubungan kami lebih serius. Kami mengaturkan pertemuan untuk bersua muka.

14 April 2003
Pertemuan kami membingitkan hubungan cinta yang sudah terjalin melalui sms. Aku mula menyenangi dirinya. Dia seperti Lan. Dia tampak seperti lelaki yang bersopan. Dia tidak kisah akan perihal diriku yang serba sederhana ini. Siapalah aku jika dibandingkan dengan dirinya. Dia seorang pramugara yang kacak sedangkan aku hanya seorang gadis pembantu kedai alat tulis. Kami bagaikan langit dengan bumi. Usaha ku mencari kerja baru berhasil bila mana aku di tawarkan sebagai Project Secretary dalam sebuah syarikat lanskap. Itupun atas desakkan R yang tidak mahu aku terus-terusan menjadi pembantu kedai.

14 November 2007
Permulaan cinta semuanya manis. Lama-kelamaan aku nampak dia mula berubah setelah hampir lima tahun kami bercinta. Janji yang dimeteraikan R khiantai dengan mudah. Aku malu mengadap orang tuaku. R sedikit pun tidak menunjukkan perasaan bersalah saat dia membatalkan majlis pertunangan kami di saat akhir. Hubungan aku dengan keluarga menjadi keruh. Ibuku bermasam muka dengan ku. Aku masih mempertahankan dia ketika itu hinggalah aku menyedari R tidak lagi ikhlas mencintaiku. Pelbagi alasan dia berikan bila aku menyebut tentang janji kami. Aku pasrah. Dan aku nekad untuk menamatkan perhubungan kami. Tiada lagi gunanya aku meneruskan percintaan dengan lelaki yang tidak pernah tetap pada pendirian. Mudahnya dia bertukar-tukar fikiran. Aku tidak perlu kisah dengan wang yang aku pinjamkan pada R. Pada barang kemas yang aku gadaikan pada R ketika saat dia perlukan pertolonganku. Teman-teman ku mengatakan aku terlalu bodoh dan terlalu baik hati. R lelaki yang tidak tahu menghargai cintaku. Aku pula mudah memaafkan dia bila kami bergaduh. Hubungan kami sudah sampai kemuncaknya.

14 Mac 2008
Aku dengan keputusan nekad memutuskan perhubunganku dengan R. Hatiku sakit kerana R mengatakan dia tidak mati jika berkahwin dengan ku di saat aku pintakan perpisahan. Aku menangis sendiri.  

14 Oktober 2008
Aku mula berjinak-jinak dengan Ym. Satu-persatu aku mengenali lelaki di dalam YM. Aku berikan kejujuran namun aku dibalas dengan penipuan berkali-kali. Hatiku hancur sama sekali. Aku sudah puas menangis. Untuk apa aku menangisi demi lelaki-lelaki yang berhidung belang.

Dalam mengubat kelukaan di hati aku mula kembali berjinak-jinak dalam bidang penulisan yang sudah aku ceburi ketika di sekolah menengah dahulu. Aku caritkan sebuah kisah percintaan di atas kertas. Aku kembali mengingati impian ku menjadi seorang penulis.

14 Disember 2008
Tidak ku duga Lan dan R kembali dalam kamus hidupku. Menagihkan cinta yang tidak pernah mereka hargai sebelum ini. Lan mengirimkan surat kepada ku. Memberikan penjelasannya kerana meninggalkan aku dahulu. Lan terpaksa demi pilihan yang diberikan oleh arwah ibunya. Mengahwini gadis yang sudah dijodohkan untuk dia. Lan mengatakan keluarganya banyak terhutang budi pada keluarga gadis itu. Lan tidak punya pilihan lain. Lan memberitahu dia tetap mencintaiku. Sukar untuk melupakan ku. Lan pinta aku kembali semula padanya. Aku bukan wanita perosak rumahtangga orang. Aku nyatakan pada Lan cintaku sudah tiada lagi untuknya. Aku ucapkan salam perpisahan yang tidak sempat ku ungkapkan dulu. Maafkan aku…aku juga punya keegoaan. R pula ingin menjernihkan kembali hubungan yang terputus. R memohon maaf berkali-kali kepada ku. Dia lupa bagaimana dia memalukan ku! Menghancukan hatiku! Dia lupa! Seperti Lan kemaafan aku berikan pada R tapi untuk kembali semula kepada R…pintu hatiku sudah tertutup buat insan bernama lelaki. Cintaku sudah mati. Aku sukar untuk mempercayai lelaki lagi.

