Tab Menu

Followers

Friday, October 7, 2011

Mininovella - Coke and Sundae (Bab 2)

Bab 2: Bila Sundae diselamatkan oleh Coke



SYAKIR memeriksa tangki minyak motorsikal TZMnya. Cantik! Minyaknya masih penuh. Dia usap lembut motorsikalnya itu. Hari ini boleh Syakir merempit di atas jalan raya setelah sebulan motorsikalnya itu tersadai di bengkel. Dia tidak perlu berlari ke sekolah keesokkan hari bertemankan dengan anjing kesayangan Mr. Chan. Donnie mesti kecewa gila kerana tidak dapat berlari bersamanya lagi. Hahaha…Syakir ketawa angkuh. Gelagatnya diperhatikan oleh Syamil yang sedang membaca buku di buaian.


            Apa kena pulak dengan alongnya itu? Ketawa di waktu matahari tengah terik atas kepala. Gila ke? Syamil tahulah yang ‘bini’ kesayangan abangnya itu sudah pulih dari unit rawatan rapi. Syamil mengibas-gibas baju t-shirtnya. Panas! Dia sudah minum lima gelas air kosong pun masih terasa dahaganya.


            “Syam...along mahu keluar sebentar.” Syakir memakai helmet di kepala.


            “Along nak ke mana? Syam nak ikut.” Syamil bingkas turun dari buaian.


            “Tak boleh! Syam duduk rumah tolong mak siram pokok bunga. Along ada aktiviti kurang sihat. Along nak merempit!” Berderum-derum bunyi motorsikal Syakir. Inilah masanya untuk melepaskan gian. Dia memecut laju meninggalkan pekarangan rumah.


            “Mak! Along merempit!” Jerit Syamil di luar. Kelibat Syakir sudah tiada di depan matanya.


            Puan Mahani yang sedang sibuk membuat karipap itu bergegas keluar mendapatkan Syamil. 


            “Mana along kau?”


            “Dah lesap mak. Dia cakap nak buat aktiviti kurang sihat. Dia merempit mak.” Ujar Syamil.


            “Bertuah punya anak. Kalau mak tahu mak biarkan saja motorsikalnya tersadai terus di bengkel motor Ah Chong tu.” Desis Puan Mahani.



“UHUK! Uhuk!” Kurang asam jawa punya motor. Dia bagi asap kat muka aku. Azyan terbatuk-batuk kecil. Entah mamat motor mana yang lalu di sebelahnya tadi. Asap bukan main hitam. Busuk! Azyan memeriksa laksa yang di bawanya. Mujur laksa kegemarannya itu tidak terjejas dengan bau asap tadi. Sudahlah mamat itu buat pencemaran bunyi siap buat pencemaran udara sekali. Habislah nipis lapisan ozon kita. Pencemaran berlaku disebabkan oleh manusia itu sendiri.
 

            “Hai Azyan! Pergi beli laksa kat gerai Kak Munah ke?” tegur suara di belakangnya. Bunyi kayuhan basikal itu amat dikenali. Siapa lagi kalau bukan anak Mak Timah Radio, budak tiga suku bernama Fadhil itu.


            Azyan mencebik. Budak Fadhil ni memang tidak serik-serik mengacau dia. 


            “Aku bukan beli laksa tapi aku beli bom atom!” Balas Azyan keras.


            “Eiii…takutnya!” Fadhil ketawa mengekeh.


            “Sekejap lagi aku pergi bom rumah kau.” Azyan menjegilkan biji matanya.


            “Bomlah, aku tak takut.” Fadhil mengenyitkan matanya pada Azyan. 


            Azyan bengkek. Fadhil suka mencabar kewibawaan anak gadis Encik Idris ini. Kata orang sabar itu ada batasnya. Tapi sabar Azyan selalunya tidak terbatas. Nasib baik dia pakai seluar jeans maka bolehlah dia lakukan aksi 18sg. Dia tendang basikal basikal BMX yang ditunggang oleh Fadhil itu sekuat hati. Fadhil hilang keseimbangan lalu jatuh tertonggeng. Azyan ketawa puas hati. Rasakan!


            Azyan pandang kiri dan kanan. Sebelum ada orang lain nampak aksi tidak senonohnya itu lebih baik dia cabut lari. Dia biarkan saja Fadhil tertonggeng mengaduh kesakitan sendirian.


