Tab Menu

Followers

Thursday, August 25, 2011

Romie dan Julie - Bab 2

LANGKAHNYA tidak teratur buat gadis itu hampir tersungkur. Mujur Romie sempat memaut pinggangnya. Dia mengetap bibir lalu menolak tubuh Romie. Romie tersengih. Mereka kini sudah hilang dari pandangan orang lain. Ke mana hala tujunya pun Romie sendiri tidak tahu. Apa yang penting dia hanya berdua dengan gadis itu. Dia menghembuskan nafas lega. 

            “Siapa nama kau?” soalnya. 

            Gadis itu buat tidak dengar. Mata meliar melihat keadaan sekeliling yang gelap dan sunyi. Lorong manalah yang di bawa oleh lelaki yang mereng ini. 

            “Kau tak dengar ke aku tanya kau!” Romie melenting. Dia sudah bercekak pinggang.

            “Kau panggil aku?” 

            “Habis takkan aku bercakap dengan hantu kot.” Loyar buruk pulak gadis jelita ini. 

            “Nama aku Julie.”

            “Julie sahaja.”

            Dia mengetap bibir. Jengkel hatnya melihat senyuman lelaki itu.

            “Julie Esmelda. Kau pula?” 

            “Aku? Nama aku Romie.

            “Romie sahaja.” 

Julie meniru pula kata-kata Romie.

            “Romie Izary anak kedua diktaktor berkuku besi.” Romie ketawa apabila menggelarkan ayahnya sedimikian. “Aku paling suka main hide and seek dengan ayah aku itu. Dan kali ini aku ajak kau bermain dengan aku sekali.” Romie mengenyitkan matanya pada Julie. 

            Ya. Gadis dingin yang umpama bidadari dari kayangan itu bernama Julie Esmelda. Romie…Julie…Romie…Julie…nama mereka seperti ada persamaan. Romie dan Julie. Romie mengusap-usapkan dagunya. Tawanya mengejutkan Julie. Gila ke lelaki ini? Julie duduk bercangkung memeluk lututnya. Macam mana dia mahu mencari pulang nanti? Pastinya abang akan risaukan keselamatannya. Lelaki gila inilah punya pasal.

            “Aku nak balik!” gerutu Julie. Dia mengetap bibir. Kenapa dia perlu terlibat dengan permainan bodoh tuan muda keluarga Tuan Hilman ini?

            “Kau kena temankan aku bermain malam ini. Kau sudah lupakan aku ke?” Romie merapati Julie. 

            “Aku kenal kau ke?” soal Julie. Wajahnya berubah semakin serius. Dia tidak senang dengan gelagat Romie yang agak keanak-anakkan. Romie tersengih. Dia turut bercangkung di sebelah Julie. Pandangan mata Romie merimaskan Julie.

            “Kau sudah lupa aku. Kau dah lupa pada lelaki yang tidak kisah jika kena tangkap basah dengan gadis secantik kau.”

            Julie terdiam. Dia renung raut wajah Romie. Berkerut-kerut dahi Julie. 

            “Kau!” Dia bingkas bangun. Jari telunjuknya di halakan pada muka Romie. Romie mengangkat-angkat keningnya. Kepalanya diangguk-anggukkan. Lebar senyuman di bibir Romie. Dia senang hati kerana Julie mengingatinya.

            “Apa kata aku bermalam di rumah kau. Aku tiada tempat tinggal sekarang ini.” 

            Anak mata Julie membulat besar mendengar kata-kata Romie itu. Lelaki ini benar-benar telah membawa masalah kepada dia. Benarkah Romie anak kepada ahli perniagaan yang tersohor itu. Mereka bagaikan langit dengan bumi.

            Tiba-tiba Julie memalitkan senyuman di hujung bibir. Ada sesuatu yang telah menerjah di dalam mindanya. Lelaki nakal ini perlu diajar. Desis hatinya. 

            “Baiklah. Tapi kau perlu bawa aku keluar dari lorong gelap ini. Aku mana tahu jalan.” Ujar Julie. Julie mengendurkan suaranya. Tidak sekasar tadi.

            Yes!” Romie melonjak gembira. Dia tidak tahu apa yang bermain di dalam fikiran Julie. Malam ini dia tidak perlu pulang ke vila. Biarkan orang suruhan ayahnya itu mencari dia. Barulah ada kerja lebih masa untuk orang suruhan ayahnya. Tidaklah mereka makan gaji buta.

            Mereka berjalan beriringan. Romie bernyanyi-nyanyi kecil. Jelas kecerian pada wajah tampan Romie. Julie hanya membisu di sepanjang perjalanan. Tidak banyak berbicara. Sepatah Romie bertanya maka sepatahlah jawabnya. Jika lelaki lain di tempat Romie pasti mereka akan mengatakan gadis itu seorang yang membosankan.