Bukan aku membenci lelaki tapi luka di hati sudah bernanah. Biarlah aku melihat kebahagiaan orang lain di mataku. Aku tidak tegar lagi untuk melihat kebahagiaan aku sendiri. Aku pulihkan kembali hubungan keluargaku yang keruh. Pada ibu aku mohonkan kemaafan. Sungguh pun cintaku acap kali berakhir dipertengahan jalan tapi aku bersyukur kerana impian aku menjadi seorang penulis terlaksana. Novel pertamaku telah diterbitkan. Kegembiraan ku kongsikan bersama keluargaku. Ku pendamkan segala kedukaan di hatiku dengan senyuman di bibir. Tidak mudah aku melupakan betapa pahitnya cinta yang hadir dalam hidupku hingga ke saat ini. Mungkin sudah ditakdirkan cinta itu bukan milikku.

1 januari 2009
Aku tidak kisah orang mengatakan aku andartu. Mereka tidak tahu kelukaan dalam hatiku ini. Aku sudah fobia dengnan cinta. Namun sesekali…aku iri hati melihat teman-teman yang sudah berumahtangga. Melihat kakak, abang dan adikku. Mereka punya keluarga dan anak-anak. Aku kini hanya menumpang kasih sayang mereka…..mungkin aku tetap keseorangan dan kesunyian hingga sampai saat aku penjamkan mata ini untuk selama-lamanya.

                        Ila…

Entah mengapa air mata Adrin menitis setelah menutup diari tersebut. Dia pandang wanita yang terbaring di atas karil serba putih itu. Saban hari dia berada di sisi wanita itu sambil membaca catatan diari wanita itu yang di ambilnya secara curi-curi. Kebetulan dia menjumpai diari terbabit yang dicicirkan oleh salah seorang ahli keluarga wanita itu. Di situ dia mula mengenali wanita ini. Seawalnya dia mahu memulangkan diari tersebut namun dia matikan niatnya. Dia tertarik dengan catatan wanita itu. Hingga kini wanita itu masih berada dalam koma meskipun tiada lagi alat penafasan disalurkan. Dua bulan dia menemani wanita itu di sini. Malah seluruh ahli keluarga wanita itu juga dia sudah kenali. Dialah punca wanita ini terbaring di atas katil. Sungguh kemalangan itu bukan disengajakan. Dia tegar untuk menerima hukuman namun ahli keluarga wanita ini telah memaafkan kesalahannya.
             Jauh di sudut hati Adrin ingin mengenali Lan dan R yang diceritakan dalam diari wanita ini. Mengapa mereka harus menyakiti hati wanita ini?  Mengapa mereka menyeksa perasaan wanita ini? Wanita yang bernama Ila Amylia seorang penulis berbakat yang sering menceritakan kisah duka lara di dalam novelnya.
            “Abang Ad…” Ada sentuhan lembut di bahunya.
            “Adik…” Dia mengulum senyuman pada gadis di belakangnya itu.
            “Adik tahu abang sukakan dia. Tapi abang bakal menjadi suami orang. Kesian pada Kak Tania.”
            Adrin  membisu. Dia tidak pernah lupa yang dia sudah menjadi tunangan orang. Perkahwinan yang didambakan itu adalah direncanakan oleh kedua orang tua mereka. Dia hanya menurut. Tiada sekelumit perasaan kasih dan sayangnya pada Tania. Wanita anggun itu hanya dianggap tidak lebih dari seorang sahabat untuk berbicara.
            “Adakalanya kita tidak sedar yang cinta akan hadir dalam hati kita. Abang menerima Tania atas desakan papa dan mama. Abang tidak mahu melukakan hati mereka. Tapi kini….” Adrin merenung wajah tidur Ila. Hidup ini seperti coretan novel. Ada suka, ada duka, ada tangisan dan ada tawa.
            “Abang langsung tidak mengenali dia bang. Abang hanya membaca novel dia. Bagaimana abang boleh jatuh cinta pula dengan dia.” Adik bertanya penuh keraguan.
            Adrin menjongketkan bahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan adiknya itu. Adrin tersenyum hambar.

“HAMPIR 3 bulan kak Ila koma. Ada seorang mamat tu rajin menemani Kak Ila di sini tau.” Azie mula berceloteh. Dia mengemaskan pakaian Ila mauk ke dalam beg.
            “Siapa dia? Akak kenal dia ke?” Ila mengerutkan dahi.
            “Dialah yang langgar Kak Ila masa melintas jalan. Dia siap sujud pada mak dan abah minta maaf. Dia tidak perasan Kak Ila melintas sebab masa itu sebab dia sedang bergaduh dalam telefon dengan tunang dia.” Azie bercerita.
            Ila melihat diari yang diletakkan di sisi katilnya itu. Itu diari miliknya. Catatan kisah cinta silamnya. Bagaimana ia boleh berada di sini? Ila mencapai diari tersebut. Dia selak satu-persatu helaian muka surat diarinya. Di akhir muka surat itu ada catatan untuknya.

