“KAU sudah bersedia untuk memikul tugas ini?” Nina Karina mengerling pada gadis yang sedang duduk menyilangkan kaki itu.
“Seratus-peratus!”
“Kau yakin tidak akan menyelitkan sebarang perasaan pada dia kelak?”
“Ya!” Gadis itu membalas dengan penuh yakin.
“Bagus! Ini yang saya mahukan. Pastikan kau ikut rancangan yang telah saya aturkan.” Nina Karina menghulurkan sekeping foto kepada gadis terbabit. “Saya mahu kau porak-perandakan keluarga mereka.”
Gadis itu mengangguk.
“Mengapa kau tidak menerima bayaran yang saya berikan?” Agak hairan kerana gadis ini sanggup diperalatkan olehnya tanpa meminta sesen bayaran.
“Hutang?”
“Hutang?” Nina Karina mengerutkan dahinya.
“Ada hutang yang perlu mereka lunaskan pada saya.” Gadis berwajah dingin itu mengukirkan senyuman. Matanya merenung tajam ke arah Nina Karina.
“Nampaknya saya memang tak salah pilih orang.” Nina Karina mahu segala percaturan yang dibuat menjadi sia-sia. Dia menaruh kepercayaan penuh terhadap gadis ini.
“Perbincangan kita tamat di sini. Saya akan hubungi puan dari masa ke semasa.” Gadis itu bingkas bangun. Dia memulas tombol pintu.
“Betul kau tak mahukan bayaran?” Kata-kata Nina Karina menghentikan pergerakan gadis itu. Dia memberikan pertanyaan yang sama.
Gadis itu tidak membalas sebaliknya dia hanya tersenyum dan melangkah keluar dari bilik pejabat Nina Karina. Dia tidak akan memberikan jawapan untuk kali kedua kepada Nina Karina. Jawapannya tetap sama.
Nina Karina memusingkan kerusi eksklusifnya menghadap jendela. Pintu bilik pejabatnya terkuak perlahan. Julia sudah berdiri di belakangnya.
“Aku sudah uruskan seperti yang kau ingini.”
“Good!”
“Kau tak rasa mereka akan kenal kau?”
Nina Karina menongkat dagu dengan sebelah tangannya. Bibirnya mengulum senyuman.
“Mereka tidak akan kenal dengan wajah baru aku ini.”
MAJLIS yang penuh gemilang itu dihadiri oleh tetamu-tetamu ternama. Antara mereka adalah terdiri dari kaum kerabat Bonda Belinda. Bonda Belinda menerima ucapan tahniah atas ulang tahun kelahirannya yang ke tujuh puluh tahun itu. Malah majlis tersebut juga turut meraikan pertunangan cucu kesayangannya Tengku Rifqi Amsyar dan Puteri Tahrina. Ianya merupakan hadiah paling besar buat Bonda Belinda.
Rifqi cukup segak dengan kot berwarna hitam di samping Puteri Tahrina yang bergaun labuh putih. Pasangan itu bagaikan pinang dibelah dua. Puteri Tahrina gadis idaman lelaki itu mempunyai raut wajah yang cukup jelita. Kelembutannya memikat hati cucu lelaki tunggal Bonda Belinda. Puteri Tahrina tiada cacat celanya.
Di sebalik kelompok golongan tetamu terhormat itu, seorang wanita sedang memandang dengan senyuman sinis di hujung bibirnya. Wanita anggun itu tidak menyertai tetamu-tetamu yang lain. Dia hanya bermain dengan gelas minuman yang masih bersisa itu.
“Kau tak mahu bertegur sapa dengan bekas ibu mertua kau dan bekas suami kau?” Julia bersuara. Bosan dengan ketegangan dalam majlis tersebut.
Nina Karina tersengih.
“Budak itu kacak seperti ayahanda juga.” Lain pula balasan kata dari Nina Karina.
“Nina! Kau jangan jadi gila nak pikat anak tiri kau itu pula.” Julia mendengus.
Nina Karina ketawa kecil.
“Kalau anak aku hidup lagi pastinya dia sudah besar panjang seperti Rifqi. Hutang nyawa perlu di balas dengan nyawa.” Ada getaran suara di situ.
“Nina…”
“Aku mahu keturunan Bonda Belinda porak-peranda. Aku mahu Bonda Belinda tersungkur pada kaki aku!” Nina Karina mengetap bibir. Jelas terpacarnya api dendam pada sinar mata jernih Nina Karina.
Julia menelan air liur. Terpana dia dengan pandangan mata Nina Karina yang maha tajam itu.
