AMBOI…..berseri-seri wajah anak dara Encik Idris hari ini. Dari semalam memanjang senyumannya sampai masuk ke dalam bilik tidur. Apa yang diangaukan oleh anak gadis itu pun Encik Idris tidak tahu. Ditanya pada dua orang abangnya…..kedua-duanya gelengkan kepala tidak tahu. Kerja rumah pun tidak perlu disuruh seperti lalu. Ringan saja tulang Azyan melakukannya.
Encik Idris mendekati Azyan yang sedang bersiap-siap ingin keluar menghadiri latihan kelab teater. Azyan kelihatan bernyanyi kecil sambil mengikat tali kasutnya. Encik Idris berdehem kecil. Azyan mengangkat kepala sambil mengukir senyuman manisnya.
“Ayah tengok macam ada yang tidak kena dengan Azyan semenjak dua hari ini. Ada apa-apa ke ni? Pelik semacam.”soal Encik Idris.
“Tiada apa-apalah ayah. Yan macam biasa je. Tiada yang pelik pun.” balas Azyan lembut.
“Apa yang ayah tak peliknya. Yan sebelum ini tidak pernah senyum sepekat susu lemak manis Cap Teko tu.” Encik Idris menyatakan kehairanan yang bersarang di hati tuanya itu. Azyan ketawa kecil.
“Ala ayah ni. Itu pun nak dihairankan. Sesekali kena juga jadi awek cun yang murah dengan senyuman.” Azyan menepuk-nepuk bahu ayahnya.
“Selalunya perempuan kalau senyuman macam Yan ni dah kena penyakit angau. Penyakit orang dilamun cinta.”
“Mengarutlah ayah ni. Yan tak mainlah angau-angau ni. Macam orang cakap tidur tak lena….mandi tak basah….makan tak lalu. Ada ke yang mandi tak basah. Yan mandi basah. Tidur lena. Makan pun kenyang perut Yan.” Azyan membalas.
“Ada saja jawabnya.” desis Encik Idris.
Azyan tersengih. Janji rahsianya tak terbongkar. Lepas praktis teater nanti dia akan keluar bersama Haziq. Tidak sabar rasanya mahu menunggu saat itu. Haziq pujaan hatiku…mungkinkah Haziq sudah dapat membaca isi hatiku ini. Oh Azyan…ketahuilah dikau yang aku sudah lama menyintai mu sejak pertemuan pertama kita dahulu. Sudikah kiranya dikau menjadi kekasih hatiku. Adakah itu kata-kata yang akan diluahkan oleh Haziq. Alangkah romantisnya jika angan-angan Azyan menjadi senyata itu.
“Selalu Yan keluar pergi latihan teater tidak pulak ayah nampak Yan berhias cantik-cantik begini. Ada udang disebalik mee ke?” Terangkat-angkat kening Encik Idris yang lebat itu.
“Perempuan mestilah suka berhias cantik-cantik ayah. Kot ada orang puji pun ayah juga yang kembang hidung. Anak dara siapa yang cantik dan lembut tu? Anak dara Encik Idris.”
“Iyalah tu.”
“Alamak! Yan dah lewat ni ayah. Yan kena gerak dulu.” Pantas tangan Encik Idris dicapai dan dikucup. Encik Idris gelengkan kepala.
“Bawak skuter elok-elok Yan. Jangan dok gatal nak merempit pulak. Ayah balun kau nanti.” Sempat jugak Encik Idris memberikan amaran kerasnya. Tiada pesanan penaja lain. Azyan bukan makan saman. Degilnya tetap ada. Sesekali perangai Azyan memeningkan kepala Encik Idris.
“Iyalah ayah ku sayang. Ala kalau Yan merempit sekali sekala pun bukannya ayah tahu.”
“Yan…” Encik Idris jegilkan biji mata.
“Baru gertak sikit ayah dah ketar. Itu belum lagi Yan kata Yan nak lari ikut Mat Indon. Mahu ayah kena lemah jantung.” Azyan mula ketawa mengekeh. Suka benar kalau dapat menyakat ayah terhormat. Encik Idris mendengus kecil.
“Dari Yan lari dengan Mat Indon baik ayah kahwinkan Yan dengan budak Syakir tu dulu. Biar dia ikat kaki tangan Yan.” Sengaja mahu mengenakan Azyan. Dia tahu anak gadis itu amat pantang mendengar nama Syakir. Menyirap darahnya.
Cemberut muka Azyan bila nama Syakir disebut. Tak suka bebetul nama mamat sengal yang suka bikin onar dengannya itu.
“Siapa nak kahwin dengan cicak kobeng tu! Tak hingin Yan jika diberi kahwin free sekalipun.”
“Mula-mula benci tapi lama-lama boleh jadi suka.” Encik Idris ketawa.
“Yan tak akan suka dengan dia. Ayah…Yan lewat sikit balik nanti. Nak jumpa kawan kejap.” Azyan menyarungkan helmet pada kepala.
“Jangan lewat petang sangat balik dan jangan lupa pesanan penaja ayah tu.”
“Iyalah ayah. Assalamualaikum…” Skuternya dihidupkan. Perlahan-lahan skuter kesayangan Azyan keluar dari pengarangan rumahnya itu.
PERUBAHAN Azyan yang tidak lekang mengukir senyuman di bibir meresahkan hari Syakir. Apa tidaknya. Buah hati bakal keluar bertemujanji dengan sepupunya Haziq. Tapi Syakir mengawal perasaan yang begelora. Dia tetap selamba dan seolah-olah tidak perasan dengan keceriaan yang terpamer pada wajah Azyan. Dia tetap yakin hati Azyan akan menjadi miliknya. Yakin seratus persen.
Mood Azyan yang baik melancarkan latihan mereka. Tidak seperti selalu ada saja yang tidak kena. Bertekak memanjang dengan Syakir. Yang kecil pun diperbesarkan. Syakir memang gemar mengeruhkan suasana.
“Hai…happy betul hari kau akak tengok.” Nani menepuk bahu Azyan dari belakang.
“Opocot mak kau! Kus semangat! Kut ye pun bagilah salam kak Nani oiiii.” Azyan melatah kecil. Dijeling Nani tajam. Nani tersengih.
“Soryyyyy…siapa kasi Yan angau? Tak pernah kak Nani lihat mood Yan sebaik ini?” Mahu dikorek rahsia dari Azyan. Tak mungkin Syakir yang bagi angau pada budak Azyan ni. Orang yang cantik macam Azyan mesti ada peminat yang ramai. Itu pun kalau mereka tidak tahu betapa ganasnya gadis yang luaran nampak cantik dan lemah lembut itu. Kalau mereka tahu mungkin tiada sesiapa yang akan berani mendekati Azyan.
“Kak Nani kalau Yan bukak cerita jangan kasi tahu orang lain terutamanya dengan cicak kobeng tu.” Sempat Azyan mengerling ke arah Syakir yang pura-pura sibuk mengajar anak-anak buahnya yang lain.
“Okay akak tak cerita.”
“Petang ini Yan akan keluar dating. Dating dengan lelaki idaman Yan.”makin melebar senyuman di bibir Azyan. Wajah kacak Haziq terbayang di ruang mata. Baju apalah yang bakal dikenakan pada tubuh sasa Haziq. Tak kisahlah. Pakai apa pun Haziq tetap kacak depan matanya.
“Siapa jejaka bertuah tu?” Dalam hati Nani memang sudah dapat mengagak.
“Rahsia. Lagipun ini first date Yan dengan dia. Belum declare apa-apa lagi. Tak maulah nak cerita lebih-lebih.”
“Menjerut rasa orang itu nampak gayanya…..”
“Siapa yang nak menjerut rasa kak Nani?”
“Tiada sesiapalah.” Nani hanya melirik senyuman. Dia meninggalkan Azyan terkebil-kebil. Nani merapati Syakir yang sibuk berbincang dengan Mat Karan dan beberapa ahli kelab lain.
“Bila nak bertindak?” Nani separuh berbisik. Rasanya Syakir sudah tahu Azyan akan keluar bertemujanji. Dan Syakir tentu saja tahu dengan siapa Azyan akan keluar.
“Kau tak risu ke?” sambung Nani lagi.
“Sedikit pun saya tak risau. Tiada sesiapa yang akan berani mengapa-apakan gorilla tu.”
“Boleh percaya ke? Apa pun dia tetap seorang perempuan Syakir. Aku dah ada satu plan yang baik punya.” desis Mat Karan.
“Pada aku dia lebih menakutkan dari lelaki. Tak perlulah kau orang nak risau sangat pasal dia nak keluar dating tu?” Syakir tetap dengan selambanya. Mat Karan dan yang lain memandang Nani.
“Betul ke kau tak kisah dia keluar dengan Haziq.” Nani masih menduga.
“Aku tak kisahlah. Lagipun tiada faedahnya aku nak mengintip orang berdating ni. Buang masa aku je.”
“Betul ke?” Nani pandang tetap pada mata Syakir lama. Syakir tarik nafas panjang. Dia mengangguk perlahan. Terpaksa jugalah turut serta dengan rancangan bodoh Nani dan Mat Karan.