5 Mei 2009
Ila Amylia…nama itu tidak asing lagi di dalam dunia penulisan. Hasil karyamu menjadi tatapan saya. Saya suka dengan coretan kisah-kisah dalam novel awak. Seakan dunia novel itu adalah realiti. Adakalanya saya menangisi watak-watak dalam novel awak. Mengapa begitu kejam awak lakarkan kisah hidup mereka. Adakah ianya terhasil dari kisah duka lara hidup awak bersama Land an R? Saya berfikir sejenak. Wajarkah saya memarahi awak sedangkan pentas realiti kehidupan kita tidak semestinya berakhirnya dengan kisah kebahagiaan. Ada juga yang di luar sana bermuram durga.

Ila Amylia…maafkan saya kerana tidak bersemuka dengan awak setelah awak terjaga dari lena yang panjang. Saya takut tidak mengawal perasaan yang bergelora di hati saya ini. Biarpun saya tidak mengenali awak dan awak tidak mengenali saya tapi kita tidak boleh menghalang perasaan yang hati dari hati kita.

Adrin…

Ila menarik nafas panjang. Adrin…mungkin ini lelaki yang diperkatakan oleh Azie itu. Ila bingkas bangun dari katil. Hari ini dia bukan lagi penghuni di hospital yang membuatkan dia tidak tahan dengan bau ubat-ubatan. Ila mengaturkan langkah mengikut jejak Azie. Dia tidak sabra mahu ebrtemu dengan ahli-ahli kerluarganya.

ILA tersentak menerima manuskrip yang telah dituliskan untuknya itu. Tajuk manuskrip itu menarik perhatian Ila. ‘Nota Berwarkah Pilu’…siapa penulisnya? Mengapa manuskrip setebal ini diserahkan kepada dia. Ila merenung gadis ayu di hadapannya itu. Sayunya wajah gadis itu…
            “Abang minta adik sampaikan pada kakak. Dia mahu kakak olahkan semula manuskrip ini sebab abang kata dia bukan penulis.” ujar gadis itu lembut.
            “Tapi ini hak milik abang saudari…akak tak boleh ambil.” Ila menolak. Dia
masih tidak kekurangan idea lagi meskipun selama tiga bulan dia terlantar atas katil.
            “Please kak Ila….ini hajat terakhir dari abang walaupun manuskrip ini belum siap sepenuhnya.” Gadis itu merayu. Ada air jernih bergenang di kelopak matanya.
            “Tapi saudari…”
            “Jika Kak Ila tidak mahu terima bermakna akak tidak memaafkan abang. Abang amat sayangkan Kak Ila. Dia sanggup batalkan perkahwinan kerana Kak Ila. Dia cintakan Kak Ila. Dia sentiasa mengikuti perkembangan kakak. Semua karya Kak Ila dijadikan koleksi peribadinya hingga dia sanggup marahkan adik kerana hilangkan novel Kak Ila” Tersedu-sedu gadis itu menangis.
            Ila menjadi kaget. Adakah manuskrip ini dari lelaki bernama Adrin itu? Bagaimana lelaki yang tidak dikenali itu mencintai dirinya. Hatinya bergentar. Siapakah Adrin ini?
            “Boleh akak jumpa abang saudari?” Dia renung gadis itu. Dia sudah lama mengindamkan pertemuan dengan Adrin. Mungkin surat-surat misteri yang diterimanya selama ini adalah dari Adrin. Seorang peminat yang sentiasa memberikan semangat untuk dia bangkit dari kenangan lama.
            “Abang…abang…” Gadis itu tidak dapat meneruskan bicaranya. Dia anggukkan kepalanya lemah.

ADRIN terbaring lemah di atas katil. Wajahnya cengkung dan pucat namun dia masih mesra memberikan senyuman untuk Ila. Dia inikah orang itu? Lelaki yang bernama Adrin. Lelaki yang menemaninya tiga bulan lalu. Lelaki yang menyerahkan ‘Nota Berwarkah Pilu’ miliknya.
            “Maafkan saya kerana membaca coretan diarimu Cik Ila.” ucapnya perlahan.
            Ila hanya tersenyum. Tiada perkataan marah untuk lelaki itu.
            “Adakah ilham dari ‘Nota Berwarkah Pilu’ dari catatan diari saya?” Dia sudah membaca hampir separuh dari manuskrip tersebut. Adrin anggukkan kepalanya.
            “Hanya saya ubah watak di dalamnya menjadi watak seorang lelaki. Dan saya tidak sempat untuk mennyudahkan cerita ini lagi. Lihatlah keadaan saya yang terbaring lesu di sini.” terang Adrin. Dalam keadaan dirinya yang tidak berdaya, dia masih mahu menyiapkan manuskrip tersebut untuk Ila.
            Hati wanita Ila tersentuh dengan ketulusan Adrin. Ya Allah…kenapa lelaki sebaik ini harus menerima takdir yang cukup menyakitkan. Mengapa kau tidak pertemukan aku dengan dia lebih awal? Tanpa sedar Ila mengalirkan air matanya.
            “Boleh saya tahu nama awak. Kalau boleh dalam masa yang cukup singkat ini saya ingin mengenali awak. Kita habiskan cerita ini bersama-sama.” suara Ila tenang.
            “Nama saya Syed Adrin. Cik Ilya Amylia boleh panggil saya Adrin.”
            Mata mereka saling bertaut. Hak milik manuskrip itu adalah kepunyaan Adrin. Ila akan menunaikan segala permintaan Adrin.
            “Adrin….jangan panggil saya Cik Ilya Amylia. Awak boleh panggil saya Ila.” Ila tersenyum.

GELAK dan tawa Ila menyenangkan hati Adrin. Sepanjang tiga hari ini Ila sentiasa meluangkan masa untuk menemaninya. Papa dan mama juga tidak menghalang kehadiran Ila. Adik orang yang paling gembira mellihat Ila bersamanya. Ila gadis yang baik tetapi sering dikecewakan oleh lelaki. Dia juga bakal mengecewakan Ila. Air mata Adrin menitis. Ini semua suratan dari DIA. Dia redha….redha dengan ketentuan Ilahi jika hari ini adalah nafas terakhirnya di muka bumi Allah ini.
            Adrin membelek helaian manuskrip tersebut yang telah sempurna sepenuhnya. ‘Nota Berwarkah Pilu’ hanya menunggu menjadi senaskhah novel. Ila telah berusaha keras untuk menyiapkan manuskrip ini. Ila mahu dia orang yang pertama membaca manuskrip yang sudah diolah itu. Dia sungguh gembira! Badannya terasa amat letih. Adrin membaringkan diri semula di atas bantal sambil memeluk manuskrip tersebut. Dia ingin tidur dengan tenang malam ini. Adrin memenjamkan matanya rapat.
            “Ya Allah…terima kasih kerana menunaikan hajat dan impianku.” ucapnya perlahan.

Ila…
Saya amat gembila sekali bertemu dengan awak…berbual-bual dengan awak. Maafkan saya kerana saya tidak mampu untuk hidup bersama lebih lama dengan awak. Kanser tulang saya dihidapi sudah berada di peringkat akhir. Tiada peratusan untuk saya hidup. Tiada kata-kata harapan untuk saya terus bernafas lagi.

Ila…
Saya tidak takut untuk mati tapi saya takut amal dan ibadat saya tidak cukup untuk mengadap Ilahi. Ila…ini permintaan terakhir saya. Tunaikan permintaan ini. Berjanjilah dengan saya yang  ‘Nota Berwarkah Pilu’ ini diletakkan atas nama Ila Amylia.


Setahun kemudian…

‘NOTA Berwarkah Pilu’ menjadi novel paling laris di pasaran malah bakal dijadikan sebuah drama di televisyen. Nama Ila Amylia menjadi sebutan ramai kerana novel tersebut. Kisah novel itu cukup menyentuh perasaan seakan ianya seakan satu kisah realiti. Ila secara terang-terang menjelaskan karya itu hanya olahan dari dia tetapi ditulis oleh seseorang yang amat penting di dalam hidupnya. Orang itu sentiasa berada di hatinya. Siapa agaknya orang itu? Pihak wartawan ingin mecungkilnya di dalam sidang akhbar untuk promosi drama ‘Nota Berwarkah Pilu’.
            “Cik ila masih belum menjawab soalan kami.” Wartawan itu masih sabar menunggu.
            Ila memalit senyuman di bibir.
“Dia seperti seorang teman, dia juga seorang kekasih meskipun kami hanya berkenalan selama 3 hari. Hairan bukan? Dia menemani dan mencintai saya selama 3 bulan tetapi saya mencintai dia hanya selama 3 hari.” Tenang Ila mengungkapkan kata-katanya.
            “Maksud Cik Ila?” Wartawan itu bertanya lagi.
            “Syed Adrin Syed Idrus telah menghembuskkan nafas terakhir di pangkuan kekasihnya pada tanggal 15 Mei 2009. Dia hanya meninggalkan secebis nota berwarkah pilu untuk watak sang kekasih. Itu kesudahan yang anda baca di dalam novel ini.” Mata Ila mulai berkaca. “Tapi realitinya Syed Adrin pergi menghadap Ilahi dalam tidur.” Sambungnya lagi.
            “Jadi jika karya ini adalah milik arwah Syed Adrin…mengapa Cik Ila tidak menggunakan nama arwah?”
            “Arwah mahu karya ini menggunakan nama pena saya. Itu permintaan terakhirnya.” Setitis air mata jatuh membasahi pipi gebu Ila.

Adrin….
Mungkin ini adalah catatan terakhir diari saya. Saya tidak betah untuk menulis lagi di sini. Terima kasih Adrin kerana menemani saya sepanjang saya terlantar di katil putih itu. Dan terima kasih kerana memberikan saya sebuah manuskrip yang hebat kepada saya. Kisah yang awak coretkan ini sentiasa membuatkan air mata saya mengalir. Awak sebenarnya boleh menjadi seorang penulis yang terbaik.

