Tab Menu

Followers

Sunday, October 23, 2011

Takdir Cinta luka - Bab 10

TELAPAK tangan Batrisyah hampir saja  hinggap pada pipi gebu Syakila. Sedaya–upaya Batrisyah menahan dirinya dari bertindak lebih jauh. Syakila tiba-tiba saja menyerbu ke pejabatnya lalu menyerang Batrisyah tanpa ucapan salam atau pun sapaan. Semua penghuni pejabat itu turut terkejut dengan tindakan Syakila. Bukankah Syakila kakak kepada Batrisyah. Apa yang terjadi? Mereka mula tertanya-tanya sendiri. Batrisyah tidak mahu teman-teman sepejabat masuk campur urusan peribadinya. Dia akan menangani masalahnya sendiri. Pintu biliknya itu ditutup ramai agar yang lain tidak akan mendengar perbualan mereka.
            Batrisyah membongkokkan sedikit tubuhnya untuk memungut cermin matanya yang jatuh. Dia masih boleh bertenang tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Tidak dihiraukan dengan kemarahan Syakila yang sedang meluap-luap itu. Batrisyah menyilangkan tangannya sambil merenung wajah Syakila yang berkerut seribu.
            “Mahu tunjuk act bukan di sini.” Ujar Batrisyah selamba.
            “Risyah! Kau ini memang tidak tahu malulah! Tak sedar diri!” Lantang suara Syakila mengherdik adiknya.
Sakit hati sungguh Syakila bila mendapat tahu Batrisyah kerap berjumpa secara rahsia dengan suaminya, Ku Izham. Jika tiada orang beritahu sememangnya dia tidak tahu perhubungan sulit Ku Izham dengan adiknya itu. Mulanya dia rasa ragu-ragu. Ku Izham bukan lelaki yang mudah mendampingi perempuan. Tapi setelah melihat kemesraan Ku Izham dengan Batrisyah tempohari hatinya mendidih. Benarlah Batrisyah jalinkan hubungan dengan Ku Izham. Suaminya itu makin berperangai agak pelik kebelakangan ini. Sering dilihat tersenyum seorang diri. Bila ditanya tiada apa-apa katanya.
            “Rasanya Risyah boleh meneka. Ini pasal Risyah berdating dengan Abang Izhamlah ni. Kalau tidak Kak Sya tak jadi gila macam begini.” Batrisyah ketawa kecil. Syakila mula menyirap. Puan Suria yang mendengar di luar pintu menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan perangai Batrisyah. Jika tidak bersalah buat apa nak takut. Dia sendiri menemani gadis itu bila berurusan dengan abang iparnya. Tiada dilihat mereka seakan ada perhubungan lebih dari itu. Macam abang dengan adik adalah. Batrisyah ada memberitahu abang iparnya mahu membelikan hadiah istimewa kepada kakaknya sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Sayang benar abang ipar Batrisyah kepada isterinya. Walaupun mereka tiada anak abang iparnya itu seorang lelaki yang setia.
            “Sudahlah kau kacau rumahtangga Fa kini kau nak kacau rumahtangga aku pulak! Kau memang perempuan tidak bermaruah!” Syakila menengking.
            “Bukan setakat kacau Kak…runtuhkan terus pun Risyah boleh buat.” Batrisyah bertentangan mata dengan Syakila. Syakila mengetap bibir. Batrisyah makin berkurang ajar dengannya.
            “Kau jangan melampau Risyah. Sedar diri kau sikit. Kau itu sudah ibarat macam perempuan murahan tahu tak! Keluar dengan jantan sana keluar dengan jantan sini. Bukan kakak tidak tahu! Kau ingat diri kau baik sangat.”
