Tab Menu

Followers

Wednesday, September 28, 2011

Hanya Padamu - Bab 1

HANYA PADAMU…

BAGASI itu ditarik dengan penuh payah. Dia sebenarnya tidak rela berpisah dengan abah. Dia lebih rela mengikut langkah abah di mana jua abah berada. Dia tidak kisah dengan kemiskinan hidup mereka. Namun segalanya telah berubah dengan kemunculan lelaki itu. Lelaki itu menawarkan pertolongan untuk melangsaikan segala hutang piutang abah. Syarat pertukarannya adalah dia! Dia perlu tinggal bersama dengan lelaki yang tidak dikenali itu.

            Mengapa abah merelakan permergian dia? Abah langsung tidak memikirkan hati dan perasaannya. Hatinya hiba. Dia seperti mahu menangis setelah kakinya memijak ke dalam vila mewah umpama istana itu. Wajah-wajah mereka yang menyambutnya itu dipandang sepi. Dari muka pintu vila itu dia melihat seorang lelaki yang segak berkot serba hitam sedang duduk membelakanginya itu sedang khusyuk membaca suratkhabar di tangannya. Mira Ezuryn yakin lelaki itu adalah tuan yang empunya vila ini. Lelaki yang mengheret dia sebagai ‘banduan’.

            Cerita dongeng Mira Ezuryn bermula di sini…

MUKA Mira Ezuryn melekap pada cermin kaca kedai yang menjual barangan perhiasan itu. Dia cukup berkenan dengan kotak muzik berbentuk Kristal yang dipamerkan itu. Cantik! Mira Ezuryn mengeluarkan dompet duit dari beg sandangnya. Mukanya mencuka dengan riak hampa. Dia hanya mempunyai wang sebanyak lima puluh ringgit Malaysia sahaja. Wang yang diperolehi dari hasil membantu cuci kereta bersama Amel tadi. Duitlah untuk perbelanjaan barang dapur di rumah setinggan itu nanti. Beras sudah habis. Gula dan garam sudah habis. Minyak masak pun sudah habis. Dia dan abah sudah satu bulan makan Maggi untuk mengisi perut.

            Mira Ezuryn membuka langkah lemah. Apalah nasib hidupnya ini. Kalau dahulu dia boleh memiliki segala-gala namun tidak lagi pada waktu ini. Dia baru mengerti rasanya hidup dalam kemiskinan. Dia baru mengerti apa itu yang dikatakan ‘ikat perut”? Dia amhu mengerti apa itu ‘berjimat-cermat’? Jika sebelum ini dia mentertawakan teman-teman yang sanggup menyimpan wang siling di dalam tabung. Wang sepuluh sen masih dikejar bila jatuh ke lantai. 

Manusia mudah lupa apabila mengecapi kesenangan hidup. Allah itu maha kaya. Sekelip mata saja segala kemewahan yang dia miliki ditarik semula. Syarikat diterajui oleh abah mengalami kerugian teruk dalam satu projek yang menelan belanja ratusan juta ringgit. Abah diisytiharkan muflis dengan tanggungan beban hutang. Rumah dan kereta ditarik. Ibu pula melarikan diri berkahwin dengan lelaki lain. Abah terkapa-kapai ditinggalkan sendirian hanya dia yang setia menemani di sisi abah.

“Maafkan abah, Mira.” Abah memeluknya erat ketika itu.

        Mira Ezuryn menarik nafas panjang. Dia akan berusaha keras membantu abah melangsaikan hutang-hutang itu semua. Dia mahu mengadaikan rantai dilehernya namun ditegah keras oleh abah. Kata abah itu adalah kenangan abah buat ibu. Sayu hati Mira Ezuryn. Abah begitu setia dengan ibu sedang ibu berpaling kasih.

            Setiap langkahnya diperhatikan oleh sepasang mata tidak dikenali. Mata itu menyorot ke arah kedai barangan perhiasan itu. Bibirnya mengeluh kecil.

“KALAU kau bersetuju dengan syarat yang diberikan maka aku tidak akan membawa kes ini ke mahkamah. Aku juga akan melangsaikan hutang-hutang kau..” Suara lelaki yang sedang membelakangi Arshad itu. Wajahnya tidak dapat dikenal pasti oleh Arshad kerana bilik pejabat itu agak suram dan gelap sedikit.

