Tab Menu

Followers

Wednesday, April 25, 2012

Di Sini Cinta Itu - Bab 4



EIZLAN Yusuf meletakkan pennya di atas meja. Bibirnya mengukirkan segaris senyuman. Dia teringatkan gadis ayu tempohari ketika dia makan tengahari bersama Anatasia. Entah mengapa hatinya seperti tidak kena apabila melihat gadis itu. Riak wajah masam gadis itu menarik perhatiannya. Dia berharap benar dapat dipertemukan denngan gadis itu lagi. Adakah ini cinta pandang pertama? Eizlan Yusuf mengusap dagunya yang licin.

            Ya, Allah…benarkan perasaan ini yang aku rasakan. Eizlan Yusuf mengerling pada jam dinding. Eizlan Yusuf bingkas bangun dari kerusi eksklusifnya. Kewajipan kepada yang Maha Esa harus diutamakan. Itu yang arwah ayah dan ibu ajarkan dari kecil. Harta dunia tidak ke mana jika kita lupa untuk amalan akhirat kelak. Eizlan Yusuf sentiasa mengingatkan dirinya sendiri.

            “Emir…awak sudah solat?” Tegur Eizlan Yusuf pada salah seorang stafnya yang kebetulan merapatinya.

            Emir tersengih menggaru kepalanya. Dia mahu bertemu dengan ketuanya itu atas hal kerja yang perlu diselesaikan sebelum dia bercuti.

            “Belum lagi Encik Eizlan.” Balas Emir jujur.

            “Kalau begitu kita solat berjemaah sama.”

            “Er…er…baiklah Encik Eizlan.”

Syarikat itu menyediakan dua bilik solat untuk lelaki dan perempuan. Bilik solat itu disediakan oleh arwah ayah Eizlan Yusuf dulu. Malah arwah ayahnya sering-kali solat berjemaah bersama pekerja-pekerjanya. Eizlan Yusuf juga tidak terkecuali mengikut jejak arwah ayahnya itu. Eizlan Yusuf tidak membezakan taraf kedudukan sesama pekerjanya. Sikap Eizlan Yusuf yang merendah diri itu amat disenangi oleh para pekerja A.A Holdings.

Mereka akan kecut perut jika Mama Freda dan kaum kerabatnya yang hadir untuk melawat syarikat berkenaan. Wanita itu dengan cucunya bagai langit dengan bumi. Ada yang tidak percaya Eizlan Yusuf dan Mama Freda mempunyai pertalian darah. Mama Freda angkuh dan bongkak. Wanita itu juga tidak menyenangi Eizlan Yusuf menerajui A.A Holdings.

“Mana boss you?” Harry menghentakkan tangan pada meja Latifah setiausaha Eizlan Yusuf. Wajah Harry begitu keruh. Adalah tu yang tidak kena.

Tersentak wanita yang sedang sarat mengandung itu. Latifah mengurut dada.

“Encik Eizlan pergi solat.” Latifah tetap membalas dengan lembut.

“Solat? Lamanya solat…” Rengus Harry.

Latifah hanya membisu. Kalau dia menjawab nanti memang dia kena sembur dengan Harry. Harry ni bukan beradab sopan orangnya. Perangai lebih kurang dengan neneknya juga. Latifah tidak faham macam mana Eizlan Yusuf boleh bertahan dengan mereka.

“Abang Eizlan!” Pekik Harry sebaik melihat wajah Eizlan Yusuf bersama Emir. Wajahnya sengaja dibengiskan pada abang sepupunya itu.

“Assalamualaikum Harry. Harry ada hal nak jumpa Abang Eizlan ya?” Eizlan Yusuf tetap bernada lembut. Senyuman terhias di bibirnya.

“Kau jangan nak pura-pura buat tidak tahu akan tujuan aku nak jumpa kau.” Harry terus menengking.

Sikap kurang ajar Harry tidak disenangi oleh Latifah mahupun Emir. Biadap sungguh Harry pada Eizlan Yusuf. Tiada rasa hormat langsung.

“Kita berbincang di pejabat abang ya.”

“ Huh!”

“KENAPA kau sesuka hati bekukan kad kredit aku!” Belum sempat Eizlan Yusuf menjemput Harry duduk, dia sudah dilenting.

            “Duduk dulu Harry. Kita bincang baik-baik.”

            “Tak payah. Aku ke sini hanya nak kau unloak balik kad kredit aku!”