            “Senangnya dalam hati….kalau beristeri dua…seperti dunia…ana yang punya…” Azyan berjalan sambil menyanyi riang. Hentam sajalah kalau lirik lagu Madu Tiga itu tidak betul. 


            Terliur sudah Azyan hendak makan laksa ni. Azyan sudah tidak sabar menjejakkan kaki ke rumah. Biasanya laksa Kak Munah edisi terhad. Hari ini dia memang bertuah sebab menjadi orang pertama yang membeli laksa Kak Munah. Okaylah…kita sambung semula lagu kita tadi.


            “Kalau isteri tua merajuk…balik ke rumah isteri muda…kalau dua-dua merajuk ana kahwin tiga! Mesti pandai pembohong mesti pandai…”


            “Aduh…aduh…” Bunyi suara orang mengerang kesakitan memotong nyanyian tidak merdu Azyan. Potong stim betullah!


            Kali ini Azyan toleh kiri dan kanan lagi. Tiada sesiapa pun. Dia mengerutkan dahi. Siapa pula yang mengerang di persimpangan jalan berani mati ini. Masakan ada anak buluh betong kot? Tapi sini mana ada buluh betong?
 

            “Aduh…aduh….” Bunyi suara orang mengerang kesakitan itu masih jelas kedengaran dalam gegendang telinga Azyan. Azyan yang memang suka tunjuk berani itu mencari-cari gerangan yang punya suara. 


            Mata terpaku pada sebuah motorsikal TZM yang tersadai di tepi jalan raya itu. Azyan berlari-lari anak merapati motorsikal berkenaan. Dia mengusapkan dagu. Remuk belakang motorsikal ini. Kesian….Ini mesti kes langgar lari. Tapi macam dia kenal dengan ini motorsikal. Pedulikan…Mungkin motorsikal pelanduk dua serupa. Apa yang penting dia mesti mencari penunggang motorsikal berkenaan. Harap-harap tuannya tidak mengalami kecederaan parah seperti motornya ini.


            Seorang pemuda kelihatan tertirap tidak jauh dari motorsikal tersebut. Agaknya itu tuannya kot! Apalah Azyan ini. Kalau sudah lihat pada keadaan pemuda itu pastilah dia tuan yang empunya motorsikal. Boleh pulak dia main agak-agak. Kita tinggalkan menatang yang tidak bernyawa itu dan kita selamatkan makhluk yang sedang bernyawa itu dulu. Itu pun kalau masih bernafas lagi.


            “Encik kemalangan ke?” Azyan kemukakan soalan paling bodoh. Azyan menepuk dahi. Sudah tentulah dia mengalami kemalangan.


            “Aduh! Sakitnya…” pemuda yang masih memakai helmet di kepala itu mengadu.


            “Ini mesti awak merempit ni. Itulah buat kerja tidak berfaedah.” Getus Azyan. Tengok gaya pun ada calon mat rempit. 


            Azyan membantu lelaki itu bangun. Kesian tengok tertirap begitu. Ini mesti buat aksi superman tak jadi. Azyan main agak saja. Azyan mengeluarkan sapu tangan Hello Kittynya berwarna pink lalu dibalutkan pada lengan pemuda itu yang luka.


            Alamak! Macam mana aku nak menelefon ambulan. Aku mana ada telefon bimbit. Ayah memang tidak bagi aku pakai telefon bimbit masa sekolah. Dia kata nanti aku boleh hanyut dalam pelajaran. Azyan garu kepala yang tidak gatal. Dia pandang pemuda yang masih dibaluti dengan helmet itu. Apa pasal pemuda itu tidak mahu membuka helmetnya? Muka dia hensem sangat ke? Ala tak luaklah kalau tunjuk pada aku seorang.


            “Awak tunggu sini saya pergi minta bantuan yang terdekat.” 


            Pemuda itu anggukkan kepalanya. Dia langsung tidak berani untuk bersuara. 


Mata yang tersembunyi di sebalik helmet itu hanya memerhatikan langkah Azyan yang sudah hilang dari pandagan mata. Hatinya tersentuh melihat sapu tangan Hello Kitty yang membalut luka pada lengannya itu.


            “Terima kasih Azyan.” Kata-kata itu hanya terucap dari dalam hatinya. 

