Tab Menu

Followers

Tuesday, September 20, 2011

Romie dan Julie - Bab 3

JULIE menyisirkan rambutnya yang panjang separas pinggang itu. Dia memalitkan senyuman apabila mengingati peristiwa malam itu. Wajah tampan Romie terbayang di ruang mata Julie. Namun senyuman Julie mati apabila melihat gambar arwah papa dan mamanya di atas meja soleknya itu. Dia tidak akan sesekali menyimpan perasaan sebegitu pada keturunan Tun Muzaffar. Mereka adalah musuhnya! Julie menampar-namparkan mukanya. Aku mesti tuntut bela atas kematian papa dan mama! Aku akan musnahkan keluarga Tuan Hilman. Hutang darah perlu dibayar dengan darah! Julie menggigit bibirnya sehingga berdarah.

            Bertahun-tahun dia menunggu masa yang sesuai untuk memusnahkan keluarga Tuan Hilman. Kini penantian dia sudah berakhir. Langkah permulaan telah diaturkan. Semua berjalan seperti dengan lancar. Julie memandang pada cermin solek itu. Maafkan aku Romie. Persengkataan ini tercetus disebabkan oleh keturunan kau! Aku kehilangan papa dan mamaku. Aku dibesarkan tanpa keluarga yang sempurna.

            Julie Esmelda…namanya gah di dalam bidang seni muzik. Dia seorang pemain piano yang terkenal. Darah seni sudah mengalir dalam tubuh Julie. Mamanya bekas pemain piano sebelum berkahwin dengan papa. Sejak kecil dia belajar bermain piano dengan mama. Julie tidak berminat dengan bidang perniagaan seperti abangnya, Raffique. Julie mencapai nota-nota muzik untuk persembahan dia di Rome kelak. Dia meninggalkan pesanan di dalam telefon bimbit Romie. Romie akan masuk ke dalam jeratnya. Dia yakin Romie akan tunjuk muka di Rome nanti. Bibirnya mengulum senyuman. Julie bingkas bangun menukar pakaiaannya. Dia perlu bersiap untuk ke lapangan terbang.

            Pintu bilik Julie terkuak. Terpacul kepala Kiki, sepupunya itu. Gadis yang bertocang dua itu melirikkan senyuman menampakkan barisan giginya yang agak tidak teratur. Dia merapati Julie yang sedang mendandan rambut panjangnya. Julie memang cantik persis seorang puteri. Kejelitaan yang dimiliki dari arwah mamanya. Malah ada yang mengatakan dia adalah jelmaan Puan Elena. 

            “Julie!” Kiki terus memaut leher sepupunya itu. Kiki sayangkan Julie. Dia tidak akan biarkan Julie disakiti oleh sesiapa. Selama ini dialah memberikan kata perangsang kepada Julie. Kiki sedar hati Julie disaluti dengan kebencian dan dendam yang tidak terhingga. Dia tidak mampu menahan Julie. 

            “Mama Freda sedang menunggu kita di luar. Eh! Bibir kau terluka.” Sambungnya lagi.

            “Luka sikit aje. Kiki…maafkan aku kerana melibatkan kau dalam soal dendam keluarga aku.” Julie memaku pandangan ke arah Kiki.

            “Julie…kita sudah bincangkan masalah ini. Aku sudah berjanji maka aku akan tunaikan janji aku. Lagipun aku tidak biarkan kau bersendirian.” Nada suara Kiki bertukar menjadi serius. 

            “Aku telah memulakan langkah pertamaku Kiki. Dan aku telah menemui mangsaku untuk melaksanakan rancangan aku ini. Dan aku tidak menduga Tuan Hilman mempunyai anak yang sedarah daging dengannya.”

            Kiki mengerutkan dahi. Nampaknya dia ada yang terlepas pandang. Siapa gerangan anak Tuan Hilman yang seorang lagi itu? Fikirnya Tuan Hilman hanya mempunyai dua orang anak tiri sahaja. Anak dari isteri keduanya, Puan Sirna.

            “Romie…kau terlepas pandang pada Romie Izary Hilman.”

            “Romie Izary!” Mulut Kiki ternganga luas. “Kau maksudkan Romie Izary.”

            “Kenapa? Kau kenal dia?”

            “Mestilah aku kenal. Dia…dia adalah bekas penyanyi Crossfire Band di UK dulu. Kau sudah lupa pada dia.”

            Julie termangu. Romie Izary bekas penyanyi Crossfire Band! Dia pernah mendengar nama kumpulan Rock tersebut. Anak-anak muda Malaysia yang membuat album di luar negara. Muzik mereka diterima ramai namun entah mengapa penyanyi kumpulan tersebut mengundurkan diri menyebabkan kumpulan yang baru menempah nama itu berpecah. Itu yang dia dengar dari teman-teman sekolejnya dahulu.

            “Siapa pun dia….dia tetap ada darah keturunan Tun Muzaffar yang mengalir di dalam tubuhnya. Aku akan hapuskan semua keturunan mereka!”