            “Abang bukan sesuka hati nak bekukan kad kredit Harry. Tapi Harry terlalu banyak sangat berbelanja tanpa had.” Eizlan Yusuf berbuat demikian untuk mengawal perbelanjaan yang keluar.

            Harry mengetap bibir. Dia tidak berpuas hati dengan tindakan Eizlan Yusuf. Dia pun berhak menggunakan duit tersebut. Dia juga cucu Tan Sri Zain.

            “Itu hal aku. Kau tak perlu campur.”

            Eizlan Yusuf menggelengkan kepala perlahan.

            “Maaf…abang tetap akan bekukan kad kredit Harry.” Eizlan Yusuf tidak akan berganjak dari pendiriannya. Dia seorang yang tegas dalam membuat keputusan.

            “Kau fikir nenek akan diamkan hal ini.”

            Eizlan Yusuf tersenyum. Dia sudah lali dengan serangan-serangan pedas dari Mama Freda. Kata orang masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

            “Abang tetap tidak akan berganjak dengan keputusan yang abang buat.” Nada yang lembut tetapi tegas.

            Hati Harry semakin panas dengan abang sepupunya itu. Dia membuka langkah dan memulas cembul pintu. Pintu bilik pejabat itu dihempaskan dengan kuat sekali.

            Harry memaki hamun Eizlan Yusuf di dalam hati. Dia cukup benci dengan sikap kolot Eizlan Yusuf itu. Macam orang kampung! Apa gunanya ada wang banyak jika tidak dibelanjakan? Orang seperti Eizlan Yusuf memang tidak tahu apa itu erti bersuka-ria. Abang sepupunya itu hanya tahu pergi masjid buat amal jariah sana sini. Entah apa yang dia dapat.

            Harry melangkah masuk ke dalam perut keretanya. Wajahnya yang masam mencuka itu menjadi kerlingan gadis ayu yang berada di sebelah tempat pemanduan itu.

            “I tahu kalau muka cemberut begini tandanya you sedang bengang dengan abang sepupu you yang hensem itu kan.” Gadis ayu itu tertawa manja.

            “Habis! I ni tak hensemlah pada you?” Harry mula merasa merajuk. Rupa paras Eizlan Yusuf yang seperti kacukan anak cina itu kacak sangatkah?

            Honey…janganlah muncung macam ni. Lain kali saja you belikan I rantai berlian tu.” Gadis ayu itu memujuk. Harry perlu dilayan sebaiknya. Lelaki itu lubuk emas buatnya.

            Harry tersengih. Gadis manja begini memang ‘taste’ dia. Dia sukakan belaian.

            “Malam ini I nak you temankan I enjoy puas-puas.”

            “I akan buat you lupakan segala masalah you.”

            Promise!” Harry sudah menjeling nakal.

            Promise!

MELLY menari-nari mengikut rentak muzik yang bergema. Dia menari sendiri tanpa ditemani oleh sesiapa. Ketika ini dia hanya inginkan bersendirian melepaskan perasaan yang terbuku di hati. Paul memerhati dari jauh. Dia tidak berani untuk mendekati Melly. Kalau dia tahu gerangan lelaki yang menyakitkan hati gadis itu pasti lelaki itu akan dikerjakan cukup-cukup. Melly selalunya tidak begini. Pastinya ia berpunca dari pelanggan-pelanggan Melly. Adakalanya mereka mengasari Melly. Itu yang Paul tidak suka.

            Melly behenti menari setelah rasa penat. Dia menghampiri Paul yang sentiasa menemani di kala dia berduka. Paul seorang sahabat yang sukar untuk dicari ganti. Melly meminta minumannya kegemaran seperti biasa. paul menegah. Dia tidak suka Melly mabuk untuk melupakan masalah.

            Franz sudah kecoh dengan ketiadaan Melly. Ada tetamu yang ‘terhormat’ yang kononnya perlu Melly layani. Paul sengaja memberitahu Franz yang dia tidak tahu ke mana gadis menghilangkan sedangkan waktu ini dia bersama Melly. Lupakan fasal Franz. Dia lebih risaukan keadaan Melly sekarang.

            “Paul…temankan I menari.” Melly sudah menarik lengan Paul.

            Paul menggeleng laju.

            “Melly…kita balik ya.”

            “Tak mahu!” Bentak Melly.

            “Jangan begini. Hari sudah lewat malam.”