*Bersambung

Sunday, October 2, 2011

Saya Kan Ada - Bab 3

BILALAH terminal dekat Puduraya nak buka ni. Susahnya nak naik bas di Stadium Bukit Jalil. Leceh satu hal. Sue mula membebel sendirian. Dalam hati dia tekad mahu membeli sebiji kereta. Dia akan berusaha mendapatkan lesen memandu. Kalau dia bawa kereta balik kampung mesti ada yang ternganga mulut masuk lalat. Datuk Lee Chong Wei boleh berusaha mengalahkan Lin Dan maka Sue pun boleh mendapatkan lessen memandu. Apa yang penting? Usaha! Tidak putus asa! Yakin boleh! Macam kata emak. Al-maklumlah Sue kan penumpang setia bas Transnasional. Dia tidak akan naik bas lain kecuali bas tersebut.


            Sue memberikan tiketnya kepada si tukang pemeriksa tiket. Dia mengambil tempat duduk perseorangan. Dia tidak mahu tempat duduk berdua. Kalau yang duduk di sebelah itu perempuan memang dia bernasib baik. Bagaimana kalau lelaki? Haru jadinya macam kes setahun lalu. Air liur basi melekat pada bajunya. Eeii gelilah!

            Penumpang-penumpang bas ekspress Transnasional mula mengambil tempat masing-masing termasuklah Sue. Dia meletakkan begnya di bawa kaki. Sue sudah menempah hotel yang berdekatan lebih awal. Jangan ingat cikgu tadika tidak boleh tidur di hotel. Ala dia buat tempahan di Hotel Grand Crystal. Kakak sayang ada mengatakan yang di sekitar hotel tersebut sukar untuk mendapatkan makanan halal. Biar betul! Tidak mengapa dia sudah siap bawa bekalan makanan segera dalam beg besarnya itu. Tidaklah dia kebuluran kelaparan nanti. Berkenaan dengan Ben pula, dia minta jiran depan rumah tolong jagakan sekejap. Segala keperluan Ben sudah diserahkan bulat-bulat kepada jiran depan rumah itu. Nahas kalau dia dapati Ben turun berat badan jika dia balik nanti.

            Sue terus merebahkan diri atas katil hotel. Boleh tahan juga bilik hotel ini. Alangkah seronoknya jika dapat bercuti panjang begini. Tapi kalau di bercuti panjang pasti dia akan merindui muka budak-budak nakal di tadika itu. Budak-budak itu juga akan merindui Cikgu Sue mereka. Cikgu yang sering menjerit sampai sakit anak tekak. Sue tersengih sendiri. Dia mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi Kak Sayang. Kak Sayang sudah berpesan kalau sudah sampai telefon dia.

            “Alahamdulillah you dah selamat sampai.” Ucap Kak Sayang lega. Risau sangat dia pada Sue yang memang jenis buta jalan sikit itu. Takut sesat!

            “Saya bukan budak kecil lagilah kak.” Desis Sue.

            “Kau tak rindu pada kak ke? Tak pun rindu pada Encik Zulhelmy itu.” Kak Sayang sudah tersengih sambil mengangkatkan keningnya.

            “Tolonglah…mangkuk tu orang tak berkenan tau. Dalam hati ini ada orang yang paling saya dirindui adalah Ben.” Balas Sue. Sudah makankah Ben? Lenakah tidur Ben malam ini tanpa dia di sisi?

“Orang yang you rindui Ben si kucing berwarna macam bulu tupai itu? Kejap! Ben itu mana boleh dikategori dalam golongan orang! Ben itu kucinglah Sue! Apalah orang dengan kucing pun kau tidak tahu beza!” Bebel Kak Sayang.

Sue ketawa kecil.

“Ben saja yang memahami saya kak.”

“Iyalah tu. You okay tak ni? Youkan menghadiri majlis perkahwinan kekasih you.”

            “Pembetulan kak. Bekas kekasih bukan kekasih. Seribu kali okay kak.”

            Amboi bukan main bersemangat Sue menjawabnya. Dia risau Sue melalak sahaja nanti. Budak seorang ini luar saja nampak tabah tapi dalamnya rapuh. Siapa yang melalak ditinggalkan oleh kekasih ala wajah Ashraf Sinclair itu.

            “Iyalah tu. Jangan pula lepas kau tengok si Irfan itu hensem berbaju pengantin kau sanggup mahu jadi bini nombor dua.” Kak Sayang sengaja mahu menguji hati Sue lagi.