            Julie mengerling Romie engan ekor matanya. Dia memang tidak tahu kewujudan anak lelaki kedua Tuan Hilman ini. Romie tidak pernah tunjuk muka di khalyak ramai atau di media-media massa. Apatah lagi jamuan-jamuan eksklusif yang dihadiri oleh lelaki korporat itu. Muka Romie tidak akan kelihatan. Romie pasti kelihatan seperti orang kebanyakkan sekiranya warna matanya tidak biru dan rambutnya tidak bewarna coklat keperangan. Romie berbeza dengan kedua anak lelaki Tuan Hilman yang lain. Mungkin ibu mereka berlainan. Julie sekadar membuat tanggapan sendiri.

            “Kenapa kau asyik merenung muka aku? Muka aku ada seperti wajah Stefan watak hero Vampire Diaries itukah?” Romie menegur. 

            Julie pantas mengalih pandangan. Celaka! Lelaki itu perasan dia memandangnya. Romie
ketawa. Julie sudah tertangkap dengan dia. 

            Dalam hati Julie mengiakan kata-kata Romie itu. Penampilan dan stail Romie seperti pelakon kacak itu. Salahnya Romie bukan lelaki bergigi taring yang mengidamkan darah manusia. Lelaki yang ini hanyalah manusa biasa yang agak gila! Di mana mahu dia campakkan Romie nanti? Julie sedang berfikir jalan yang agak sesuai untuk dia melarikan diri Romie. Akalnya berputar sebaik saja mereka berada di depan sebuah farmasi. 

            “Aduh!” Julie menekan-nekan perutnya. 

            What’s wrong?” Romie merapati Julie yang sudah bercangkung menekan perutnya. Wajah gadis itu seakan sedang menahan sakit.

            “Perut aku sakit. Kau boleh belikan aku ubat. Aku terlupa nak bawa ubat aku.” ujar Julie dengan suara tersekat-sekat. Romie garukan kepala.

            “Ubat apa yang kau nak aku belikan?” 

            Julie memberikan isyarat supaya mendekati dia. Romie menurut. Julie membisikkan sesuatu pada telinga Romie. Reaksi Romie berubah. Muka putihnya berubah merah. Dia tidak boleh biarkan Julie berkeadaan begini. Masakan dia mahu mengangkat Julie di depan orang lalu-lalang ini. Apa mereka kata nanti?

            “Baiklah. Tapi mana aku nak cari farmasi?” soalan bodoh dari Romie. Dia mengaru kepala.

            “Kau tak nampak ke farmasi depan kau itu!” Gerutu Julie. 

            Romie tersengih. Pantas langkahnya diatur. Julie melirik senyuman. Otak udang juga lelaki ini. Amat mudah kena tipu. Dia ambil peluang angkat kaki. Apa yang akan berlaku pada Romie bukan urusannya. Pandai-pandailah Romie mencari tempat untuk bermalam! Dia bukan orang merempat yang tidak punya wang ringgit. Tuan muda besar! Tiada masa dia mahu melayan tuan muda itu bermain sorok-sorok.

JULIE melepaskan keluhan kecil. Berjaya juga dia menghindarkan diri dari Romie. Dia behenti di sebuah restoran kecil. Perutnya berkeroncong. Ketika membuat persembahan di hotel tadi, Julie tidak sempat menjamah sedikit makanan pun. Dia juga tidak membawa wang dalam tangan. 

           Julie bermenung sendiri. Bagaimana dia mahu menapak pulang ke hotel? Macam mana kalau dia terserempak dengan peronda-peronda malam pula? Dia tentu akan disyaki sebagai pendatang tanpa izin di Malaysia. Masalah ini berpunca dari lelaki yang bernama ROMIE itu! Julie hanya mampu memandang hidangan di depan mata. Masakan dia mahu menjamu selera tanpa membayarnya?

            Ketika ini dia hanya memikirkan perutnya yang kosong dan tempat untuk dia bermimpi indah. Rasa menyesal pula kerana meninggalkan Romie. Lelaki itu pastinya ada wang dalam saku. Seorang pelayan restoran merapati mejanya. Gadis itu muda itu meletakkan menu di atas meja. Julie hanya mampu tersenyum. Dia membelek-belek menu tersebut.

            “Kalau lapar pesan saja. Aku bayarkan untuk kau.” Ada suara garau di belakangnya. Tertelan air liur Julie. Dia tidak berani untuk menoleh ke belakang. Dia sudah mengecam tuan yang empunya suara. ROMIE!

