Tab Menu

Followers

Wednesday, January 15, 2014

Cerpen - Mencari Ibu

"ABANG, adik lapar." renggek adik. 

Adik sudah letih. Seharian mereka berjalan mencari alamat ibu. Tanya orang-orang di sekeliling tetapi ramai yang tidak mahu membantu mereka.

Abang usap rambut kerinting adik. Abang menyeluk kocek seluarnya. Sekeping wang not 50 ringgit yang tinggal. Wang yang diberikan oleh seorang kakak yang baik hati.


"Adik, tunggu sini. Abang beli nasi untuk adik."
"Baik, abang." 

Abang berlari-lari anak ke gerai berdekatan. Biarlah adik yang mengisi perut. Abang masih mampu untuk bertahan.

Abang ambil seekor ikan goreng, sayur kobis dan memesan satu bungkus air sirap. Cukuplah untuk adik mengisi perut. Abang tersenyum melihat adik makan dengan lahapnya. Abang mendongak ke langit. Panasnya cuaca. Abang terasa peluh mengalir. Abang kesat dengan tuala kecil. Abang kesat peluh adik juga. Perjalanan mereka panjang.

"Alhamdulillah," ucap adik. Adik suakan baki makanan kepada abang dan airnya sekali. Adik tahu abang masih tidak makan. 

Abang menolak.Adik tetap menyuakan bungkusan makanan.

"Abang dah kenyang, dik."
Adik geleng.
"Adik tahu abang lapar."

Abang tersentuh hati dengan keprihatinan adik yang muda dua tahun darinya itu. Air mata abang  bergenang. 


ABANG membaca alamat di atas kertas kecil itu lagi. Abang dan adik saling berpandangan. Mereka datang ke ibu kota Kuala Lumpur ini semata-mata mencari ibu. Mereka perlu bawa ibu pulang jumpa nenek. Nenek sedang sakit tenat. Atuk ada cakap yang nenek mahu sangat jumpa ibu Mereka pergi sendiri tanpa pengetahuan Atuk. Abah? Abah sudah tiada. Nenek pun bakal sudah ikut abah. Mereka hanya ada ibu, tetapi ibu sudah lama tidak menjenguk mereka di kampung. Abang dan adik tahu yang ibu sudah melupakan mereka. Mereka kesian pada nenek. Mereka mahu menunaikan hajat terakhir nenek.

Alamat ibu, abang curi-curi ambil dari almari buruk nenek. Abang dan adik ke Kuala Lumpur berbekal duit tabung yang disimpan.  

"Abang," Adik menggoncangkan lengan abang.
"Kenapa dik?"
"Abang cuba tanya kakak tu." usul adik
Abang menggaru kepala. Betul juga kata adik. Mereka merapati wanita cantik yang sednag bergayut di telefon itu.

"Assalamualaikum kak," ucap abang lembut.
Wanita itu menoleh dengan mimik wajah tidak senang hati.
"Budak-budak minta sedekahlah ni! Kakak tiada duitlah. Suruh mak bapak korang kerja!" Wanita itu menengking.
"Kami bukan..."
"Pergi-pergi!" 

Abang menarik pergelangan tangan adik. Abang mengeluh kecil. Kenapa rata-rata manusia di ibu kota ini memikirkan mereka mahu meminta sedekah. Tiada tanggapan lagi kah? Abang ramas-ramas kertas di tangan.

"Adik..." Seorang lelaki muda merapati.
Abang dan adik angkat kepala.
"Adik berdua buat apa di sini. Ibu mana?" soal lelaki muda itu.
"Kami nak cari ibu." Abang membalas. Abang suakan kertas yang sudah renyuk itu.
 "Abang tahu alamat ni. Abang abwak adik berdua ke sana." Lelaki muda itu menghulurkan bantuan. Kesian melihat adik-beradik itu. 

Abang dan adik mengulum senyuman. 


LELAKI muda itu menekan loceng pintu. Abang dan adik sudah tidak sabar bertemu dengan ibu. Rindu mereka akan terubat. Rindu nenek juga akan terubat sama. 

Pintu terbuka. Seorang wanita cantik berdiri di hadapan mereka.
"Mahu apa?" suara wanita itu agak kasar. Dia tidak senang hati melihat lelaki muda itu bersama kedua kanak-kanak terbabit. Ingin minta derma simpatilah tu.

"Maaf akak, saya mengganggu akak. Saya ni hanya membantu adik-adik ini bertemu akak. Mereka mencari akak." ujar lelaki muda itu lembut.
"Cari aku untuk apa? Anak siapa ni?" rengus wanita itu. Hatinya jengkel melihat kedua kanak-kanak yang berpakaian agak compang-camping itu.

"Ibu," Abang bersuara. "ibu tak kenal abang dan adik?"
Wanita itu mengetap bibir.
"Aku tiada anak!"

Hancur luhur hati abang dan adik. Abang keluarkan satu foto dari beg lusuh yang disandangnya. Dia suakan pada wanita angkuh itu. Wanita angkuh itu sedikit tergamam. Foto itu dikoyakkan menjadi serpihan kecil.

"Ibu, tak apa ibu tak kenal abang dan adik. Tapi nenek sakit tenat di kampung. Nenek nak jumpa ibu."
"Pergi dari sini! Aku tak kenal nenek kamu! Jangan kamu nak memandai-mandai."
"Ibu, kesian dekat nenek. Nenek nak sangat jumpa ibu." Abang memujuk lagi.
"Kamu bawa budak-budak pengemis ini pergi sebelum aku repot polis!" Wanita itu menjeling tajam lelaki muda terbabit.
Pintu dihempaskan dengan kuat.

"Siapa tu, sayang?"
"Budak-budak minta sedekah, bang." 

Air mata abang menitis. Adik memeluk lengan abang.
Lelaki muda itu turut tersentuh hati. Sanggup seorang ibu tidak mengakui anak-anak sendiri.

"Abang, kita balik. Ibu dah tak kenal kita lagi." pujuk adik.
Adik menyapu air mata abang.

Abang mengangguk perlahan. Abang memeluk bahu adiknya. Lelaki muda itu jatuh simpati. Kedua anak kecil ini sanggup ke ibu kota ini semata-mata mencari ibu mereka. Macam mana kedua adik-beradik itu mahu pulang jika wang tidak mencukupi dalam tangan.

Mereka membuka langkah namun ditahan oleh lelaki muda itu.
 
"Abang hantar adik balik."
Terima kasih bang. Kampung kami jauh."
"Kampung adik di mana?"
"Perak."
"Biarlah abang hantar. Jangan risau, abang bukan orang jahat-jahat." 

Abang dan adik tersenyum.

"Terima kasih, bang." jawab mereka serentak.

Mereka hampa kerana balik tanpa ibu. Biarlah ibu bahagia dengan kehidupan barunya. Abang dan adik doakan untuk ibu. Biar ibu membenci mereka, namun mereka tidak pernah membenci ibu. Ibu melahirkan mereka untuk melihat dunia ini.

~Ilya Abdullah~
15/1/2014

2 comments: