Tab Menu

Followers

Friday, April 29, 2011

Queen Control - Bab 12

“I tak suka sayur!” Putri Tasnim melenting. Dia memang tidak suka makan sayur dari kecil. Dia sudah acapkali berpesan pada Tiryaq agar jangan membuat hidangan sayur-sayuran untuk makan malamnya. Tiryaq seakan mahu mengenakan dia.

“Sayur bagus untuk kesihatan.” Tiryaq mencedukkan sup sayur itu ke dalam pinggan makan Putri Tasnim.
“Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Banyak jenis sayuran dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, dan sebagainya.”

Dia sudah memberikan ceramah kesihatan pula. Agaknya Tiryaq pernah bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Putri Tasnim menekup kedua belah telinganya.

“I kan sudah cakap yang I tak suka makan sayur!” Putri Tasnim menolak pinggan nasinya. 

“Awak nak saya suapkan untuk awak ke?”

Putri Tasnim menjegil biji matanya dengan sikap selamba Tiryaq. Dia rasa nak cucuk-cucuk saja mata Tiryaq yang menawan itu dengan garfu.

Tiryaq ketawa kecil melihat gelagat Putri Tasnim. Dia juga dulu seorang yang liat mahu makan sayur. Bonda pasti akan memujuk dengan pelbagai cara. Sedikit-demi sedikit dia membiasakan diri untuk makan sayur-sayuran hingga dia menjadikan sayuran hidangan utamanya.

“Kenapa tidak suka sayur? Awak ingat kalau kita makan sayur kita akan mati ke?” 

“You ini memang tidak faham bahasa betullah!” 

Dia tidak suka dipaksa. 

“Awak kenal dengan Asparagus. Asparagus atau dikenali sebagai asparagus officinalis dan berasal daripada keluarga liliaceae, kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan niasin. Ia juga mengandungi elemen-elemen yang baik untuk kelenjar tiriod, pineal, dan adrenal, jantung, hati, paru-paru, limpa, pankreas dan kulit. Maurice Messegue, seorang pengamal ubat-ubatan herba yang terkenal di Perancis menggunakan jus asparagus sebagai rawatan yang berkesan untuk merawat gangguan renal.” Tiryaq siap menunjuk Asparagus di dalam pinggan Putri Tasnim. 

Putri Tasnim mengetap bibir. Apa Tiryaq ingat dia tidak dengan Aparagus ke? Dia pun kenal jenis sayur-sayuran ini. 

“Asparagus mengandungi sejenis bahan disebut asparajin yang membolehkan sistem badan membuang sisa-sisa toksik. Air kencing akan mengeluarkan bau yang luar biasa yang menunjukkan sistem tubuh badan sedang dibersihkan dan buah pinggang berfungsi secara normal. Jerawat merupakan satu masalah dermatologi berpunca daripada pemakanan tidak seimbang dan pengambilan terlalu banyak makanan berlemak dan bergula. Amalan memakan daging dan minum kopi secara berlebihan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan. Tabiat pemakanan seumpama ini menyebabkan asid berkumpul dengan banyaknya dalam darah. Kandungan alkali yang tinggi dalam jus asparagus boleh mengatasi keadaan itu jika makanan dan minuman itu dikurangkan sekaligus menghilangkan masalah jerawat serta membersihkan kulit.”

Putri Tasnim menongkat dagu dengan tangan kanannya. Bukan main panjang lebar penerangan Tiryaq. Banyak info yang lelaki ini tahu. 

“You fikir, you berikan I ceramah berjela-jela itu I akan makan sayur. Pleaselah...” Putri Tasnim mencapai gelas berisi air kosong itu. Dia teguk perlahan membasahkan anak tekak yang kering.

Tiryaq mengangkatkan kening. Boleh tahan juga degilnya isteri dia ini. Tiryaq mengusap dagu melihat Putri Tasnim yang sekadar memakai t-shirt lengan pendek dan seluar yang fit separas lutut itu. Jelingan mata nakal Tiryaq buat Putri Tasnim tidak keruan. Dia paling tidak suka Tiryaq merenung nakal begitu.

“Saya rasa tidak salah kalau saya menjeling isteri saya sendirikan.” Tiryaq seakan dapat membaca apa yang bermain di fikiran Putri Tasnim.

