Tab Menu

Followers

Friday, March 23, 2012

Coke and Sundae II


KISAH dari alam percintaan dibawa hingga kepada kisah rumahtangga. Coke memang tidak boleh berenggang dengan sundae. Kalau dulu coke dan sundae bertegang urat dan bermusuhan kini mereka sudah duduk sebumbung rumah. Kini Azyan sudah bergelar isteri kepada Doktor Muhammad Syakir a.k.a cicak kobeng. Rumahtangga mereka bertambah berseri setelah mempunyai cahaya mata tanda ikatan kasih mereka Ameerul Hasif yang keletahnya adakala memeningkan kepala otak.

Ingatkan aman sampai ke tua rupanya ada juga ujian peperiksaan untuk Azyan dan Syakir. Dalam dok tengah bahagia mereka menjadi kalut dengan kehadiran Katrina Kaif a.k.a Kareena Kaapor menggoda suami kesayangan Azyan, Syakir. Si Katrina ni siap main-main bomoh Mak Esah sebab sudah tergila-gilakan Syakir. Azyan jadi haru. Lelaki bukan kemain ramai dalam dunia tapi si Syakir juga yang pilihan perempuan seorang itu. Azyan hampir pengsan apabila Syakir mengatakan dia mahu bernikah dengan Katrina.

Dan drama air mata pun bermula…. Dalam tengah bersedih hati memikirkan si suami bakal menikah lagi satu muncul pula Encik Ikhwan dan Zaril yang kacau daun konon mahu menjadi pelipur lara di hati Azyan. Boleh pula jadi begini? Yang nyata Ameerul mesti tidak mahukan bapa tiri dan mak tiri…


SYAKIR mengerutkan dahi. Setahunya rumahnya itu gelap gelita sewaktu ditinggalkan tadi. Bagaimana pula boleh terang dengan lampu? Masakan ada pencuri yang menceroboh. Kalau pencuri tidak bodoh menyalakan lampu. Mungkin juga dia yang memasang lampu agar rumahnya tidak berkeadaan dalam gelap apabila dia pulang. Syakir memakirkan kereta ke laman rumahnya. Dia bingkas keluar dari perut kereta dan mengunci pintu pagar. 

            Belum sempat Syakir membuka pintu rumahnya, pintu itu terbuka sendiri. Wajah Azyan dan Ameerul terpacul di muka pintu. Azyan mengukir senyuman comelnya. Dia sengaja mahu membuat kejutan untuk Syakir malam ini. Syakir lupa agaknya yang dia punya kunci pendua. Mestilah dia ada sebab rumah ini rumah dia dengan Syakir. Azyan tahu Syakir keluar bertemujanji dengan Katrina. Dia pendamkan rasa sakit hatinya. Dia perlu bertenang dalam usaha memikat semula hati Syakir.

            Ameerul meluru memeluk ayahnya. Syakir membalas pelukannya si anak. Dia kcucup kedua belah pipi Ameerul. Agak lama dia tidak bertemu dengan anaknya yang seorang ini. Azyan masih berdiri tidak berkutik. 

            “Ayah tidak mahu sayang ibu?” soal Ameerul. 

            Syakir memandang Azyan. Azyan masih dengan senyumannya. Azyan hampa bila Syakir mengalihkan pandangan mata. Syakir melangkah masuk mendukung tubuh kecil Ameerul. Dia memanjat anak tangga.

            “Abang…” Azyan memanggil lembut. “Yan ada masak makan malam untuk abang.”

            Syakir menoleh sekilas.

            “Abang sudah kenyang.” Balasnya ringkas.

            Azyan tersenyum hambar. Sampai hati Syakir tidak mahu menjamah masakannya. Penat dia menyediakan makan malam untuk Syakir. Azyan rasa mahu menangis namun dia menahan dalam hati. Azyan sabar Azyan…

            Tidak mengapalah kalau Syakir tidak mahu makan. Esok dia panaskan lauk-pauk yang dimasak dan disedekahkan pada jiran sebelah. Budak-budak pelajar sebelah rumah itu mesti kelaparan. Azyan tersenyum sendiri.

            “Ayah dah tak sayang Meerul dan ibu ke?” Ameerul menyoal ayahnya. Bibir comel itu muncung panjang. 