Azyan melurutkan rambutnya. Saja dibiarkan terlepas hingga melepasi bahu. Sedikit bedak disapukan pada mukanya yang memang dah putih melepak itu. Juga sedikit lips ice dicalitkan pada bibirnya yang merah. Ringkas tapi menawan. Azyan mengukir senyuman. Berpuas hati dengan penampilan dirinya. Segera dia msukkan alat-alat soleknya itu ke dalam beg sandang yang dibawa.
Gelagat Azyan diperhatikan oleh Syakir dengan ekor mata. Jika dilihat penampilan Azyan sekarang dengan Azyan yang dahulu sudah amat jauh bezanya. Syakir lebih suka Azyan yang dahulu.
“Tampal banyak mana tepung dekat muka itu kalau dah rupa gorilla tetap gorilla juga. Gorilla nak jadi burung merak.” suara Syakir. Perlahan namun jelas dalam pen dengaran Azyan. Azyan mengetap bibir. Syakir sengaja mahu mencetuskan pertelingkahan antara mereka.
“Sibuklah kau! Aku punya sukalah nak tampal tepung banyak mana pun!”
“Aku memang suka menyibuk. Ala…macam aku tak tahu kau nak keluar bertemujanji dengan sepupu aku tu. Sebab itu kau tampal tepung dekat muka kau bagi cantik.”
“Kenapa? Kau jealous?”
Syakir ketawa berdekah-dekah. Azyan kerut dahi. “Jealous? Aku nak jealous dengan kau. Minta maaflah. Setakat gadis macam kau ni sekali petik sepuluh orang yang datang tahu.”
“Berlagak! Petiklah jari kau tu. Aku nak tengok gadis gila mana yang datang pada kau!” Azyan menjuihkan bibirnya.
“Macam mana kalau kau datang sekali kat aku?” Syakir merenung tajam wajah ayu Azyan. Berdengup kencang jantung Azyan dengan renungan yang memukau kaun wanita itu. Segera Azyan mengalihkan pandangan mata. Kenapa dia perlu rasa begini bila acapkali mata mereka bertaut? Syakir akan memberikan perasaan tidak selesa kepadanya.
“Jangan nak perasaanlah. Aku tidak sesekali berikan hati aku pada lelaki macam kau!” Azyan tundingkan jari pada muka Syakir. Syakir tersengih.
“Kita tunggu dan lihat.”
“Hmmmm!” Azyan memandang jam di tangan. Dia menepuk dahi. Alamak! Dia hampir terlewat. Dia tidak mahu Haziq tertunggu-tunggu di sana. Tanpa mempedulikan Syakir….Azyan segera berlalu pergi. Syakir mengungkit bahu lalu merenung ahli-ahli kelabnya.
“So nak tunggu apa lagi. Kita pun kena gerak sekarang.” Mat Karan memberikan arahan. Syakir masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Mat Karan mendengus kecil. Pantas dia rentap lengan Syakir. Menarik lelaki itu mengikutinya.
Di satu sudut Emelda memerhati dengan perasaan yang meluat. Dia seorang ditinggalkan dan tidak dihiraukan. Hatinya bengkak. Syakir menolak dia kerana Azyan. Emelda tidak berpuas hati. Dia perlu fikirkan cara untuk mengenakan Azyan. Azyan perlu diajar. Bukan susah mahu mengenakan Azyan. Senyuman jahat terukir di bibir Emelda.
KEINDAHAN taman bunga itu memberikan suasana yang cukup romantis kepada Azyan. Gembira bukan kepalang kerana akhirnya dia dapat berjalan berdua-duaan bersama Haziq. Seronok namun entah mengapa ada perasaan aneh menyelubungi hati Azyan. Wajah Syakir mula terbayang dalam ruang anak mata. Itu yang Azyan tidak suka! Azyan…jangan kau fikir sangat musuh ketat kau itu. Sekarang kau kena fikirkan hubungan antara kau dengan Haziq. Azyan menepuk-nepuk mukanya. Bibirnya mengulum senyuman bila Haziq berjalan menuju ke arahnya bersama dua ais krim di tangan.
“Ini untuk awak.” Dia hulurkan ais krim di tangan kanannya kepada Azyan.
“Terima kasih.” ucap Azyan lembut. Betul-betul control ayu. Haziq duduk di sebelah Azyan dengan jarak yang agak jauh. Malu-malu kucinglah tu konon-kononnya.
Mereka berbual mesra. Tawa Haziq membingitkan telinga Syakir yang berada tidak jauh dari situ. Syakir menongkat dagu sambil memerhati kelatah kanak-kanak yang sedang berkejar-kejaran bermain di taman bunga itu. Dia tiada hati mahu melihat adegan romantis Azyan dan Haziq. Buat sakit hati je!