            “Kalau you nak berambus, you berambus seorang! I masih nak bergembira.” Melly menolak tubuh sasa Paul.

            Melly sudah menghilang di sebalik kelompok manusia yang sedang asyik menari mengikut rentak muzik itu. Mahu tidak mahu Paul perlu menunggu Melly. Bila penat nanti tahulah Melly mengajaknya pulang. Paul duduk di tempatnya kembali.

            Gelagat lincah Melly menarik perhatian lelaki yang menari bersebelahannya itu. Mata lelaki itu tidak lari dari menatap wajah jelita Melly hingga teman wanitanya merasa cemburu.

            “Harry…I teman you malam ini.”

            “You cemburu I pandang perempuan tu?”

            Gadis itu mengetap bibir.

            “Lydia…you kenal siapa I. You tidak boleh kongkong kebebasan I.”

            “I tahulah. Tapi malam ini you adalah teman I.” Lydia mengeraskan suaranya.

Dia dan Harry sama-sama tidak sukakan hubungan yang ada komitmen. Harry bebas untuk keluar dengan gadis lain begitu jua dengan dia. Dia tidak peduli Harry bermadu asmara dengan siapa dan angkut gadis yang entah dari mana hingga menumpang tidur di kondominiumnya. Namun malam ini Harry adalah temannya. Dia tidak mahu Harry pandang gadis lain.

“Tapi mata I memang pantang melihat gadis jelita dan seksi seperti itu.” Harry mengangkatkan keningnya. Susuk tubuh gadis itu menggetarkan hati lelakinya.

“You nak I butakan mata you!”

“Lydia…”

Melly tidak berkenan dengan jelingan mata kucing Harry. Lebih-lebih lagi apabila mata kucing Harry tidak lari dari meratah susuk tubuhnya itu. Dia tiada mood untuk terus berseronok di sini. Melly mengorakkan langkahnya. Dia mahu mengajak Paul pulang.

Saat itu, Harry menoleh di sebelahnya semula, gadis yang menjadi perhatiannya sebentar tadi sudah lesap. Cis! Ini semua fasal Lydia yang mengalihkan perhatian dia. Muka monyok Harry buat Lydia tersenyum manis. Padan muka! Belum sempat Harry jual minyak gadis jelita itu sudah cabut lari.

“You menyebabkan mangsa I melarikan diri dari I.” Desis Harry. Dia dan Lydia sudah duduk di satu sudut yang agak terperuk.

Lydia mengibas-gibas wajahnya dengan tangan. Panas pula suasana dalam disko ini.

“Apa yang you nak kecoh sangat. You boleh dapatkan mangsa lain dalam disko ni. Janji ada wang. Kata orang no money, no talk.” Lydia sempat mememanggil seorang pelayan untuk memesan minuman. “You nak minum tak?” Soalnya pada Harry.

            “Seperti biasa…” Balas Harry. Lydia semestinya tahu minuman kegemarannya itu.

            “I paling benci mahu menghantar you pulang dalam keadaan mabuk. I malas mahu bersoal jawab dengan papa you.”

            “I tak mahu pulang ke rumah I. Bosan dengan ceramah papa I yang berlagak macam orang alim. Tak macam mama dan nenek I. Apa yang I buat mereka tidak kisah.” Dia yakin papanya ada di rumah waktu ini. Papanya itu tidak seperti mama yang sibuk berlipur lara di luar. Papa tidak tahu agaknya yang mama ada menyimpan ‘anak ikan’ di luar. Dia pula tukang simpan rahsia mama. Upahnya tentu saja ‘DUIT’. Harry Bakhtiar mana boleh hidup tanpa ‘DUIT’.

            “Kenapa you tersengih-sengih seorang ni?” Lydia menegur.

            Minuman yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Lydia sudah meneguk minuman berkarbonat itu. Harry perasan Lydia ada memasukkan sebiji pil di dalam minumannya tadi. Pil khayallah tu. Lydia memang ketagih dengan benda alah itu. Stok pula Lydia mudah untuk mendapatkannya kerana Lydia tiada masalah dalam soal kewangan.

            Harry tidak mahu terjebak dengan pil-pil khayal ini. Dia pun tidak peduli apa yang Lydia buat. Janji Lydia tidak menyusahkan hidup dia. Harry turut meneguk minuman di dalam gelas besar itu.

GADIS itu! Mereka bertemu lagi. Eizlan Yusuf tidak mungkin salah orang. Dia masih ingat pada wajah gadis itu. Tapi siapa pula lelaki yang mengekori langkah gadis itu? Teman lelakinya kah? Lihat pada gelagat mereka tidak seperti pasangan kekasih pula. Mata Eizlan Yusuf masih tidak lari memerhatikan perilaku si gadis yang dalam keadaan terhuyung-hayang dan membebel dengan perkataan yang dia tidak dengari dengan jelas.

            Si lelaki cuba membantu namun ditepis kasar oleh gadis itu. Eizlan Yusuf syak gadis itu dalam keadaan mabuk. Eizlan Yusuf mengeleng perlahan. Apa mahu jadi dengan budak-budak sekarang ini. Halal dan haram sudah tidak menjadi soal pada mereka. Yang haram pun sudah menjadi halal.

            “Melly…” Paul sudah menunjukkan riak risaunya. Dia paut lengan Melly yang terdedah itu.
            “I okaylah.”

            “Okay apanya. You sudah mabuk teruk ni. I ingat kita akan terus balik tapi you heret I singgah ke pub pulak.” Marah Paul.

Melly ketawa.

“Kalau you sudah malas nak layan I you boleh balik!” Jari telunjuk runcingnya diajukan pada muka Paul.

Paul mengeluh. Masakan dia mahu meninggalkan Melly sendirian di kawasan yang sunyi sepi ini. Sikap keras kepala Melly yang sukar untuk ditangani.

Sekumpulan lelaki menghampiri Paul dan Melly. Wajah bengis kumpulan lelaki itu tidak disenangi olah Paul. Dia kenal sangat dengan muka-muka samseng ini.

“Di sini you sorokan dia!” Lelaki yang bertubuh gempal itu merentap kasar lengan Melly hingga Melly terjatuh dalam pelukannya. “Dia patutnya menemani I malam ini.”

“Fernando….” Paul gelisah. Fernando lelaki yang suka menggunakan kekasaran. Franz pula selalu bagi muka pada Fernando kerana Fernando telah melaburkan wang untuk membantu perniagaan kelab malamnya.

“Lepaskan I!” Melly meronta-ronta.

Jangan haraplah Fernando mahu melepaskan Melly. Melly tidak boleh beralasan menolak untuk melayan dia. Dia sudah bayar wang buat Franz. Bukannya selalu dia berada di Malaysia. Dia sentiasa sibuk dengan urus niaganya di luar negeri.

“Arghhh! Fernando menjerit kuat. Lengannya berdarah digigit oleh Melly. Fernando merengus kegeraman. Tangannya diangkat lalu dihayunkan pada wajah jelita Melly. Melly terjelepuk jatuh.

“Celaka!” Dia mencengkam leher jinjang Melly. Paul ingin membantu namun ditahan oleh orang-orang Fernando.

“Lepaskan dia!” Serentak itu Fernando memalingkan wajahnya. Seorang lelaki segak berbaju melayu itu sudah memengang bahunya.

“You ni siapa?”

“Manusia biasa.”

Cengkaman pada leher Melly dilepaskan. Melly terbatuk-batuk kecil. Paul sudah meluru mendapatkan Melly.

“Jangan campur urusan I di sini.”

“Tidak molek mengasari seorang perempuan yang lemah.” Lelaki itu mengukirkan senyuman.

“Jangan cari pasal dengan I!” Fernando menolak tubuh lelaki itu. Lelaki itu terdorong sedikit ke belakang. Pantang sungguh jika ada penyibuk yang mencampuri urusannya. 

6 comments:

  1. Lagi2... Part suspen nie... Xsbr2..

    ReplyDelete
  2. macam best je citer melly ni...so,pasni sambung lg ye kak,hehehe:)

    ReplyDelete
  3. Tq dear llya....akak loike 1000 times...hehehe...apa lg sambunglah cik dik oi.....

    I know u can do it...chaiyok2...

    Hemmmm...ceta Azyan ngan Syakir tak de ke....sbb windu kat cutd couple tuh....<3

    ReplyDelete
  4. wah hero sudah sampai...
    biadap sungguh harry...apa dia ingat duit tu senang nak cari...inilah dia anak orang kaya tau nak enjoy je...alamak kak ilya sorry ter...emo sikit...hehehe

    ReplyDelete
  5. I knovw dah citer ni memang best...different dari lain :)

    ~Jue~

    ReplyDelete