            “Ayah sayang…”

            “Ayah tipu.” Ameerul buat muka merajuk. “Kalau sayang, ayah tak buat ibu nangis.” 

            “Meerul…Ibu pun buat ayah nangis tau.”

            “Meerul tak nak ibu tiri.” Ameerul tarik muka.

            Syakir tersenyum. Ameerul tentu sahaja memihak kepada ibunya. Anaknya itu memang penyokong kuat Azyan. 

            “Tapi tak salahkan Meerul ada ibu tiri.” 

            “Salah!” Laju Ameerul menjawab. Dia menarik selimut lalu menutup wajahnya. “Ayah jahat!” Desisnya.

            Syakir jongket bahu. Semua orang mengatakan dia jahat hanya kerana dia bersama Katrina. Semua orang mahu menghalang hubungan dia dengan Katrina.

            Syakir melangkah masuk ke bilik tidurnya. Dia lihat Azyan sudah melingkar di atas katil. Cepat betul Azyan melelapkan mata tau isterinya itu sekadar berpura-pura tidur. Syakir membuka butang kemejanya yang tersarung pada tubuh sasa itu. Dia tidak mahu tidur dalam tubuh yang melekit. Tuala dicapai lalu melangkah masuk ke dalam bilik air. 

            Bunyi desiran air pancut kedengaran. Azyan membuka matanya perlahan-lahan. Bibir Azyan mengulum senyuman. Dia bangun perlahan-lahan dan mendekati seluar jenas suaminya. Poket seluar itu diseluk. Telefon bimbit Syakir dikeluarkan. Satu-persatu Azyan membuat semakan sms di dalam telefon bimbit Syakir. Hatinya dipalu melihat sms kasih sayang dari Katrina Kaif. Bukan main lagi anak Kaif itu bersms dengan suami dia.

            Panas hati Azyan memang panas. Ada pula yang disantau nanti. Kalau Syakir itu bujang tidak kisahlah sangat. Ini sudah sah menjadi hak dia. Hak dia tahu tak. Kenalah hak dia yang dicerobohi? Kalau Rizlan yang dikacau memang dia teramat rela. Rizlan bujang terlanjak. Azyan sudah bermonolog sendiri tanpa di sedari Syakir sudah tegak berdiri dibelakangnya. 

            “Sejak bila pakai buat check-out telefon abang?” 

            Azyan pantas menoleh. Dia tersengih.

            “Sejak abang main kayu tiga.” Azyan menjeling suaminya.

            “Salah ke?”

            Boleh pula dia tanyakan aku soalan kejam begitu. 

            “Salahlah sebab abang dah ada isteri.” Azyan menjawab.

            “Ouch! Tapi kuota abang ada kosong lagi tiga di belakangkan. Abang mampu kalau ingin
menambah lagi seorang.” Syakir menarik pipi comel Azyan. Azyan menyeringai. Syakir tidak buat lawak kelakar. Wajah Syakir serius.

            “Abang fikir Yan akan benarkan abang kahwin dengan anak Kaif itu? Yan tak izinkan. Abang milik Yan seorang!” Bantah Azyan. Dia naik semula ke katil dan menarik selimut menutupi seluruh tubuhnya. Rindunya tidur di sebelah Syakir. Malam ini ingatkan dapat lepas rindu dan memeluk Syakir puas-puas. Syakir pula sengaja mahu sakitkan hati dia. Syakir jahat!

            Syakir ketawa. Dia suka melihat wajah marah Azyan. Syakir turut naik ke atas katil. Dia menarik selimutnya hingga ke paras pinggang. Syakir menoleh ke arah isterinya. 

            “Tidak baik seorang isteri tidur membelakangi suaminya.” suaranya lembut. 

            Azyan memusingkan badannya menghadap Syakir. Azyan memenjamkan matanya rapat-rapat. Dia tidak mahu melihat wajah Syakir. Dia tahu Syakir sedang tersenyum mengenakan dia. Malu-malu kucinglah konon.

            “Tak rindu kat abang?” Suara Syakir separuh berbisik. Dia sengaja mahu menggoda Azyan.

            Gatal pulak suami dia ni. Karang tak pasal-pasal novel ni dicop 18sx. Azyan selamba membaling bantal ke muka Syakir. Kalau bab mahu menggatal memang serah pada Syakir. Al maklum sudah menurun ilmu Romeo dari Zekri. Sekarang pula sednag jadi Romeo pada Katrina.

            Apabila Azyan membuka mata Syakir sudah tidur pulas di sebelahnya. Bukan main cepat Syakir terlelap. Konon penat sangatlah tu. Geram pula dengan Muhammad Syakir Bin Ilyas ini. Azyan tersenyum jahat. Jaga kau Syakir.

YA, Allah! Macam mana aku boleh terlajak tidur ni. Syakir kelam kabut membuka almarinya. Matanya membulat besar melihat kemejanya tiada sehelai pun tersangkut di dalam almari. Tandan dahi Syakir berkerut. Ke mana pula kemejanya itu berjalan. Syakir mula menggaru kepala.

            “Yan…” Syakir memanggil isterinya. 

            Terkocoh-kocoh Azyan masuk bilik. Suara Syakir memang tidak memerlukan mikrofon. Tidak perlu picing sebab sudah cukup segala kekuatan pada suara suaminya itu. 

            “Ya, kanda sayang, kenapa memanggil dinda yang sedang menyediakan santapan di dapur.”

            Syakir siap bercekak pinggang. Dia kerling Azyan yang sedang tersengih sumbing itu. Ini
mesti kerja isteri dia. Dia sudah lambat ke hospital ni. Azyan pula merman sesuka hati mematikan jam locengnya. Apalah agenda Azyan.

            “Dinda…mana baju kemeja kanda? Semalam kanda sudah seterika semua baju kanda dalam almari ni.”

            Azyan buat muka terkejut.

            “Alamak! Dinda cuci semua baju kemeja kandalah. Ingatkan tak basuh lagi sebab wangi semacam aja dinda cium.” 

            Mata Syakir terbeliak besar. Bukan main terer otak Azyan sampai semua kemejanya dibasuh sekali. Isterinya terlebih rajin betul.

            “Apa salahnya ponteng kerja sekali sekala. Lagipun tadi dinda sudah telefon hospital kata kanda demam kura-kura.” Azyan menarik hidung Syakir. Dia mengenyitkan matanya pada Syakir sebelum melangkah keluar.

            Syakir tidak terkata apa. Dia tarik nafas dalam-dalam. Dia meninggalkan pesanan ringkas buat Katrina. Mungkin ada baiknya dia menemani isteri dan anaknya. Apa yang menghairankan Azyan seakan tidak marahkan dia fasal keguguran anak mereka.
          

Wednesday, March 21, 2012

Tuan dan Puan - Bab 5


“ABANG tengok anak abang tu dah macam orang mati anak kucing. Makan tak mahu. Kerja di pejabat terabai. Dia asyik berkurung saja dalam bilik.” Amsyar buat muka sedihnya. Lakonannya pasti akan menjadi.

            Tuan Aali mengusap dagu. Tok Nadim sudah mendesak agar mengikut saja permintaan cucu tunggalnya itu.Tok Nadim pun mahu berbaik-baik semula dengan Nenek Halijah. Macam kata Amsyar cerita lama biarkan berlalu.

            “Kau ingat lakonan dia mampu mencairkan hati aku.” Tuan Aali tidak percaya anak tunggalnya itu sedang merana.

            “Abang…kalau jadi apa-apa pada Aakif memang saya seratus-peratus salahkan abang. Aakif tu perlukan restu dari abang sebab abang tu ayah dia. Kalau dia nak kahwin senyap-senyap pun boleh bang sebab dia tidak perlukan seorang wali.” Amsyar masih mengawal suaranya yang kian meninggi itu. Degil betul Tuan Aali ni.

            Tuan Aali diam sejenak. Dia melangkah ke bilik Tuan Aakif. Diintai anak bujangnya itu di sebalik pintu yang terkuak kecil itu. Tuan Aakif sedang termenung di birai katil. Wajah anak lelakinya itu seperti tidak bermaya. Agaknya benar kata Amsyar yang Tuan Aakif sedang merana. Makan hati kerana kedegilan abahnya ini yang tidak mahu menerima Aimy sebagai menantu.

            Tuan Aali menarik cembul pintu perlahan. Nafasnya dihembuskan sedikit. Kalau anak kesayangannya sakit maka dia juga akan sakit. Utuhnya cinta Tuan Aakif pada Aimy. Teringat pula dia pada arwah ibu Tuan Aakif. Percintaan mereka pun ada pelbagai halangan dan rintangan.

            “Kesian pada Aakif bang. Saya paling takut jika dia hilang pertimbangan macam dalam cerita Laila dan Majnun tu. Abang pun tahu cinta itu buta. Orang muda macam Aakif ni memang suka mengikut hati dan perasaan bang.” Sengaja Amsyar mahu memberikan kegelisahan pada hati Tuan Aali.

            Tuan Aali mengerling tajam adik Amsyar dengan ekor mata.

          “Kau ni tak sudah-sudah merepeklah Amsyar. Kau ingat anak aku tak tahu yang bunuh diri tu berdosa. Aakif tu nak minum susu pun takut inikan pulak nak telan racun. Kau fikir anak aku akan buta kerana cinta anak Sharif Dol tu.” Rengus Tuan Aali.

            Amsyar tersengih. Dia terlebih ‘over acting’ pula. Tidak baik merepek benda-benda macam itukan?

          “Abang ni yang berfikir bukan-bukan. Saya tak cakap pun Aakif nak minum racun. Saya ni tak mahu tengok Aakif sakit akibat merana tak kahwin. Paling saya takut dia tersenarai dalam angkatan bujang terlajak.” Amsyar berikan serangan psikologi kepada Tuan Aali. Dia perlu kasi tekan sikit.

            “Abang ni tak cukup baik jadi ayah dia ke? Kau pun tahu yang abang sayang benar pada Aakif. Abang tak boleh tengok dia susah hati atau merana macam ni.” Keluh Tuan Aali.

            Perangkap sudah mengena. Amsyar meleret senyuman.

            “Abang sudah jadi abah yang cukup baik pada Aakif cuma sesekali kita kena juga berikan Aakif membuat pilihan dalam soal hidupnya. Abang pun tahu tiada perempuan yang tahan dengan sikap Aakif tu.” Omel Amsyar.

           Sikap angkuh dan bongkak Tuan Aakif itu rasanya tiada diperturunkan oleh dia. Arwah isterinya pula seorang yang pemurah dan lemah-lembut. Dia pun tidak tahu Tuan Aakif warisi dari sikap siapa. Mungkin sikap dari ayahnya masa muda-muda dulu.

            “Bukan main kau mengata anak abang ya.”

            “Kenyataan bang. Itulah abang manjakan sangat Aakif masa kecil. Apa saja kemahuan dia abang turutkan. Cuma kemahuan dia yang ini saya setuju. Benda baik tidak elok dilengahkan.” Komen Amsyar.

         Tuan Aali kelihatan mengeluh kecil. Nampak gaya dia kena jua lembutkan hati bertemu dengan Datin Amalia. Sudi ke Datin Amalia itu mahu bertemu dua mata dengan dia? Itu cerita lain kira.

Bila Tuan Aali bertemu dengan Datin Amalia…

MEREKA saling membisu. Tidak reti untuk memulakan bicara kata. Tuan Aali pandang Datin Amalia, Datin Amalia pandang Tuan Aali. Dua-dua menjeling tajam. Risau pula Amsyar melihat gelagat keduanya. Mereka berdua tidak ubah macam dua puak yang berbalah untuk merebut kawasan.

          Amsyar menyiku lengan abang tirinya itu. Dia mahu Tuan Aali sedar yang kedatang mereka ke rumah ini adalah untuk berbincang mengenai perkahwinan anak mereka. Bukan main lawan mata siapa renungan paling tajam.

            “Ehem-ehem…” Tuan Aali berdehem kecil.      

            Datin Amalia membetulkan duduknya di sebelah Datuk Sharif Dol. Rasa tidak selesa pulak. Padahal duduk atas sofa rumah sendiri.

            “Lama kita tidak bertemu Tuan Aali.” Saja Datuk Sharif berbasa-basi.

            “Iya…rasanya sudah berbelas tahun jugalah.”

           “Bagus juga tidak bertemu. Kalau tidak sakit mata aku ni mahu pandang kepala kau yang berkilat tu.” Getus Datin Amalia.

            “Berkilat pun poket penuh.” Bidas Tuan Aali.

            “Huh! Ada aku heran dengan poket kau tu?” Datin Amalia menjuihkan bibir.

          Tuan Aali dan Datin Amalia bertegang urat pulak. Jumpa saja sudah saling sembur-menyembur. Pening Amsyar dan Datuk Sharif Dol.

            “Ikutkan hati memang aku tak berkenan nak berbesan dengan kau. Aku ni sudah ada pilihan untuk anak aku tu. Tapi bila memikirkan Aimy tu sudah suka sama anak kau maka aku turutkan saja. Aku tak nak anak aku merana saja.”

          Menyampah pula Tuan Aali melihat muncung bibir Datin Amalia itu.

“Kau fikir aku nak berbesan dengan kau sangat. Kalau tidak kerana anak aku memang tak hingin aku jejakkan kaki ke sini tahu.” Balas Tuan Aali. Panas hatinya dengan sikap Datin Amalia ni. Kalau begini menghadap Datin Amalia hari-hari, memang dia bakal sakit darah tinggi.

            Datin Amalia mencebir bibir.

       “Mamanya…kita nak berbincang pasal budak-budak tu bukan nak bertikam lidah di sini.” Datuk Sharif Dol memainkan peranannya sebelum keadaan menjadi lebih gawat.

            “Betul tu.” Amsyar menyokong. Papa Aimy ni memang sporting habis. Tenang saja macam anak gadisnya itu.

          “Saya nak majlis Aimy buat besar-besaran dekat hotel. Saya mahu jemput artis buat persembhan dalam majlis anak kita. Kita jemput Faizal Tahir.”

            Dia tahu sangat isterinya itu suka benar dengar lagu Faizal Tahir. Datuk Sharif Dol menggelengkan kepala.

            “Tak elok membazir dan riak. Kita buat sederhana saja.”

            “Saya sokong.” Tuan Aali bersependapat dengan Datuk Sharif Dol.

            Datin Amalia mencerlung wajah Tuan Aali. Sibuk saja lelaki ini seorang ini menyampuk.

            Amsyar mahu pecah ketawa melihat gelagat mengada-ngada yang saja dibuat oleh Datin Amalia. Dia sebenarnya kurang faham permusuhan dua keluarga ini. Rasanya Tuan Aali ini kacak juga walaupun botak. Nantilah dia korek-korek cerita di sebalik ceritanya.

        “Bila mahu masuk meminangnya Aali?” Datuk Sharif Dol memang peramah.

            “Insya-ALLAH dalam ahad ini. Lepas itu kita terus buat majlisnya sekali lepas bertunang dalam 1-2 minggu.” Lebih senang berbincang dengan si suami dari si bini.

            “Elok juga tu. Tak elok dilengahkan sangat. Orang tua-tua cakap bertunang ni banyak dugaannya.”

          “Saya tak setuju!” Datin menghentakkan telapak tangan pada permukaan meja tamunya itu.

          Mata Datin Amalia membulat besar. Jangan cuba-cuba mahu menyingkirkan dia dalam perbincangan penting ini.

            “Awak ni asyik nak membangkang sajalah.” Ada sajalah yang tidak memuaskan hati isterinya ini.

             “Abang…Saya nak yang terbaik untuk Aimy. Saya tak mahu majlis yang cincai tau.”

            “Ikut suka hati awaklah. Asalkan awak bahagia.” Datuk Sharif Dol menjongket bahu. Dia tersengih memandang Tuan Aali.

            Tuan Aali berpaling pada Amsyar yang duduk bersebelahan. Amsyar turut tersengih dan mangangkat alisnya. Perbincangan antara mereka memang sukar mendapat kata sepakat. Hendak kahwin pun payah.

Bersambung lagi...