            “Oh! Risyah tak cakap pun diri Risyah baik. Tapi Risyah bukan seorang yang hipokrit macam kakak. Kalau Risyah mahu goda Abang Izham dari dulu lagi Risyah dah goda. Tidak perlu sekarang Kak Sya. Bukan setakat rumahtangga Kak Sya, rumahtangga Fa pun Risyah boleh runtuhkan.” Bicara Batrisyah menaikkan lagi suhu kemarahan Syakila.
            “Kurang ajar betul mulut kau Risyah. Kakak akan adukan sikap kau ini pada abah di kampung.” Syakila mengayun-ayunkan jari telunjuknya.
            “Adulah! Risyah tak takut. Lebih baik akak keluar dari pejabat Risyah sebelum Risyah heret kakak keluar. Risyah tiada masa mahu layan kakak!” Batrisyah membuka pintu pejabatnya. “Dipersilakan keluar.”
            “Hm!” Syakila merengus kasar. Dia meluru keluar seperti yang dipinta oleh Batrisyah. Batrisyah menarik nafas panjang. Rasa malu dengan sikap Syakila di depan teman-teman sepejabatnya. Dia bukan bodoh. Tidak telintas di hatinya mahu merosakkan rumahtangga kakaknya sendiri. Buat tuduhan tanpa usal periksa. Main terjah orang sahaja. Batrisyah mengosok-gosok pipinya yang agak perit.
            “You okay ke Risyah?” soal Puan Suria.
            “Saya tiada apa-apa. Jangan bimbang.” Balas Batrisyah lembut. Dia tidak apa-apa pada luaran tapi hatinya terhiris. Jahat sangatkah dia?
            “I kenal you bukan sehari dua Risyah. Tiga tahun you bekerja di sini.” Omel Puan Suria.
Batrisyah melirik senyuman. Dia sukar untuk berselindung dengan wanita ini.
            “Orang macam dia bukan mahu percaya akan kata-kata saya meskipun saya menafikannya. Dia lebih suka dengar apa orang lain kata. Apa yang dia tahu lihat keburukan saya dari fikirkan keburukan yang ada pada dia.” Wajah Batrisyah yang sering nampak bersemangat itu sedikit muram. Puan Suria gelengkan kepala. Mungkin Syakila cemburukan Batrisyah. Batrisyah jauh lebih cantik dari dia.
            “You buat baik pada adik-beradik you tapi ini balasan you terima. Bersabarlah Risyah. Mungkin satu hari nanti mereka akan sedar akan kebaikan you. Sekarang ini mereka buta hati.” Puan Suria memujuk.
            “Saya tidak kisah jika mereka tidak mahu membuka mata dan hati mereka. Apa yang penting saya tidak buat perkara salah. Dan apa yang saya lakukan ada sebab yang tidak perlu saya terangkan kepada mereka.” Batrisyah menarik nafas panjang.
Puan Suria memaku mata pada wajah ayu itu. Batrisyah…kau memang gadis yang memendam kedukaan sendiri. Telefon bimbit di atas meja Batrisyah bergegar. Batrisyah mencapai telefon bimbitnya. Berkerut dahinya mendengar yang empunya suara di talian. Puan Suria menongkat dagu melihat reaksi wajah Batrisyah yang ketara perubahannya itu.
            Macam mana pulak si buaya tembaga yang seekor lagi ni boleh tahu nombor telefon bimbit aku! Batrisyah merungut di dalam hati.  Dia kerling pada Puan Suria yang berada depan matanya itu. Puan Suria hanya tersenyum.
            “Tak baik salam yang saya ucapkan tidak dibalas.” Suara Faliq di dalam talian. Batrisyah mengetap bibir.
            “Waalaikumsalam.” Jawab Batrisyah agak keras.