Adrin….
Bersemadilah dengan aman di sana. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan dunia dan akhirat untuk awak. Jangan bimbang saya akan sentiasa menjenguk keluarga awak. Saya akan sentiasa berhubung dengan adik awak. Dia sentiasa menceritakan perihal awak pada saya. Juga kisah awak dan Tania. Tania…saya ada bertemu dengan dia. Dia tidak pernah menyalahkan awak dan dia bahagia dengan suaminya kini. Adrin….terima kasih kerana menyintai saya….

Ila…
 


 

Tuesday, June 28, 2011

E-Novel terakhir dari akak - Terpukau Seribu Rindu

Terpukau Seribu Rindu: Eleanor terpaksa beralah dan jauh merantau demi kasih dan sayangnya pada wanita yang dipanggil ibu itu. Pahit harus ditelan jua kerana dia hanya anak tiri pada wanita itu, Ibunya dianggap sebagai seorang perampas dan perosak. Di bumi asing ini dia bertemu dengan seorang pemuda Melayu bernama Haqq. Pelayan kafe yang sentiasa manis dengan senyuman di bibir. Haqq lelaki yang punya pelbagai ragam dan kerenah. Bersama Haqq dia lupa segala beban masalahnya...

Haqq seorang pemendam perasaan. Dia lelaki miskin yang tiada ibu mahu pun bapa dari kecil. Rumah anak yatim itu tempat dia dibesarkan. Haqq sentiasa mahukan orang-orang disekelilingnya tersenyum sedangkan hatinya sering menangis sendiri.

Bila perpisahan terjalin Eleanor mula rasa kesunyian...Menyedari ada satu perasaan kian bercambah di hati tatkala dia bersama Haqq, namun adakah Haqq punya jua perasaan sepertinya?

Thursday, June 23, 2011

Cenderahati Untuk Pembaca...

Fuhh! Manuskrip Coke and Sundae II telah siap sepenuhnya dengan 450 m/s tak tahulah berapa muka suratnya jika dah jadi novel nanti yg pasti tebal. Hehehehe....nak tahu kesudahannya? Kena tunggulah versi cetak nanti. Ilya ingat mahu buat cenderahati buat pembaca Ilya. Bandages? Mug? atau Keychain? tengah fikir ni. Tapi pembaca kawasan dalam KL lah dulu luar KL nanti tetap ada jugak. Hehehehehe...

Okay tak? Atau pembaca blog Ilya ada cadangan yang lain. Ingat lagi ilya buat 70 keping penanda buku CNS dan 566 HMC tak cukup pulak masa pesta buku. Apa taknya peminat dari novelis lain pun tumpang mintak sama so bagilah hehehehe...Kita tak nak kedekut bagi saja.

Sekarang Ini Ilya tengah buat sticker untuk CNS II...hehehehe...design sudah buat nanti Ilyakan berikan sticker untuk mereka yang beli buku novel Ilya dengan Ilya. If nak beli bersama Ilya pun boleh tapi novel2 Ilya lah hehehehe....

Wednesday, June 22, 2011

Satukan Cinta Kita - Bab 1

“I tak kira kalau dia tak sampai dalam masa setengah jam lagi nak pergi bakar rumah dia!” bentak Firdayu. 


Tercengang-cengang Fahmy. 


Babah dan Nenek gelengkan kepala. Dah nak kahwin pun masih ada fiil yang tidak berubahnya. 


Aliyah sudah ketawa kecil. 


Pekerja-pekerja ‘Rosette Fashion Designer’ sudah angkat kaki. Tak sanggup kena tempias kalau Firdayu sudah mengamuk.


Terhegeh-hegeh Linda menarik tangan Andy mengajaknya keluar. 


            “La….bukan ke Kid dah beritahu keretanya pancit tengah jalan. Anak babah ni risau yang bukan-bukan.” desis Encik Fahrin.


            “Dia tak lari ke mananya, Yue. Dia takkan tinggalkan wanita yang dicintainya ni. Diakan orang kanan Nenek. Nenek kenal sangat dengan dia.” celah Nenek. 


            Firdayu mencebik. Dia tahulah yang Kid bekerja dengan Nenek sebelum bekerja dengannya. Tetapi Kid pernah lari, tinggalkan dia tanpa sebarang berita. Lesap begitu sahaja. Hati siapa yang tak gundah? Kalau Kid lari masa majlis akad nikah, macam mana? Kalau boleh dia nak letak pengawal di kiri dan kanan Kid. Tapi babah pulak yang tak bagi. Babah kata dia berfikiran macam orang tidak matang.


            “Bawa bertenang Yue. Kejap lagi sampailah Kid tu.” Babah memujuk lagi anak gadisnya itu.


            “Panaslah. Dahlah vila ‘keramat’ nenek ni takder air-cond.” 


Dalam pada marah sempat pulak dia buat kompelin. Siap mengibas-gibaskan tangan lagi. Make-up di muka pun sudah berapa kali kena touch-up balik. Kesian pada mak andam yang tidak menang tangan melayan kerenah Firdayu. Firdayu langsung tidak tahu nak duduk diam. Asyik ke hulur dan ke hilir sahaja.


            “Yue…babah tanya sikit boleh?” 


            Firdayu mengangguk. 


            “Yue tak kisah ke berikan segalanya pada Aliyah. Yue tahukan yang Rosette Fahsion Designer adalah hasil titik peluh Yue.”


Terkejut juga Encik Fahrin bila Firdayu berikan Rosette Fahsion Designer kepada Aliyah, adik Kid. Sedangkan Rosette Fahsion Designer adalah nyawa Firdayu. 


            “Sikit pun Yue tak menyesal, babah. Yue nak berehat. Yue nak jadi suri rumah sepenuh masa. Lagipun lawyer nenek tu mampu tanggung makan minum Yue.” Jawab Firdayu selamba.


            Satu jawapan yang buat Encik Fahrin tersenyum lebar.


            “Betul anak babah ni tak menyesal? Tak menyesal berkahwin dengan Kid? Tak menyesal tinggalkan kemewahan millik Yue?”


             “Yue tak menyesal babah. Yue tak sesekali menyesal dengan pilihan Yue.” tegas Firdayu. Firdayu memeluk babahnya erat. Lepas ini dia tidak akan sentiasa bersama babah lagi. 


            “Yue tak nak peluk nenek sama ke?” Nenek menjeling. 


            “Tak payah!” 


            “Eh! Kalau bukan nenek…Yue takkan dapat bersama dengan lawyer kesayangan nenek, tau. Ingat sikit…semua ni jasa nenek. Kalau tak, nenek yang patut jadi pengantin baru.”


            “Ermmm….mengada-ngada betul nenek ni.” 


Firdayu memeluk erat nenek. Pipi nenek yang sudah berkedut seribu itu dikucup perlahan. Betul! Tanpa Nenek dia tidak mungkin bertemu dengan cintanya.


            Terima kasih nenek…Kata-kata itu hanya terucapkan di dalam hati. Dia yakin nenek pasti tahu akan isi hatinya. 


            Bunyi riu-rendah di luar meleraikan pelukkan Firdayu pada Nenek. Pasti rombongan pihak lelaki telah tiba di pekarangan vila ‘keramat’ nenek. 


Bergegas Firdayu turun dari anak tangga. 


Babah, Nenek dan yang lain-lain mengekori langkah Firdayu. 


Firdayu sudah bercekak pinggang di hadapan Keyrill yang masih termengah-mengah. Lencun baju Melayu yang dipakainya.


            “Tak guna! Kenapa you lambat, hah! You tahu tak lama I tunggu di sini. Make-up I pun dah berapa kali luntur! You memang sengaja nak cari nahas dengan I!” Firdayu melenting. 



Babah tepuk dahi. 


Nenek sudah ketawa mengekeh. 


Aliyah dan Fahmy saling berpandangan. 


Para tetamu mengangakan mulut melihat pengantin perempuan marahkan pengantin ellaki. Amboi…garangnya!


            Keyrill menjongketkan bahu. Nak buat macam mana, kan. Itulah Firdayu…bakal isteri dia dalam beberapa minit lagi. Dia buat muka selamba dia sajalah. Keyrill aturkan langkah. Pakaian perlu berganti. Takkan mahu menikah dengan baju yang bau masam begini? Mahu pengsan tok kadi nanti.


            “You dengar tak I cakap ni Kid. Berani ya you nak melarikan diri dari I!” rengus Firdayu sambil mengikut Keyrill dari belakang. Dia membebel panjang. 


Keyrill tadah telinga saja dengar bebelan Firdayu. Tidak kuasa nak melayan. Lama-lama nanti diamlah mulut Firdayu yang macam bertih jagung tu. Dah biasa!


            “Kid memang tahan ‘kebal’ dengan Firdayu betul. Kalis peluru.” Alfi yang turut berada di dalam rombongan sebelah Keyrill bersuara. Dia merenung isterinya yang berdiri di sebelah Fahmy. 


Aliyah mengenyitkan mata.

           

“AKU terima nikahnya Firdayu Binti Fahrin dengan mas kahwinnya…..” 


Sekali lafaz saja Firdayu sudah sah menjadi isteri kepada Keyrill Bin Benjamin, memerangkap bekas PA kepada Firdayu sebelum ini. Sekarang bukan PA lagi tapi lawyer yang bertauliah. 


Dato’ Aminuddin berputih mata. Namun dia tetap gagahkan diri untuk hadir ke majlis pernikahan Firdayu dengan Keyrill.