Sunday, March 18, 2012

Tuan dan Puan - Bab 4


TUAN Aakif buat-buat tersenyum manis. Datin Amalia mencebik. Serius cakap yang Datin Amalia dalam terpaksa untuk bertemu dua mata dengan Tuan Aakif anak kepada Tuan Aali ini. Kalau ingin salami dari hati ke hati memang sukar sama sekali. Hati Datin Amalia tidak kepingin mahukan Tuan Aakif menjadi menantunya. Tuan Aakif pula tidak kepingin ada ibu mertua seperti Datin Amalia. Dia bukan kaki bodek seperti Raiyan. Apa susah bila dah selamat akad nikah nanti dia bawa Aimy lari jauh-jauh.

            Mereka saling tenung dan merenung tanpa suara. Datuk Sharif Dol juga naik hairan dengan gelagat isteri dan bakal menantunya itu. Apa kes renung-renung mata ni? Jelingan isterinya itu buat Datuk Sharif Dol tidak tenang. Jangan pula Datin Amalia jatuh hati pada Tuan Aakif. Merana dia dan Aimy nanti. Tuan Aakif itu memang kacak dan segak. Aimy sudah muncul menatang dulang yang berisi air dan sedikit juadah yang dibuatnya. Dia buat cucur udang kegemaran Tuan Aakif.

            “Jemput minum Tuan Aakif.” Aimy menghulurkan cawan kepada Tuan Aakif. Tuan Aakif menyambut dengan senyum lebar.

        Thanks. Jemput minum mama…” Tuan Aakif mempelawa bakal ibu mertuanya itu.

           “Siapa yang benarkan kau panggil aku mama? Memandai kau ya. Belum kahwin tak boleh panggil aku mama.” Keras bunyi nada Datin Amalia.

            Tuan Aakif menelan air liur. Dia bukan suka-suka nak panggil si singa itu mama. Dia hanya mahu praktis  agar lidahnya lancar menyebut perkataan mama buat Datin Amalia. 

            “Mama…” Aimy mencerlung sekilas pada mamanya.

            Datin Amalia membebel dalam hati. Entah apa yang menarik Tuan Aakif ini di pandangan mata Aimy? Dia lebih sukakan Raiyan tetapi Aimy tidak mahukan pilihan mamanya ini.

            “Jemput minum, TUAN AAKIF!” Datin Amalia menekan sedikit nama Tuan Aakif. Pelawaan yang tidak ikhlas.

            “Terima kasih.” Balas Tuan Aakif.        
                                                                 
          Aimy tersenyum. Mama perlu belajar menerima Tuan Aakif sebahagian dari keluarga mereka kelak. Tapi apabila lihat gaya mama melayan Tuan Aakif macam mahu bermusuh sahaja. Tuan Aakif pun sama. Sah-sah mereka tidak sebulu.                    

       “Jemput minum papa.” Aimy menghulurkan cawan kepada Datuk Sharif Dol.    

          “Untuk mama?” Datin Amalia bertanya laju.     
            
       Aimy mengerling Tuan Aakif. Dia mahu Tuan Aakif yang menghuluran cawan yang masih berada di dalam dulang itu kepada mamanya. Tuan Aakif muncung panjang. Mengapa dia perlu mengambil hati Datin Amalia pula? Dia mahu berkahwin dengan Aimy bukan Mak Datin yang macam ‘singa’ ni. Lagipun yang penting wali Aimy sudah bersetuju jadi memang tiada masalah untuk menikah dengan Aimy. Nampak macam orang tidak sabar-sabar saja Tuan Aakif ni. Gatal nak kahwin!         
   
       Demi menjaga hati si bakal isteri dengan keterpaksaan Tuan Aakif mencapai cawan yang di dulang lalu dihulurkan kepada Datin Amalia dengan sopan sekali. Siap mengukirkan senyuman bersinar lagi. Biar Datin Amalia lihat barisan gigi dia yang berkilat bersih.
                                                                                          
Thanks you.” Amboi! ucap terima kasih cakap orang putih.                  
        
 Aimy tersenyum melihat gelagat mama dan Tuan Aakif. Dua-dua memang jenis keras kepala. Datuk Sharif Dol gelengkan kepala. Jika Datin Amalia mahu membangkang sudah tentu terang-terangan Aimy akan bernikah di Golok. Jatuhlah air muka Datin Amalia nanti.

You’re welcome.” Tuan Aakif membalas selamba.

“Kau nak kahwin dengan anak aku memang boleh tapi ada syaratnya.” Datin Amalia mengerling Tuan Aakif dengan ekor mata.

