BERJAM-jam
dia duduk di bilik air menyental kekotoran pada kemeja putih itu. Dibeleknya kemeja
putih yang sudah berbuih dengan sabun itu berkali-kali agar yakin kotoran yang
melekat sudah habis disental. Emak yang berada di muka pintu bilik air hanya
menggeleng melihat gelagat anak gadisnya itu.
“Tak abis basuh lagi?” Soal Puan
Hamimah.
“Nak siap dah mak.”
“Sehelai baju kamu basuh berjam-jam.
Tak pernah dibuat dek orang. Kenapa
tak hantar kedai dobi aja?” Omel Puan Hamimah.
Teja tersengih.
“Salah orang, mak. Orang yang
kotorkan pakaian dia.”
Kemeja yang sudah siap dicuci itu
dibilas dengan air bersih.
“Semedang
kamu kena buli.”
“Takperlah
mak. Dah nasib orang.”
“Teja… kamu jangan lembik sangat.
Sesekali kamu kena jugak melawan.” Nasihat Puan Hamimah.
Teja ketawa kecil.
“Orang malas nak cari gaduh mak.”
“Ikut suka hati kamulah. Jangan
besok teruk kena buli mengadu nangis-nangis pada mak.”
Teja bangun dengan erangan kecil.
Sakit pinggang bertinggung lama begini. Walau esok dia bercuti, dia perlu
membantu Mak Long di kedai makan. Cari duit lebih sedikit.
“Kat sapa lagi orang nak mengadu jika bukan pada emak.” Teja senyum.
“Dah sudah ke?”
“Dah mak.”
“Mak dah hidangkan makan atas meja
tu. Kamu jangan tak makan pulak.”
“Orang nak mandi dululah. Badan dah
berbau ni.”
“Iyalah. Jangan lupa makan. Penat
mak memasak untuk kamu.”
“Baik mak.”
Puan Hamimah beredar. Ada tikanya
dia tidak faham dengan sikap Teja yang suka mengalah. Orang mengata macam-macam
di belakang pun masih boleh berdiam.
Rafiq anak sulungnya sentiasa tiada
di rumah. Kalau balik pun hanya tahu meminta duit. Puas keluar masuk pusat
pemulihan tetapi masih tidak berubah. Benda itu juga yang dicari. Salah memilih
kawan begitulah jadinya. Moga suatu masa Allah bukakan pintu hati anak
lelakinya itu untuk berubah.
“AWAL
bangun anak mak pagi ni. Kan bagus bangun awal macam ni. Kalau tak mesti miss solat subuh.”
Teja tersenyum panjang. Dia
menyarungkan telekung di kepala.
“Kalau miss tu orang ‘cuti’lah mak.”
“Iya ke?” Puan Hamimah mengerling
dengan ekor mata.
Teja masih tersenyum-senyum.
“Penat sekali pun, sibuk macam mana
pun, solat jangan miss. Ingat, solat
itu tiang agama.” Puan Hamimah menyambung kata.
“Baik mak.”
Usai solat subuh, Teja membantu
emaknya di dapur menyediakan sarapan pagi dan kuih-muih untuk dihantar ke kedai
makan Mak Long. Kebiasaan pekerja Mak Long akan singgah mengambil kuih-muih
emak.
“Kamu bersiap-siap ni nak ke mana?”
“Teja nak ke tempat kerja kejap.”
“Kamu kan cuti.”
“Nak hantar benda alah ni mak.”
“Dah kering ke?”
“Dah mak. Orang pulun iron malam sebelum subuh tadi.”
Menggeleng kepala Puan Hamimah.
“Mak… orang pergi dulu.”
“Hati-hati. Jangan lupa mak ada check-up dalam pukul 2.00 nanti di
hospital.”
“Baik mak!”
Tergesa-gesa Teja menyarung kasut di
kaki. Dia takut tertinggal bas.
TEJA
menarik nafas panjang. Puas dia pusing satu hotel tiada kelihatan batang hidung
lelaki itu. Dia terpaksa mencari Puan Jelita. Mujur saja wanita itu berada di
bilik pejabatnya.
“Assalamuaikum. Maaf mengganggu
puan.”
“Waalaikumusalam. Silakan masuk
Teja.”
“Se… sebenarnya saya nak pulangkan
pakaian yang sudah dicuci ni pada lelaki hari tu. Tapi saya tak jumpa dia.”
“Oh, dia berada di bilik pejabat
Encik Khalil.”
“Bilik bos?”
Puan Jelita angguk.
“Kalau macam tu, puan tolong
serahkan pada dia.”
“Maaf… awak kena serahkan sendiri
pada dia. Dia tak mahu orang serahkan pada dia. Awal-awal lagi dia sudah mention pada saya.”
Berlapis-lapis dahi Teja. Dia cuma
pekerja bawahan. Seganlah dia mahu ke bilik pejabat bos. Muka bos pun dia tidak
kenal lagi.
“Tapi…”
“Jangan takut. Encik Khalil tu tak
makan orang.”
Dia hanya tersenyum dengan kata-kata
Puan Jelita. Kalau dia makan orang sah-sah dia orang pertama yang akan berhenti
kerja dulu.
Terpaksa
jugalah dia menapak ke bilik pejabat bos yang berada di tingkat atas sekali.
