Batrisyah menarik nafas panjang. Dia terus mendaki anak tangga. Sesekali sapu tangannya mengelap peluh yang memercik di muka. Terpancar keletihan pada wajah Batrisyah. Dia belum sempat menjamah sarapan lagi. Perutnya kosong.
“Kesian makcik seorang ini termengah-mengah daki tangga.” Entah bila Syed Ibtisyam terpacul di hadapannya! Hampir luruh jantung Batrisyah dibuatnya. Kalau dia sakit jantung mahunya mati terkejut dia di situ jugak. Kurang asam betul mamat seorang ini. Nak tegur orang bukannya tahu memberi salam dahulu!
“Awak ini tak tahu bagi salam dulu ke nak tegur orang. Kalau saya mati terkejut macam mana?” gumam Batrisyah. Hari ini seorang diri pula mangkuk ayun ni. Mana pulak pergi kawan baik dia? Selalu berdua saja macam belangkas.
“Tak baik cakap macam tu. Kalau awak mati jadi dudalah saya.” Syed Ibtisyam buat muka sedih. Kemerah-merahan muka Batrisyah yang putih gebu itu. Memang cantik!
“Bila masa pulak saya kahwin dengan awak? Awak bagi emas satu gunung pun tak hingin saya kahwin dengan mamat poyo macam awak!” Batrisyah melenting.
“Ha! Ha! Ha! Awak ni semakin hari makin garang dengan saya. Tak baik tahu. Mula-mula marah lepas itu boleh jatuh cinta. Siapa yang susah. Saya juga.”
Batrisyah mencebik. Siapa yang tergila-gilakan mamat tiga suku ini ntah.
“Jangan haraplah saya jatuh hati dekat buaya tembaga macam awak. Tepi! Saya nak lalu.” Terjegil biji matanya bila Syed Ibtisyam tidak mahu berkalih dari tempat dia berdiri. Menyeringai Batrisyah. Sudahlah ada tiga tingkat lagi perlu dia daki. Mahu tercabut lutut ni. Syed Ibtisyam tersengih-sengih. Bukan senang dapat berbual berdua-duaan dengan Batrisyah begini.
“Tapi saya memang cintakan awak. Saya benar-benar sukakan awak, Risyah.” Nada suara Syed Ibtisyam sedikit bergetar. Batrisyah tersentak. Tergamam seketika dia dengan kenyataan Syed Ibtisyam itu. Syed Ibtisyam semakin menghampiri. Batrisyah undur beberapa langkah.
“Jangan mengarut!” Getus Batrisyah. Pantas dia melepasi tubuh Syed Ibtiysam. Malas dia mahu melayan lelaki tidak betul seperti Syed Ibtisyam. Syed Ibtisyam mengeluh kecil. Apakah Batrisyah fikir dia hanya bermain kata?
Batrisyah menolak pintu kaca itu dengan wajah lesu. Peluh memenuhi segenap ruang wajahnya. Batrisyah mengetap bibir. Kata-kata Syed Ibtisyam masih bermain-main di dalam mindanya. Argh! Pedulikan lelaki itu! Mana mungkin lelaki sehebat Syed Ibtisyam menyukai gadis kampung seperti dia.
“Baru lepas berjogging ke Risyah?” tegur Azam sebaik saja Batrisyah meletakkan beg tangannya di meja. Batrisyah menjeling Azam.
“Lif rosak. So kenalah exercise pagi-pagi begini.”
“Makin kurus keringlah kau Risyah kalau hari-hari lif buat hal. Aku tak kisah panjat tangga. Aku memang ada niat nak kempiskan perut ni hah. Boroi sangat! Wife aku pun dah merungut.” Azam menunjukkan perutnya yang agak boroi sedikit itu. Batrisyah ketawa kecil. Lelaki bila dah kahwin mesti buncit di perut. Kadang-kadang mengalahkan isteri yang mengandung.
“Risyah! You sudah siapkan laporan syarikat bulan ini?” Puan Suria mencelah. Batrisyah anggukkan kepala. Segalanya telah diselesaikan. Bersengkang mata dia menyiapkan laporan berkenaan. Apa tidaknya Puan Suria bagi kerja last minute. Puan Suria menarik nafas lega. Mujur saja Batrisyah sudi membantunya. Dia sibuk dengan urusan di tapak projek hingga lupa menyiapkan laporan syarikat.