“I jadi isteri you kerana I kena tangkap basah dengan you! You fikir I nak berkahwin dengan you! Jangan nak perasanlah.” Putri Tasnim bingkas bangun. Sakit kepalalah kalau melayan Tiryaq. 

“Betul awak tak nak makan.”

“Saya nak diet malam ini!” Rengus Putri Tasnim. Dia mencapai remote control televisyen. Lebih baik dia melayan berita di televisyen dari melayan Tiryaq.

Berita yang terpapar menarik perhatian Putri Tasnim. Seorang lelaki ditangkap atas cubaan membunuh pemangku Pengarah TIR Holding’s. Putri Tasnim memakukan mata pada wanita berkaca mata di sebelah lelaki yang sedang dikawal 

rapi oleh beberapa anggota polis itu. Dia macam pernah lihat wajah wanita terbabit. Mengapalah otak dia tidak kuat untuk mengingatinya. 

Tanpa Putri Tasnim sedari Tiryaq sudah berdiri di belakangnya dengan wajah yang serius. Mata tajam Tiryaq terpaku pada lengan lelaki yang telah mengalami kecederaan itu. Siapa agaknya yang punya angkara hingga sanggup bertindak mencederakan adik tirinya. Dia tidak akan melepaskan orang yang berani mengapa-apakan ahli keluarganya.

“VEELU!” Keras nada suara Tiryaq kedengaran. Agak lama dia tidak menghubungi pengawal peribadinya itu. 

“Tuan Pengarah! Di mana tuan berada sekarang. Tuan tahu tak yang...”

“Saya tahu!” Tiryaq memintas. 

Veelu sudah menelan air liur. Jika suara Tiryaq tegas begini maka dia perlu bersiap sedia menerima tempias amarah Tiryaq. Dia tidak mengingkari setiap arahan yang Tiryaq berikan. Apa yang berlaku tidak dapat diduga. Mujurlah Tengku Mirza tidak mengalami kecederaan berat. 

“Maaf atas kecuaian saya tuan. Semuanya berlaku begitu pantas.” Veelu menerangkan keadaan sebenar. Dua puluh empat jam dia berada di sisi Tengku Mirza. Tengku Mirza diserang ketika ingin melangkah masuk ke kereta. Mujur peluru tersebut hanya menggores bahu Tengku Mirza. Jika tepat mengenai sasaran maka Tengku Mirza sudah menjadi mayat yang terbujur kaku. Bagaimana dia mahu menjawab dengan Tiryaq.

“Perkara begini tidak patut terjadi. Awak cuai!” 

“Maafkan saya Tuan Pengarah.”

Jika wajah Tiryaq ada di depan mata mahu dia tidak akan angkat muka. Dia boleh membayangkan amarah pada wajah Tiryaq. Ini yang payah menjaga lelaki lembik seperti Tengku Mirza. Tengku Mirza langsung tiada ilmu mempertahankan diri. Seorang yang mudah terdedah kepada bahaya.

“Selepas ini saya mahu awak kawal Tengku Mirza dengan lebih ketat. Saya tidak mahu kejadian sebegini berlaku lagi! Faham!”

“Baik Tuan Pengarah!” Kecut perut Veelu mendengar suara Tiryaq yang sedang marah itu. Veelu mengetap bibir sambil memandang Apple yang berada di sisinya itu bersama Deen.

Telefon bimbitnya dimatikan. Dia menarik nafas panjang. Apple mengangkatkan keningnya. Dia merapati Veelu dan menepuk bahu lelaki itu perlahan. Pastinya Veelu telah dimarahi oleh Tuan Pengarah.

“Macam awak tak pernah kena marah lebih teruk dengan Tuan Pengarah.” Desis Deen. 

Veelu hanya membisu. Bilalah Tuan Pengarah akan kembali semula ke kerusinya. 

Tiryaq melangkah keluar dari bilik air dengan wajah yang agak serius. Ada kerisauan pada wajah tampan itu. Putri Tasnim yang sudah melepak di atas katil itu merenungnya dengan ekor mata. Semacam pulak dia tengok bila Tiryaq menjadi serius begini. Tiryaq langsung tidak memandang dirinya. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu?

“Call girlfriend ke?” Soal Putri Tasnim. Dia menatap majalah Mingguan Wanita di tangannya.

Tiryaq tersengih. Ada unsur-unsur cemburu nampak! Seronok kalau dapat menyakat Putri Tasnim. Da suka melihat muka Putri Tasnim yang merah padam. 

“Awak jealous ke? Awak sudah mula sayang saya ye.”

“Perasan!” Putri Tasnim baling bantal ke arah Tiryaq. Tiryaq memang jejaka perah santan sungguh! Dia tidak mungkin jatuh hati pada Tiryaq. Dalam hatinya hanya ada Tazriq!

“Awak takut jatuh cinta dengan saya ke? Awak...menyesal tahu kalau tidak menghargai suami awak yang mithali ini. Saya pandai masak, mengemas, mencuci segala baju luar dan dalam awak. Semua kerja rumahtangga saya boleh buat tau. Kalah awak.” Tiryaq mengenyitkan matanya. 

Putri Tasnim mencebik. Perli nampak!

“You jangan nak perasan!” Getus Putri Tasnim. Majalah di tangannya itu Putri tasnim campakkan atas meja bersebelahan. Dia menarik selimut dan menutupi seluruh tubuhnya. Lebih baik dia tidur!

Tiryaq turut nak ke atas katil dan baring di sebelah Putri Tasnim. Kalau sudah tidur pastinya dia yang akan jadi bantal peluk isterinya itu setiap malam. Jika suatu hari nanti Putri Tasnim mengetahui kebenarannya kelak, adakah Putri Tasnim akan memaafkan dia?

Monday, April 25, 2011

Coke and Sundae II - Bab 18

LEENA merengus kecil. Sikap tidak sabar Katrina membuatkan dia rasa bengang. Katrina telah membelakangkan dia. Bukankah mereka sudah mencapai kata sepakat untuk menemui Bomoh Mak Esah pada Khamis malam Jumaat nanti! Katrina memang gelojoh. Nasib baiklah Katrina kawan baiknya jika tidak memang dia tidak akan ambil peduli lagi. Aria hanya mendiam diri. Dia tidak kuasa ingin masuk campur dalam hal Katrina mahu pun Leena. Kedua temannya itu tidak dapat diselamatkan lagi.

            Katrina meramas jari-jemarinya. Dia tahu Leena marahkan dia. Dia buat tidak endah. Hatinya yang tidak tenteram kerana dia masih tidak dapat menundukkan Syakir. Moga Syakir tidak menngesyaki apa-apa pada dia. Dia risaukan Musliha. Bagaimana jika Musliha mengadukan hal itu kepada Syakir? Kes naya jadinya. Jadi dia perlu selesaikan Musliha terlebih dahulu.

            “Kalau you tidak bodoh sangat perkara begini tidak akan berlaku!” suara Leena memetir.

            “You nak tolong I atau tidak?” Katrina menjeling Leena tajam. 

            “Ikutkan hati I memang malas mahu menolong you, tapi disebabkan you ini kawan baik I akan beri muka pada you.” 

            Katrina kalau sudah sewel sukar ditangani. Dia tidak mahu Katrina memporak-perandakan hidupnya nanti. Siapalah dia jika dibandingkan dengan Katrina yang sememangnya dari keluarga yang kaya-raya. 

            “I akan uruskan Musliha.” Sambung Leena. Katrina memalitkan senyuman di hujung bibir. Kalau rasa nak kejam sangat bunuh saja Musliha tu. Habis cerita!

            “Macam mana dengan Bomoh Mak Esah. Esok kita boleh jumpa dia kan?”

            “You memang gelojohlah Kat.” desis Leena. Kata orang kemaruk. Boleh Juga dikatakan tahap orang sakit mental.

            “I tak sanggup menanggung rindu yang terpahat di hati I ini. Hari-hari I tengok muka dia di hospital. I macam orang angau tau. Dia pula layan I acuh tak acuh. Mulut dia asyik laser I sahaja.” Katrina mencemikkan muka. 

            Aria ketawa kecil. Orang sudah tidak sudi siapa suruh kau terhegeh-hegeh! Perasan diri tu cantik sangat. Ingat semua lelaki akan gilakan dia. Mentang-mentanglah dia anak orang berada apa yang dia inginkan pasti dia dapat!