            “Tahniah!” ucap Dato Aminuddin kepada pasangan pengantin.” Dia sedaya mungkin mengukir senyuman di bibir. 


Tidak kelihatan pula kelibat Ruzair di majlis tersebut. Apakah Ruzair tidak sanggup melihat Firdyau bergandingan dengan Keyrill? Mungkin Ruzair masih berduka. Rasa-rasanya kad undangan perkahwinan Firdayu telah sampai ke tangan Ruzair.


            “I berbesar hati sebab you hadir dalam majlis perkahwinan I. I minta maaf kerana melukakan hati you. You sebenarnya lelaki yang baik.” suara Firdayu. Ikhlas dari hatinya.


            “I punya segala-galanya tapi I tidak dapat menandingi cinta Kid pada you.” 


Dato’ Aminuddin mengerling Keyrill yang berada di sisi Firdayu. Erat lelaki itu memaut pinggang isterinya. Mungkin ingin menunjukkan yang Firdayu adalah miliknya mutlak.


            “Bukan harta yang menjadi soalnya, tapi hati. I tanya pada hati I. Hati I berkata yang Kid adalah cinta yang I cari. Biarpun selama lima ratus enam puluh enam hari I mencari cinta, kalau Tuhan tidak mahu pertemukan jodoh I, maka I takkan berjumpa dengan jodoh I juga. Tapi kalau I nakal-nakal dengan you boleh, kan Dato’?” Firdayu ketawa kecil. 


            “Jaga-jaga Kid.” Dato’ Aminuddin pecah ketawa. 


Keyrill gelengkan kepala mendengar usikkan Firdayu. Berani Firdayu buat perangai nakalnya depan dia.


            “Saya mohon maaf atas kenakalan Firdayu sebelum ini. Saya janji lepas ini dia tidak akan jadi poison ivy lagi yang suka melilit lelaki-lelaki kaya macam Dato’.” celah Keyrill. 


Bahaya! Kena jaga Firdayu betul-betul. Bukan boleh percaya seratus peratus pada  isterinya itu. Nakalnya tetap ada.


            “I kena minta diri dulu. Malam ini akan berangkat ke Shanghai. Firdayu…I tidak pernah menyesal mengenali you. I doakan you bahagia.” 


            “Thanks. I harap you jumpa gadis yang nakal-nakal macam I juga. I doakan itu

pada you.” 


            “Firdayu! Saya gigit awak nanti.” ugut Keyrill. 


            “Ha ha ha! Moga-moga I jumpa gadis yang nakal macam you. I pergi dulu.” Dato’ Aminuddin masuk ke dalam perut keretanya. 


            Firdayu mengerling Keyrill dengan manja. Dia lentukkan kepalanya pada dada bidang Keyrill. Hanya Keyrill dapat memberikan perasaan yang lain daripada yang lain. Keyrill memberikan dia perasaan cinta yang tidak terhingga.


            “Kalau nak bermanja pun tunggulah masuk bilik dulu.” 


Muka Fatin tercongok di depan mata Firdayu. Melebar senyuman minah seorang ini. 


Firdayu merengus kecil.


            “Datang jugak you. Ingatkan masih frust menonggeng!”


            “Apa you ingat I jahat sangat macam you? Sepupu I kahwin, mestilah I hadir, kan. Lagipun takder maknanya I nak menangis lama-lama. I pun macam you…mana boleh hidup tanpa lelaki.” 


Lagak Fatin masih sama. Tidak berubah langsung. Tidak mahu kalah pada Firdayu. Dia mengerling pada lelaki yang berada di belakangnya. Boleh tahan orangnya walaupun tidak sehebat Ruzair Tan Sri Hamzah. 


“Patah hilang tumbuh berganti!” sambung Fatin lagi. Terukir senyuman di bibirnya.


            “Not bad. Kena dengan taste I jugak. Baik you berjaga-jaga.” Firdayu menggoyang-goyangkan jari telunjuknya.


            “Firdayu!” 


Keyrill mula mengeraskan sedikit suaranya. Lain macam jelingannya pada Firdayu. 


Firdayu undur beberapa langkah dari sisi Kid. Dia tersengih. Tunggu apa lagi. Cabut!


            Boleh pulak pengantin main kejar-kejar. 


Fatin dan pasangannya ketawa. 


Diikuti dengan deraian tawa babah, nenek dan semua yang masih berada di majlis itu.



“YUE…abang bahagia kerana Yue memilih abang menjadi teman hidup Yue. Mungkin abang akan jad sasau kalau Yue menjadi milik Ruzair.” Keyrill mengelus lembut rambut Firdayu. 


 Ketika ini mereka sudah berada di kamar peraduan. Keyrill meletakkan kepalanya pada ribaan Firdayu. Firdayu tersenyum dengan gelagat manja suaminya itu.