            Dengan selamba Romie duduk di hadapannya. Lelaki itu tersengih. Dia menarik menu dari tangan Julie. Julie menundukkan kepala. Tidak sanggup dia mahu melihat raut wajah Romie. Dia tahu Romie mesti mencari dia tadi. Kalau tidak masakan boleh berjumpa di sini.

            Romie mengangkatkan tangan memanggil salah seorang pelayan di restoran itu. Dia menunjukkan beberapa jenis menu di situ kepada pelayan terbabit. Julie hanya diam tidak berkutik. 

Seketika kemudian pelayan itu kembali membawa hidangan makan malam mereka. Boleh tahan juga dia membuat pesanan. Penuh satu meja makan mereka. Kuat makan rupanya lelaki seorang ini.

“Tak baik menipu. Kau takut apa dengan aku. Aku takkan apa-apa kaulah. Aku bukannya harimau mahupun buaya.” Romie bersuara. Dia bingkas bangun menuju ke sinki. Romie sudah membuka kot dan melipatkan tangan kemejanya. Kalau orang berdarjat seperti Romie pastinya akan makan menggunakan garfu dan sudu. Tapi lelaki ini lebih tampak selesa makan pakai tangan. Malah dia tidak kisah menyentuh hidangan ala kampung di restoran ini.

Romie buat Julie terlopong besar. Romie tidak seperti yang dia fikirkan. Malu-malu dia mencapai sudu di atas meja. Dia agak kekok mahu makan pakai tangan seperti Romie. Mungkin cara hidupnya lebih ke arah kebaratan dari timur. Julie malu sendiri. Lapan tahun dia menetap di United Kingdom bersama keluarga bapa saudaranya, dia sudah lupa pada kebudayaan dari timur.

“Tuan muda!” Bahu Romie disentuh.

Romie behenti menyuapkan nasi dari mulutnya. Dia rasa makin menyampah dengan orang suruhan ayahnya ini. Seksa dilahirkan dalam keluarga berdarjat besar ini. Hidup terkawal dua puluh empat jam. Dia merengus kecil. Hilang senyuman yang sering terukir di bibirnya. Julie angkat kepala. Dua lelaki bertubuh tegap dan berkot hitam itu sedang memengang bahu Romie. Keduanya berwajah bengis.

“Kau orang boleh bagi aku bernafas sedikit tak?” desis Romie. Dia sudah mula meninggikan suaranya.

“Kami hanya menerima arahan dari tuan untuk membawa tuan muda pulang.” Balas salah seorang dari lelaki itu.

Romie menepis tangan yang memengang bahunya. Dia mahu bangun namun kedua lelaki itu menekan bahunya hingga dia jatuh terduduk. Romie merengus. 

“Aku nak pergi basuh tanganlah. Atau kau orang mahu jilatkan tangan aku sampai bersih!” Getusnya geram. Kedua lelaki itu saling berpandangan. Mereka melepaskan cengkaman di bahu Romie. Ada lirikkan senyuman sinis di hujung bibir Romie. 

Julie memerhatikan gelagat Romie. Julie percaya Romie punya muslihat. Wajah Romie sudah mengambarkannya. Romie kenyitkan mata ke arahnya. Tersedak Julie yang sedang meneguk airnya. Romie mengeluarkan sejumlah wang dari kocek seluarnya. Dia hulurkan kepada kedua orang suruhan itu.

“Pergi bayarkan makan malam aku!” Arah Romie. Salah seorangnya anggukkan kepala dan menurut perintah. Yang seorang lagi menunggu di sisi Romie.

Dia perlu bijak mengambil peluang ini. Romie menyiku perut yang seorang itu dengan sekuat-kuatnya. Orang suruhan ayahnya itu mengerang kesakitan. Temannya segera berpaling. Lantas dia menarik tangan Julie turut melarikan diri bersamanya. Mereka berlari tanpa menoleh ke belakang. Samada orang suruhan ayahnya itu mengejar atau tidak, Romie tidak ambil peduli. Apa yang penting dia terlepas dari dua orang lelaki itu.

Tercungap-cungap mereka dibuatnya. Julie tidak mampu untuk berlari lagi. Sakit di kakinya kian terasa. Mereka behenti berdekatan sebuah stesen teksi. Julie sudah terduduk mengatur penafasan. Romie juga turut duduk di sisi Julie. Mereka berdua sudah bermandikan peluh dingin.

Very Fun!” Ujarnya.

Julie gigit bibir.

Fun! Kau kata fun. Otak kau sudah tak betul agaknya!” Tempelak Julie. Dia boleh bayangkan keadaan dirinya. Rambut kusut masai dan berpeluh busuk satu badan. Melekit!

“Kau tak rasa seronok ke?”

“Bodoh!” 

Romie ketawa. Dia tahu salahnya. Dia telah menyebabkan kehidupan gadis ini kucar-kacir dalam satu malam. Tapi dia rasa senang hati. Dia ada teman kali ini. Seorang gadis jelita.

“Kau nak dengar kisah aku?” 

“Aku harap cerita kau itu tidak membosankan aku.”

Julie menanggalkan kasut yang dipakainya. Longgar sedikit urat sendi kaki. Jemari halusnya memicit-micit bahagian yang terasa sakit. 

“Aku jamin ianya tidak akan membosankan.” 

Julie mencebik. Yakin sungguh lelaki ini. 

“Kau tahu aku pernah mencuri buku ketika aku awal remaja. Tapi aku kantoi dengan penjaga kedai buku tu.”

Romie mula bercerita. Julie menadah telinga mendengar bicara dari Romie. Sesekali hampir tercetus tawa di bibir Julie. Namun dia sedaya upaya menahannya. Dia biarkan Romie berceloteh sendiri. Julie merenung bulan di kaki langit.  Cerah bulan malam. Bintang-bintang kecil berkerlipan. Malam yang sungguh indah bagi Julie. Akhirnya Julie melirik jua senyuman di bibir.

BAHANG cahaya matahari terpancar pada wajah Julie. Julie membuka perlahan kelopak matanya. Dia rasa seperti tertidur di atas bahu seseorang. Serta-merta dia bingkas bangun. Kot hitam yang membaluti tubuhnya terjatuh. Terpisat-pisat Julie mengosokkan mata. Terkesima dia seketika.  Malam itu dia langsung tidak sedar bila dia tertidur. Dia asyik memandang bulan dan bintang sambil mendengar bicara Romie. Lena sungguh dia tidur bersandarkan bahu Romie. Muka Julie kemerahan.

            Julie merapati Romie yang masih lena. Dia capai kot yang terjatuh atas lantai itu lalu diselimutkan pada tubuh Romie. Perlahan-lahan Julie menyeluk poket seluar Romie. Dia mengambil beberapa keping wang di dalam dompet Romie. Kemudian Julie mengambil telefon bimbit di dalam kot Romie. Dia menaipkan sesuatu pada telefon tersebut. Julie berundur beberapa langkah dari Romie. Makin dia renung lelaki ini makin hatinya kuat berdebar.

            Sorry…saya tak dapat temankan awak bermain lagi.” Bisik hati kecilnya. Julie segera beredar.

            Romie terasa tubuhnya digoncangkan. Terpisat-pisat Romie membuka kelopak matanya. Dia mengusap kecil sambil menekup mulutnya. Dalam keadaan mamai dia cuba membukakan mata seluas-luasnya. Romie mengaru-garukan kepada. Rasanya dia tidak berseorangan malam tadi. Dia punya seorang teman. Ke mana pula hilangnya teman dia itu?

            “Tuan muda.” Romie mendongakkan kepala. Dia tersengih. Kedua orang suruhan ini betul-betul setia mencarinya sehari suntuk. Agaknya mereka tidak tidur langsung.

            “Aku nak balik vila.” Suara Romie. Dia bangun dari duduknya. 

            Kedua orang suruhan itu anggukkan kepala. Mereka mengekori langkah Romie. Dalam hati keduanya menarik nafas lega. Apa yang mereka akan jawab sekiranya Romie tidak dijumpai. 

            Romie melangkah masuk ke dalam limousine berwarna putih itu. Romie tersentak apabila melihat ayahnya berada di dalam limousine tersebut. Dia duduk mengadap wajah lelaki yang cukup dibenci sepenuh hatinya itu. Tuan Hilman sedang meneliti kertas kerja di tangannya. Wajah Tuan Hilman tampak serius sekali. Romie hanya membisukan diri menongkat dagu membuang pandang ke luar.

            “Kau masih salahkan ayah pasal kematian mummy kau.” Tuan Hilman bersuara. Lelaki itu tidak langsung mengangkat wajahnya.

            “Ayah tahu betapa sayang dan cintanya mummy pada ayah? Tapi sanggup ayah buat mummy begitu! Ayah lebih takut kehilangan kedudukan ayah dari nyawa mummy.” Getus Romie.

            Tuan Hilman meletakkan kertas kerjanya ke tepi. Dia angkatkan kepala memandang Romie. Apa lagi yang Romie mahukan untuk dia tebus keesalahan yang lalu. Dia sudah berikan segala kemewahan kepada Romie. Malah dia sayangkan Romie lebih dari anak tirinya Adiputra dan adiknya Vicky. Dia mahukan yang terbaik untuk Romie.

            “Ayah akui kesilapan ayah tapi mummy kamu yang tidak faham akan kehendak ayah. Ayah tidak akan membiarkan orang yang hendak menghalang kehendak ayah termasuklah mummy kamu.”

