Tab Menu

Followers

Tuesday, August 23, 2011

Romie dan Julie Bab 1

BEBERAPA orang lelaki berpakaian serba suit hitam berkejaran di segenap ruang hotel mewah itu. Mereka tampak begitu cemas sekali. Apa yang mereka cari masih tidak ditemui. Dia tersengih melihat keadaan lelaki-lelaki itu yang kelam kabut. Itu yang dia inginkan. Rimas bila dirinya dikawal dua puluh empat jam dalam sehari. Dia bukannya budak kecil yang perlukan perlindungan sedemikian. Dia sudah dewasa dan dia inginkan kebebasan. Dia tidak kisah dengan amukkan ayahnya lagi. Apa yang penting dia tahu apa yang dia inginkan. 

            Melihat kumpulan lelaki itu sudah berkejaran ke tempat lain, dia segera keluar dari tempat persembunyiannya. Bibirnya mengulum senyuman kepuasan. Peduli apa dengan majlis menyambut kepulangan bakal tunangnya itu. Dia bukan pernah sukakan gadis itu. Ayahnya sahaja yang beria-ia mahukan gadis itu menjadi bakal menantu. Konon mahu menjaga status keluarga mereka. Dia juga dilarang keras bergaul dengan golongan yang tidak setaraf. Peraturan orang tuanya itu memang gila dan menyakitkan hati. Baru membuka selangkah ke hadapan dia terpaksa menyorok kembali salah seorang pegawal peribadi itu berpatah balik. Hatinya merengus geram. Pantas dia memulas pintu bilik yang berdekatan. Dia meluru masuk tanpa berfikir panjang.

            “Fuhhh!” Dia menarik nafas panjang. Kali ini mereka pasti tidak menemuinya.

            “Siapa kamu?” suara halus gemersik kalbu itu mengejutkan dia. Lantas dia berpaling.

            Seorang gadis bagaikan bidadari dari kayangan merenung tajam ke arahnya. Sungguh cantik! Dia terpesona. Bibirnya tidak mampu untuk mengungkap kata. Si gadis menyeringai. Dia memulas cembul pintu namun ditahan.

            “Please! Sekejap saja.”

            “Saya tidak mahu kena tangkap basah dengan kamu.” gerutunya. 

            “Tapi saya tidak kisah kalau dapat kahwin free bersama gadis secantik kamu.” Dia mengusik. Si gadis bermuka cemberut. Tidak senang dengan kata-kata lelaki itu.

            “Keluar!” Jari telunjuknya dihalakan ke muka pintu.

            Dia tiada pilihan lain. Terpaksalah dia keluar dari bilik berkenaan. Salah gadis itu juga. Kenapa tidak kunci bilik jika takut dicerobohi? Pintu bilik itu dihempaskan dengan kuat! Dia sekadar menggarukan kepala yang tidak gatal.

            “Tuan muda! Akhirnya kami dapat cari kamu juga.” Kedua belah lengannya dicengkam.
Dia merengus kecil. Akhirnya dia telah dapat ditangkap!

            “Apa kata kita main sorok-sorok lagi sekali.” Ujarnya dengan muka tersengih. Kalau gadis itu tidak menghalaunya keluar pasti dia tidak terjerat begini. 

            “Jangan fikir tuan muda dapat memperdayakan kami sekali lagi.” Desis lelaki yang berkaca putih itu.

            Dia mengeluh kecil. Dia kerling pintu bilik tersebut. Bibirnya mengulum senyuman. Siapalah gerangan gadis cantik umpama bidadari itu. Dia sukakan renung tajamnya. Cantik dan memukau hati. Dia berharap dapat bersua dengan gadis itu lagi.

            Tubuhnya diheret masuk ke bilik persalinan yang sudah ditempah khas. Dia umpama seorang banduan yang terlepas dari penjara. Sepasang kot hitam dihulurkan. Dia merentap dengan kasar. Pakaian itu dicampakkan atas katil. Kumpulan pengawal peribadi itu mengerutkan dahi. Mereka tidak larat mahu melayan kerenah tuan muda yang satu ini. Keras kepala! Ada saja masalah yang ditimbulkan. Tidak tahu mengapa dia yang terpilih menjadi pewaris keluarganya.

            “Romie…” suara itu cukup dikenali. Siapa lagi tuan yang empunya suara kalau bukan ayahnya, Tuan Hilman. Lelaki korporat terkaya abad ini. Romie buat tidak endah. Dia berbaring di atas tilam yang empuk itu.

            “Romie Izary!” Suara itu ditekan lagi. Kali ini nama penuhnya disebut dengan lantang. Romie bingkas bangun mengadap si ayah terhormat. Matanya menyorot ganas. Anak yang suka melawan kata. Satu peraturan keluarga tidak pernah dipatuhi. Pembangkang terhebat dalam keturunan Tun Muzaffar.

            “Bagaimana cara kau mengajar anak, Sirna? Budak ini langsung tidak hormatkan aku sebagai ayahnya.” Tuan Hilman menjeling wanita yang berada di belakangnya. Puan Sirna membisu. Dia tidak pernah mengajar Romie untuk menentang ayahnya. Bukankah sikap itu turunnya dari si ayah. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. ‘Like father like son’!

            Romie mengerling ke arah Puan Sirna. Wanita kelihatan menundukkan kepala. Puan Sirna takut untuk bertentangan dengan Tuan Hilman. Apa yang ayahnya suruh perempuan itu akan menurut tanpa membantah. Malah dia pernah melihat tangan ayah naik ke muka perempuan itu kerana kesilapan yang agak kecil. Bagaimana dia mahu menghormati lelaki yang sedemikian rupa? Lelaki itu tidak ubah seperti seorang diktator yang mengawal segala-galanya.

            “Lekas salin pakaian kamu! Tetamu kita sedang menuju di dewan.” Arah Tuan Hilman kepada Romie.

            “Bagaimana kalau saya tidak mahu?” Romie membalas. “Saya bukannya seperti perempuan itu dan pak cik yang sering mengikut telunjuk ayah!”

            Tuan Hilman mengangkat tangannya namun ditahan oleh Puan Sirna. Dia tidak biarkan suaminya mengasari Romie walaupun dia tidak pernah menyenangi kehadiran anak tirinya itu. Tuan Hilman merengus kasar. Dia berpaling. Langkahnya diaturkan. Puan Sirna bergegas menurut dari belakang.

            “Huh!” Romie baring semula di atas tilam.   
           
DI dalam kemeriahan majlis hotel mewah bertaraf lima bintang yang padat dengan manusia yang berpakaian kemas, bayangan seseorang yang amat dikenali sedang bergerak menyusup dicelah-celah mereka. Bibirnya tidak lekang dengan diserikan senyuman palsu. Dia tidak selesa berada di dalam kelompok manusia korporat ini. Langkahnya terhenti bila terasa lengan kanannya dipaut erat. Dia menoleh. Seorang gadis manis melirikkan senyuman ke arahnya.

            “Romie! Saya sudah dapat tangkap kamu.” 

            Romie menarik kasar lengannya.

            “Mana kamu tahu saya Romie? Bagaimana kalau saya bukan Romie?”

            Gadis itu ketawa kecil. Lelaki ini tidak banyak yang berubah. Masih ada terselit kekasaran di balik butir bicaranya. 

            “Saya tahu kamu adalah Romie. Masakan saya akan lupakan orang yang tinggalkan parut pada tangan sayaini?” Dia angkatkan tangannya. Ya! Memang ada parut yang masih berbekas di tangan gadis itu. Romie kerutkan dahi. Rasanya dia sudah mengenali gadis ini.

            “Kamu….”

            “Romie….” Perbualan mereka tergantung dengan kehadiran seorang lelaki bertubuh agak tegap dan berkumis nipis itu. Tubuh Romie dipeluk erat. Menyesakkan nafas. Siapa pula lelaki separuh umur ini? Dia cuba mengingati wajah lelaki itu.

            “Ini uncle…Romie…kau sudah lupakan uncle kesayangan kau.” Lelaki itu menepuk-nepuk bahunya.

            “Uncle Ben!

            Romie menepuk dahi. Bibirnya memalitkan senyuman. Tubuh lelaki dipaut semula. Berpuluh tahun mereka tidak bertemu sejak pak ciknya itu menghilangkan diri. Dia sudah tidak menghiraukan gadis tadi. Romie menarik lengan pakciknya menyelit dalam kelompok manusia itu. Gadis tadi memanggil-manggil namanya namun Romie buat tidak endah. Sememangnya dia ingin melarikan diri dari gadis tersebut. 