Syarat? Apa pasal ada syarat-syarat ni? Mama Aimy ni sengaja mahu menyulitkan keadaanlah. Tuan Aakif merungut dalam hati.

“Apa syaratnya mama?”

“Belum nikah lagi dengan anak aku dah panggil aku mama.” Datin Amalia jegilkan biji matanya.

“Tak bolehlah ni nak panggil mama?”

“Tak boleh!”

Tuan Aakif jongket bahu. “Jadi nak kena panggil auntielah ni.”       

“Panggil datin….”  Datin Amalia melirik senyuman sinis.

“Baiklah datin.” Tuan Aakif mengikut saja. Buat masa ini kena sedikit bersabar dengan mama Aimy.

“Kita kembali pada syaratnya tadi. Kau boleh berkahwin dengan anak aku tetapi kau kena duduk berjiran dengan aku. Aku mahu kau beli rumah baglo di sebelah rumah aku ini.” Bijak tak idea Datin Amalia. Kebetulan banglo di sebelah itu hendak dijual oleh tuan tanah maka dia mengambil kesempatan yang ada. Dengan ini Aimy tidak perlu tinggal berjauhan dengan dia.

“Mamanya…” Datuk Sharif Dol mula membuka mulut.

“Abang…abang pun tahu saya tak sanggup berpisah dengan Aimy. Lagipun bukannya saya mahu mereka duduk dengan kita bila berkahwin nanti. Mereka hanya duduk berjiran dengan kita saja. Sekurang-kurangnya saya senang mahu menjenguk Aimy nanti.” Datin Amalia menyatakan alasannya.

Aimy memandang Tuan Aakif. Dalam setujunya itu ada muslihatnya. Dia faham benar dengan mamanya itu. Aimy menghela nafas kecil. Dia memberikan isyarat mata kepada Tuan Aakif.

Tuan Aakif memahami isyarat mata yang Aimy berikan. Aimy mahu dia menerima saranan mamanya itu. Tuan Aakif ada pilihan lain tak? Rasanya tiada. Ala buat hendak takut Tuan Aakif. Dia hanya perlu duduk berjiran dengan mertuanya itu saja.

“Baiklah datin. Saya bersetuju.” Tuan Aakif menerima syarat yang diberikan. Banyak betul syarat dalam cerita dia dah.

Datin Amalia tersenyum kemenangan.

TUAN Aali masih tetap menyatakan ketegasannya yang dia sama sekali ‘TIDAK BERSETUJU’ Tuan Aakif berkahwin dengan anak si Sharif Dol itu. Dia tidak ingin mahu berbesan dengan wanita yang pernah memalukannya dulu. Malah dia telah membuktikan pada wanita itu yang lelaki botak sepertinya juga boleh memperisterikan wanita jelita.  Tidak semua wanita memandang pada paras rupa. Ibu Tuan Aakif wanita yang menerima dia seadanya.

            Amsyar memeluk bahu abang tirinya itu. Cerita lama usah dikenang lagi. Sudah berkali-kali dia menyatakan ayat itu kepada Tuan Aali. Tuan Aakif bukannya mahu berkahwin dengan Datin Amalia tetapi dengan anak gadis wanita itu. Aimy itu gadis yang baik pada Amsyar. Rasanya tiada gadis yang boleh tahan dengan perangai angkuh dan sikap ego Tuan Aakif itu.

            “Abang Aali…abang suka ke tengok Aakif merana.? Abang mahu lihat Aakif tidak lalu makan dan tidak lena tidur?” Amsyar sudah berjanji dengan anak saudaranya itu untuk memujuk Tuan Aakif.

            “Kau fikir abang suka tengok anak kesayangan abang tu merana? Aakif itu saja harta yang abang ada. Selama ini semua kemahuan Aakif abang turuti. Tapi yang satu ini saja abang menolak keras.” Tuan Aali melenting.

          “Abang…janganlah jadi macam cerita Antara Dua Darjat pula sampai main angkat-angkat senapang. Ada nyawa yang terkorban. Ada pertumpahan darah.”  Amsyar sengaja mahu menakut-nakutkan abang tirinya itu. Dia tahu Tuan Aali gemar menonton filem lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramle.

