Tab Menu

Followers

Monday, September 5, 2011

Kuintai Cinta Di Dalam Rahsia - Prolog

“FAKRUL… bertahan!” Air mata Yee-Ren tidak henti-henti merembes keluar. Dia menggenggam erat jari-jemari lelaki yang sedang terbaring lemah itu. Kenapa? Kenapa bukan dia yang menerima kesakitan itu? Oh Tuhan! Selamatkanlah dia. Iman Fakrulsy tersenyum dalam kesakitan. Darah masih membuak keluar dari luka di perutnya itu. Lelaki berbaju putih bersama mereka itu sedaya upaya cuba menghentikan pendarahan. Keringat dingin memenuhi segenap ruang wajahnya. Dia juga cemas kerana darah Iman Fakrulsy masih terus mengalir.


“Maafkan Yee… maafkan Yee, Fakrul,” ucap Yee-Ren dalam sendu.


“Yee…” Iman Fakrulsy bingkas bangun. Lelaki berbaju putih itu menahan tetapi dia tetap berdegil. Lantas tubuh Yee-Ren dirangkul dalam pelukan. Termangu gadis itu dengan tindakan mengejut Iman Fakrulsy.


“Fakrul…”


“Yee… aku… aku… cintakan kau...” bisiknya perlahan namun jelas didengari oleh Yee-Ren. Bertambah laju air mata Yee-Ren mengalir.


“Fakrul…”


“Yee… aku benar-benar cintakan kau.” Iman Fakrulsy mengukirkan senyuman. Dia rasa lega dapat mengucapkan kalimah cinta itu di saat akhir. Begitu lama dia memendam perasaan ini di dalam hati. Semuanya kerana mama. Mama membuatkan dia terpaksa membenci gadis itu. Seksa dan menyakitkan. Dia tahu Yee-Ren tidak punya sebarang perasaan terhadapnya. Pada Yee-Ren, dia seorang sahabat yang tiada tolok bandingnya. Sahabat yang paling dikasihi oleh gadis itu. Sahabat yang berkongsi suka dan duka bersama. Namun dia jua yang menyakiti hati gadis itu. Kejam sungguh sahabat yang dianggap berhati mulia ini!


“Fakrul… maafkan Yee. Maafkan Yee.” Semakin sebak hati Yee-Ren apabila mendengar luahan hati Iman Fakrulsy. Tidak pernah dia terfikir Iman Fakrulsy menyimpan perasaan terhadapnya. Layanan baik dan buruk Iman Fakrulsy tidak pernah disalahertikan. Jika Iman Fakrulsy menyisihkan dirinya, dia tidak ambil hati. Mungkin ada yang membuatkan lelaki itu berkecil hati dengan sikapnya. Iman Fakrulsy membisu. Dia memejamkan matanya rapat-rapat.


“Letihnya…” ucapnya lemah. Dia masih belum meleraikan pelukannya.


“Fakrul…”


Senyap.


“Fakrul…”


Tiada jawapan daripada Iman Fakrulsy. Tubuh lelaki itu terasa sejuk. Pelukannya yang erat itu jua sudah terlerai kini. Yee-Ren pandang lelaki berpakaian putih itu. Lelaki itu menggelengkan kepalanya. Dia tahu tiada lagi bunyi hembusan nafas Iman Fakrulsy. Yee-Ren jadi tidak keruan. 

“Fakrul!!!” 



“ABANG!!!” Iman Farhan bingkas bangun. Tubuhnya dibasahi peluh. Dia meraba-raba perutnya. Entah mengapa perutnya terasa sakit. Zaid yang berada di bilik sebelah meluru masuk. Jeritan Iman Farhan mengejutkan Zaid yang sedang khusyuk menelaah.


“Kenapa ni Iman? Mimpi ngeri lagi?” Zaid renung wajah Iman Farhan yang pucat lesi.


Iman Farhan mengangguk. “Abang... Abang Fakrul.


Aku mimpikan Abang Fakrul.”


“Kau mimpikan apa?”


“Aku nampak Abang Fakrul kena tikam. Dia berlumuran darah. Aku tak sedap hati. Aku nak balik Malaysia hari ni juga!”


“Iman… mimpi tu cuma mainan tidur. Lebih-lebih lagi tidur di siang hari begini. Jangan fikir yang bukan-bukan. Tengok, habis lencun baju yang kau pakai ni!” gerutu Zaid.


“Aku tak sedap hatilah, Zaid.”


“Iman… itu cuma mimpi aja. Tak ada apa-apa yang berlaku pada abang kau, Iman. Kau kena rehat. Lagipun kau demam panas ni...” Zaid memujuk.


Iman Farhan merebahkan semula tubuhnya.


“Kau jangan bimbang. Esok aku call papa kau kat Malaysia. Kau kena berehat, Iman. Aku tengok demam kau makin teruk! Final exam dah dekat...”


“Thanks Zaid.”


Zaid tersenyum. Sayang juga kau rupanya pada abang kau, Iman. Zaid menarik selimut hingga ke paras dada Iman Farhan. Kasihan dengan temannya itu. Sudah dua minggu terlantar di atas katil gara-gara diserang demam panas. Dua tiga hari ini pula Iman Farhan sering dihantui mimpi ngeri. Harap-harap tiada apa-apa yang buruk berlaku pada Iman Fakrulsy.

2 comments:

  1. best la cter ni.. x de synopsis k kak??

    ReplyDelete
  2. ilya kata ceta kuintai cinta didalam rahsia..nvl pertama ilya..kaki nvl yg terbitkan ka..akak nk beli nvl ni..best je ceta dia..

    ReplyDelete