            “Huh! Tiada makna saya mahu bini nombor dia kak. Emak sudah berpesan agar jangan sesekali cari laki orang. Kalau berdegil maka langkah mayat dia dulu nak berkahwin. Emak tak izinkan.” Pesanan emak tidak pernah Sue lupakan.

            Bagusnya emak Sue. Zaman sekarang bukannya kisah suami orang atau tidak. Pulusnya penuh maka terus kebas tanpa pedulikan perasaan orang lain. Kini perempuan mencari kesenangan hidup. Duit menjadi perkara utama. Hati budi tolak ke tepi. Ini perangai orang zaman berteknologi. Wang ringgit adalah segala-galanya. Ilmu akhirat tolak tepi.

            Keruntuhan akhlak sudah jelas depan mata. Peluk cium tidak perlu disorok lagi. Rata-rata remaja sekarang berfikiran terbuka. Ibu bapa sudah tidak boleh mahu bersuara. Ana-anak sudah berani naik tangan pada mereka. Malah lihat saja pada muka-muka depan akhbar hari ini. Anak-anak sanggup membunuh ibu bapa sendiri. Kak Sayang mengeluh kecil.

            “Sekarang lelaki yang sudah berkahwin mengaku bujang, Sue. You kena berhati-hati. Mereka ini pelakon drama yang terbaik.” Kak Sayang memberikan nasihat percuma buat Sue.

            “Insya-ALLAH kak. Saya takkan terjebak dengan suami orang.” Kalau terjatuh cinta sekalipun dia tidak akan berkahwin dengan suami orang. Sue bertekad pada dirinya sendiri. Sue mencapai jam tangannya di atas meja.

            “Kak…saya mahu melelapkan mata dulu. Mataku sudah layu dan sayu.” Sambung Sue.

            “Okaylah sayang. Tidurlah dengan nyenyak malam ini. Semoga mndapat mimpi yang indah. Kalau tidak pun bermimpikan Encik Zulhelmy itu. Assalamualaikum…” Sempat Kak Sayang mengusiknya.

            “Kak Sayang!” Talian sudah dimatikan oleh Kak Sayang. Sue menggigit bibir. Dia tidak faham dengan Kak sayang sungguh sekali beria-ia mahu menjodohkan dia dengan lelaki sombong  itu. Dia tidak berkenan! Bukan dia perasan dia lawa tapi memang dia tidak berkenan dengan lelaki itu.
           
“APA ni! Saya yang dapat teksi ni dulu!” Getus Sue. Dia kerling mamat yang memakai cap bernombor 46 itu dengan penuh geram. Mamat ini mesti minat dengan Valentino Rossi. Sue pakai main agak sahaja.

            “Maaf cik adik manis. Saya yang buka pintu dulu.” Ujar lelaki itu.

            Sue mengetap bibir. “Tapi saya yang tahan teksi ini dulu!” Apa lagi Sue naikkan tahap ketinggian suaranya.

            “Siapa cepat dia dapat.” Lelaki itu buat muka tidak bersalah lalu meluru masuk ke dalam teksi berkenaan.

            Sue bengang. Dia bergegas berdiri di hadapan teksi berkenaan sambil mendepangkan kedua belah tangannya. Jangan harap dia mahu mengalah. Pemandu teksi itu pasti tidak akan berani melanggar dia.

Pakcik pemandu teksi itu gelengan kepala. Dia pening melayan kerenah kedua pelanggannya. Keduanya sama keras kepala.

“Langgar saja pakcik. Anggap saja itu anak patung di depan mata.” Suara lelaki itu selamba. Terbeliak biji mata pakcik pemandu teksi.

“Anak…pakcik belum teringin mahu masuk penjara lagi.” Balas pakcik pemandu teksi itu. Sudahnya dia keluar dari tekas berkenaan dan merapati Sue.

Lelaki itu mengetap bibir melihat Sue yang turut masuk ke tempat duduk belakang teksi. Siapa menduga yang destinasi tujuan mereka adalah sama. Sue tidak teringin untuk memandang lelaki di sebelahnya itu. Menyampah! Dia lebih suka berbual mesra dengan pakcik pemandu teksi. Ada tikanya Sue sempat mengerlinbg lelaki itu dengan ekor mata. Lelaki itu sedang menompang dagu membuang pandangan di luar.

            “Terima kasih pakcik.” Ucap Sue lalu menghulurkan wangnya. Selebihnya biar lelaki kerek itu yang membayarnya.

            Sue melangkah keluar. Senyuman di bibirnya mati sebaik saja melihat suasana majlis perkahwinan yang meriah itu. Lelaki tadi turut berdiri di sebelahnya. Mereka bagaikan pasangan kekasih pula. Berdiri sama tinggi. Apabila keduanya perasaan mereka mula mengelak antara satu sama lain.

            Lelaki itu sudah mengaturkan langkahnya namun Sue masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Mata Sue jelas kesayuan melihat majlis perkahwinan itu. Dia mengetap bibir. Jemarinya digenggam erat. Masakan dia akan behenti separuh jalan. Dia akan buktikan pada Irfan dia tidak akan menangisi perkahwinan lelaki itu. Sue jalan mengiringi lelaki tadi.

            “Awak ni macam mengekori saya.” Lelaki itu menjelingnya. Dia tidak faham mengapa dia asyik bertemu dengan gadis ini. Mereka duduk makan semeja pulak.

            “Tiada maknanya saya mahu ekori lelaki kerek macam awak.” Rengus Sue. Kalau meja lain tidak penuh dia tidak akan duduk makan satu meja dengan lelaki kerek ini.

            “Awak cakap saya lelaki kerek.” Lelaki itu membulatkan matanya.

            “Betullah apa yang saya cakap. Awak memang kerek.”

            “Whatever!” Lelaki itu meneguk air sirapnya sehingga habis. Hatinya panas dengan sikap gadis yang punya raut wajah tidak berperasaan itu. Gadis seperti ini memang kaum lelaki sepertinya tidak suka.

            Hati Sue sedang berperang hebat. Dia perlu lebih kuat untuk berhadapan dengan Irfan. Dia akan memberikan hadiah perkahwinan itu ke tangan Irfan sendiri. Dia mahu Irfan tercengang melihat kehadirannya!

Saturday, October 1, 2011

Hanya Padamu - Bab2

“KAU sudah bersedia untuk pergi temuduga?” soal Amel melilhat Mira Ezuryn yang ayu berbaju kurung ungu. Amel masih menahan tawa dengan sabra.
            Mira Ezuryn memalitkan senyuman. Dalam hati punyalah gabra semacam. Manalah tahu permohonan kerja sebagai pencuci pejabat itu tidak lulus. Al-maklumlah kerja sebagai pencuci ini adalah lebih terbuka kepada makcik-makcik sahaja. Itu sebablah dia mengikut saranan Amel menyamar jadi makcik-makcik ini. Nasiblah Jet ada kursus untuk tampal-tampal muka orang ini. Hasil seni Jet betul-betul boleh dipuji. Dia sudah sebiji macam perempuan berusia pertengahan 40-an.
            Dia tidak banyak kerenah mengikut saranan bijak dari otak Amel. Dia aamt memerlukan pekerjaan. Abah juga tidak tahu dengan penyamarannya ini. Kalau abah tahu apsti mengamuk.
            “Tarik nafas panjang-panjang Mira.” Ujar Jet. Dia tersenyum puas melihat hasil seni yang dikira cukup sempurna itu. Mira Ezuryn adalah percubaan pertamanya. Maka Jet sudah yakin untuk menyahut cabarannya esok.
            “Tarik hembus. Tarik hembus.” Mira Ezuryn mendepakan kedua belah tangannya. “Tidak mengapa ke aku pakai segala maklumat mama kau Jet?”
            “Biar pecah di perut bukan pecah di mulut. Rahsia ini hanya kita bertiga sahaja yang tahu.” Balas Jet selamba.
            “Aku pun mengharapkan Puan Juriah Jamain itu tidak mengetahuinya. Kalau tidak kita memang mati ditanam hidup-hidup.” Celah Amel. Siapa yang tidak kenal dengan kegarangan mama Jet itu. Nyonya Mansur abad ini.
            Jet ketawa kecil apabila Amel menyebut nama penuh mamanya.
            Mereka bertiga menuju bangunan setinggi lima belas tingkat itu. Mira Ezuryn menyemak alamat yang tertera pada suratkhabar Harian Metro itu. Dia sudah membulatkan alamat tersebut dengan pen merah. Sekali lagi Mira Ezuryn menarik nafas.
            Dia memulakan dengan langkah kanan sambil membaca bismillah di dalam hati. Amel dan Jet hanya menghantarnya di depan muka pintu sahaja. Mereka mendoakan semoga Mira Ezuryn Berjaya memperolehi kerja yang diingin.

“EHEM-ehem! Makcik ini datang untuk temuduga jawatan eksekutif pentadbiran ke?” Lelaki muda yang memakai baju berbelang jalur melintang itu merenungnya tajam.
            Mulut Mira Ezuryn terlopong besar. Alamak! Dia tersalah masuk bilik temuduga. Mukanya mula kemerah-merahan menahan malu. Mira Ezuryn berkali-kali memohon maaf pada lelaki terbabit. Dia bukan sengaja. Cermin mata tebal itu membuatkan matanya agak bercelaru sedikit. Amel pun satu suruh dia memakai cermin mata yang ada ‘power’.
            “Apa salahnya kalau makcik ni mahu cuba temuduga untuk jawatan tu.” Ada suara mencelah di belakang Mira Ezuryn.
            Dengupan jantung ini kian terasa gegarannya. Mira Ezuryn takut untuk berpaling. Dia hanya menundukkan kepala. Keringat dingin mengalir di wajahnya walaupun bilik itu sejuk ada penghawa dingin. Dia mahu saja cabut lari dari bilik ini.
            “Encik Tajul!” Lelaki tadi mula menunjukkan rasa hormatnya.
            Agak lelaki di belakangnya itu orang besar di syarikat ini.
            “Makcik cari anak ke?” Lelaki itu mempamerkan diri di hadapan Mira Ezuryn. Lembut tutur katanya walau wajahnya serius habis. Muka keras!
            Mira Ezuryn menekup mulut. Dia tidak tahan melihat wajah lelaki yang menyapanya itu. Ya rabbi misainya lebat betul.  Di tambah pula dengan gaya rambut yang disikat belah tengah itu. Raut wajah dia macam Hitler pun ada. Rasanya dari segi umur lelaki ini lebih tua dari dia.
            Laju Mira Ezuryn menggelengkan kepala. Dia ke sini bukan mahu mencari anak yang hilang. Dia datang untuk temuduga pencuci pejabat.
            “Makcik datang untuk temuduga.” Balasnya.
            Wakil-wakil penemuduga yang lain sudah tersenyum simpul. Lelaki yang memakai sut serba hitam itu memandangnya tajam. Renungan lelaki itu umpana lembing yang menembusi hati Mira Ezuryn.
“Tapi bukan sebagai eksekutif pentadbiran. Makcik mahu temuduga sebagai pencucui pejabat.” Sambung Mira Ezuryn apabila melihat muka cuak mereka yang berada dalam bilik temuduga terbabit. Mira tersengih.
“Kalau begitu, makcik boleh bekerja di sini. Makcik boleh mula bekerja esok.”
“Hah!” Mulut Mira Ezuryn ternganga luas. Dia belum ditemuduga sudah diterima kerja. Telinga tidak pekak untuk mendengar setiap butir kata lelaki itu. Jelas sekali!
Mira Ezuryn tersenyum riang. Dia mahu saja melonjak-lonjak kegembiraan dalam bilik itu. Lepas ini ringanlah beban abah sedikit. Syukur…
“Makcik datang sendirian ke? Biar saya hantar makcik ke luar.” Suara lelaki itu mematikan senyuman di bibir Mira Ezuryn.
Mira Ezuryn menggelengkan kepala. “Saya datang dengan dua orang anak lelaki saya. Mereka ada menunggu di luar.” Mira Ezuryn menolak lembut. Dia cuba mengawal nada suaranya. Jangan kantoi!
“Baiklah kalau begitu. Sherry!” Dia memalingkan wajah pada seorang gadis tinggi yang lampai yang sedang berdiri di lelaki berbaju jalur melintang tadi.
“Ya, Encik Tajul.” Gadis bernama Sherry itu membalas.
“Esok makcik ini akan bekerja dengan kita. Awak berikan uniform kepada dia dan esok awak tunjukkan kerja-kerja dia.” Lelaki itu memberikan arahan.
“Baik Encik Tajul. Mari makcik.” Sherry melirik senyuman kepada Mira Ezuryn. Mira Ezuryn membalas senyumannya lalu membuntuti langkah Sherry. Terkedek-kedek dia mengatur langkah.
Di muka pintu Mira Ezuryn berselisih dengan abahnya. Dia mengerutkan dahi. Apa abahnya buat di sini? Ianya hanya menjadi persoalan di dalam minda Mira Ezuryn.