            “Julie…”

            Romie Izary…11 tahun yang lalu aku menyaksikan kematian orang tua aku depan mata ini, kini kau juga akan menerima nasib yang sama seperti aku. Terketap-ketap bibir Julie. Air matanya menitis jatuh ke pipi. Igauan mimpi ngeri itu bukan mudah untuk dilupakan.

            “Julie…kau nekad mahu memperalatkan Romie untuk melaksanakan dendam kau itu?” soal Kiki.

            “Dalam soal dendam aku tidak perlu ada belas kasihan. Bukan salah ku jika dia perlu menjadi mangsa. Dia perlu membayar harga yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit! Aku mahu darah keturunan mereka tumpah di atas muka bumi ini!” Bicara kata yang keluar dari bibir Julie itu menakutkan Kiki. Tidak pernah dia melihat Julie memberikan reaksi sedemikian.

            “Kau sudah siap.” Kiki tidak mahu meneruskan perbualan mereka lagi mengenai dendam. 

            “Sudah.” Julie menarik bagasinya.

            Di luar apartmen itu, Mama Freda sedang menunggu di dalam keretanya. Wanita awal 40-an itu mengulum senyuman sebaik sahaja melihat Julie dan Kiki. Kiki membantu Julie memasukkan bagasinya ke dalam bonet kereta. Mercedes Benz itu bergerak sebaik saja kedua gadis itu melangkah masuk.

ROMIE tidak menjangka ada pesanan yang ditinggalkan oleh Julie di dalam telefon bimbitnya. ‘Sorry…saya tidak dapat menemani awak lebih lama. Saya perlu berangkat ke Rome hari ini untuk persembahan piano.’ Romie mengulum senyuman sebaik saja membaca pesanan tersebut. Dia tidak betah untuk duduk di vila ini dengan lebih lama. Dia mahu mengekori Julie ke Rome. Romie menekan-nekan nombor pada telefon bimbitnya. 

            “Helo…Ojay. Aku perlukan bantuan dari kau.”

            Romie mengemaskan pakaian masuk ke dalam beg. Dia perlu beredar tanpa pengetahuan sesiapa pun. Jalan utamanya tentu saja dari tingkap bilik itu. Romie menulis nota lalu ditinggalkan atas tilamnya. Apa yang ada di dalam kepala otaknya hanya pertemuan kedua dengan gadis jelita itu. Romie mengenakan cap di kepalanya.

            “Tuan muda…” pintu bilik terkuak. Romie tersentak. Dia terlupa untuk mengunci pintu biliknya.

            Namun sebaik saja melihat wajah yang masuk ke dalam biliknya itu, dia menarik nafas lega. Mujurlah bukan abang atau ibu tirinya yang masuk ke dalam biliknya. Jika tidak rancangannya untuk melarikan diri akan tergendala. Romie tidak mahu ahli keluarganya tahu ke mana dia menghilang. Biar mereka mencari dia hingga ke pelusuk dunia. Dia tidak kisah pasal harta dan kemewahan. Dia senang hidup dalam pelarian. Jika boleh dia tidak mahu ada perhubungan dengan keluarga Tuan Hilman ini.

            “Kenapa Kak Sarah tidak ketuk pintu saya dulu.” Desisnya. Orang gajinya itu dipandang tajam.

            Wanita yang dipanggil Kak Sarah itu mengerutkan dahi.

            “Tuan muda mahu ke mana ni?” Mata Kak Sarah terpaku pada beg di tangan Romie. Anak muda itu mahu melarikan diri dari rumah lagikah? 

            Syhhhhh!” Romie meletakkan jari telunjuk pada bibirnya. Suara Kak Sarah akan mengejutkan pengawal-pengawal yang berjaga di vila itu nanti. Dia tidak mahu ditangkap dan kena kurung dalam bilik sebagai hukuman. 

            “Tuan muda ini memang degil!” Rengus Kak Sarah. Dia meletakkan minuman jus yang dibawa itu atas meja. Pelbagai masalah yang timbul menimpa Kak Sarah semenjak dia menjaga kebajikan tuan muda yang kedua ini.

            “Saya mahu ke Rome. Saya mahu mengejar cinta saya di sana.” Romie tersengih. Dia capai nota yang diletakkan atas katilnya itu lalu dihulurkan kepada Kak Sarah.

            Bertambah kerut wajah Kak Sarah. Dia gelengkan kepala. Kalau sebelum ini Romie melarikan diri kerana ayahnya kini lain pula tujuan anak muda ini. Gadis mana yang telah memikat hati Romie? Tidak mungkin Sutra Sari. 

            “Tuan muda sudah gila! Tuan muda perlu masuk ke pejabat esok!” Kak Sarah cuba menahan Romie. Apa dia mahu jawab pada Tuan Hilman nanti apabila Romie menghilangkan diri lagi. 

            “Jangan risau Kak Sarah. Romie akan call ayah nanti. So Kak Sarah tidak akan hilang pekerjaan Kak Sarah nanti.” Romie mengenyitkan matanya.

            Sememangnya Kak Sarah tidak mampu mahu menahan Romie. Romie memang jenis suka melanggar peraturan di vila ini. Tetapi sebenarnya Romie seorang yang baik hati. 

            “Jangan lupa bawa ubat Romie bersama.” Kak Sarah memberikan peringatan kepada anak muda itu. Romie perlu menjaga kesihatan di mana jua dia berada. Penyakit Romie mungkin tidak menyerang lagi tapi siapa tahu kelak ia menghantui Romie semula. Kak Sarah tidak sanggup melihat wajah Romie di dalam kesakitan.

            “Kak Sarah ini kuat membebel tetapi baik hati. Itu sebab saya sukakan Kak Sarah.” Romie sudah membuka pintu yang mengadap ke arah lautan itu.

            Kak Sarah mendengus kecil. Dia akui dia amat mengambil berat tentang Romie. Dia sayangkan Romie seperti adiknya sendiri. Dia menjaga Romie sejak anak muda itu berusia belasan tahun lagi. Kemudian Romie telah dihantar ke sekolah asrama penuh kerana mencederakan Sutra Sari. Hukuman itu hanya seketika. Romie bertindak melarikan diri dari sekolah tersebut dengan mengikut bapa saudaranya.

            “Romie…jaga keselamatan kamu.” Pesan Kak Sarah. Romie anggukkan kepalanya.

            “Saya pergi dulu Kak Sarah.” Dia bingkas turun dari tingkap biliknya itu. Kak Sarah menarik nafas panjang. Dia perlu bersiap sedia menghadapi amarah Tuan Hilman.

            Romie berlari-lari mendapatkan Ojay yang sudah sedia menunggu dengan motorsikalnya. Dia akan berangkat segera ke Rome mencari Julie. Semenjak pertemuan mereka, Romie sudah jatuh cinta pandang pertama pada Julie. Itu kenyataannya. 

            Pasport dihulurkan oleh Ojay kepada Romie. Dia menepuk lembut bahu teman baiknya itu. Bantuan yang diberikan hanya setakat sampai di sini. Ojay tidak tahu apa yang ada di dalam fikiran Romie sampai mahu melarikan diri ke Rome. Romie tidak menyatakan tujuannya di dalam telefon. 

            Thanks bro!” Romie memeluk Ojay.

            “Aku tak tahu apa yang kau cari di Romie? Kau bukan punya badan yang sihat Romie.” Gerutu Ojay. Romie keluar dari band muzik mereka kerana kesihatan dirinya yang tidak menentu. Romie pernah ditahan dalam hospital menjalani kemoterapi. Dia pernah melihat Romie yang keguguran rambut di atas kepalanya.

            “Aku mahu mencari kekasih aku di sana.” Balas Romie.

            “Kekasih?” Wajah Ojay berubah. Dia tidak tahu pula Romie punya seorang kekasih. Romie sukar menunjukkan minat pada gadis-gadis disekelilingnya. Dia lebih suka berseorangan dari bercampur-gaul dengan teman lain. 

            “Aku mengejar cinta Julie aku.” Raut wajah Romie berseri-seri. 

            “Julie…” Siapa Julie? Tiada teman-teman yang dia kenali bernama Julie.

            Romie ketawa kecil dengan gelagat Ojay. Dia sendiri baru mengenali gadis itu. Latar belakang gadis itu pun dia tidak tahu. Apa dia tahu nama gadis itu adalah Julie. Julie Esmelda… seorang gadis yang pandai bermain piano. Hairan bukan? Romie membuka ceritanya. Ojay memasang telinga. 

            “Kau hanya kenal dia dalam satu malam Romie. Bagaimana kau boleh jatuh cinta dengan dia? Sampai kau sanggup mahu mengejar dia.” 

            Ojay merenung tajam wajah Romie.

            “Inilah kuasa cinta.” Romie menepuk-nepuk bahu Ojay. Dia mengatur langkah ke balai berlepas di KLIA itu. Dia melambaikan tangan kepada Ojay sebelum kelibatnya hilang di mata Ojay.

            Romie punya sikap yang sukar untuk fahami. Dia membuat keputusan tanpa berfikir dengan panjang. Romie mudah terdedah kepada sasaran musuh-musuh ayahnya. Dia patut fikirkan situasi sekarang. Tambahan pula identiti Romie sudah dikenali dan dia bakal mewarisi kekayaan milik keluarganya. Keselamatan Romie paling utama. Ojay tidak mungkin akan membiarkan Romie bersendirian ke kota Rome. 

            Ojay turut mengikut langkah Romie. Ojay berbulat tekad untuk mengikut Romie ke Rome. Dia tidak peduli jika Romie menengking atau menghalau dia kerana mengekorinya! Ojay bertanggungjawab unuk melindungi Romie. Dia juga mahu bersua dengan gadis yang berjaya merapuhkan hati lelaki Romie. Julie Esmelda….hanya dalam satu pertemuan gadis itu telah membenamkan Romie ke dalam kancah percintaan.     
   

2 comments:

  1. makin menarik ceta ni..ada rahsia tersembunyi upa nya..bestttt....

    ReplyDelete
  2. kenapa harus ada dendam...

    ReplyDelete