            “Bunyinya tidak ikhlas langsung.” Gerutu Faliq.
            “Mana awak dapat nombor telefon saya?” Batrisyah menyoal. Dia sempat mengerling Puan Suria yang diam membisu.
            “Itu rahsia. Awak sihat? Anak-anak sihat?” Lain yang ditanya lain yang Faliq jawab. Dia mendesak Puan Suria untuk mendapatkan nombor telefon bimbit kepunyaan Batrisyah. Puas dia merayu dengan pelbagai alasan barulah Puan Suria memberikan nombor Batrisyah.
            “Awak tidak perlu sibuk-sibuk pasal saya.”
            “Tentulah saya mahu menyibuk sebab saya ambil berat pasal awak dan anak-anak awak.” Faliq ingin ketawa namun dia cuba bertahan. Seronok dapat menyakat gadis bernama Batrisyah. Kalau Syed Ibtisyam tahu sah-sah kena makan penumbuk teman baiknya itu. Siap dapat nombor telefon bimbit gadis itu lagi. Dia bukan mahu memintas
jalan Syed Ibtisyam. Dia sekadar mahu mengenali gadis itu lebih lanjut.
            “Saya tidak perlukan sesiapa untuk ambil berat pasal saya! Penyibuk betul!” Batrisyah merengus. Faliq sudah tahu status dirinya namun lelaki itu sengaja mahu bemain-main dengan dia lagi. Geram sungguh hati Batrisyah.
            “Tak baik kata begitu pada saya tahu. Salah ke saya ambil berat tentang awak? Bukan mudah seorang wanita membesar anak-anak tanpa suami di sisinya. Awak wanita yang amat tabah.”
            “Encik Faliq! Awak jangan nak main-main dengan saya lagi!” Suara Batrisyah menjadi lantang. Tersentak Puan Suria. Tahulah dia siapa yang menghubungi Batrisyah itu. Faliq rupanya. Hampir dia telupa yang dia ada memberikan nombor telefon bimbit milik Batrisyah kepada Faliq. Puan Suria bingkas bangun. Tergesa-gesa dia beredar dari bilik Batrisyah.
            “Hahahaha…” Faliq pecah ketawa. Pasti merah menyala wajah ayu Batrisyah. Dia boleh membayangkannya.
            “Saya tiada masa mahu mendengar gurauan awak!” Batrisyah mematikan talian telefonnya. Malas untuk bertegang urat dengan lelaki yang satu ini. Faliq sama saja seperti Syed Ibtisyam. Suka buat dia panas hati.
            Faliq ketawa riang. Sudah lama dia tidak ketawa seperti ini. Betul-betul Batrisyah terperanjat menerima panggilan dari dia. Dia tertarik hati pada sikap Batrisyah yang cepat panas baran itu. Gadis itu kasar dan tidak hipokrit seperti gadis-gadis yang pernah dia kenal selama ini. Mereka hanya berpura-pura untuk melindungi rupa wajah sebenar.
            Boss ni macam orang sedang angau saja. Sejak kebelakangan ini asyik senyum seorang.” Farah sudah tercegat di muka pintu sarat dengan fail-fail di tangan. “I tahulah you sedang dilamun cinta dengan somebody.”
            Orang sedang angau katakana.
            “You ni masuk tidak ketuk pintu dulu.” Faliq menjeling Farah tajam. Farah mencebik.
            “I dah ketuk. Boss itu yang pekak. Berapa bulan boss tak korek buang tahi telinga boss?” getus Farah. Fail-fail tersebut diletakkan atas meja Faliq. Faliq ketawa kecil. Farah mula bercekak pinggang depan Faliq.
            “Hari-hari I korek telinga Farah. Sampai hati you kata boss you ini tak korek telinga.” Tukas Faliq dengan nada gurauan.