ARSHAD memakukan mata pada wajah lelaki yang bersut serba hitam dengan serius. Dia merempuh masuk ke dalam syrikat itu tanpa mempedulikan halangan di hadapan. Hal itu harus diselesaikan hari ini jua.
            “Kamu semua boleh keluar.” Arah lelaki yang bersut hitam itu.
            Mereka yang berada dalam bilik tersebut menurut arahan yang diberikan. Kini hanya tinggal Arshad dan lelaki bersut hitam itu sahaja. Lelaki bersut hitam itu mengambil tempat duduk berhadapan dengan Arshad. Tiada segaris senyuman terpalit di bibir lelaki itu. Wajah yang keras dan kaku.
            “Bagaimana?” Lelaki itu menyoal.
            “Aku menolak!” Arshad membalas tanpa ragu-ragu. Dia tidak akan biarkan lelaki ini mengambil anaknya.
            “Keputusan muktamad?”
            “Dia adalah segala-galanya pada aku. Aku tidak akan biarkan aku mengambil dia. Janga ganggu hidup kami lagi!” Tegas Arshad.
            “Aku suka dengan ketegasan kau tapi kau lupa yang aku berhak ke atas dia jua. Aku akan pastikan yang kau akan menyerahkan hak penjagaan dia pada aku.”
            Arshad mengetap bibir.
            “Aku tidak pedulikan wasiat perempuan itu. Dia tiada kena-mengena dengan aku lagi.” Arshad berpaling.
            Lelaki itu menghentakkan tangannya di atas meja. Langkah Arshad terhenti. Wajah bengis lelaki itu pandang seketika. Arshad kembali meneruskan langkahnya. Dia tekad tidak akan membiarkan lelaki itu mengambil Mira Ezuryn dari sisinya. Mira Ezuryn adalah semangat perjuangan Arshad untuk bangkit semula. Dia tidak membiarkan kebenaran itu diketahui oleh anaknya. Biarlah ia terus menjadi rahsia.
            Lelaki itu menggigit bibir. Arshad memang berdegil. Jika langkah pertama menemui kegagalan maka dia menggunakan langkah yang kedua. Mungkin caranya kali ini lebih kejam dan ada hati yang bakal terluka.
            Arshad menarik nafas kelegaan. Dia berharap lelaki itu tidak lagi mengganggu hidupnya bersama Mira Ezuryn. Arshad akan sedaya-upaya bekerja keras untuk melangsaikan hutang-hutang dan mengubah kehidupan mereka anak-beranak. Arshad yakin dia mampu melakukannya.
WAJAH suram Mira Ezuryn menjadi perhatian Amel dan Jet. Mira Ezuryn sudah berjaya mendapatkan pekerjaan pun masih buat raut muka mendung begini. Kalau setakat menyamar jadi makcik-makcik tidaklah berat sangat. Nasi goreng belacan kegemaran Mira Ezuryn pun masih tidak terluak. Adalah dalam dua tiga sudu gadis itu menyuap ke dalam mulutnya. Ini mesti ada yang tidak kena.
            Apa yang bermain di minda Mira Ezuryn tidak dapat di baca oleh Amel dan Jet. Mira Ezuryn sedang memikirkan soal abah. Apa yang abah buat di Kristal Mega Impian itu? Mira Ezuryn mengeluh kecil. Wajah abah tegang ketika itu. Dia Nampak ada kemarahan yang meluap-luap menerusi mata abah.
            “Kenapa dengan kau ni, Mira?” Amel memetikkan jarinya di hadapan Mira Ezuryn.
            Mira Ezuryn tersentak dari lamunan. Dia merenung Amel dan Jet.
            “Kau jangan pula kata kau tak mahu bekerja pula. Kita orang sudah penat-penat menolong kau tau.” Sampuk Jet.
            Mira Ezuryn mencebikkan bibir. Siapa kata dia tidak mahukan kerja tersebut. Mereka ini silap membuat tafsiran betul.
            “Aku sedang teringatkan kekasih lama akulah.” Gumam Mira Ezuryn. Dia tidak akan bercerita pasal abah di Kristal Mega Impian.
            Tersembur air di mulut Amel. Biar betul Mira Ezuryn teringatkan kembali bibit-bibit cinta bersama budak ego itu? Bukankah bekas kekasih Mira Ezuryn itu sedang enak bercinta dengan Herda teman baik Mira Ezuryn? Kawan baik sendiri tikam dari belakang.
            “Aku ingatkan kau sudah melupakan Gio? Kau masih mengharapkan dia ke?” soal Jet ingin tahu.
            “Hahahahaha…” Mira Ezuryn ketawa galak.
            Amel dan Jet gelengkan kepala. Mereka tidak faham betul dengan perangai teman mereka yang seorang ini. Ada masanya boleh jadi biol!
            “Mira…orang serius ni?” desis Jet.
            “Aku bukan bodoh mahu mengharap lelaki seperti dia. Aku pun tak heran Herda tikam aku dari belakang. Aku sudah tahu mereka sudah ada perhubungan dari aku bercinta dengan dia lagi.” Gerutu Mira Ezuryn. Tawanya masih bersisa.
            “Dia? Kau macam allergic saja mahu menyebut namanya?” Jet menangkatkan keningnya.
            “Huh! Tiada makna aku nak allergic dengan nama Gio tu?” Mira Ezuryn memuncungkan bibirnya.
            “Iyalah tu. Aku tahu bangat yang kamu sangat mencintai Gio budak kacukan dari Belanda itu?” Amel mengenyitkan sebelah mata. Dia tahu isi hati Mira Ezuryn. Hati siapa yang tidak sakit jika dikhianati oleh teman baik sendiri? Hati siapa yang tidak sakit melihat kemesraan orang-orang yang disayangi depan mata sendiri?
            Mira Ezuryn tersengih. Amel sengaja mahu menguji hatinya.
            “Buang karan saja kalau aku fikirkan pasal Gio dan Herda. Sebetulnya aku sedang fikirkan pasal kerja baru aku” Lebih baik menutup cerita lama dan membuka cerita sekarang.
            Amel menjongketkan bahu begitu jua dengan Jet. Kata-kata Mira Ezuryn itu tidak menyakinkan mereka yang Mira Ezuryn sudah melupakan Gio. Mereka tidak menduga yang Gio sanggup meninggalkan mira Ezuryn setelah gadis itu kehilangan segala-galanya. Gio memandang kekayaan yang dimiliki Mira Ezuryn sebelum ini. Tambahan lagi Mira Ezuryn terpaksa behenti belajar kerana tidak mampu menanggung kos perbelanjaan di kolej itu. Pelajarannya tergantung begitu sahaja.
            Mereka melihat sendiri tangisan Mira Ezuryn sewaktu dibaling telur busuk oleh Herda dan teman-temannya. Mereka mengejek dan menghina gadis itu. Gio hanya memandang tanpa rasa simpati.
            “Mira…kami akan sentiasa berada di sisi kau.” Amel menghulurkan tangan kepada Mira Ezuryn. Jet yang sebelum ini tidak sukakan dia turut menghulurkan tangan seperti Amel.
            “Terima kasih.” Ucapan terima kasih yang pertama lahir dari bibir Mira Ezuryn.
            “Ala…aku lemahlah tengok air mata perempuan comel macam kau.” Gumam Jet. Jet yang berperwatakan seperti budak nakal itu tersengih.
            “Aku baru tahu yang hati kau ada taman.” Amel memaut bahu Jet. Mereka ketawa bersama. Amel dan Jet memandang Mira Ezuryn yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
            “Marilah kita orang hantar kau balik rumah.”
            Mira menanggukkan kepalanya lalu membuka langkah menghampiri Jet dan Amel. Di sinilah bermulanya persahabatan Mira Ezuryn bersama Amel dan Jet.
            “Kau pula yang berangan!” Kali ini Mira Ezuryn memetikkan jari di depan muka Amel. Amel tersentak.
            “Aku terkenangkan kisah persahabatan kita.” Ujar Amel seraya melirik senyuman.
            Mira Ezuryn dan Jet menjuihkan bibir.
            “Entah-entah ingatkan Qasrina, gadis yang membantu mak dia jual lemak depan rumah kau itu?” suara Jet.
            “Tak adalah.” Amel menafikan.
            “Jangan ingat kita orang tak tahu.” Mira Ezuryn mengerling Amel dengan ekor mata.
            Amel menghela nafas kecil. “Tak percaya sudah!” Dia bingkas bangun. Mira Ezuryn dan Jet turut berbuat demikian. Mereka mula mengekori langkah Amel sambil mengusik temannya itu.