Dia sudah terpacak di hadapan bilik
bos. Hatinya ragu-ragu untuk mengetuk pintu bilik bos. Gemuruh ada. Gementar
ada. Segala perasaan bercampur-baur. Belum sempat dia mahu mengetuk pintu
pejabat itu, pintu itu sudah terbuka.
Seorang lelaki segak berdiri di
hadapan matanya. Lelaki itu mengulum senyuman. Lihat saja pada penampilan
lelaki itu sudah menunjukkan identiti dirinya.
“Assalamualaikum Encik Khalil.
Selamat pagi.”
“Waalaikumusalam. Selamat pagi.”
“Encik Khalil… sa… sa… saya…”
“Orang yang you nak jumpa tu ada di
dalam. Silakan masuk.”
Hatinya sudah berdebar-debar saat
kakinya melangkah masuk. Bertenang Teja. Bertenang.
“Orang yang you nak jumpa ada di
sini, so, I beredar dulu.”
“Tapi bos…”
Tidak habis ayat diluahkan bosnya
sudah menghilang. Cepat betul bos mengatur langkah panjang.
Gibs senyum lebar seraya menjeling
Teja tajam.
“Er…”
Suara Teja tersangkak. Lelaki itu betul-betul berada di bilik bos. Mungkin lelaki
tu kawan baik bos. Adeh! Makin teruklah nasib dia kalau lelaki tu mengadu pada
bos.
“Kenapa? terkejut tengok aku kat
sini?” Gibs menyoal.
“Er… emm... emmm…”
Terjegil mata Teja. Selamba badak
lelaki itu duduk di kerusi bos.
“Tercegat apa lagi. Duduk!” Lelaki
itu mengarah.
Teja tersentak. Kejang urat saraf
apabila suara lelaki itu. Serta-merta dia menurut. Dia bingkas duduk.
“Nama kau, Teja kan? kau dari Houskeeping department. Sedap nama kau tu.
Tak panjang dan tak berbelit lidah nak menyebutnya. Teringat aku pada kisah Tun
Teja yang dilarikan oleh Hang Tuah untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka.”
Teja mengebam bibir. Dia hanya
menundukkan kepala. Tidak berani untuk mengangkat muka menghadap muka lelaki
itu. Gerun pun ada. Sudahlah serupa samseng dilihat penampilan lelaki itu. Cuma
taklah berantai dan bersubang bagai macam filem KL Gangster tu.
“Kau bawak apa tu?”
Teja seakan mengelamun. Gibs
menyeringai. Dia berdehem kecil. Serentak itu Teja mengangkat kepalanya
sedikit.
“Hah? apa?”
“Aku tanya, kau bawak apa dalam tu?”
Mulut Gibs memuncung pada beg kertas dalam pelukan Teja.
“Oh, saya terlupa. Ini pakaian encik
yang saya dah cuci.” kertas itu dihulurkan
kepada Gibs.
“Kau cuci bersih-bersih?”
Teja angguk laju.
“Dijamin bersih.”
“Ya-ya.”
Teja angguk lagi.
“Kalau cerewet sangat, kau cucilah
sendiri. Aku ni sampai sakit pinggang cuci pakaian kau tahu.” Desis hati kecil
Teja.
“Bagus!” Gibs tersenyum-senyum. Teja
masih tidak berubah. Masih ada kelibutnya. Masih ada polosnya.
“Berapa tahun kau dah kerja kat
sini?”
Esh, banyak soal pulak lelaki
seorang ini.
“Dekat lima bulanlah jugak.”
Gibs mengusap-usap dagu. Dia ingin bertanyakan
soalan lagi tetapi interkom di mejanya sudah berbunyi.
“Ya, Salbiah. Ada apa?”
Teja memasang telinga.
“Encik Khalil, semua staf berkenaan sudah
berada di meeting room.”
“Thanks
Salbiah. Saya datang sekarang.” Gibs bangun dari duduknya. By the way aku perlu bergerak ke meeting room dulu. Kau stay
here. Jangan ke mana-mana. Urusan aku dengan kau belum selesai lagi.”
Bola mata Teja membulat besar. Dia
menelan air liur berkali-kali. Dia tidak ada maslaah pendengaran. Jelas dia
dengar Salbiah memanggil lelaki itu Encik Khail? Habis yang tadi tu siapa pulak? Aduh, orang
yang dikutuk-kutuk dalam hati tu sebenarnya bos dia. Teja menekup muka.
SEKEMBALINYA
Gibs ke bilik pejabatnya semula, Teja sudah tiada. Sekeping nota ditinggalkan
bersama beg kertas tersebut atas dada meja.
Dear Bos…
Maaf,
saya tidak boleh menunggu lebih lama. Saya perlu membawa emak saya ke hospital.
Hari ini kan saya off.
p/s:Maaf
sebab kutuk bos dalam hati.
Gibs tersenyum. Gibs mencapai beg
kertas terbabit. Harum semerbak. Berapa botol softlan agaknya gadis itu celup
pada pakaiannya.
Bersambung....
txs cik writer cerita yg menarik so far.
ReplyDeletehttps://saglamproxy.com
ReplyDeletemetin2 proxy
proxy satın al
knight online proxy
mobil proxy satın al
8K3İ5