PEKAKKAN telinga. Itu yang Batrisyah lakukan apabila orang kampung mengata mengenai dirinya. Umpatan orang kampung tidak dihiraukan. Dia balik bukan kerana mereka tapi kerana abahnya. Agak lama dia tidak menjejakkan kaki di rumah papan yang kian usang itu sejak kisah hangatnya dia tidak jadi berkahwin dahulu. Laman rumah itu tidak berubah. Bersih dan masih dihiasi dengan bunga-bunga kertas kegemaran arwah ibunya. Batrisyah tersenyum. Abah bukan jenis lelaki yang sukakan bunga. Bunga-bunga yang abah jaga dan tanam itu tanda kasih sayang abah pada arwah ibu.
            Batrisyah menanggalkan kasut di kakinya. Dia memijak anak tangga. Kepalanya digelengkan. Abah membiarkan saja pintu utama dibuka luas. Kalau pencuri masuk habis disapu segala harta dalam rumah mereka.
            “Assalamualaikum…abah…abah…” panggil Batrisyah berulang-ulang kali. Tiada jawapan. Batrisyah kerut dahi. Pintu rumah terbuka. Ke mana pulang abahnya pergi. Batrisyah terus memijak anak tangga masuk ke dalam rumah. Hening dan sunyi sepi. Abahnya dicari sampai ke dapur. Orang tua itu tetap tidak ditemui. Batrisyah gusar. Setelah menutup pintu rumahnya Batrisyah menapak mencari abahnya di kebun pisang. Malas Batrisyah mahu menaiki kereta. Bukan jauh sangat jarak kebun pisang mereka dari rumahnya.
            Di persimpangan jalan Batrisyah bertemu dengan Mak Gayah, kaki gossip yang tidak bertauliah di kampungnya itu. Mulut Mak Gayah memang sukar untuk behenti bila bercakap mengalahkan Dj di corong radio. Terjegil biji mata orang tua itu melihatnya. Mak Gayah memang tidak sukakan Batrisyah sejak gadis itu menolak lamaran anak bujangnya. Ketawa besar dia bila Batrisyah tidak jadi berkahwin dengan Ashraf. Pelbagai cerita dijaja oleh Mak Gayah kepada orang kampung. Batrisyah hanya berdiam diri tanpa menepis rekaan cerita yang disampaikan. Mulut orang bukan boleh sesuka hati kita boleh menutup bagi diam.
            “Makcik Ingat kau dah lupa asal usul kampung kau Risyah. Dua tahun kau tak pernah menjenguk ayah kau di sini.” Mak Gayah menegur. Dia nampak kereta Batrisyah tersadai di rumah Haji Sufian. Benarlah kata budak-budak kampung yang Batrisyah pulang menjenguk abahnya. Mak Gayah mencebik. Dia tenung gadis itu atas bawah.
            “Saya tidak pernah lupa asal usul saya Mak Gayah. Suka hati sayalah nak balik atau tidak. Itu bukan urusan Mak Gayah untuk menyibuk.” Balas Batrisyah.
            “Amboi! Kau pandai bercakap kurang ajar ye. Makcik tahulah kau duduk di Kuala Lumpur itu ada jantan yang menjaga kau di sana. Itu sebab kau nampak senang-lenang saja. Sampai sanggup lari masa majlis perkahwinan kau. Kesian dengan budak Ashraf tu terpaksa kahwin dengan adik kau.” Mak Gayah menundingkan jari telunjuknya ke muka Batrisyah. Batrisyah menyeringai dengan tuduhan Mak Gayah. Selama ini dia mendiamkan diri rupanya tidak berfaedah. Cerita lama tetap diungkit kembali.
            “Fitnah itu dosanya lebih besar dari zina. Siang malam dengar ceramah agama masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Apa guna sembahyang tonggang tonggek jika mulut menabur fitnah pada orang lain. Buat amal ibadah tapi bahu masih penuh dosa.” Gumam Batrisyah. Mak Gayah terkedu. Batrisyah melirik senyuman.
            “Saya tahulah Mak Gayah. Mak Gayah sakit hati pada saya sebab saya tolak lamaran Aizat bukan. Saya bukan jenis yang pandang harta benda Mak Gayah. Dan saya ni bukanlah baik sangat. Tapi saya minta sangat pada Mak Gayah jangan jaga tepi kain saya sebab saya akan jaga tepi kain Mak Gayah pulak nanti. Habis semua kisah dalam kain saya cerita pada orang kampung nanti. Dalam masa dua tahun ini macam-macam makcik sebarkan cerita pasal saya. Jangan ingat saya tak tahu semua itu makcik.” Batrisyah berlalu pergi. Mak Gayah menjuihkan bibir. Aizat, anak teruna itu sampai sekarang masih tidak mahu berumahtangga. Merajuk kerana Batrisyah. Apa kurangnya anak lelakinya itu. Ustaz Aizat Alwi adalah seorang guru di sekolah. Satu-satunya anak muda yang berjaya di dalam kampung ini.
