Tab Menu

Followers

Tuesday, November 6, 2012

Enjit-Enjit Semut - Bab 5



BERSUSUN lembu Pak Ali dalam lori Senin. Satu…dua…tiga…empat…A’an mengira bilangan lembu tersebut. Montel-montel semuanya. A’an sudah bagi makan rumput sebelum dia tolak lembu-lembu itu pada Senin. Itu pengajaran yang akan dia berikan pada tuan yang empunya lembu. Baru Pak Ali bertemu buku dengan ruas. Dengan Cik Nurly Farhan tak boleh buat memain. Pantang dicabar kewibawaannya. Dia akan buat betul-betul punyalah. Opah tak cakap apa-apa. Sekadar mampu gelengkan kepala. A’an bukan jenis mendengar kata. Keras kepalanya sekeras kelikir kata orang. Nak kata ikut acuan arwah ayah dan ibunya tak nampak pulaknya. 

            Lepas ini boleh rembat satu handset cikai punya. Lebihnya buat belanja makan. Apa tidaknya kalau dah sepuluh ekor dalam lori Senin mahunya tak cecah sepuluh ribu dia dapat untung jual lembu Pak Ali. Seekor seribu pun dah kira loaded tahu. Kalau bagi dua orang. Seorang dapat lima ribu seorang. Pandai juga aku dalam matematik sedangkan masa PMR hari itu matematik aku dapat F untuk failed! Ala setakat tambah dan tolak aku boleh buatlah. Kalau dah bab masuk kuasa dua dan kuasa tiga mereng dah otak aku. Soalan macam itulah buat otak aku pecah dan kasi aku pitam.

            Sedang syok-syok mengira keuntungan yang bakal dia dapat, Pak Ali dengan lagak bertongkatnya itu muncul depan mata pulak. Cis! Potong stim betul orang tua seorang ni. Menyeringai orang tua itu merenung A’an. Macam nak telan A’an hidup-hidup! Patutlah lembu-lembunya tidak balik semalam. Rupanya budak perempuan ini yang rembat! Pak Ali bertambah bengang bila dilihat lembu-lembu cantik tersusun atas lori. A’an pula boleh buat senyuman yang molek manisnya.

            “Kau rupanya yang curik lembu-lembu aku! Hantu punya budak!” Jerkah Pak Ali. Kembang kuncup nafas orang tua tu. Termengah-mengah! Semput pun ada!

“Kalau dah tak larat nak menjerit jangan berlagak nak jerit. Pakcik tu dah tua bangka dah. Kubur pun dah memanggil.” Sungguh lancang mulut A’an. Tiada lapiknya. 

“Kurang ajar betul cucu kamu ni Latifah! Kamu tak ajar dia macam mana nak bercakap dengan orang tua?” Pak Ali mengalihkan pandangan pada Opah. Opah hanya tersengih menampak barisan giginya yang sudah berlopak.

“Lembu pak cik yang kurang ajar! Berak merata-rata. Ingat saya ni badan kebajikan amal
jariah ke. Hari-hari nak buang tahi lembu!” A’an bercekak pinggang.

            “Siapa suruh kau tak pagar rumah kau! Itu bukan masalah pakcik.” Pak Ali membidas.

            Ewah! Ewah! Banyak cantik! Dia punya lembu buat hal kita pulak yang disuruh pagar rumah sendiri. Kalau orang lain mungkin tak banyak songeh tapi aku lain. Aku jenis yang terlebih songeh! Tolonglah…Aku mana tahan dengan bau haruman yang tengik bersepah depan laman rumah aku! Mahu sebulan tak makan nasi. Sensitif!

            “Saya tak kira pakcik! Lembu pakcik dah masuk dalam kawasan saya so automatiknya lembu-lembu pakcik sudah menjadi milik saya. Dan saya tidak bahagikan hasil jualan menatang ni pada pada pakcik. Harap maklum!” A’an buat muka selamba dia. Peduli apa! Jangan harap dia nak bertolak ansur dengan Pak Ali.

            “Turunkan lembu-lembu pakcik tu!” arah Pak Ali.