          “Apa kau ingat abang nak berperang dengan perempuan singa tu sampai nak ada pertumpahan darah.” Tuan Aali menjeling adiknya sekilas.

           “Saya ibaratkan sajalah bang.” Amsyar tersengih.

          “Bila kau bersengkutu dengan Aakif ni? Setahu abang, kau dengan Aakif mana kamcing.”

            Amsyar tersengih.

         Pintu bilik pejabat Tuan Aali terkuak tanpa diketuk terlebih dahulu. Wajah anak kesayangan Tuan Aali tertonjol di depan muka pintu. Tuan Aali dan Amsyar memandang serentak ke arah anak muda itu yang segak dengan cermin mata hitamnya.

        Tuan Aali merengus kecil dengan sikap anaknya itu yang masuk tidak mengetuk pintu bilik pejabatnya. Main serbu masuk saja.

           “Aakif…lain kali ketuk pintu dulu.” Keras nada suaranya.

         “Maaf abah. Sebenarnya Aakif tidak sabar mahu berkongsi berita gembira dengan abah dan pakcik.”

         Ya! Riak Wajah Tuan Aakif memang ceria. Senyumnya sampai ke telinga. Tuan Aakif sudah menggapai impian yang terpendam di hati.

    “Cerianya anak saudara pakcik ni? Ada berita baik ke?” Amsyar mengangkatkan keningnya.

          “Memang ada berita baik. Aakif sudah dapat lampu hijau.”

          “Ini mesti pasal Aimy ya?” Amsyar meneka.

        Tuan Aakif mengangguk laju.  Wajah Tuan Aali berubah. Betullah yang Amsyar sudah memberikan sokongan padu kepada anaknya. Amsyar memang suka berpaling tadah. Lagi-lagi dia dengar Tuan Aakif sudah mula memanggil Amsyar sebagai pakcik. Kalau dulu bukan main liat mahu menerima Amsyar sebagai pakciknya hanya kerana jarak umur yang hanya beberapa tahun bezanya itu.

        “Ya pakcik. Aakif akan berkahwin dengan Aimy!” Tuan Aakif mendepangkan kedua belahnya. Dia melirikkan senyuman yang cukup manis. Dia terlupa yang abahnya jua berada di situ.

            “Ehem…” Tuan Aali berdehem kecil.

            “Abah…” Tuan Aakif mengundurkan sedikit suaranya.

       Tuan Aali merenung tajam Tuan Aakif. Beria-ia Tuan Aakif mahu berkahwin dengan anak Datuk Sharif Dol. Tuan Aakif sanggup menghadapi segala halangan yang mendatang. Ini mesti lautan api pun sanggup diredah. Biasalah orang bnecinta ni. Macam-macam ayat jiwang yang terlahir di bibir.

            “Abah tak setuju!” Tuan Aali masih berkeras.

            “Abah…please…Aakif cintakan Aimy. Hal abah dengan mama Aimy cerita zaman dulu. Hal Aakif dan Aimy cerita zaman sekarang.”

              Bukan main tutur kata Tuan Aakif.

           “Abang…mereka sudah suka sama suka. Aimy tu tak sama dengan mama dia. Abang pun tahu Aimy tu macam mana?”

            “Kalau Aimy tu bukan anak perempuan singa tu memang aku tidak kisah. Aku bukan jenis ayah yang pentingkan harta benda. Aku tidak kisah dengan pilihan anak aku tapi aku tak boleh terima anak gadis si singa tu.” Tuan Aali bingkas bangun dari kerusinya.  
           
               “Abah…” Muka yang tadi ceria bertukar menjadi suram. Abahnya lebih keras hati dari mama Aimy.

          “Lebih baik Aakif cari gadis lain untuk dijadikan isteri.” Tuan Aali melangkah keluar dari pejabatnya diikuti oleh Amsyar.

            Tuan Aakif kena adukan perkara ini kepada Aimy. Halangan dari Tuan Aali perlu diatasi segera. Tuan Aakif sudah merancang untuk berkahwin dalam tahun ini juga. Dia tidak mahu bertangguh lagi. Si Raiyan kaki bodek itu bila-bila masa akan mempengaruhi Mak Datin seorang itu.

sambung lagi....