            Batrisyah merasa hampa apabila sampai di kebun pisang abahnya. Abahnya tiada di situ. Ke manalah abahnya pergi? Dia menggaru kepalanya yang dilitupi tudung itu. Batrisyah mengatur langkah pulang semula ke rumah. Bulat matanya bila melihat abah sedang berbual-bual dengan Aizat di atas para sambil enak menghirup kopi. Batrisyah mengeluh panjang. Ligat dia mengayun langkah merapati dua lelaki itu.
            “Assalamualaikum…” ucap Batrisyah. Dia bongkokkan sedikit tubuhnya menyalami tangan abah. Haji Sufian mengulum senyuman. Dia sudah perasaan kereta Batrisyah apabila pulang dari pekan bersama Aizat tadi. Hanya kelibat Batrisyah yang tidak kelihatan. Aizat juga ada memberitahu dia terlihat Batrisyah ketika mahu ke pekan.
            “Waalaikumsalam…Kamu ke mana Risyah? Berpeluh-peluh muka kamu, abah tengok?” soal Haji Sufian.
            “Abah itu yang ke mana? Risyah sampai rumah tadi pintu dibiarkan saja terbuka.
Risyah carilah abah di kebun. Risyah punyalah risau cari abah. Abah boleh sedap-sedap minum petang atas para.” Batrisyah mengeluh nafas panjang. Hatinya lega melihat abah. Dia takut juga jika berlaku sesuatu pada abah.
            “Abah pergi pekan sekejap. Cari barang dapur. Mungkin abah terlupa nak kunci pintu tadi. Maklumlah abah dah tua Risyah. Ada apa-apa barang yang hilang ke Risyah?”
            “Risyah tak kisah kalau barang rumah ni yang dirompak. Risyah cuma kisah kalau abah tu yang diculik. Mana Risyah nak cari wang untuk membayar wang tebusan.” Ketawa Haji Sufian mendengarnya. Siapalah orang bodoh yang nak menculik lelaki tua sepertinya.
            “Kau masih tidak berubah Risyah. Masih macam dulu juga.” Aizat mencelah. Batrisyah tetap ayu malah lebih ayu dengan penampilannya kini. Perasaan Aizat terhadap Batrisyah tidak pernah berubah. Dia masih setia menanti gadis itu.
            “Ustaz Aizat Alwi. Apa khabar ustaz? Makin berseri-seri nampak. Ini mesti sudah ada isteri menjaga di rumah.” Batrisyah menyapa.
            “Alhamdudillah….saya sihat.”
            “Dia masih bujang Risyah. Bujang terlajak. Apa taknya gadis yang ditunggu masih jual mahal.” Sampuk Haji Sufian. Berkerut muka Batrisyah. Tahu sangat gadis yang dimaksudkan itu adalah dirinya.
            Mengapa Aizat masih mengejar cintanya. Dia bukan gadis yang baik sangat. Dia sudah nyatakan pada Aizat sebelum ini. Dia tidak mungkin mengahwini lelaki itu meskipun dia kini sudah bersendirian. Kecantikkan yang ada pada dirinya tidak pernah dia banggakan. Cantik itu menjamin kebahagiaan.
            “Abah…Risyah masuk ke dalam dahulu.” Batrisyah tidak mahu soal jodoh itu dibicarakan.
            Aizat berkecil hati dengan kedinginan Batrisyah. Jelas Batrisyah masih menolak. Mungkin hati Batrisyah masih dibelenggu oleh cinta Ashraf.  Haji Sufian perasaan pada perubahan wajah Aizat. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Jika sudah tertulis jodoh Batrisyah tidak ada bersama Aizat. Aizat harus menerimanya.
            “Pakcik…saya minta diri dulu.” Aizat bangun dari duduknya.
            “Sampaikan salam pakcik pada ayah dan mak kau.” Haji Sufian menepuk lembut bahu anak muda itu. “Aizat…Kau perlu pandang gadis di sekeliling kau juga. Anak pakcik mungkin bukan jodoh untuk kau.” Sambungnya lagi
            Aizat hanya tersenyum tawar. Perlukah dia beralah kali ini? Seperti kata Haji Sufian. “Kau perlu pandang gadis di sekeliling kau juga. Anak pakcik mungkin bukan jodoh untuk kau.”