            Leena pula tukang atur rancangan. Dia yang mengajar Katrina buat benda-benda syirik ini. Mujur saja Katrina tidak kena cabul dengan Pak Lajis. Dia sudah agak orang tua itu seorang penipu! Katrina yang beria-ia benar mahu menemui bomoh yang kononnya hebat sangat. Katrina sudah buta hati agaknya.

            “Wow!” Tiba-tiba sahaja Leena mengubah terus topik perbualan. Anak matanya tidak lari dari memandang lelaki pemuda yang baru melangkah masuk ke dalam kafe berkenaan. 

            Katrina dan Aria turut mengalih pandang. Lelaki itu memang menarik dari segi wajah dan juga penampilannya. Ada macam Fahrin Ahmad. Lelaki idaman wanita! Terangkat-angkat kening Leena.

            “Sexy!” ujar Leena dengan pandangan mata menggoda. Lelaki yang memenuhi kriteria bagi wanita sepertinya.

            “Taufik you nak campak mana?”

            “You fikir I bodoh sangat ke? I kahwin denganTaufik kerana harta yang dia miliki bukan kerana I betul-betul cintakan dia.” Leena bingkas bangun dari duduknya.

            Katrina hanya melirik senyuman nipis melihat gelagat Leena. Bukan main lagi ‘daring’ perempuan seorang ini berpakaian. Rambut berwarna keperangan. Nak kata Leena cantik dari segi rupa? Bolehlah tahan. Katrina kan selalu perasan yang dia cantik sangat! Dia bangga dengan wajah jelita yang dimilikinya.

Aria tidak senang dengan perilaku Leena. Awak itu isteri orang tetapi masih bermain kayu tiga dan empat di belakang suami. Sudahlah merampas suami orang. 

Leena berjalan ke arah meja lelaki terbabit. Dia sengaja berpura-pura terpelesok dan dia memeluk tubuh lelaki itu. Lelaki itu sekadar mengulum senyuman. Merah muka Leena melihat senyumannya.

            “I’m sorry…I’m sorry encik.” Leena mula memainkan wataknya.

            “Oh! Tidak mengapa.” Lelaki itu tersengih. Boleh tahan juga perempuan di depan matanya itu. 

            “Hi! I Leena…” Leena memperkenalkan dirinya.

            “Rizlan…”

            Mereka saling bertentangan mata. Lelaki bernama Rizlan ini buat jantung Leena berdengup kencang. Dub! Dab! Dub! Dab!

MUSLIHA rasa serba salah. Dia agak ragu-ragu mahu memberitahu Syakir pasal Katrina. Dia takut Syakir tidak mempercayai kata-katanya. Orang zaman sekarang mana percaya sangat pada bomoh-bomoh ini. Musliha mengadu hal Katrina kepada Izmi. Izmi pula ketawakan dia. Musliha merajuk. Izmi ingat dia buat lawak antarabangsa Ujang ke?

            Alahai merajuk pula kekasih hatinya. Kalau tidak dipujuk mahunya berminggu-minggu Musliha tidak akan menegur dia. Boleh tahan juga kalau Musliha merajuk. Bukan senang untuk memujuk si buah hati pengarang jantungnya itu. Masam mencuka muka manis Musliha.

            “Mus…” Bukan main manja suara Izmi memanggil Musliha yang sudah muncung panjang itu.

            Musliha buat tidak tahu. Dia laju mengaturkan langkahnya. Tidak kuasa mahu melayan Izmi. Lebih baik dia melayan pesakit-pesakitnya.

            Izmi menghela nafas kecil. Musliha sudah jauh dari pandangan mata. Esok dia perlu membeli bunga dan coklat untuk Musliha. Taktik memujuk cara lama. Kalau dibiarkan mahu berbulan-bulan Musliha tidak akan menegurnya. 

            “Monyok semacam hari ini? Mus merajuk dengan you ke?” Syakir menegur ketika mereka minum bersama di kafe.

            Izmi mengangguk lemah.

            “Benda kecil pun dia nak merajuk dengan I.” desis Izmi.

            “Pasal apa dia merajuk dengan you?” Syakir menyoal lagi. Dia pandang tepat pada wajah murung Izmi. 

            “Pasal Katrina.”

            “You ada skandal dengan Kat?” Syakir bagaikan tidak percaya. Biar betul!

