BILA teringat kembali kisah cinta aku dengan Syakir pastinya aku akan tersenyum sendiri. Aku dengan Syakir selalu bertengkar tetapi siapa sangka orang yang kita meluat sangat itu menjadi suami kitakan. Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Tidak semestinya orang yang serba serbi tampak sealiran dengan kita itu adalah jodoh kita. Macam aku dengan Syakir. Kami punya perwatakkan yang berbeza dan sering tidak sefahaman. Aku sukakan Coke dan Syakir sukakan Sundae! Ada orang kata Coke dan Sundae tidak boleh bercampur! Tidak sesuai! Siapa cakap Coke and Sundae tidak serasi?
Hehehehe…Alhamdullilah berkat usaha gigih Syakir (konon-kononnya) akhirnya kami bercinta dan berkahwin. Kini…kami bakal menimang cahaya pertama kami. Aku tak boleh bayangkan wajah gembira Syakir bila aku khabarkan yang dia bakal menjadi seorang ayah. Terlonjak-lonjak dia macam budak kecil. Habis semua jiran sebelah dia beritahu. Betul-betul buat aku malu. Syakir…Syakir…
Tergeleng-geleng kepala Azyan ketika menulis di dalam diari yang suatu ketika dulu adalah milik suaminya, Syakir. Dia melirik senyuman di hujung bibir. Perutnya yang sudah membesar macam belon itu adakalanya buat dia tidak selesa untuk duduk menulis. Azyan meletakkan pen di atas meja. Dia menghela nafas kecil.
“Anak ibu ni makin nakal ya.” Azyan mengusap-usap perutnya. Wajahnya berkerut. Dia mengalihkan pandangan pada Syakir yang sudah enak dibuai mimpi atas katil peraduan mereka. Terdengar bunyi dengkuran halus suaminya.
Azyan menyimpan semula diarinya di dalam laci. Dia mula merasa tidak enak pada keadaan perutnya. Bayi dalam kandungannya kian kuat menendang-nendang. Makin lama makin ganas tu. Perlahan-lahan Azyan menghampiri Syakir. Tubuh suaminya di digoncangkan.
“Bang!” panggilnya perlahan.
Syakir masih tidak buka mata. Siap dia ubah posisi baringnya. Azyan mengetap bibir. Dia goncangkan lagi tubuh Syakir. Namun tiada respon yang Syakir akan bukakan matanya. Merah muka Azyan menahan amarah.
“Abang bangun! Ayang dah nak meletup!” jeritnya pada telinga Syakir.
“Hah! Ayang meletup!” Serentak itu Syakir terjaga. Dia pandang kiri dan kanan. Pandangan Syakir mati pada wajah isterinya yang sudah seperti orang sedang menahan sakit itu.
“Sayang ni kenapa? Bekerut-kerut macam nenek kebayan.” soalan paling bodoh Syakir
utarakan.
Nasib dia sedang sarat begini kalau tidak mahu dia belasah lakinya itu. Boleh Syakir buat lawak antarabangsa masa dia tengah sakit begini.
“Perut ayang ni rasa nak meletup dah bang!” rengus Azyan.
“Hah! Meletup!” Syakir buat muka bangangnya lagi. “Buka ke due ayang seminggu lagi?”
Azyan tepuk dahi. Kalau sudah hendak bersalin tidak semestinya tertakluk pada tempoh yang doktor berikan. Syakir pun tahu! Dia juga seorang doktor!
“Abang!” Azyan tidak dapat menahan kesakitan yang kian mencucuk-cucuk. Peluh dingin sudah memenuhi segenap ruang wajahnya. “Baby macam nak keluar.” sambungnya lagi.
“Hah!” Syakir mula panik. Tengah malam buta begini pulak isterinya itu nak bersalin. Tidak boleh tunggu esok pagi ke?
Keadaan jadi kelam-kabut. Bergegas dia bersiap untuk menghantar Azyan ke hospital. Dalam keadaan sakit, Azyan sempat tertawa kecil melihat cara Syakir berpakaian. Syakir pakai baju dan seluar terbalik! Terpaksa dia betulkan semula kedudukkan pakaiannya. Syakir pakaikan tudung ala kadar pada kepala Azyan. Azyan menundingkan jari pada barang-barang yang telah dia siapkan awal-awal untuk keperluan di hospital nanti.
Perlahan-lahan Syakir memapah Azyan masuk ke dalam kereta. Dia duduk di tempat pemanduan. Baru dia memulaskan kunci kereta, Azyan menepuk-nepuk lembut bahunya.
“Abang mahu rumah kita dimasuki perompak ke? Lampu pun tidak dipadamkan. Bil elektrik melambung nanti” bebel Azyan. Syakir mengeluh kecil.
Dia bingkas keluar menutup lampu dan pintu. Kemudian Toyota Vios itu bergerak meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat itu. Beberapa minit dalam perjalanan Azyan memanggil Syakir lagi.
“Abang…”
“Ya, sayang.”
Syakir tidak menoleh ke arah isterinya. Matanya fokus pada pemanduan. Pandu cermat maka jiwa pun akan selamat.
“Ayang rasa kepala baby dah nak keluarlah.” adu Azyan. Dia rasa dia tidak mampu untuk bertahan lagi.
“Hah!” Syakir brek mengejut di tepi jalan. Dia memusingkan badan ke arah isterinya. Sudah! Apa dia hendak buat kini? Syakir buntu seketika.
Syakir rasa mereka tidak akan sempat sampai ke hospital. Dia perlu jadi bidan terjun untuk isterinya. Tiada pilihan lain. Dia pindahkan Azyan di tempat duduk belakang.
Beberapa jam bertungkus-lumus, Alhamdulillah…Azyan selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat. Setelah melaungkan azan, Syakir serahkan bayi mereka dalam pelukan Azyan. Dia mengesat peluh di dahinya. Terukir senyuman di bibir Syakir.
“Aku sudah menjadi seorang ayah.” bisik hati kecilnya.
kelakar citer nie..best2..
ReplyDeletelawak ek.
ReplyDelete