BATRISYAH tersenyum melihat selera abahnya di meja makan. Bertahun abah tidak merasa air tangan anak gadisnya ini. Abah sukakan sayur lemak pucuk ubi dan ikan puyu masak asam pedas. Beria-ia abah menyediakan bahan-bahan untuk masakan kegemarannya itu. Jika ada arwah ibu, pastinya abah tidak akan keseorangan berada di rumah ini. Teringatkan arwah ibu, hati Batrisyah terasa hiba.
            Ligat abahnya menceduk kuah asam pedas itu ke dalam pinggannya. Rasanya sudah tiga kali abah menambah nasi. Mata Batrisyah membulat besar. Abah memang benar-benar kempunan tampak gayanya. Nasib baik Qais tidak ada bersama. Jika tidak mahu berebut adiknya itu makan bersama abah. Dia ketawa kecil.
            “Berapa hari Risyah ambil cuti?” soal Haji Sufian setelah pinggan nasi dihabiskan. Perlahan dia meneguk gelas minumannya.
            “Risyah ambil cuti satu minggu, abah. Lagipun dah lama benar Risyah tidak balik kampung.” Balas Barisyah. Nasi di dalam pinggan masih tidak luak. Dia asyik memerhatikan abahnya makan.
            “Lamanya…boss kamu tidak kisah ke?” Abah bingkas bangun menuju ke arah sinki.
            “Risyah jarang ambil cuti sebelum ini. Cuti Risyah sudah bertambah-tambah sampai boss yang suruh Risyah berehat. Macam abah tidak kenal dengan anak gadis abah ni.” Batrisyah mengangkatkan keningnya.
            “Baguslah. Kesihatan pun kena jaga. Kamu kuat sangat bekerja, Risyah. Abah risau tengok kamu.”
            Batrisyah melirik senyuman. Kata-kata telah memberikan keyakinan yang abah sudah menerima kembali anaknya ini. Tanpa disedari air matanya mengalir. Syukur kepada TUHAN. Doa Batrisyah telah dimakbulkan. Haji Sufian merapati anak gadisnya itu. Bahu Batrisyah ditepuk lembut.
            “Abah…Risyah tidak pernah terniat nak sakit hati abah. Risyah…” kata-katanya terhenti di situ.
            “Abah tidak mahu Risyah ingatkan kisah lama. Abah juga tak mahu Risyah lukakan hati Risyah kerana orang lain. Risyah kena fikirkan kebahagiaan Risyah juga.”
            Batrisyah terdiam. Apakah abah sudah tahu pergorbanan yang dia lakukan untuk Farisya dan Ashraf? Siapa yang membuka cerita itu jika bukan Qais. Mungkin Qais tidak tahan melihat kakaknya ini menghukum diri sendiri.
            “Qais tidak pernah cakap apa-apa pada abah. Abah jaga kamu dari kecil Risyah. Abah tahu siapa kamu.” Sambung Haji Sufian. Dia seakan dapat membaca apa yang ada difikiran anak gadisnya itu.
            “Maafkan Risyah, abah.” Batrisyah memandang tepat pada wajah tua abah.
            Haji Sufian anggukkan kepala sambil mengulum senyuman. Batrisyah tidak pernah berubah. 

3 comments:

  1. alaa jgnlh Ilya berhenti menulis kerana semuanya cite yg didalam blog
    ni bestlah. Lumrah hidup didunia ni
    memang ada manusia yg sentiasa iri
    hati dgn kejayaan org lain perolehi.
    Abaikan saja rugilah nanti kalau
    Ilya berhenti menulis kerana Ilya
    adalah salah seorg penulis yg sgt
    berpotensi dan berpengalaman. Tak apa
    susah susah sgt jual je dkt kami
    cite yg di karang oleh ILya secara
    online. Jadi kami pembaca yg setia
    ni tak adalah terkilan nanti kan..

    ReplyDelete
  2. sian risya...
    bia je org kg nak cakap per..
    yela,kita bukannye ley puaskan ati semua org kan?
    asal ati sendiri puas sudahla...

    ReplyDelete
  3. iskh bengang betul dengan syakila tu..
    suka suki je datang serang batrisya kat ofis...
    x tau nak jaga aib orang la...
    kesian kat batrisya..

    ReplyDelete