            “Bila masa pulak I ada skandal dengan Kat? I dengan Kat mana ada sebarang hubungan sulit dalam dan luar negeri.”

            Ke situ pula pemikiran Syakir. Apa ingat dia ini pun tergolongan kumpulan jenis lelaki mata keranjang. Tolong sikit! Dia pun lelaki setia tahu.

            “Habis tu?”

            “Pasal you?” 

            “Pasal I.” Syakir kerutkan dahi. Apa kena-mengena pula dia dengan Musliha. Setahu dia Musliha hanya syok pada Izmi.

            “Mus beritahu pada I yang Katrina nak guna-gunakan you pakai bomoh.” jelas Izmi.
Syakir ketawa macam nak pecah perut. Katrina mahu guna-gunakan dia? Katrina yang serba moden itu percayakan ilmu bomoh ke? Dia takut bukan dia yang kena guna-guna tapi Katrina. Bomoh sekarang bomoh penipu! Silap haribuan bukan wang saja melayang malah body pun tergadai sekali.

Izmi mengetap bibir. Bukan main meriah Syakir ketawa. Rasa macam buat lawak bodoh depan Syakir. 

“I tak teringin langsung dengan Katrina walaupun dia rela menyerah pada I. I tak suka perempuan macam Katrina itu. Entahlah I rasa dia bukan perempuan yang baik tapi pasal bomoh-bomoh ni I memang tak berapa nak percaya.” Syakir menghirup perlahan airnya. 

“You ingat zaman moden ini tiada lagi ke orang amal benda-benda syirik? You kena berjaga-jaga Kir. Hati manusia kita mana tahu.” Mungkin ada benarnya juga kata-kata Musliha itu. Lebih baik buat langkah keselamatan. Bak kata peribahasa sediakan paying sebelum hujan. Dia lihat Katrina memang tergila-gila Syakir.

“I akan berhati-hati dengan Katrina.” Syakir mengusap dagu. Dia seakan mengingati sesuatu. Agaknya Katrina sembur muka dia kelmarin sebab…Rasa geli-gelemen pula bila kena sembur dengan Katrina. Nampak gayanya balik rumah kena cuci muka lagi. 

“You jangan cerita pasal ni pada isteri you. Alamat pisau tercucuk pada dahi you nanti.” Izmi memberikan amaran. 

Betul-betul. Macam kata Upin dan Ipin. Kalau beritahu Azyan alamat memang kena baling dengan segala periuk dan belanga di dapur. Dia tidak boleh tahan kalau dengar amukan bekas gorilla seorang itu. Anginnya boleh tertukar-tukar arah. Lebih baik dia tidak merosakkan mood baik isterinya itu.

Syakir tidak faham mengapa Katrina terkejar-kejarkan cinta dia. Apalah yang ada dia. Nak kata dia anak raja jauh sekali. Anak Dato’ dan Tan Sri rasanya tak layak langsung. Dia hanya anak kepada bekas pengetua sekolah sahaja. Anak Cikgu Ilyas. Dia perlu bersemuka dengan Katrina. Dia mahu Katrina tahu yang dia tidak berminat dengan cinta gila Katrina. 

“Perempuan seorang ini perasan sungguh! I tahulah dia cantik. Dia ingat I lelaki jenis mata keranjang ke?” rengus Syakir. Marah juga dia dengan sikap Katrina yang tidak habis-habis mahu mengacau hidupnya. Orang sudah tidak masih mahu tergedik-gedik.

“Itu lagi baik. Biar dia tahu bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.” Izmi menepuk-nepuk bahu Syakir. 

“Memang tepuk sebelah tangan tak berbunyi. Kena tepuk dua belah tangan baru ada bunyi.” Syakir tersengih. Boleh pulak dia buat loyar buruk dengan Izmi.  

“Ikut suka hati kaulah Syakir.” 

“Aik! Marah ke?”

“Bukan marah tapi geram.” Izmi menjegilkan biji matanya. Syakir ketawa kecil. Sesekali seronok juga menyakat Izmi. 

“Okaylah…I kena gerak sekarang.” Syakir bingkas bangun. 

“Syakir…jaga-jaga dengan Katrina.”

“Kalau dia tu makan orang pastinya I takut.” 