“Cemburu?”
“Mengarut.”
“Tapi bila dilihat secara dekat mereka pasangan yang sepadan jugak. Azyan memang comel bila dia ketawakan.” Nani mencuit bahu Syakir. Syakir mendengus kecil. Dia sudah lama tahu. Bila ketawa Azyan sememangnya comel. Sayangnya tawa comel Azyan bukan milik Syakir. Azyan tak pernah ketawa begitu comel dengan dia. Kalau ketawa pun ketawa gorilla yang mengamuk di hutan itu.
“Aku tidak kisah.”
“Betul ke kau tak kisah?”
“Kau orang ini memang saja nak membuang masa akukan. Dari buat kerja tak berfaedah ni baik kau orang teruskan latihan. Petunjukkan dah tinggal dua hari lagi. Jangan lupa aku tak mahu ada yang buat silap!” Syakir menjeling ahli kelabnya satu persatu.Masing-masing tertelan air liur. Kalau kalah jawabnya kena hukumanlah.
“Kau lembab sangat dalam mengorat perempuan. Dah suka nak tunggu sampai bila. Sampai kucing bertanduk.” Nani tidak kisah dengan jelingan tajam Syakir. Buat apa nak takut dengan lelaki itu. Bukan dia makan orang pun.
“Kucing ada telinga mana ada tanduk. Mana kau belajar kucing tumbuh tanduk kat kepala.”
“Memang bengap betul!” desis Nani.
“Aku dah sakit pinggang duk kat sini. Aku nak balik!” Syakir bingkas bangun. Teman-temannya segera menekan tubuh sasa Syakir supaya duduk semula dikerusinya. Syakir merengus.
“Sabarlah dulu Syakir. Kau ni menggelabah semcam. Takkan dah panas hati kot!” Nani bersuara. Dia kerling Syakir.
“Hmmmmm!”
“Aku tak sangka ada jugak kelembutan di hati Azyan yang selalu nampak marah-marah tu. Dia memang cantik dan comel.” Sufi bersuara.
“Cakap tengok-tengok belakang sikit Fi. Ada orang tu dah mula berasap satu badan.” sampuk Mat Karan. Sufi berpaling. Tepat kata-kata Mat Karan. Terketap-ketap gigi Syakir dilihatnya. Sufi tersengih.
“Kalau dah lembab sangat biar aku je yang mengorat bagi pihak kau Syakir. Aku pun dalam golongan lelaki macho, berkelakian dan mampu melindungi Azyan.”
Syakir yang tadi bermuka monyok ketawa mengekeh. Ada hati Sufi mahu memikat gorilla yang terlepas dari hutan. Ingat senang ke?
“Jangan nak bermimpilah. Dia hanya suka lelaki yang lebih gagah dari dia. Dia fikir Haziq itu lelaki yang gagah dan perkasa macam hero cerita Ultraman tu. Haziq bukan hero Ultraman tapi Nobita. Si Haziq pula tidak tahu yang Azyan itu She Hulks. Kuat dan gagah! Setahu aku Haziq tidak suka perempuan yang ganas-ganas ni.” selamba tutur Syakir.
“Tak baik mengata sepupu sendiri.”
“Itu kenyataannya.”
“Eh! Ada sekumpulan lelaki mengacau Azyan dan Haziqlah.” Mat Karan menundingkan jari pada Azyan dan Haziq. Mata mereka mula mengalih pandangan. Hanya Syakir masih duduk menongkat dagu. Langsung tidak kisah apa yang berlaku pada Azyan dan Haziq.
“Syakir ada budak nakal-nakal kacau Azyanlah.” Sufi mulai cemas.
“Biarlah. Yan mampu melindungi Haziq.”
Berkerut seribu dahi Azyan dengan kehadiran tetamu tidak diundang itu. Kelima-lima anak muda itu seakan mengenali Haziq. Haziq pula sudah takut-takut dan bermandikan peluh dingin diseluruh wajahnya. Salah seorang dari anak muda itu memaut lengan Azyan. Azyan tersentak.
“Cantik betul awek kau Ziq. Tak sangka si lembik macam kau pun ada awek cun yang suka ya.”
“Hahahaha….apa kata kau berikan saja awek cun ini kepada kami.”
Haziq hanya membatu diri dan tidak sedikit pun menunjukkan yang dia akan melawan. Azyan sedikit hampa. Benarkah Haziq adalah lelaki pengecut seperti yang dikatakan oleh kelima-lima anak muda itu. Tak mungkinlah. Haziq dulu bukan main berani mengelakkan motorsikalnya dari melanggar dia dan seekor kucing.
“Ziq…tolong saya ziq.” Azyan meminta tolong. Bukannya dia tidak boleh mengerjakan mamat-mamat tak berguna itu. Saja dia mahu menguji Haziq.
“Yan…maafkan aku.” Tanpa menoleh Haziq berpaling dan melarikan diri. Azyan terlopong. Biji matanya membulat besar. Tak menduga Haziq yang nampak berkelakian itu meninggalkan dia bersama watak-watak kecil ini. Ingatkan hero akan menyelamatkan heroin lebih kurang macam cerita hindustanlah.
“Hahahaha…budak lembik itu memang tak berubah. Tetap penakut! Si cantik manis kau kena melayan kami. Kekasih hati kau itu lelaki tak berguna. Lebih baik kau bersenang-senang dengan kami. Kami akan melindungi kau baik-baik.” Kelima-lima anak muda berwatak kecil itu ketawa berdekah-dekah.
“Cerminlah diri kau orang dulu sebelum kau nak orang nak mendampingi gadis cantik seperti aku ini.” suara Azyan. Wajahnya ayu sudah berubah. Urat-urat besi sudah timbul pada dahi licin Azyan.
“Wah! Awek cun dah naik darah! Eeeiiiii takutnya!” salah seorangnya buat lawak bodoh depan Azyan. Yang lain ketawa besar. Seronok sangatlah tu. Tak tahu malapetaka sedang menghampiri mereka.
“Kurang ajar!” Azyan melayang penumbuknya dari belakang. Tepat kena batang hidung mamat yang memengang lengannya itu. Meraung kawan itu. Darah mengalir dari lubang hidung.
“Joe!” Seorang dari mamat itu menerpa ke arah temannya yang dipanggil Joe. Teruk dilihat si teman. Mahu patah batang hidungnya.
Azyan sudah menyilangkan tangan. Sampah yang tidak berguna. Berani sungguh mereka mahu bermain-main dengan aku! Mereka tak kenal aku ni anak sapa. Ayah aku bekas mejar tentera tahu. Aku Nur Azyan anak kepada Mejar Idris bin Zain. Juara takewando berturut-turut peringkat sekolah dan negeri. Kau orang tak layak bermain dengan aku!
“Berani kau patahkan hidung aku. Aku nak tuntut pembayaran dari kau!” jerkah mamat bernama Joe.
“Kau orang ingat aku takut! Marilah!” Azyan memanggil. Kelima-lima lelaki itu mengetap bibir. Tidak perlu memberi sebarang isyarat mereka terus menerpa ke arah Azyan. Azyan memalit senyuman menakutkan di bibir.
Termengah-mengah Haziq mengatur penafasan kembali. Timbul rasa bersalah di hati Haziq kerana meninggalkan Azyan bersama lima budak samseng itu. Dia takut mahu menghadapi budak yang pernah membulinya ketika di sekolah dahulu. Jika dirinya sekuat Syakir pasti dia dapat melindungi Azyan. Haziq merasakan diri lelaki yang pengecut dan tidak berguna. Harap-harap adalah orang yang menyelamatkan Azyan. Pasti Azyan akan membenci dia selepas ini.
“Sampai bila kau nak jadi pengecut!” Wajah Syakir tertonjol depan muka Haziq. Mengurut dada Haziq. Bila masa pulak Syakir boleh berada di sini. Haziq menundukkan kepalanya. Rasa malu untuk mengadap muka Syakir.
“Kau malu sebab kau lemah. Kau benar-benar memalukan kaum lelaki. Sekalipun kau lemah kau tak patut melarikan diri dan meninggalkan Azyan. Dia tentu kecewa dengan kau.”
“Abang Syakir….aku..aku..aaa…”
“Kau tidak layak menjadi teman lelaki Azyan.” Syakir menarik kolar t-shirt Haziq.
“Lebih baik kau lenyap dari pandangan mata Azyan saja! Dia hanya layak bersama aku!”
“Lebih baik kau lenyap dari pandangan mata Azyan saja! Dia hanya layak bersama aku!”
Haziq terkulat-kulat mendengar bicara kasar Syakir. Matanya mengekori setiap langkah Syakir. Haziq rasa mahu menangis. Lelaki sesekali mengalirkan air mata jugak tahu. Dia mengigit bibir. Kata-kata Syakir tergiang-ngiang dalam cuping telinganya. Aku memang lelaki penngecut! Tapi sampai bila aku mahu jadi pengecut!
No comments:
Post a Comment