            Romie mencebik. 

            “Sampai ayah sanggup membunuh mummy.”

            “Romie!” Tuan Hilman meninggikan suaranya.

            “Jika ayah punca kematian mummy, saya tidak teragak-agak akan bawa ayah ke muka pengadilan.” Romie mengalih pandang. Tajam lirikkan matanya merenung Tuan Hilman.

            “Mampukah kau bawa ayah ke muka pengadilan?” 

            Romie membisu. Lelaki berpengaruh kuat seperti ayah tentu sukar untuk ditundukkan. Dalam dunia ini…wang, kuasa dan ketamakan adalah segala-galanya. Dia tidak sesekali melupakan kata-kata ibunya itu. Dia akan bela kematian ibunya. Itu janji Romie.

            “Perasaan benci saya pada ayah tetap tidak berubah!” Tegas Romie. Antara mereka tidak akan sehaluan.

            Tuan Hilman merengus kasar. Tidak cukup dengan musuh-mush di luar sana. Anaknya juga memusuhi dia. Inilah hakikat! Meskipun musuh ketatnya sudah tiada namun warisnya tetap meneruskan tradisi permusuhan ini. Dia harus bersiap sedia menghadapi musuh-musuhnya tidak kira dalam apa jua keadaan. Dia tidak akan biarkan musuh-musuh menemui kelemahannya. Adakalanya manusia perlu menjadi lebih kejam. Itu yang berada di dalam fikiran Tuan Hilman. Dia berbuat demikian untuk melindungi ahli keluarganya.

            Dia tidak akan teragak-agak untuk melukai Romie sekiranya anaknya itu masih berkeras untuk menentang dia. Sabarnya pada Romie sudah sampai ke tahap yang penghujung. Dia acapkali memberikan Romie masa dan peluang untuk membaiki hubungan mereka. Tapi Romie bertindak sebaliknya. Kematian Isabel bukan salahnya. Wanita itu yang terlalu mendesak pinta dilepaskan. Dia turutkan dan pertengkaran mereka rupanya berakhir dengan tragedi. Tuan Hilman cuba menahan kesedihan menerima berita kematian Isabel. Dia menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mendapatkan hak penjagaan Romie dari Ben. Malah permusuhan terjadi di antara dia dengan keluarga Isabel. Mereka menunding jari ke arahnya atas kematian Isabel. Masakan dia akan membunuh Isabel, wanita yang amat dicintainya itu. 

Tuesday, August 23, 2011

Romie dan Julie Bab 1

BEBERAPA orang lelaki berpakaian serba suit hitam berkejaran di segenap ruang hotel mewah itu. Mereka tampak begitu cemas sekali. Apa yang mereka cari masih tidak ditemui. Dia tersengih melihat keadaan lelaki-lelaki itu yang kelam kabut. Itu yang dia inginkan. Rimas bila dirinya dikawal dua puluh empat jam dalam sehari. Dia bukannya budak kecil yang perlukan perlindungan sedemikian. Dia sudah dewasa dan dia inginkan kebebasan. Dia tidak kisah dengan amukkan ayahnya lagi. Apa yang penting dia tahu apa yang dia inginkan. 

            Melihat kumpulan lelaki itu sudah berkejaran ke tempat lain, dia segera keluar dari tempat persembunyiannya. Bibirnya mengulum senyuman kepuasan. Peduli apa dengan majlis menyambut kepulangan bakal tunangnya itu. Dia bukan pernah sukakan gadis itu. Ayahnya sahaja yang beria-ia mahukan gadis itu menjadi bakal menantu. Konon mahu menjaga status keluarga mereka. Dia juga dilarang keras bergaul dengan golongan yang tidak setaraf. Peraturan orang tuanya itu memang gila dan menyakitkan hati. Baru membuka selangkah ke hadapan dia terpaksa menyorok kembali salah seorang pegawal peribadi itu berpatah balik. Hatinya merengus geram. Pantas dia memulas pintu bilik yang berdekatan. Dia meluru masuk tanpa berfikir panjang.

            “Fuhhh!” Dia menarik nafas panjang. Kali ini mereka pasti tidak menemuinya.

            “Siapa kamu?” suara halus gemersik kalbu itu mengejutkan dia. Lantas dia berpaling.

            Seorang gadis bagaikan bidadari dari kayangan merenung tajam ke arahnya. Sungguh cantik! Dia terpesona. Bibirnya tidak mampu untuk mengungkap kata. Si gadis menyeringai. Dia memulas cembul pintu namun ditahan.

            “Please! Sekejap saja.”

            “Saya tidak mahu kena tangkap basah dengan kamu.” gerutunya. 

            “Tapi saya tidak kisah kalau dapat kahwin free bersama gadis secantik kamu.” Dia mengusik. Si gadis bermuka cemberut. Tidak senang dengan kata-kata lelaki itu.

            “Keluar!” Jari telunjuknya dihalakan ke muka pintu.

            Dia tiada pilihan lain. Terpaksalah dia keluar dari bilik berkenaan. Salah gadis itu juga. Kenapa tidak kunci bilik jika takut dicerobohi? Pintu bilik itu dihempaskan dengan kuat! Dia sekadar menggarukan kepala yang tidak gatal.

            “Tuan muda! Akhirnya kami dapat cari kamu juga.” Kedua belah lengannya dicengkam.
Dia merengus kecil. Akhirnya dia telah dapat ditangkap!

            “Apa kata kita main sorok-sorok lagi sekali.” Ujarnya dengan muka tersengih. Kalau gadis itu tidak menghalaunya keluar pasti dia tidak terjerat begini. 

            “Jangan fikir tuan muda dapat memperdayakan kami sekali lagi.” Desis lelaki yang berkaca putih itu.

            Dia mengeluh kecil. Dia kerling pintu bilik tersebut. Bibirnya mengulum senyuman. Siapalah gerangan gadis cantik umpama bidadari itu. Dia sukakan renung tajamnya. Cantik dan memukau hati. Dia berharap dapat bersua dengan gadis itu lagi.

            Tubuhnya diheret masuk ke bilik persalinan yang sudah ditempah khas. Dia umpama seorang banduan yang terlepas dari penjara. Sepasang kot hitam dihulurkan. Dia merentap dengan kasar. Pakaian itu dicampakkan atas katil. Kumpulan pengawal peribadi itu mengerutkan dahi. Mereka tidak larat mahu melayan kerenah tuan muda yang satu ini. Keras kepala! Ada saja masalah yang ditimbulkan. Tidak tahu mengapa dia yang terpilih menjadi pewaris keluarganya.

            “Romie…” suara itu cukup dikenali. Siapa lagi tuan yang empunya suara kalau bukan ayahnya, Tuan Hilman. Lelaki korporat terkaya abad ini. Romie buat tidak endah. Dia berbaring di atas tilam yang empuk itu.

            “Romie Izary!” Suara itu ditekan lagi. Kali ini nama penuhnya disebut dengan lantang. Romie bingkas bangun mengadap si ayah terhormat. Matanya menyorot ganas. Anak yang suka melawan kata. Satu peraturan keluarga tidak pernah dipatuhi. Pembangkang terhebat dalam keturunan Tun Muzaffar.

            “Bagaimana cara kau mengajar anak, Sirna? Budak ini langsung tidak hormatkan aku sebagai ayahnya.” Tuan Hilman menjeling wanita yang berada di belakangnya. Puan Sirna membisu. Dia tidak pernah mengajar Romie untuk menentang ayahnya. Bukankah sikap itu turunnya dari si ayah. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. ‘Like father like son’!

            Romie mengerling ke arah Puan Sirna. Wanita kelihatan menundukkan kepala. Puan Sirna takut untuk bertentangan dengan Tuan Hilman. Apa yang ayahnya suruh perempuan itu akan menurut tanpa membantah. Malah dia pernah melihat tangan ayah naik ke muka perempuan itu kerana kesilapan yang agak kecil. Bagaimana dia mahu menghormati lelaki yang sedemikian rupa? Lelaki itu tidak ubah seperti seorang diktator yang mengawal segala-galanya.

            “Lekas salin pakaian kamu! Tetamu kita sedang menuju di dewan.” Arah Tuan Hilman kepada Romie.

            “Bagaimana kalau saya tidak mahu?” Romie membalas. “Saya bukannya seperti perempuan itu dan pak cik yang sering mengikut telunjuk ayah!”

            Tuan Hilman mengangkat tangannya namun ditahan oleh Puan Sirna. Dia tidak biarkan suaminya mengasari Romie walaupun dia tidak pernah menyenangi kehadiran anak tirinya itu. Tuan Hilman merengus kasar. Dia berpaling. Langkahnya diaturkan. Puan Sirna bergegas menurut dari belakang.

            “Huh!” Romie baring semula di atas tilam.   
           
DI dalam kemeriahan majlis hotel mewah bertaraf lima bintang yang padat dengan manusia yang berpakaian kemas, bayangan seseorang yang amat dikenali sedang bergerak menyusup dicelah-celah mereka. Bibirnya tidak lekang dengan diserikan senyuman palsu. Dia tidak selesa berada di dalam kelompok manusia korporat ini. Langkahnya terhenti bila terasa lengan kanannya dipaut erat. Dia menoleh. Seorang gadis manis melirikkan senyuman ke arahnya.

            “Romie! Saya sudah dapat tangkap kamu.” 

            Romie menarik kasar lengannya.

            “Mana kamu tahu saya Romie? Bagaimana kalau saya bukan Romie?”

            Gadis itu ketawa kecil. Lelaki ini tidak banyak yang berubah. Masih ada terselit kekasaran di balik butir bicaranya. 

            “Saya tahu kamu adalah Romie. Masakan saya akan lupakan orang yang tinggalkan parut pada tangan sayaini?” Dia angkatkan tangannya. Ya! Memang ada parut yang masih berbekas di tangan gadis itu. Romie kerutkan dahi. Rasanya dia sudah mengenali gadis ini.

            “Kamu….”

            “Romie….” Perbualan mereka tergantung dengan kehadiran seorang lelaki bertubuh agak tegap dan berkumis nipis itu. Tubuh Romie dipeluk erat. Menyesakkan nafas. Siapa pula lelaki separuh umur ini? Dia cuba mengingati wajah lelaki itu.

            “Ini uncle…Romie…kau sudah lupakan uncle kesayangan kau.” Lelaki itu menepuk-nepuk bahunya.

            “Uncle Ben!

            Romie menepuk dahi. Bibirnya memalitkan senyuman. Tubuh lelaki dipaut semula. Berpuluh tahun mereka tidak bertemu sejak pak ciknya itu menghilangkan diri. Dia sudah tidak menghiraukan gadis tadi. Romie menarik lengan pakciknya menyelit dalam kelompok manusia itu. Gadis tadi memanggil-manggil namanya namun Romie buat tidak endah. Sememangnya dia ingin melarikan diri dari gadis tersebut. 

            Segelas air kosong dihulurkan kepada Romie. Ben ketawa kecil dengan gelagat anak saudaranya itu. Sejak bila Romie takut untuk didekati oleh perempuan. Romie melonggarkan tali leher yang dipakainya. Rimas dan panas.       

            “Dulu masa uncle jumpa kamu…kamu hanya tinggi separas ini.” Ken menunjukkan tangan di paras ketiaknya. “Kini kamu sudah lebih tinggi dari uncle. Malah kamu lebih kacak dari uncle.” Ben mengusap-usap rambut cacak Romie.

            “Hahahaha…Saya pernah cakap pada uncle suatu hari nanti saya akan lebih tinggi dan kacak dari uncle. Pada waktu itu saya akan rampas teman wanita uncle yang bermata hazel itu.”

            Ben ketawa besar. Romie pernah mengatakan begitu ketika anak muda itu berusia dalam lingkungan 6 tahun. Dia membawa teman wanitanya, Yulia untuk diperkenalkan kepada ahli keluarganya. Kemudian dia memperkenalkan Yulia pada Romie. Romie mengatakan Yulia tidak bersesuaian dengan dia tetapi lebih padan digandingkan dengannya. 

            “So apa cerita sekarang setelah pulang ke tanah air.”

            Romie buat muka. Dia bukan tidak senang hati pulang ke tanah air sendiri. Kalau boleh dia mahu pulang tetapi bukan di rumahnya. Dia mahu pergi ke tempat yang jauh dari keluarga diktator itu. Sayangnya dia tidak dapat berbuat demikian mengenangkan pada perempuan yang sudah dianggap seperti ibu tiri itu. Wanita itu sudah banyak berkorban untuk dia walaupun dia bukan ibu kandungnya. Dia anak dari hasil perkahwinan yang tidak direstui oleh keluarga. Bukan seperti abang dan adiknya. Dia pula seorang yang degil, hati batu dan acapkali menyakiti hati ayahnya.

            Melihat muka Romie yang suram, Ben mematikan niat untuk bertanya lebih lanjut. Dia tahu krisis yang melanda Romie dengan keluarganya. Sukar untuk mereka mengawal sikap memberontak Romie yang keras kepala. Romie benci jika hidupnya dikawal dan diaturkan oleh orang lain.

            Sedang Romie melayan perasaan sendiri, dia dikejutkan dengan tepukan gemuruh dari para tetamu. Juruacara majlis naik di atas pentas. Semua mata terarah kepadanya begitu jua dengan Romie. Ayah dan ibunya turut berada di sisi juruacara itu. Lebar sekali senyuman ayahnya. Romie mencebirkan bila melihat gadis itu naik di atas pentas dengan dipimpin oleh abang sulungnya, Adiputra. Manja sekali gadis itu beramah-mesra dengan keluarganya. Dia kerling pakciknya di sebelah. Lelaki itu tampak serius tanpa ukiran senyuman di bibir. Romie tahu pakcik tidak sukakan ayahnya. Malah dia nyaris dilarikan oleh pakciknya itu ketika awal remaja. Ada perasaan tidak puas hati pakciknya itu terhadap keturunan Tun Muzaffar itu.

            “Uncle tidak akan sesekali melupakan hari kematian mama kamu.” Wajah Ben tampak suram.

            “Uncle…jangan sebut lagi cerita lama. Saya tahu auntie Yulia juga nyaris terkorban dalam kemalangan ngeri itu.” 

            “Mereka yang merancang kematian Isabel namun Yulia turut menjadi mangsa. Siapa sangka Yulia turut berada di dalam kereta yang sama. Segalanya akan terbongkar sekiranya auntie kamu sedar tidur yang lena. Tapi…” Ben tidak dapat meneruskan kata-kata. 

            Romie terdiam. Dia turut mencurigai kemalangan yang menimpa ibunya tujuh tahun yang lalu. Malah kematian makcik Yulia di hospital jua turut dicurigai. Ada orang yang menarik alat penafasan makciknya. Tapi siapa? Romie memenjamkan matanya. Ada keluhan berat di bibir Romie. Dia tidak mahu memikirkannya ketika ini. Romie mula rasa rimas dan bosan. Mungkin ada baiknya dia beredar mencari ketenangan di luar. 

            “Saya mahu keluar dari sini. Uncle mahu ikut?” Romie berpaling pada Ben. Ben gelengkan kepala. Romie jungkit bahu. Dia membuka langkah. 

            Saat dia sampai di muka pintu utama, langkahnya terhenti. Bunyi alunan piano di atas pentas itu menarik perhatian Romie. Entah mengapa dia berpaling semula. Dia bagaikan ditarik ke hadapan. Bulat anak mata Romie melihat gadis yang sedang bermain piano di atas pentas itu. Masakan dia akan melupakan wajah jelita yang dingin seperti ais itu. Itulah gadis yang dia rempuh biliknya ketika dia melarikan diri dari pengawal-pengawal peribadi ayahnya. Seakan ada jodoh di atara mereka. Romie mengulum senyuman.

            Sungguh merdu alunan piano yang dimainkan oleh gadis itu. Dia seakan pernah mendengarnya suatu ketika dulu. Bukankah alunan muzik itu? Romie cuba meningatinya. Ya itu alunan muzik ‘Autumn Leaves’

Satu lagu yang akan mengimbau kembali kisah silamnya. Lagu yang suka dimainkan oleh arwah ibunya ketika bermain piano dan dia akan duduk sebelah ibu sambil menongkatkan dagu. Sekali lagi tepukan gemuruh diberikan. Gadis itu bangun dan menundukkan sedikit kepalanya. Senyuman kepuasan terukir di bibirnya. Sungguh manis senyuman itu.

            “Nice songs!” ucap Romie. Dia bergerak naik ke atas pentas. Tingkah-lakunya itu
 mengejutkan tetamu lain termasuk ahli keluarganya. Dia merenung ke arah gadis itu. Pandangan mata mereka bersatu. 

            “You kenal dia ke?” Juruacara itu berbisik. Laju gadis itu gelengkan kepalanya.

            “Romie…” panggil Adiputra. Dia menarik lengan Romie. Tuan Hilman sudah menjeling. Nyata dia tidak menyenangi dengan sikap Romie itu.

            Romie menyentap lengannya dari pegangan Adiputra. Dia kerling Adiputra tajam. Renungan mata Romie mengejutkan Adiputra. Romie tersenyum. Dia mendekati gadis itu. Pergelangan tangan gadis itu dicengkam kuat. Gelagatnya menjadi perhatian terutamanya pada para wartawan tempatan. Mereka saling berbisik. Adakah lelaki muda ini Romie Izary anak kedua Tuan Hilman itu? Para wartawan mengangkat lensa kamera. Kilauan memancar keluar.

            “Saya nak pinjam dia untuk bermain sekejap.” Ujarnya sambil mengenyitkan mata. Dia menarik gadis itu mengikut langkahnya.

            “Romie!” Panggilan Tuan Hilman tidak diendahkan. Wajah berang ayahnya itu tidak lagi ditakuti. Romie hilang di balik para tetamu.

            “Cari dia!” Arah Tuan Hilman kepada pengawal-pengawal peribadinya. Romie sering memalukan dia. Dia tidak faham apa yang diingini oleh anak yang seorang ini? Segala-galanya telah dia berikan. Apa lagi yang tidak cukup pada Romie? Tuan Hilman mengerling ke arah Ben yang sedang duduk menikmati hidangan malam itu. Ben langsung tidak menghiraukan kekecohan yang ditimbulkan oleh Romie. Ben sekadar tersenyum sinis.