Syakir berlalu. Izmi menjongketkan bahunya. Dia harap Syakir mendengar pasanan penajanya itu. Katrina mungkin tidak makan orang tapi perempuan itu sedang sakit jiwa di tahap yang tak boleh diselamatkan lagi. Orang sakit jiwa ini bukan boleh dibuat main-main.

Tuesday, April 19, 2011

'Queen Control' - Bab 11

WELL done Miss Tas!” Proposal terbaharu dari Elite lebih hebat dari sebelumnya. Mr. Don amat berpuas hati.

            Putri Tasnim sudah mampu menarik nafas lega. Kontrak sudah kembali di dalam tangan Elite. Itu adalah kali pertama dan terakhir hasil kerjanya dicuri. Tidak akan ada untuk kali kedua. Putri Tasnim akan lebih berhati-hati. Musuh dalam selimutnya akan dilenyapkan terus dari Elite ini! Dia amat benci dikhianati. 

            Janet langsung tidak rasa bersalah mengakui di hadapan dia dan para pekerja Elite yang lain. Janet melakukannya kerana dendamnya pada Putri Tasnim. Dia bencikan Putri Tasnim. Putri Tasnim langsung tidak memandang dia. Wanita hanya tahu kencam hasil kerjanya. 

            “Janet! You bersubahat dengan Tengku Tyea!” Putri Tasnim membulatkan anak matanya. Fikirnya Tengku Tyea tidak akan campur tangan dalam urusan Elite. Dia silap membuat pengiraan. Tengku Tyea pasti tidak akan melepaskan dia setelah kematian Tazriq.

            Miss Tas...I sendiri yang mengikut telunjuk Tengku Tyea sebab I bencikan you! You sering merendah-rendahkan I!”

            “Janet!” Cherly ingin meluru ke arah Janet namun ditahan oleh Jamie.

            Putri Tasnim merapati Janet. Ringan saja telapak tangan Putri Tasnim melekap pada pipi Janet. Cherly dan Jamie tergamam. 

            Get out!” Jari telunjuk Putri Tasnim dihalakan pada pintu utama Elite.

            “I akan ingat ini Miss Tas...I akan ingat sampai you melutut di kaki I!” Janet berlalu pergi. 

            Putri Tasnim menghela nafas kecil. Dia meluru masuk ke biliknya dengan menghempaskan pintu. Tersentak staf-staf Elite yang lain. Siapa menduga Janet akan mengkhianati Elite. Janet bukan orang baru di sini. Janet telah berkhidmat dengan Elite sejak Elite berada di bawah lagi.

            Damn it!” Putri Tasnim menggigit bibir. Dia perlu lebih berhati-hati kali ini. Staf-staf Elite perlu disiasat seorang demi seorang. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

            Bergentar bunyi telefon bimbitnya di atas meja. Putri Tasnim mencapai kasar telefonnya itu. Tidak dia kenali nombor yang tertera pada skrin telefon.

            “Helo!”  Rengusnya kasar.

            “Assalamualaikum sayang...”

            Putri Tasnim menepuk dahi. Dia ada ke memberikan nombor telefonnya 

kepada Tiryaq? Otak ini sudah tidak dapat berfikir dengan teliti lagi. Lantaklah! 

            “Waalaikumussalam...ada apa hal you call I?”

            Amboi! Suara bukan main garang perempuan seorang ini.

            “Gas di rumah you sudah habislah.”

            Gas habis pun perlu nak menelefon dan memberitahu dia ke? Lelaki ini memang selalu bikin dia sakit kepala. 

            So?”

            “Apa yang perlu saya lakukan?” Tiryaq bertanya macam orang bodoh.

            “Gantilah yang baru! You kan rapat dengan mamak kedai runcit berdekatan apartmen I itu. Suruhlah pekerja dia hantar gas!” Mulalah dia meninggikan suaranya. Dia tidak menghiraukan kalau staf-staf Elite memasang telinga di luar.

            “Terlupa pula saya.” Tiryaq ketawa sambil menepuk dahi. Pada hal dia memang sengaja mahu mengacau isterinya itu. Dia suka dengar suara Putri Tasnim yang naik angin. 