            Segelas air kosong dihulurkan kepada Romie. Ben ketawa kecil dengan gelagat anak saudaranya itu. Sejak bila Romie takut untuk didekati oleh perempuan. Romie melonggarkan tali leher yang dipakainya. Rimas dan panas.       

            “Dulu masa uncle jumpa kamu…kamu hanya tinggi separas ini.” Ken menunjukkan tangan di paras ketiaknya. “Kini kamu sudah lebih tinggi dari uncle. Malah kamu lebih kacak dari uncle.” Ben mengusap-usap rambut cacak Romie.

            “Hahahaha…Saya pernah cakap pada uncle suatu hari nanti saya akan lebih tinggi dan kacak dari uncle. Pada waktu itu saya akan rampas teman wanita uncle yang bermata hazel itu.”

            Ben ketawa besar. Romie pernah mengatakan begitu ketika anak muda itu berusia dalam lingkungan 6 tahun. Dia membawa teman wanitanya, Yulia untuk diperkenalkan kepada ahli keluarganya. Kemudian dia memperkenalkan Yulia pada Romie. Romie mengatakan Yulia tidak bersesuaian dengan dia tetapi lebih padan digandingkan dengannya. 

            “So apa cerita sekarang setelah pulang ke tanah air.”

            Romie buat muka. Dia bukan tidak senang hati pulang ke tanah air sendiri. Kalau boleh dia mahu pulang tetapi bukan di rumahnya. Dia mahu pergi ke tempat yang jauh dari keluarga diktator itu. Sayangnya dia tidak dapat berbuat demikian mengenangkan pada perempuan yang sudah dianggap seperti ibu tiri itu. Wanita itu sudah banyak berkorban untuk dia walaupun dia bukan ibu kandungnya. Dia anak dari hasil perkahwinan yang tidak direstui oleh keluarga. Bukan seperti abang dan adiknya. Dia pula seorang yang degil, hati batu dan acapkali menyakiti hati ayahnya.

            Melihat muka Romie yang suram, Ben mematikan niat untuk bertanya lebih lanjut. Dia tahu krisis yang melanda Romie dengan keluarganya. Sukar untuk mereka mengawal sikap memberontak Romie yang keras kepala. Romie benci jika hidupnya dikawal dan diaturkan oleh orang lain.

            Sedang Romie melayan perasaan sendiri, dia dikejutkan dengan tepukan gemuruh dari para tetamu. Juruacara majlis naik di atas pentas. Semua mata terarah kepadanya begitu jua dengan Romie. Ayah dan ibunya turut berada di sisi juruacara itu. Lebar sekali senyuman ayahnya. Romie mencebirkan bila melihat gadis itu naik di atas pentas dengan dipimpin oleh abang sulungnya, Adiputra. Manja sekali gadis itu beramah-mesra dengan keluarganya. Dia kerling pakciknya di sebelah. Lelaki itu tampak serius tanpa ukiran senyuman di bibir. Romie tahu pakcik tidak sukakan ayahnya. Malah dia nyaris dilarikan oleh pakciknya itu ketika awal remaja. Ada perasaan tidak puas hati pakciknya itu terhadap keturunan Tun Muzaffar itu.

            “Uncle tidak akan sesekali melupakan hari kematian mama kamu.” Wajah Ben tampak suram.

            “Uncle…jangan sebut lagi cerita lama. Saya tahu auntie Yulia juga nyaris terkorban dalam kemalangan ngeri itu.” 

            “Mereka yang merancang kematian Isabel namun Yulia turut menjadi mangsa. Siapa sangka Yulia turut berada di dalam kereta yang sama. Segalanya akan terbongkar sekiranya auntie kamu sedar tidur yang lena. Tapi…” Ben tidak dapat meneruskan kata-kata. 

            Romie terdiam. Dia turut mencurigai kemalangan yang menimpa ibunya tujuh tahun yang lalu. Malah kematian makcik Yulia di hospital jua turut dicurigai. Ada orang yang menarik alat penafasan makciknya. Tapi siapa? Romie memenjamkan matanya. Ada keluhan berat di bibir Romie. Dia tidak mahu memikirkannya ketika ini. Romie mula rasa rimas dan bosan. Mungkin ada baiknya dia beredar mencari ketenangan di luar. 

            “Saya mahu keluar dari sini. Uncle mahu ikut?” Romie berpaling pada Ben. Ben gelengkan kepala. Romie jungkit bahu. Dia membuka langkah. 

            Saat dia sampai di muka pintu utama, langkahnya terhenti. Bunyi alunan piano di atas pentas itu menarik perhatian Romie. Entah mengapa dia berpaling semula. Dia bagaikan ditarik ke hadapan. Bulat anak mata Romie melihat gadis yang sedang bermain piano di atas pentas itu. Masakan dia akan melupakan wajah jelita yang dingin seperti ais itu. Itulah gadis yang dia rempuh biliknya ketika dia melarikan diri dari pengawal-pengawal peribadi ayahnya. Seakan ada jodoh di atara mereka. Romie mengulum senyuman.

            Sungguh merdu alunan piano yang dimainkan oleh gadis itu. Dia seakan pernah mendengarnya suatu ketika dulu. Bukankah alunan muzik itu? Romie cuba meningatinya. Ya itu alunan muzik ‘Autumn Leaves’

Satu lagu yang akan mengimbau kembali kisah silamnya. Lagu yang suka dimainkan oleh arwah ibunya ketika bermain piano dan dia akan duduk sebelah ibu sambil menongkatkan dagu. Sekali lagi tepukan gemuruh diberikan. Gadis itu bangun dan menundukkan sedikit kepalanya. Senyuman kepuasan terukir di bibirnya. Sungguh manis senyuman itu.

            “Nice songs!” ucap Romie. Dia bergerak naik ke atas pentas. Tingkah-lakunya itu
 mengejutkan tetamu lain termasuk ahli keluarganya. Dia merenung ke arah gadis itu. Pandangan mata mereka bersatu. 

            “You kenal dia ke?” Juruacara itu berbisik. Laju gadis itu gelengkan kepalanya.

            “Romie…” panggil Adiputra. Dia menarik lengan Romie. Tuan Hilman sudah menjeling. Nyata dia tidak menyenangi dengan sikap Romie itu.

            Romie menyentap lengannya dari pegangan Adiputra. Dia kerling Adiputra tajam. Renungan mata Romie mengejutkan Adiputra. Romie tersenyum. Dia mendekati gadis itu. Pergelangan tangan gadis itu dicengkam kuat. Gelagatnya menjadi perhatian terutamanya pada para wartawan tempatan. Mereka saling berbisik. Adakah lelaki muda ini Romie Izary anak kedua Tuan Hilman itu? Para wartawan mengangkat lensa kamera. Kilauan memancar keluar.

            “Saya nak pinjam dia untuk bermain sekejap.” Ujarnya sambil mengenyitkan mata. Dia menarik gadis itu mengikut langkahnya.

            “Romie!” Panggilan Tuan Hilman tidak diendahkan. Wajah berang ayahnya itu tidak lagi ditakuti. Romie hilang di balik para tetamu.

            “Cari dia!” Arah Tuan Hilman kepada pengawal-pengawal peribadinya. Romie sering memalukan dia. Dia tidak faham apa yang diingini oleh anak yang seorang ini? Segala-galanya telah dia berikan. Apa lagi yang tidak cukup pada Romie? Tuan Hilman mengerling ke arah Ben yang sedang duduk menikmati hidangan malam itu. Ben langsung tidak menghiraukan kekecohan yang ditimbulkan oleh Romie. Ben sekadar tersenyum sinis.    

  

7 comments:

  1. wah best la...citer ni banyak suspen..

    ReplyDelete
  2. best..macam tengah tengok drama omputeh..hehehe..jalan cerita yang menarik..karya kak Ilya semuanya best2.. =)

    ReplyDelete
  3. Tq Afifah...stail ala barat tappi dimelayukan

    ReplyDelete
  4. citer yg menarik dipembukaan novel ini..membuat akak tertanya tanya sape kah gerangan gadis misteri itu?

    ReplyDelete
  5. x kisahlah kak style barat ke..style timur yang penting citer dia best...
    dah lama tunggu citer ni akhhirnya akak upload juga...tapi nak tanya citer ni sama ke dengan citer romie & julie yang ada kat blog akak musim bulan cinta tu?

    ReplyDelete
  6. Seed....akak sudah memperbaharui jln cerita untuk lebih mantap

    ReplyDelete