            “Apa jaminan kau?” Gumam Arshad. Perlukah dia mempercayai lelaki ini dengan menyerahkan satu-satunya harta yang dia miliki.

            Lelaki itu ketawa. Tawanya membuatkan Arshad kecut perut. 

            “Aku bagi masa kau untuk memikirkannya. Ingat aku saja yang boleh menolong kau. Kau boleh dipenjarakan jika tidak menyelesaikan hutang kau dan anak kau akan merempat sendirian di luar sana itu.” Setiap patah yang keluar dari bicara lelaki itu berbaur ugutan.

            Arshad terdiam. Kalau dia dipenjarakan siapa yang mahu menjaga anak gadisnya itu. Tiada sesiapa yang dia percayai lagi selain diri sendiri dan anaknya Mira Ezuryn. Dia jadi begini kerana telalu mempercayai orang itu. Akibatnya dia merempat!

            Lelaki itu masih membelakangi dia. Arshad yakin lelaki bukan lelaki yang berusia jika diperhatikan dari susuk tubuhnya yang tegap itu. Mungkin usianya dalam anggaran pertengahan 30-an atau awal 30-an.

            “Aku akan fikirkan.” Arshad tidak dapat memberikan kata putus.

“AYAH mahu air.” Ujar Mira Ezuryn sebaik melihat abah duduk di atas kerusi rotan buruk itu. Arshad menganggukkan kepalanya.

            Mira Ezuryn segera membawa segelas air kosong kepada abahnya. Dia melirik senyuman simpul lalu berlari semula ke dapur. Dia takut nasi yang ditanak itu hangit pula di atas dapur gas itu. Kalau masa senang dulu mereka ada orang gaji. Dia langsung tidak reti melakukan kerja-kerja rumah. Goreng telur pun dia tidak tahu. Serius!

            “Abah nak makan! Mira sediakan untuk abah!” Laung Mira Ezuryn dari dapur. 

            Abah tidak menyahut menyebabkan dia berjalan semula ke ruang tamu. Wajah muram abah ditatap. Apa yang tidak kena pada abah. Abah dibuli lagi dengan pengurus di tapak projek abah bekerja ke? Mira Ezuryn menggarukan kepala. Abah seperti sedang termenung panjang.

            “Abah…abang tidak apa-apa?” Mira Ezuryn menggoncang lembut kedua bahu abahnya.

            “Hah?” Arshad tersentak setelah bahunya digoncang lembut oleh anaknya.

            “Abah angan siapa ni?” soal Mira Ezuryn sambil bercekak pinggang.

            Arshad tersenyum merenung anak gadisnya. Dia sangat sayangkan Mira Ezuryn. Anak itu yang sudi menemani dia hingga saat ini namun anak ini jua yang lelaki itu mahukan. Arshad perlu membuat pilihan demi masa depan Mira Ezuryn. Dia mahukan yang terbaik buat anaknya.

            “Abah sayangkan Mira. Kalau satu masa nanti kita berpisah abah nak Mira jaga diri Mira baik-baik. Abah nak Mira tahu yang abah inginkan yang terbaik buat Mira.” Arshad mengusap-usap rambut anak gadisnya itu. Mira Ezuryn sudah besar panjang. Dia yakin anak gadisnya itu pandai membawa diri. 

            “Mira pun sayangkan abah. Abah…Mira dah lapar. Kita sambung drama anak dan abah esok-esok sajalah. Mira hidangkan makanan.” Mira Ezuryn memuncungkan bibirnya. “Satu lagi, Mira tidak akan berpisah dengan abah. Mira nak jaga abah.”

            Arshad menganggukan kepalanya. Mira Ezuryn tersengih. Dia membentangkan lapisan-lapisan suratkhabar itu di atas lantai. Mira Ezuryn sudah pandai memasak sekarang. Tiada lagi sayur yang masin, nasi dan ikan yang hangit. Masakan Mira Ezuryn juga semakin sedap. Baguslah anak gadisnya itu sudah pandai berdikari. Mira Ezuryn bukan lagi gadis ego seperti dulu. Ada hikmah disebalik yang berlaku. Dia senang melihat perubahan pada Mira Ezuryn.

            “Bagaimana dengan kerja part-time Mira?” Arshad cuba menyoal selidik aktiviti harian anak gadisnya itu seperti biasa. 

            “Okay. Seronok bekerja dengan Amel dan Jet. Mereka banyak membantu Mira.” Wajah ceria Mira Ezuryn menyenangkan hati Arshad. 

            “Abah minta maaf sebab sudah susahkan Mira. Mira terpaksa bekerja dan behenti belajar. Abah rasa bersalah pada Mira.” Sayu bunyinya. 

            “Abah…Mira rasa ini pengajaran untuk Mira yang sebelum suka enjoy dan buta dengan wang ringgit. Mira bahagia hidup begini dengan abah. Mira baru tahu kesusahan mencari duit untuk sesuap nasi.” 

            Arshad tersenyum.

MIRA Ezuryn menarik selimut yang sudah bertampal dengan kain perca itu hingga ke paras pinggang. Mira Ezuryn bersandar pada dinding. Dia menarik sebuah buku dari longgokkan kain bajunya itu. Buku Harry Potter hasil karya dari JK Rowling itu adalah pemberian dari Amel sempena hari lahirnya beberapa hari yang lalu. 

            Sejak behenti dari kolej, dia ke hulur ke hilirkan mencari pelbagai jenis pekerjaan.
Dia bukan sahaja bekerja sebagai pencuci pinggan-mangkuk di kedai makan malah dia mengambil upah untuk membantu Amel mencuci kereta. Kerja yang tidak tetap adakalanya mengundang rasa gundah di hatinya. Dia harus membantu meringankan beban abah yang saban hari memerah tenaga di tapak pembinaan itu untuk membayar hutang.

            Esok dia akan cuba meminta pekerjaan sebagai tukang cuci di sebuah syarikat besar dalam kota metropolitan ini. Pekerjaan itu dicarikan oleh Amel dan Jet. Gaji yang ditawarkan boleh tahan. Tukang cuci pejabat sahaja boleh menerima wang gaji sebanyak tujuh ratus ringgit Malaysia. Tawaran yang cukup menarik buat Mira Ezuryn.

           

Monday, September 26, 2011

Queen Control - Bab 19

“TIRYAQ!” Putri Tasnim rasa mahu mencekik leher Tiryaq. Mamat seorang ini berani keluar dari rumah tanpa memberitahu pada dia terlebih dahulu. Tiryaq memang degil nampak gayanya. Hairan? Macam mana pula dia boleh tahu pejabat ini? Tiryaq mengekori gerak-geri diakah? Kalau betul lelaki blur ini memang licik!


            “Awak marah?” Sengaja Tiryaq menyoal. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Agak Tiryaq mahu makan kasut tumit tingginya.

            “Tak! Saya suka sangat-sangat!” Putri Tasnim buat muka senyuman yang paling manis sekali.

            “Baguslah kan Cherly.” Dia mengalihkan mata ke arah gadis cina yang masih tercegat berdiri di depan pintu itu.

            Cherly turut tersengih. Macam romantik saja suami Putri Tasnim ini. Orangnya pun kacak walaupun agak selekeh. Dia suka pada tahi lalat di atas bibir Tiryaq itu. Sweet charity!

            Putri Tasnim bengkek. Apa tujuan Tiryaq datang ke pejabatnya. Kedatangannya pula tepat ketika papanya ada di sini. Pening-pening! Kepala Putri Tasnim sudah tidak larat menanggung beban masalah yang dicari sendiri.

            Encik Johari memerhati saja lagak gaya Putri Tasnim. Kenapa anak gadis itu berkeras sangat tidak mahu dia bertemu dengan menantunya ini? Dia tengok tiada cacat celanya.

“Ini ke bakal menantu papa?” Encik Johari bangun dan mengaturkan langkah ke hadapan Tiryaq. Bibir tua itu memalit segaris senyuman. Papa Putri Tasnim ini masih tampak segak dan bergaya. Tiryaq tentu sahaja mengenali Encik Johari. Malaysia ini kecil.

            Tiryaq mengangkatkan keningnya. “Ini papa awak?” Dia mengerling sekilas ke arah Putri Tasnim. Putri Tasnim mencebik. Kalau sudah tahu jawapannya tidak perlulah bertanya lagi. Mamat seorang ini memang sengaja!

            Muka dia macam familiar sahaja. Macam orang itu? Bisik hati kecil Encik Johari. Dia merenung Tiryaq dari atas hingga bawah. Kalau Tiryaq berpakaian kemas pastinya Tiryaq seperti orang itu.

            Putri Tasnim merasa tidak selesa melihat papanya meneliti setiap sudut keperibadian Tiryaq yang tidak sehebat mana itu. Tengok Tiryaq sampai mahu terkeluar biji mata.

            “Jemputlah datang makan malam di rumah papa. Ajak Tas sekali.” Ini peluang untuk dia merapatkan jurang dengan Putri Tasnim.

            “No!” Putri Tasnim membalas bagi pihak Tiryaq.

            “Tas…apa salahnya papa mahu mengenali suami Tas ni. Lagipun sudah bertahun kita tidak makan bersama.” Encik Johari seakan mengharap. Sukar sekali mahu memujuk hati batu anak gadisnya.

            “Kami akan pergi.” Suara Tiryaq.

            Putri Tasnim terperanjat sakan dengan keputusan yang dibuat oleh Tiryaq tanpa persetujuan darinya. Sesuka hati dia buat persetujuan ya!

            “I tidak akan pergi!” Bantah Putri Tasnim. Dia mula menjegilkan biji matanya.

            “Tasnim! Tak baik meninggi suara pada suami.” Encik Johari tidak berkenan betul dengan suara ala Fantasia Barrino itu. Sungguh mendadak perubahan pada anak gadisnya yang sebelum seorang yang lemah lembut.

            Wah-Wah! Papa sudah membela lelaki ini pula. Ini yang buat Putri Tasnim tidak senang hati. Bagaimana kalau Tiryaq bongkarkan rahsia perkahwinan mereka? Berita terkini hiburan sensasi jadinya.

            “Sesekali kena dengar cakap suami jugakan.” Tiryaq mengenyitkan mata kanannya.

            Terketap-ketap bibir Putri Tasnim. Kali ini dia memang sudah terperangkap. Dia terpaksa mengalah. Dia beralah tidak bererti dia kalah!

            “Mmm…apa hal you datang ke ofis I?” Putri Tasnim mengubah topic perbicaraan mereka.

            “Oh! Saya terlupa mahu bagi bekalan lunch untuk awaklah, sayang.” Tiryaq menunjukkan mangkuk tiga tingkat itu kepada Putri Tasnim. Dia juga mendapatkan alamat Putri Tasnim dari Mr. Liu. Hebat juga pejabat isterinya ini.

            “Hah!” Putri Tasnim sudah terlopong. Tiryaq datang semata-mata mahu hantar bekalan makanan tengahari untuk dia.

            “So sweet!” Suara Cherly yang sejak tadi membisukan diri.

Tiryaq ini memang memeningkan kepala otak dia. Mata Putri Tasnim mula berpinar-pinar. Dia rebah di hadapan Tiryaq. Kecoh sebentar di dalam bilik pejabat itu. 

TIRYAQ meletakkan telapak tangannya di atas dahi Putri Tasnim mengikut saranan Encik Johari yang berlagak seperti doktor di situ. Tidak panas? Rasanya dia tahu kenapa Putri Tasnim pengsan mengejut begini. Kebelakangan ini Putri Tasnim tidak mengambil sarapan pagi. Konon mahu berdiet sebab dia kata isterinya itu sudah berisi. Putri Tasnim ambil berat juga dengan kata-katanya itu. Kalau berisi sikit pun apa salahnya. 

            Encik Johari mengusap dagu. Kalau tidak demam masakan Putri Tasnim terkena dengan penyakit itu pula. Dia kerling wajah tampan Tiryaq. Apa mahu dihairankan kalau pasangan itu sudah berkahwin. Dalam usia begini sewajarnya dia sudah punya cucu.

            “Agaknya Tas mengandung Tiryaq.” Suara Encik Johari perlahan tapi jelas didengari oleh Tiryaq dan Cherly.

            Tiryaq tersenyum simpul mendengar terkaan dari bapa mertuanya itu.

            “Agaknya kot.” Dia mengiakan.

            “Really!” Cherly sudah bersorak gembira buat ketuanya itu.

            “Tak perlu nak agak-agak lagi Tiryaq. Papa yakin Tas mengandung.” Encik Johari pula yang lebih-lebih.

            Cherly menganggukkan kepala bersetuju dengan kata-kata Encik Johari. Dia sempat menjeling nakal ke arah Tiryaq. Suami Putri Tasnim ini memang murah dengan senyuman.

            “Apa yang bising-bising ni!” Putri Tasnim bangun dari sofa sambil memicit-micit kepala yang berdenyut. “Siapa yang mengandung?” Dia ada terdengar suara-suara yang menyebut perkataan ‘mengandung’ itu.

            Cherly menelan air liur melihat wajah serius Putri Tasnim. Dia dan Encik Johari saling berpandangan.

            “Sayanglah yang mengandung. Siapa lagikan.” Jawab Tiryaq selamba.

            Sayang? Berani dia panggil aku sayang lagi di depan papa.
            “Apa you kata tadi?”

            “Saya cakap sayanglah mengandung.” Tiryaq bercakap-cakap kuat di telinga Putri Tasnim.

            “Hah!” Muka Putri Tasnim berubah seratus percen. Siapa pula yang pandai-pandai buat tafsiran mengarut ni? Bila pula dia mengandung? Kenapalah ada sahaja masalah yang membebani kepala dia?

            “La…biasalah kalau perempuan yang sudah berkahwin mengandung Cik Tas. Mesti comel anak Cik Tas dengan Encik Tiryaq nanti.”  Nampaknya Cherly yang terlebih teruja.

            “Apa yang kamu merepek ni Cherly?” Selamba saja Putri Tasnim mengetuk kepala Cherly. “Kamu semua buat saya sakit jiwa!” Gerutu Putri Tasnim. Dia memandang ketiga-tiga manusia itu. Wajah Tiryaq yang lebih menyakitkan hati.

            Putri Tasnim meluru ke luar dari biliknya dengan hati yang panas. Dia menjadi perhatian pekerja-pekerjanya yang lain. Mereka saling berbisik sesama sendiri.

            Jamie terhegeh-hegeh menyaingi langkah Putri Tasnim. Dia tidak sabar mahu menyoal siasat ketuanya itu. Konon tidak mahu tunjuk suami dia. Alih-alih suaminya yang kacak itu datang melawat ke pejabat Elite ini.

            “Miss Tas…patutlah you tak nak tunjuk kat we all husband you. Handsome gila rupanya.” Jamie menegur. Tersengih-sengih dia mempamerkan barisan giginya.

            Putri Tasnim behenti melangkah. Jamie turut behenti sama. Wajah cemberut Putri Tasnim agak menghairankan Jamie. Perempuan mesti gembira bila suami datang melawat tetapi dalam kes Putri Tasnim ini lain pula. Dia memang tidak membenarkan Tiryaq menjejakkan langkah ke Elite!

            “Jangan bagi I jadi putting beliung di sini!” Kerlingan maut Putri Tasnim sudah boleh buat Jamie sesak nafas.

            Putri Tasnim melangkah keluar dari Elite. Gosip panas mula menular di dalam Elite!

 “TIRYAQ harus dihapuskan!” Tengku Tyea menjegilkan biji mata kepada lelaki misteri itu. Dia tidak faham mengapa lelaki itu amat mementingkan Tiryaq di dalam rancangan mereka.

            “Kalau you apa-apakan Tiryaq bermakna you juga mengapa-apakan I. Ingat Tengku Tyea, Tiryaq amat penting pada I.” Lelaki yang sebelum ini bersikap tenang itu mula menunjukkan taring. Tengku Tyea menelan air liur. Jantungnya berdengup pantas.

            “Apa perhubungan you dengan Tiryaq?”

            Lelaki misteri itu membisu. Dia bingkas bangun dari kerusi yang membelakangi Tengku Tyea. Sebaik sahaja melihat wajah lelaki misteri itu, wajah Tengku Tyea berubah mengejut. Jelas riak pucat di situ.

            Benarkah apa yang yang dia lihatnya? Orang yang disangka sudah lama terkubur itu masih bernyawa lagi di atas muka bumi ini.

            “Jadi you adalah…” Tergagap-gagap Tengku Tyea mahu mengeluarkan suaranya.

            “Suprise! Tyea…tidak gembira melihat uncle berdiri di sini?” Lelaki itu ketawa kecil.

            Tengku Tyea berundur beberapa langkah ke belakang.

            “Tak mungkin!”

            “Tiada yang mustahil untuk memalsukan kematian uncle, Tyea.”

            “Jadi…”

            “Ya…uncle mohon maaf atas kematian Tazriq.”

            Tengku Tyea tergamam. Benarlah kemalangan maut yang menimpa Tazriq adalah dirancang.

            “Tapi Tazriq anak uncle, masakan uncle sanggup…”

            “Uncle tidak membunuh Tazriq. Apa yang berlaku pada Tazriq adalah di luar dugaan uncle.” Dia mengeluh kesal.

            Tengku Tyea mengetap bibir. Wajah Tazriq berlegar-legar di ruang matanya. Dia lebih suka jika Tiryaq yang mati dan bukannya Tazriq. Namun lelaki ini lebih mementingkan nyawa Tiryaq. Lebih baik dia jangan bermain api dengan lelaki ini. Dia perlu menyusun semula rancangannya. Jangan terburu-buru.

            Dia akan meminta orang-orang suruhan behenti seketika menjejaki Tiryaq. Nahas dia jika lelaki ini tahu. Kata orang sarang tebuan jangan dijolok. Pintu bilik itu terkuak perlahan. Wajah Apple dan Puan Sahara memberikan kejutan kali kedua buat Tengku Tyea Apple, setiausaha memerangkap orang setia Tiryaq. Tengku Tyea mengorak segaris senyuman sini di hujung bibir. Cerita bertambah menarik!

            “Tuan.” Apple sempat mengerling sekilas ke arah Tengku Tyea. Wanita yang menjengkelkan bagi Apple. Dia tidak menyenangi kehadiran Tengku Tyea di sini.

            Apple dan Tengku Tyea saling menatap antara satu sama lain. Sebaliknya Puan Sahara sudah melabuhkan punggung di atas sofa. Wanita itu lebih senang membisu sambil membelek majalah yang telah sedia ada.

            “Kita perlu tunggu dua lagi tetamu kita di sini.”

            Dahi licin Tengku Tyea berkerut. Ada lagi tetamu yang dinanti. Siapa? Dia tidak tahu ada orang lain yang turut berkomplot dengan lelaki ini.

Wednesday, September 21, 2011

Gadis Pakej - Bab 1

Nukilan : Syacha dan Ilya


“NURIN! Tolong ambilkan fail semalam, letakkan atas meja saya!” Hidayati sudah memberikan arahan sebaik saja berada di depan meja Nurin. 

Nurin, setiausahanya hanya menurut perintah. Lambat pula ketuanya itu masuk ke pejabat hari ini.  Dia memandang Hidayati sehingga susuk tubuh gadis jelita itu lesap masuk ke biliknya.

Nurin tersedar dari lamunannya. Fail yang dipinta oleh Hadayati masih diberikan. Dia segera mencari fail tersebut lau dihantar kepada Hidayati.  Nurin mengaturkan langkah ke pantry. Dia berhajat mahu menyediakan kopi untuk ketuanya itu. Kemudian Nurin kembali ke bilik Hadayati. Dia melangkah masuk setelah pintu bilik itu diketuk.

“Cik Ida...pukul dua ini cik ada appointment dengan Berjaya Holdings.” Nurin bersuara sebaik meletakkan kopi untuk ketuanya. Dia sudah menyemak jadual temujanji Hidayati di dalam buku catatannya.

Hidayati sekadar menganggukkan kepala. Tekun ketuanya itu membelek fail di tangannya. Nurin mengukir senyuman di hujung bibir. Orang gila kerja seperti Hidayati tiada masa untuk diri sendiri.

“Nurin.” Hidayati tiba-tiba bersuara. 

Nurin behenti melangkah dan segera berpaling. Dia mengangkatkan keningnya sedikit.

“Ya...Cik Ida.” Balasnya lembut.

“Ini saja ke fail calon untuk temuduga kelmarin?” Nada perlahan tetapi agak tegas. Dia pelik melihat senarai calon temuduga pengambilan pekerja untuk syarikat itu terlalu sedikit. Masakan hanya lima calon sahaja.

“Ada lagi dua fail Cik Ida. Kalau Cik Ida nak, saya boleh ambilkan.” Hidayati hanya mengangguk. Nurin faham dengan isyarat itu dan terus melangkah keluar.

Dia mengambil kesemua fail senarai calon temuduga yang lain yang diingini oleh Hidayati. Syarikat sekarang memerlukan pekerja baru untuk mengisi beberapa kekosongan jawatan.

Di sudut lain, sepasang mata tekun memerhati tingkah-laku gadis itu.

      Gadis yang adakala kalut dalam menjalankan tugasannya. Kalau tidak bersepah bilik fail itu, memang tidak sah. Mujur sahaja gadis itu pandai mengaturkan semula fail-fail tersebut setelah menyepahkannya.

Dia mengalihkan pandangan matanya. Kakinya terus melangkah ke mesin fotostat untuk mencetak helaian kertas kerja yang perlu diserahkan tengahari nanti. Niatnya asal hendak meminta Nurin yang fotostatkan kerja kerja itu namun tidak sampai hati pula untuk terus ‘mendera’ gadis itu dengan pelbagai tugasan. Ala bukannya dia tidak tahu mengendalikan mesin itu. Sesekali kena juga urat sendinya bekerja.

Sekilas dia memandang Nurin yang sudah mengangkut beberapa buah fail di tangan. Gadis itu kelihatan sednag menggarukan kepalanya. Pasti masih ada yang tidak ditemui lagi. Usai mencetak, dia masuk semula ke biliknya meletakkan salinan kertas kerja di atas meja. Dia keluar semula dan mendapatkan Nurin. Nurin langsung tidak menyedari akan kehadirannya.

“Cari apa Nurin? Ada tikus ke di situ?” Suaranya yang sedikit garau membuatkan gadis kecil molek itu terkejut.  Akibatnya kepalanya terhantuk di meja fail.  Mujur saja tidak kuat. Kalau tidak mahu benjol kepala dia.

Lelaki memang mengejutkan dia. Pakai main sergah sahaja. Nasib baik tidak lemah semangat. Denyupan jantung dalam keadaan normal.

“Encik Anuar...lain kali bagi salam dululah!” Nurin sedikit menjengilkan mata bulatnya. Dia tidak gemar Anuar menyergahnya dari belakang. Anuar adalah pengurus kewangan syarikat.

 Anuar tergelak kecil. Dia suka melihat wajah Nurin yang sudah bertukar warna merah itu.

“Saya sedang mencari satu lagi fail senarai nama calon temuduga kelmarin. Dari tadi mencari tak jumpa-jumpa. Entah mana saya letakkan agaknya?” Nurin menjawab sambil membelek-belek beberapa buah fail di depan matanya.

“Macam mana nak jumpa, kalau fail itu berada di bilik saya. Letak di tempat lain, cari di tempat lain. Elok sangatlah tu.”  Anuar bersuara dengan tawa yang masih bersisa. Dia terus melangkah meninggalkan Nurin yang masih bingung.

“What?” Terkocoh-kocoh Nurin mengekori penggung Anuar. Macam mana pula fail tersebut ada dengan lelaki ini? Nurin mengerut dahi.

“Nah! Ini failnya. Kelmarin Cik Ida minta saya tapiskan sedikit nama-nama calon tersebut.” Anuar menyerahkan fail itu kepada Nuri.

Nurin menarik nafas lega melihat fail yang sudah berada di dalam tangannya. Puas aku mencari rupanya dia yang sorokkan. Sekali aku leku kepala dia baru tahu.

Nurin tersenyum sendiri dengan omelannya. Dia menghadiahkan sebuah senyuman manis untuk Anuar. Senyuman ucapan terima kasih.

“Jangan senyum sangat. Sumbing.” Anuar menyakat. Senang hati melihat senyuman gadis itu.Dia merasa lapang dan tenang berada di pejabat berbanding di rumah.  Isteri dan anak-anak selalu merimaskannya.

“Sibuklah Encik Anuar ni. Lantaklah kalau senyuman saya sumbing. Banyak songeh betul.” Gerutu Nurin. Laju dia meninggalkan bilik Anuar.

Anuar gelengkan kepala. Suara germesik Nurin menyenang hati Anuar. Nurin bukan dari kalangan gadis ayu dan jelita. Nurin tetap ada pakej untuk menawan hati lelaki sepertinya.