            Tangan sibuk Tiryaq mengacau sup sayur yang dimasaknya itu. Bau yang sungguh menyelerakan. Bonda pasti merindui masakan dari anaknya ini. Makan malamnya jarang disediakan oleh orang gaji mereka. Tiryaq lebih gemar menyediakan hidangan untuk bondanya. Tidak kisahlah dia sibuk macam mana pun. Dia agak cerewet sedikit soal makanan ini. Tiryaq mementingkan makanan yang berkhasiat. Dia tidak sukakan fast food seperti Mc Donalds ataupun KFC!

            “Ada apa-apa lagi you nak beritahu pada I?” 

            “Ermm...awak balik rumah tak malam ini?” 

            Of course I akan balik! Itu rumah I!” Putri Tasnim mematikan talian telefon. Apa punya soalan bengap lelaki itu berikan pada dia.

            Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dia fikir Tiryaq yang menelefonnya tetapi nama yang tertera pada skrin telefon itu buat raut wajah Putri Tasnim berubah seratus-peratus. Papa...teragak-agak dia mahu menjawab panggilan tersebut. Sekian lama dia tidak menghubungi papanya kerana amarah yang masih bersisa di hati.

            “Tasnim...”

            Puteri Tasnim membisu. 

            “Tasnim...” 

            “Untuk apa papa mencari Tas lagi?” Puteri Tasnim membuka mulut.

            “Papa hanya ingin bertanyakan khabar Tas. Tas sihat?” 

            “Tas baik-baik saja papa. Rasanya tiada appa yang perlu kita bincangkan. Tas ada kerja. Bye-bye.” Putri Tasnim mematikan talian telefonnya. Dia tidak berminat mahu meneruskan perbualan dengan papanya. 

            Putri Tasnim off kan telefonnya. Dia tidak ada mood untuk diganggu. Dia mahu menenangkan fikirannya. Masalah dengan Mr. Don telah selesai. Masalah perkahwinan dia dengan lelaki tidak dikenali bernama Tiryaq itu yang masih belum diselesaikan.

“YOU sudah gagal Janet!” Tengku Tyea melemparkan majalah di tangannya pada muka Janet. Janet memang tidak boleh diharap.

            I’m sorry tengku.”

            What sorry? You tahu I sudah kehilangan Tazriq dan Elite dalam masa waktu sama. I tewas pada perempuan tidak guna itu!”

            Janet menundukkan kepalanya. Dia sudah menjangka yang Tengku Tyea akan meradang akibat kegagalannya menjatuhkan Putri Tasnim.

            Tengku Tyea meraup wajahnya. Dia telah memiliki Tazriq namun tidak dapat memiliki hati Tazriq. Tazriq hanya mencintai perempuan itu! Tengku Tyea menggenggam jemarinya. Kenapa begitu sukar untuk menghapuskan Putri Tasnim! Perempuan sialan!

            “Kenapa tengku tidak minta bantuan dari adik tiri tengku. Dia boleh membeli Elite dari Putri Tasnim.” Janet memberikan cadangan. Dalam hal ini hanya Tiryaq yang mampu mengembalikan Elite kepada Tengku Tyea.

            Are you crazy! I dengan Tiryaq tidak sebulu! Dia jauh lebih dahsyat dari Putri Tasnim.” Dia tidak akan melupakan wajah gerun Tiryaq. Lelaki diktator berkuku besi itu. Tiryaq hati kering! Tiryaq yang menendang dia keluar dari TIR Holding’s.

            Habis! Mereka perlu meminta bantuan siapa? Tengku Mirza yang lembik itu? Apa yang Tengku Mirza boleh lakukan? Tengku Tyea dan Janet sama-sama buntu. 

            So apa rancangan you?” 

            “I rasa I tahu siapa yang boleh membantu I untuk menghapuskan perempuan itu!” Tengku Tyea mengorak senyuman di hujung bibir.

            “Siapa?” Dari kata-kata Tengku Tyea, orang yang dimaksudkan itu seakan berpengaruh besar. Adakah lebih hebat dari Tiryaq si diktator berkuku besi itu? 

Janet mula membayangkan wajah tamppak Tiryaq di dalam korak fikirannya. Tiryaq lelaki idaman wanita abad ini. Sayangnya sikap yang terlalu serius menyebabkan wanita takut untuk mendekati hartawan muda itu. Bukan mudah untuk menakluki hati Tiryaq.