“Perlukah kau menjadi sekejam ini, Nina? Kau sanggup mempergunakan orang lain untuk melunaskan dendam kau.” Dari mula lagi Julia tidak setuju dengan rancangan Nina Karina.
“Kalau tiada umpan masakan ikan akan menjadi mangsa kail.”
Julia mengangkatkan keningnya. Dia faham akan maksud kata-kata dari bibir Nina Karina itu.
“Bekas suami kau pun tampak segak malam ini ya?” Julia sengaja mahu menduga hati Nina Karina.
Nina Karina mengangkatkan kepalanya. Bakhtiar begitu mesra sekali dengan isterinya. Pasangan romantis yang sering diperkatakan oleh pihak media. Setiap tahun pasangan itu menyambut ulang tahun perkahwinan di Paris yang digelarkan kota cinta itu.
“Huh! Kau fikir aku cemburu?”
“Maybe?”
“Perlukah aku rasa cemburu pada lelaki yang aku sudah tidak cintai? Kau berfikir terlalu jauh Julia.”
“Kita tunggu dan lihat.” Julia mengukirkan segaris senyuman.
Pandangan mata Nina Karina bersatu dengan Bakhtiar yang berdiri di sudut tidak jauh dari tempat dia dan Julia berada. Bakhtiar tersentak. Nina Karina laju mengalihkan pandangan. Dia bingkas bangun untuk beredar. Dia tidak mahu kehadirannya disedari oleh Bakhtiar. Mereka hanya kenalan ‘rakan’ seperniagaan.
“Sebentar ya.” Bakhtiar lantas mengaturkan langkah. Tingkah Bakhtiar itu mengejutkan Bonda Belinda dan isterinya, Engku Soffya. Mereka turt mengekori Bakhtiar dari belakang.
Nina Karina tidak dapat melarikan diri sebaik Bakhtiar memintasnya. Jalannya dihadang. Julia sudah menjongketkan bahu.
Bakhtiar dan Nina Karina saling berpandangan. Renungan mata jernih Nina Karina mengingatkan Bakhtiar kepada seseorang yang amat dicintainya seperuh nyawa. Nama yang sama tetapi wajah yang berbeza.
“CONGRATULATIONS Bro!” Rethwan memeluk tubuh Rifqi. Ditepuk lembut bahu temannya itu.
“Thanks bro. Kau datang seorang ke?” Rifqi bertanya lembut.
“Aku bawa teman sekerja aku. Eh! Mana pulak dia menghilang?” Rethwan memanjangkan lehernya. Sekejap betul budak seorang ini hilang dari pandangan mata.
“Kau bawa perempuan atau lelaki?”
“Perempuan.”
“Macam mana kau jaga anak dara orang ni? Baik kau pergi cari dia. Kalau dia hilang masak kau nanti.” Rifqi menolak tubuh temannya itu.
“Okay-okay…aku cari dia.” Rethwan pantas mengaturkan langkah deras.
Rifqi menggeleng.
“Siapa tadi tu sayang?” Puteri Tahrina memaut lengan sasa Rifqi.
“Teman lama. You kenal dengan Rethwan kan?”
“Mamat kelibut tu? Of course I kenal.”
“You tak habis-habis gelar dia macam tu. Sayang…I nak ke...” Belum sempat Rifqi menghabiskan ayat, ada sesuatu mengenai pada tubuhnya.
Mata Puteri Tahrina terbeliak besar melihat kot Rifqi dikotori dengan spaghetti.
“Ops! Sorry!” Seorang gadis meluru memohon maaf. Wajah gadis itu merah menahan malu. Dia tidak tersengaja membaling spaghetti tadi mengenai lelaki itu.
“How dare you!” Puteri Tahrina meninggikan suaranya.
“Sorry-sorry…” Gadis itu menunduk dan tidak berani mengangkatkan wajah.
“You…”
“Tidak mengapa Puteri, dia bukan sengaja.”
“Tapi baju you tu, I yang hadiahkan pada you.” Puteri Tahrina mencebik tidak berpuas hati. Rifqi sentiasa beri muka kepada sesiapa jua.
“Biar saya cucikan kot awak. Saya yang bersalah.” Takut-takut kedengaran suara serak-serak basah gadis itu.
“Tidak mengapa. Sikit saja.” Rifqi menolak. Perkara kecil sebegini tidak perlu diperbesarkan. Gadis itu pun bukan sengaja.
“Rifqi!” Puteri Tahrina sudah meninggikan suaranya hingga menarik perhatian tetamu yang lain. Mujurlah nenda sudah beredar bersama ayahanda dan bondanya. Jika tidak mahu bertambah kecoh majlis itu dibuatnya. Puteri Tahrina terlebih manja dengan nendanya itu.
Dalam kelembutan Puteri Tahrina punya sikap keras kepala yang sukar untuk Rifqi tangani. Puteri Tahrina melulu menolak tubuh gadis terbabit. Gadis itu terdorong beberapa langkah ke belakang. Lantas dia mengangkat wajahnya. Rifqi terpana sebaik memandang wajah gadis itu.
Ya Allah, dia memang cantik sekali. Hati Rifqi berbisik kecil. Gadis itu menggigit bibir. Geram dengan tingkah Puteri Tahrina yang agak biadap itu. Dia sudah meminta maaf.
“Puteri…sudahlah…” Desis Rifqi yang tidak mahu memanjang sengketa. Bikin malu saja.
“Hmm!” Puteri Tahrina merengus kasar.
“Sorry…I’m so sorry. Saya bukan sengaja.” Gadis itu masih bersikap merendah diri. Sabar….itu kata hatinya. Harap muka saja cantik tapi hati tak cantik. Teman lelaki dia yang bagus ada sikap bertolak ansur.
“Aireen!” Gadis itu berpaling sebaik namanya diseru.
Terkocoh-kocoh Rethwan merapati gadis yang dipanggil Aireen itu. Aireen mengukir senyuman memperlihat kedua lesung pipitnya. Manis sekali di tambah pula dengan tahi lalat kecil di bahagian tengah dagunya.
“Reth!”
“Apa yang berlaku ini?” Rethwan menyoal. Dia tenung wajah dingin gadis itu.
“Ada orang tua gatal kacau saya tadi. Saya baling spaghetti pada dia tapi dia mengelak dan terkena lelaki ni.” Jelasnya.
Rethwan menepuk dahi.
“Teman sekerja kau?” Rifqi mengagak.
“Inilah anak dara yang kau suruh aku cari tadi. Kenalkan Rif, ini teman sekerja aku, Aireen. Nama penuh dia Tiz Aireen tapi aku suka panggil dia Aireen.”
Puteri Tahrina masih buat muka. Jangan harap dia akan berkenalan dengan gadis itu. Aireen tidak ambil kisah dengan sikap ego Puteri Tahrina. Orang kaya!
“Hi Aireen…” Rifqi menyapa lembut.
“Hi...” Balas Aireen pendek. Tiada senyuman manis terukir dibibir basah itu seperti tadi. Agak dingin. “Reth…saya nak baliklah.” Sambung Aireen lagi. Dia makin tidak selesa berada di majlis orang-orang ternama ini. Tambahan pula dia asyik melarikan diri dari orang-orang tua berdahi licin itu. Aireen rasa menyesal kerana menerima jemputan Dato’ Salleh.
Rethwan menjongket bahu. Rethwan perlu menghantar Aireen pulang. Aireen memang jenis yang sukar bergaul dengan orang ramai. Apa yang ada dalam kepala gadis ayu itu hanyalah kerja.
“Aku beredar dulu bro.”
“Ada masa contact aku kita keluar berborak-borak.”
“Bukan aku tak nak ajak kau keluar bro. Kau tu yang asyik busy memanjang dengan kerja. Tak ubah macam robot.”
Rifqi hanya tersengih diperli oleh Rethwan. Itu kenyataannya. Rifqi memandang langkah Rethwan bersama Aireen.
“AKU harap kau tak cari pasal dengan Puteri Tahrina tu. Bukan aku tak kenal dengan perangai kau.” Nasihat Rethwan sebaik mereka berada di luar hotel bertaraf lima bintang itu.
Aireen memalitkan senyuman nipis. Dia menyilangkan kedua belah tangannya. Dia mengerling Rethwan sekilas.
“Gadis melayu terakhir seperti aku tiada masa untuk bermain dengan perempuan ego itu.” Aireen melangkah mendahului Rethwan.
Rethwan gelengkan kepala. Dia mengekori langkah Aireen yang sudah jauh di hadapan.
“Aireen!” Rethwan memanggil gadis itu.
Aireen pekakkan telinga. Dia terus berjalan menuju ke stesen teksi. Sebaik teksi behenti di hadapannya, Aireen terus melangkah masuk tanpa mempedulikan panggilan Rethwan.
hmmmm permulaan n3 yang menarik...sombong ek puteri 2...tw la nanti tunang nak kena kebas
ReplyDeletebest...tampak berbeza :)
ReplyDeleteyg ni pun best juga kak ilya..sambung lg yea...
ReplyDelete