“Hati I ini lagi sasau bila you tinggalkan I. I buta Kid…buta dalam menilai cinta. Bertahun-tahun I mengenali you tapi I tutupkan hati melihat cinta you. Cinta yang I cari sebenarnya ada di depan mata I sendiri.”


“Aaa…no more Kid lagi tapi Keyrill.” Keyrill menarik hidung Firdayu. “One more…sayang kena panggil abang bukan I dan you lagi.” Keyrill mengoyang-goyangkan jari telunjuknya.


I’m sorry sayang.” Firdayu mengucup lembut dahi Keyrill. Mereka saling ber-

balas senyuman. 


Keyrill meramas-ramas jari runcing Firdayu lalu dibawa ke bibirnya. Dia kucup perlahan. Debaran di hati Firdayu kian terasa dengan renungan isyarat Keyrill. Dia seakan memahami apa yang diingini oleh suaminya. Lantas lampu dipadamkan.



PONNNNN! Bunyi hon kereta di luar banglo dua tingkat itu mengejutkan Firdayu dari tidur yang lena. Terpisat-pisat Firdayu bangun dari pembaringan. Dia merengus kecil. Mimpinya hilang entah ke mana. Kurang asam! Pencemaran bunyi itu telah melenyapkan mimpi indah malam pertamanya bersama Keyrill. Firdayu mengaru-garukan kepala yang tidak gatal. Dia mengukirkan senyuman di bibir. Indah sungguh mimpinya itu. Di dalam mimpinya, dia bergelar isteri kepada Keyrill Benjamin. Tapi kenapa hanya mimpi? Firdayu meraba-raba jari manisnya yang masih tersarung cincin pertunangan antara dia dan Keyrill.


            Ponnnnnn! Bunyi hon kereta di luar masih kedengaran. Firdayu bingkas bangun membuka jendela dengan rambut yang kusut masai. Dia mengetap bibir. Orang yang memekak pagi-pagi begini adalah tunangnya sendiri. Siapa lagi kalau bukan Encik Keyrill Benjamin atau panggilan mesranya Kid!


            “Lambat…saya tinggalkan awak!” 


            Huh! Keyrill Benjamin…perwatakkannya masih lagi seperti Kid! Hati batu dan tidak berperasaan! Dia lebih banyak bercakap berbanding dengan Keyrill. Kalau dalam court Keyrill lah pembicaranya yang utama. Peguam katakan.


            “I bersiap sekarang!” laung Firdayu. Dia mencapai tuala menuju ke bilik air. Setengah jam kemudian Firdayu sudah siap dengan pakaian ekslusifnya untuk ke Rosette Fashion Designer. 


            Bergema Firdayu menuruni anak tangga. Dia langsung tidak memandang ke arah Encik Fahrin yang sedang bersarapan di meja makan. Tergesa-gesa Firdayu meyarungkan kasut tumit tinggi. Encik Fahrin gelengkan kepala sambil menghirup kopi O nya. Anak manjanya itu bukannya tahu untuk bangun awal pagi. Elok Keyrill tinggalkan sahaja Firdayu itu. Biar Firdayu pergi ke pejabatnya sendiri. Bukan Firdayu tidak pandai membawa kereta. Kereta tiga biji depan pekarangan rumah mereka itu sekadar buat penghiasan ke?


            “Babah...Yue pergi dulu” Firdayu mengucup kedua belah pipi tua Encik Fahrin. Bulat mata Encik Fahrin melihat Firdayu yang sudah berkasut tumit tinggi itu memijak karpetnya. Bertuah punya anak!


            Masam mencuka muka Keyrill yang sedang bersandar pada Honda Accordnya itu. Hari-hari Firdayu lambat! Dia diheret sekali lewat sama ke pejabat. Tolonglah…Ini Keyrill Benjamin. Lelaki yang menepati masa dan berdedikasi! Tambahan pula, hari ini dia punya temujanji dengan seorang klien.


            “Kid…you marah I?” soal Firdayu sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.


            Keyrill membisu. Dia menghidupkan enjin keretanya.


            “Kid! I tanya you ni.” Firdayu menaikkan sedikit nada suaranya.


            “Sayang….saya bukan lagi kid pembantu awak itu. Saya ini tunang awak Keyrill Benjamin. Awak bukan lagi Cik Firdayu saya.” desis Keyrill.


            “Ops! Sorry…” Firdayu menekup mulutnya. Dia masih tersasul memanggil Keyrill dengan panggilan Kid. Entah mengapa dia lebih senang dengan panggilan Kid itu.


            “Saya sudah buat tempahan kad kahwin kita. Kita pergi lihat petang nanti bersama ya.” Keyrill mengerling Firdayu di sebelahnya.


            “Okay...habis pertunjukan fesyen I di Bukit Bintang nanti I akan terus on the way ke sana.”


            “Janji awak jangan lewat!” 


            “I janji sayang.” Firdayu melirikkan senyuman.