            “Jangan Abang Senin berani nak turunkan lembu-lembu tu!” Gertak A’an. Senin garukan kepala. Mana satu yang dia kena dengar arahan ni.

            “Turunkan Senin!”

            “Jangan aku kata!”

            “Turunkan!”

            “Jangan!”

            Mereka bertelagah hingga Pak Ali naik semput. Mengurut dada orang tua itu. A’an debik dada dengan bangganya. Pak Ali ada hati nak berlawan mulut dengan dia? Makcik Wok pun bukan tandingan dia tahu. 

            “A’an….pulangkan balik lembu-lembu Pak Ali tu.” Opah memujuk. Opah tak nak memanjang sengketa sampai ke rumah Tok Sidang nanti. Pak Ali kan orang kuat ADUAN (orang yang kuat mengadu). Apa-apa hal sikit nak mengadu. Kepala Bidin anak lanang (anak lelaki) kesayangan dia kena lastik dengan A’an pun dia nak mengadu pada Tok Sidang. Buang karan betul orang tua ni.

            “Kalau orang tua tu nak buat aduan pun apa A’an kisah. Lembu-lembu dia yang gatal masuk kawasan larangan. A’an tak suruh.” A’an tetap berdegil. Siap dia tundingkan jari pada muka Pak Ali.

            “Pulangkan A’an.” Opah menjegilkan biji matanya sebulat mata ikan emas. A’an mencebik. Ingat dia takut dengan bola mata ikan emas Opah. Tak berkesanlah.

            “Tak nak!” balas A’an. Dia palingkan kepala. Jangan harap lembu-lembu Pak Ali akan keluar dari lori Senin. 

            “A’an…”Opah buat kerdipan mata pula. Ala-ala kerdipan mata puss in the boot cerita Shrek tu. Comel…bukan Opah yang comel tapi kucing dalam Shrek itu yang comel. Opah pun comel juga masa muda-mudanya dulu.

            “Tak nak! A’an kata tak nak…tak nak! Nak buat aduan buatlah. A’an tak takutlah.” A’an menjuihkan bibir pada Pak Ali. 

            “Sekarang jugak aku adukan kepada Tok Sidang.” Gerutu Pak Ali. Orang tua itu mengeluarkan handphone 3G dari poket seluarnya. Uit! Tak padan dengan tua pakai handphone 3G tu. Bergaya sakan orang tua seorang ini. Mengalahkan orang muda pulak dia. Patutlah mak-mak janda mula pasang mata pada Pak Ali. Ada udang di sebalik mee rupanya. 

            Terkebil-kebil Pak Ali menekan nombor di telefonnya. Nampak macam payah sangat! Getik pula A’an menengoknya. Sudah tahu diri awak rabun pakailah cermin mata. Berlagak sungguh orang tua ni. Patutlah selalu berjalan masuk parit walaupun pakai tongkat di tangan. 

            “Bak sini telefon pakcik tu!” A’an merampas handphone 3G dari tangan Pak Ali. “Berapa nombor aduan Tok Sidang?” Sambungnya lagi. Tercengang-cengang Pak Ali.

            “La…yang pakcik ternganga mulut tu pasal apa? Kata tadi nak buat aduan! Dah kita tanya nombor telefon Tok Sidang dia senyaplah pulak ye.” A’an menjeling Pak Ali. Orang tua itu tersengih-sengih macam kerang busuk.

            “019-xxxxxxx….” lancar betul Pak Ali menyebut nombor aduan Tok Sidang. Tapi tak tahulah nombor yang diberikan itu betul atau nombor lain. Kot-kot dia bagi nombor telefon doktor hospital tanjung rambutan tak ke naya dibuatnya. Otak Pak Ali adakalanya nyanyuk jugak!

            A’an lekapkan handphone 3G Pak Ali pada telinganya. Tidak lama berbunyi talian telah diangkat dengan jayanya. Suara parau jejaka kesayangannya kedengaran. A’an memang dah sah-sah mengenali suara Aizam anak Sidang Nordin itu. Tidak kiralah suara Aizam bangun tidur, Aizam sedang demam, atau Aizam sedang ketawa. Semuanya A’an boleh kenal pasti. 

            “Assalamualaikum…ayah kau ada Ahmad Aizam?” Soal A’an agak serius. Tidak lagi mengada-ngada macam mula-mula dia sukakan Aizam dulu. 

            “Kau ke Cik Nurly Farhan. Apasal nombor Pak Ali pulak yang naik dalam phone ayah aku ni?”

            “Aku tolongkan dailkan untuk orang tua tu! Terkedek-kedek nak menekan nombor depan
mata. Ayah kau ada tak?”

            “Ada! Kenapa?” 

            “Pak Ali nak buat aduan berhad.” A’an serahkan handphone 3G kepada tuan yang empunya badan. Terketar-ketar orang tua itu menyambutnya. Siapa yang tidak ketar tengok jelingan tajam A’an. Sengih di hujung bibir A’an itu yang buat Pak Ali tak tahan. Lepas ini mesti ada apa-apa yang berlaku pada anak-anak lelaki dia. Ini yang buat Pak Ali tak sedap hati.

            “Huh!” Pak Ali ragut kembali telefonnya dari A’an. 

Apa lagi bermulalah aduan berhadnya pada Tok Sidang Nordin. Berceloteh panjang orang tua itu. A’an sekadar memerhati dengan ekor mata. Pak Ali punyalah kuat bercakap dalam telefon. Dia nak menunjuk depan A’anlah tu. Konon Tok Sidang sedang dengar aduan berhadnya. Lantaklah kau nak mengarut apa dengan Tok Sidang. Gerentinya lembu-lembu Pak Ali tetap akan kena jual! A’an ketawa besar dalam hati. Matanya sudah terbayangkan simbol $ yang bakal masuk dalam kocek!
           
“JAUH lagi ke kampung ayah saudara kau?” Naik kematu punggung ni bonceng di belakang. Kalau naik kereta boleh jugalah dia tidur nyenyak di sebelah. 

            “Dalam setengah jam lagi kita sampai. Aku sudah bawa selaju boleh ni. Kalau kena saman dengan JPJ kau bayarkan saman aku.” Safuan menjerit. Bukan apa takut Jan tidak dengar. 

            No hal.”

            Safuan pulas minyak sampai Jan terpeluk pinggang tak ramping dia. Gila punya kawan. Mahu bunuh diri ke? Rungut Jan dalam hati.

            Safuan membelok motorsikalnya pada satu simpang. Ala gaya macam Valentino Rossi bawa motorsikal. Damai kampung ayah saudara Safuan ni. Kiri dan kanan ada sawah padi yang sedang menghijau. Udara pun segar. Jan ambil peluang menikmati keindahan suasana sepanjang mereka menuju ke rumah ayah saudara Safuan.

            Rumah batu itu ditatap Jan dengan penuh musykil. Ingatkan orang kampung ni hanya ada rumah papan beratap zin. Nampak sangat dia bukan jenis orang yang ambil endah peredaran zaman.
            “Kaya pakcik kau?”

            “Kau fikir orang kampung tak boleh bina rumah batu ke?” Safuan jongket kening kanannya.
            Jan tersengih.

            “Orang kampung pun sudah moden. Malah ada lagi kaya dari orang Bandar tau.” Sambung Safuan.

            Jan menjuih bibir. 

            “Iyalah tu.”

            “Tak percaya sudah.” 

            Safuan memberikan salam. Tiada sahutan. Pintu rumah ayah saudaranya itu berkunci. Mungkin keluar menengok sawah agaknya.

            “Tiada orang ke?”

            “Ada…tapi maybe pakcik aku keluar ke bendang. Kita cari dia di sana.”

            “Eeei…nanti kotor kaki aku. Aku gelilah benda-benda macam lumpur tu.”

            Aku sekeh pula budak Jan ni. Macam perempuan!

            “Bukan takat lumpur, pacat pun ada.”

            “Pacat? Benda apa tu?”

            “Ikut sajalah nanti kau tahu pacat tu apa.” Safuan menolak tubuh Jan.

            Nak tak nak ikut sajalah. 

*Hope enjoy dengan kisah Jan dan A'an...citer biasa2 je.

5 comments: