Tab Menu

Followers

Sunday, March 18, 2012

Tuan dan Puan - Bab 4


TUAN Aakif buat-buat tersenyum manis. Datin Amalia mencebik. Serius cakap yang Datin Amalia dalam terpaksa untuk bertemu dua mata dengan Tuan Aakif anak kepada Tuan Aali ini. Kalau ingin salami dari hati ke hati memang sukar sama sekali. Hati Datin Amalia tidak kepingin mahukan Tuan Aakif menjadi menantunya. Tuan Aakif pula tidak kepingin ada ibu mertua seperti Datin Amalia. Dia bukan kaki bodek seperti Raiyan. Apa susah bila dah selamat akad nikah nanti dia bawa Aimy lari jauh-jauh.

            Mereka saling tenung dan merenung tanpa suara. Datuk Sharif Dol juga naik hairan dengan gelagat isteri dan bakal menantunya itu. Apa kes renung-renung mata ni? Jelingan isterinya itu buat Datuk Sharif Dol tidak tenang. Jangan pula Datin Amalia jatuh hati pada Tuan Aakif. Merana dia dan Aimy nanti. Tuan Aakif itu memang kacak dan segak. Aimy sudah muncul menatang dulang yang berisi air dan sedikit juadah yang dibuatnya. Dia buat cucur udang kegemaran Tuan Aakif.

            “Jemput minum Tuan Aakif.” Aimy menghulurkan cawan kepada Tuan Aakif. Tuan Aakif menyambut dengan senyum lebar.

        Thanks. Jemput minum mama…” Tuan Aakif mempelawa bakal ibu mertuanya itu.

           “Siapa yang benarkan kau panggil aku mama? Memandai kau ya. Belum kahwin tak boleh panggil aku mama.” Keras bunyi nada Datin Amalia.

            Tuan Aakif menelan air liur. Dia bukan suka-suka nak panggil si singa itu mama. Dia hanya mahu praktis  agar lidahnya lancar menyebut perkataan mama buat Datin Amalia. 

            “Mama…” Aimy mencerlung sekilas pada mamanya.

            Datin Amalia membebel dalam hati. Entah apa yang menarik Tuan Aakif ini di pandangan mata Aimy? Dia lebih sukakan Raiyan tetapi Aimy tidak mahukan pilihan mamanya ini.

            “Jemput minum, TUAN AAKIF!” Datin Amalia menekan sedikit nama Tuan Aakif. Pelawaan yang tidak ikhlas.

            “Terima kasih.” Balas Tuan Aakif.        
                                                                 
          Aimy tersenyum. Mama perlu belajar menerima Tuan Aakif sebahagian dari keluarga mereka kelak. Tapi apabila lihat gaya mama melayan Tuan Aakif macam mahu bermusuh sahaja. Tuan Aakif pun sama. Sah-sah mereka tidak sebulu.                    

       “Jemput minum papa.” Aimy menghulurkan cawan kepada Datuk Sharif Dol.    

          “Untuk mama?” Datin Amalia bertanya laju.     
            
       Aimy mengerling Tuan Aakif. Dia mahu Tuan Aakif yang menghuluran cawan yang masih berada di dalam dulang itu kepada mamanya. Tuan Aakif muncung panjang. Mengapa dia perlu mengambil hati Datin Amalia pula? Dia mahu berkahwin dengan Aimy bukan Mak Datin yang macam ‘singa’ ni. Lagipun yang penting wali Aimy sudah bersetuju jadi memang tiada masalah untuk menikah dengan Aimy. Nampak macam orang tidak sabar-sabar saja Tuan Aakif ni. Gatal nak kahwin!         
   
       Demi menjaga hati si bakal isteri dengan keterpaksaan Tuan Aakif mencapai cawan yang di dulang lalu dihulurkan kepada Datin Amalia dengan sopan sekali. Siap mengukirkan senyuman bersinar lagi. Biar Datin Amalia lihat barisan gigi dia yang berkilat bersih.
                                                                                          
Thanks you.” Amboi! ucap terima kasih cakap orang putih.                  
        
 Aimy tersenyum melihat gelagat mama dan Tuan Aakif. Dua-dua memang jenis keras kepala. Datuk Sharif Dol gelengkan kepala. Jika Datin Amalia mahu membangkang sudah tentu terang-terangan Aimy akan bernikah di Golok. Jatuhlah air muka Datin Amalia nanti.

You’re welcome.” Tuan Aakif membalas selamba.

“Kau nak kahwin dengan anak aku memang boleh tapi ada syaratnya.” Datin Amalia mengerling Tuan Aakif dengan ekor mata.

Syarat? Apa pasal ada syarat-syarat ni? Mama Aimy ni sengaja mahu menyulitkan keadaanlah. Tuan Aakif merungut dalam hati.

“Apa syaratnya mama?”

“Belum nikah lagi dengan anak aku dah panggil aku mama.” Datin Amalia jegilkan biji matanya.

“Tak bolehlah ni nak panggil mama?”

“Tak boleh!”

Tuan Aakif jongket bahu. “Jadi nak kena panggil auntielah ni.”       

“Panggil datin….”  Datin Amalia melirik senyuman sinis.

“Baiklah datin.” Tuan Aakif mengikut saja. Buat masa ini kena sedikit bersabar dengan mama Aimy.

“Kita kembali pada syaratnya tadi. Kau boleh berkahwin dengan anak aku tetapi kau kena duduk berjiran dengan aku. Aku mahu kau beli rumah baglo di sebelah rumah aku ini.” Bijak tak idea Datin Amalia. Kebetulan banglo di sebelah itu hendak dijual oleh tuan tanah maka dia mengambil kesempatan yang ada. Dengan ini Aimy tidak perlu tinggal berjauhan dengan dia.

“Mamanya…” Datuk Sharif Dol mula membuka mulut.

“Abang…abang pun tahu saya tak sanggup berpisah dengan Aimy. Lagipun bukannya saya mahu mereka duduk dengan kita bila berkahwin nanti. Mereka hanya duduk berjiran dengan kita saja. Sekurang-kurangnya saya senang mahu menjenguk Aimy nanti.” Datin Amalia menyatakan alasannya.

Aimy memandang Tuan Aakif. Dalam setujunya itu ada muslihatnya. Dia faham benar dengan mamanya itu. Aimy menghela nafas kecil. Dia memberikan isyarat mata kepada Tuan Aakif.

Tuan Aakif memahami isyarat mata yang Aimy berikan. Aimy mahu dia menerima saranan mamanya itu. Tuan Aakif ada pilihan lain tak? Rasanya tiada. Ala buat hendak takut Tuan Aakif. Dia hanya perlu duduk berjiran dengan mertuanya itu saja.

“Baiklah datin. Saya bersetuju.” Tuan Aakif menerima syarat yang diberikan. Banyak betul syarat dalam cerita dia dah.

Datin Amalia tersenyum kemenangan.

TUAN Aali masih tetap menyatakan ketegasannya yang dia sama sekali ‘TIDAK BERSETUJU’ Tuan Aakif berkahwin dengan anak si Sharif Dol itu. Dia tidak ingin mahu berbesan dengan wanita yang pernah memalukannya dulu. Malah dia telah membuktikan pada wanita itu yang lelaki botak sepertinya juga boleh memperisterikan wanita jelita.  Tidak semua wanita memandang pada paras rupa. Ibu Tuan Aakif wanita yang menerima dia seadanya.

            Amsyar memeluk bahu abang tirinya itu. Cerita lama usah dikenang lagi. Sudah berkali-kali dia menyatakan ayat itu kepada Tuan Aali. Tuan Aakif bukannya mahu berkahwin dengan Datin Amalia tetapi dengan anak gadis wanita itu. Aimy itu gadis yang baik pada Amsyar. Rasanya tiada gadis yang boleh tahan dengan perangai angkuh dan sikap ego Tuan Aakif itu.

            “Abang Aali…abang suka ke tengok Aakif merana.? Abang mahu lihat Aakif tidak lalu makan dan tidak lena tidur?” Amsyar sudah berjanji dengan anak saudaranya itu untuk memujuk Tuan Aakif.

            “Kau fikir abang suka tengok anak kesayangan abang tu merana? Aakif itu saja harta yang abang ada. Selama ini semua kemahuan Aakif abang turuti. Tapi yang satu ini saja abang menolak keras.” Tuan Aali melenting.

          “Abang…janganlah jadi macam cerita Antara Dua Darjat pula sampai main angkat-angkat senapang. Ada nyawa yang terkorban. Ada pertumpahan darah.”  Amsyar sengaja mahu menakut-nakutkan abang tirinya itu. Dia tahu Tuan Aali gemar menonton filem lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramle.

          “Apa kau ingat abang nak berperang dengan perempuan singa tu sampai nak ada pertumpahan darah.” Tuan Aali menjeling adiknya sekilas.

           “Saya ibaratkan sajalah bang.” Amsyar tersengih.