            “I akan perkenalkan you dengan dia nanti. Maybe dia tidak menakutkan seperti Tiryaq tetapi dia lebih merbahaya dari Tiryaq.”

            “You buat I meremang bulu romalah tengku.” Janet memeluk tubuhnya. 

            Tengku Tyea akan mengaturkan semula rancangannya. Dia mahu musnahkan Putri Tasnim dan Elite. Dia mahu Putri Tasnim merempat! Hahahaha!

            Janet turut melakarkan senyuman pada hujung bibir.

APPLE menyerahkan surat bersampul coklat itu kepada lelaki yang sedang berdiri membelakangi dia itu. Wajahnya agak terlindung tetapi lirikan mata kuyunya menjadi perhatian Apple. Bibir lelaki itu tidak henti-henti menyedut rokok di tangan. Dia membuka sampul surat berkenaan. Beberapa keping dokumen ditarik keluar. Bibirnya melirik senyuman. Dia menyerahkan sampul surat itu pada lelaki yang tegak berdiri di sebelahnya.

            “I tahu you rasa bersalah. Tapi ingat Apple apa yang telah you janjikan pada I.” Lelaki itu melontarkan pandangan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi tasik.

            “I tahu janji I. Tapi jangan you cuba mengapa-apakan Tiryaq.”

            Lelaki itu mencerlung Apple tajam. Dia ketawa kecil. Apple benar-benar mengambil berat akan perihal Tiryaq.

            “Tiryaq...I memang teringin nak bersua dengan dia. Dia seorang yang bijak dan sukar untuk ditangani.” Lelaki itu mengetap bibir.

            “You takutkan Tiryaq?” Apple tersenyum sinis.

            Lelaki itu membisu. Belumnya masa untuk dia tonjolkan diri di depan mata Tiryaq. Dia mengusap-usap parut besar yang berbekas pada pipi kirinya itu. Parut yang kian sembuh itu masih terasa pedihnya. 

            “I akan rampas segala-galanya yang pernah Tengku Irsyad rampas dari I. I juga akan buat Tiryaq tunduk pada I.”

            Apple membisu. Apa sebenarnya hubungan lelaki ini dengan Tiryaq? Apple masih tidak punya jawapan yang jelas. Dia hanya menjalankan tugas seperti termaktub dalam perjanjian. 

            “Apa hubungan you dengan Tiryaq?”

            Lelaki itu tersenyum. Asap rokok yang berkumpul di sekitarnya itu merimaskan Apple. Dia sebenarnya tidak suka pada seorang perokok seperti lelaki ini. Seruan kerajaan ‘Rokok Merbahayakan Kesihatan!’

            “Hmmm...You tidak perlu tahu apa hubungan I dengan Tiryaq. You ikut sahaja arahan yang I berikan pada you!” Agak keras nada suaranya kali ini. Lelaki itu seakan menyembunyikan sesuatu di sebalik wajah yang tegangnya.

            Bagi Apple itulah soalan pertama dan terakhir dia ajukan soalan itu kepada lelaki terbabit. Apple mengerling jam di tangan. Masanya sudah tiba untuk dia beredar. Dia perlu menemani Tengku Mirza ke jamuan makan malamnya. Apple seorang yang sentiasa menjaga masanya. Dia sudah terikut-ikut dengan cara Tiryaq bekerja.

            “I perlu pergi sekarang.” 

            “Ada date dengan Tengku Mirza? I lihat dia seakan tertarik dengan you.” Lelaki itu memandang tepat pada wajahnya. Riaknya seperti tidak senang dengan perhubungan Apple dan Tengku Mirza. 

            “I tidak berminat dengan Tengku Mirza. I hanya menjalankan tugas I sebagai seorang setiausaha.” desis Apple.

            “Jangan you lupa khidmat you untuk I.” Lelaki itu seakan mengingatkan dia. Mungkin lelaki itu mula meragui kesetiaannya. 

            “I sentiasa mematuhi arahan you.” 

            Apple berlalu meninggalkan lelaki itu. Dia langsung tidak menoleh ke belakang. 

            “Kau pastikan yang Apple tidak mengkhianati kita.”

            “Baik tuan!” Lelaki yang bertubuh sasa itu bersuara.