          “Bila kau bersengkutu dengan Aakif ni? Setahu abang, kau dengan Aakif mana kamcing.”

            Amsyar tersengih.

         Pintu bilik pejabat Tuan Aali terkuak tanpa diketuk terlebih dahulu. Wajah anak kesayangan Tuan Aali tertonjol di depan muka pintu. Tuan Aali dan Amsyar memandang serentak ke arah anak muda itu yang segak dengan cermin mata hitamnya.

        Tuan Aali merengus kecil dengan sikap anaknya itu yang masuk tidak mengetuk pintu bilik pejabatnya. Main serbu masuk saja.

           “Aakif…lain kali ketuk pintu dulu.” Keras nada suaranya.

         “Maaf abah. Sebenarnya Aakif tidak sabar mahu berkongsi berita gembira dengan abah dan pakcik.”

         Ya! Riak Wajah Tuan Aakif memang ceria. Senyumnya sampai ke telinga. Tuan Aakif sudah menggapai impian yang terpendam di hati.

    “Cerianya anak saudara pakcik ni? Ada berita baik ke?” Amsyar mengangkatkan keningnya.

          “Memang ada berita baik. Aakif sudah dapat lampu hijau.”

          “Ini mesti pasal Aimy ya?” Amsyar meneka.

        Tuan Aakif mengangguk laju.  Wajah Tuan Aali berubah. Betullah yang Amsyar sudah memberikan sokongan padu kepada anaknya. Amsyar memang suka berpaling tadah. Lagi-lagi dia dengar Tuan Aakif sudah mula memanggil Amsyar sebagai pakcik. Kalau dulu bukan main liat mahu menerima Amsyar sebagai pakciknya hanya kerana jarak umur yang hanya beberapa tahun bezanya itu.

        “Ya pakcik. Aakif akan berkahwin dengan Aimy!” Tuan Aakif mendepangkan kedua belahnya. Dia melirikkan senyuman yang cukup manis. Dia terlupa yang abahnya jua berada di situ.

            “Ehem…” Tuan Aali berdehem kecil.

            “Abah…” Tuan Aakif mengundurkan sedikit suaranya.

       Tuan Aali merenung tajam Tuan Aakif. Beria-ia Tuan Aakif mahu berkahwin dengan anak Datuk Sharif Dol. Tuan Aakif sanggup menghadapi segala halangan yang mendatang. Ini mesti lautan api pun sanggup diredah. Biasalah orang bnecinta ni. Macam-macam ayat jiwang yang terlahir di bibir.

            “Abah tak setuju!” Tuan Aali masih berkeras.

            “Abah…please…Aakif cintakan Aimy. Hal abah dengan mama Aimy cerita zaman dulu. Hal Aakif dan Aimy cerita zaman sekarang.”

              Bukan main tutur kata Tuan Aakif.

           “Abang…mereka sudah suka sama suka. Aimy tu tak sama dengan mama dia. Abang pun tahu Aimy tu macam mana?”

            “Kalau Aimy tu bukan anak perempuan singa tu memang aku tidak kisah. Aku bukan jenis ayah yang pentingkan harta benda. Aku tidak kisah dengan pilihan anak aku tapi aku tak boleh terima anak gadis si singa tu.” Tuan Aali bingkas bangun dari kerusinya.  
           
               “Abah…” Muka yang tadi ceria bertukar menjadi suram. Abahnya lebih keras hati dari mama Aimy.

          “Lebih baik Aakif cari gadis lain untuk dijadikan isteri.” Tuan Aali melangkah keluar dari pejabatnya diikuti oleh Amsyar.

            Tuan Aakif kena adukan perkara ini kepada Aimy. Halangan dari Tuan Aali perlu diatasi segera. Tuan Aakif sudah merancang untuk berkahwin dalam tahun ini juga. Dia tidak mahu bertangguh lagi. Si Raiyan kaki bodek itu bila-bila masa akan mempengaruhi Mak Datin seorang itu.

sambung lagi....

4 comments:

  1. bestnya dapat pakcik sporting mcm amsyar...
    alah setuju je aakif lepas dah kawin boleh je kalau x nak berjiran dengan mak mertua...
    hehehe
    apalah yang ayah aakif dan ibu aimy tu sampai berpatah arang ...

    ReplyDelete
  2. haha.. bestnyerr.r...sambung cepat!!

    ReplyDelete
  3. ada jugak sambungan e-novel tuan puan ni...best:)
    sambung lagi ye kak!!!

    ReplyDelete
  4. huahaha.
    sis liya thumbs up larh.
    best best.hikhik :)

    ReplyDelete