“Ini laporan untuk mesyuarat nanti. Saya sudah semak dua kali laporan ini. Rasanya sudah cukup lengkap.” Batrisyah hulurkan laporan berkenaan kepada Puan Suria.
Puan Suria menyemak laporan tersebut. Dia cukup berpuas hati. Ternyata Batrisyah seorang yang teliti menyiapkan kerja-kerjanya.
“Thanks a lot Risyah. Tidak sia-sia I punya pembantu yang cekap macam you. Lunch hour nanti I belanja you makan.
“Okay. Belanja saya makan ikan bakar. Rindu benar dengan ikan bakar di gerai bawah pokok tu.” Batrisyah mengenyitkan mata. Puan Suria tersenyum. Batrisyah sering nampak ceria bila berada di pejabat. Namun bila sesekali panas barannya datang habis satu ofis terasa bahangnya.
Batrisyah bukan tidak cantik orangnya malah sudah lebih cantik. Kulitnya putih bersih dan agak kemerah-merahan bila terkena cahaya matahari. Jika dia sedang marah lagi merah mukanya. Ditambah pula dengan tahi lalat kecil pada bibirnya yang comel itu. Manis orangnya. Hanya satu yang kurang pada wajah gadis itu. Wajah itu tidak agak suram biarpun tawa sering menghiasai bibirnya.
Puan Suria kesian dengan Batrisyah. Usia sudah hampir menjangkau 30-an tapi dia masih bersendirian. Batrisyah pernah bertunang tetapi dia lari masa majlis perkahwinannya. Tidak tahu apa puncanya Batrisyah bertindak sedemikian. Tunangnya pula terpaksa berkahwin dengan adiknya sendiri demi menjaga nama keluarga. Puan Suria yakin Batrisyah pasti ada sebab tertentu berbuat demikian. Batrisyah bukan gadis liar yang suka ke hulur-hilir tidak menentu. Batrisyah hantu kerja. Berhibur langsung tiada masa. Apatah lagi bercuti untuk merehatkan diri. Pejabat seperti tempat Batrisyah untuk melupakan segalanya.
“Mesyuarat akan start lima minit lagi. Siapa mahu sediakan minuman untuk meeting hari ini. I bab buat air-air ini tak pandailah.” Zila dengan perut yang memboyot terpacak depan pintu bilik pejabatnya. Puan Suria gelengkan kepala.
“Habis laki you minum air apa? Air longkang.” Puan Suria bercekak pinggang. Zila tersengih.
“Tak mengapalah. Saya yang sediakan minuman pagi. Biskut dekat pantry masih ada lagi atau sudah tinggal sisa. Dalam ofis ini hanya ada seorang yang kuat melantak” Batrisyah mengerling ke arah Zila. Zila mencebik. Tahu sangat kata-kata Batrisyah itu ditujukan kepada dia.
“Jangan risaulah biskut you masih ada satu tin penuh lagi Risyah. I cuma usik satu tin saja.” balas Zila selamba.
“Saya tidak kisahlah. Sekurang-kurangnya biskut yang saya beli tidak membazir.” Batrisyah tersenyum lalu menuju ke pantry. Zila membuntuti dari belakang. Bahu Batrisyah dipegang lembut.
“Biar aku bantu kau.” Ligat Zila membuka penutup botol Nescafe. Batrisyah menjerang air panas.
HABIS mesyuarat Batrisyah bersandar lesu pada kerusinya. Sakit punggung duduk tiga jam dalam bilik mesyuarat. Encik Zulkifli bila sudah bercakap punyalah panjang lebarnya sampai Azam dan Fadhil menguap berkali-kali. Zila pula siap menongkat dagu dengan muka separuh bosan. Puan Suria dan Encik Asmadi saja yang tahan mendengar bebelan Encik Zulkifli. Batrisyah sendiri juga bosan dengan mesyuarat jika makan masa berjam-jam lamanya. Begitulah reaksi pekerja-pekerja di Lavender’s Associates bila duduk dalam bilik mesyuarat.
Azam dan Fadhil sudah kembali ke meja masing-masing menyiapkan tugasan yang masih tertangguh. Hilang terus mengantuk mereka di dalam bilik mesyuarat tadi. Zila menghilang ke biliknya bersama fail-fail akaun. Batrisyah duduk mengadap komputernya yang masih tidak disentuh. Ada juga beberapa surat yang perlu dia taipkan segera untuk ditandatangani Encik Zulkifli. Esok ketuanya itu sudah berangkat ke Terengganu bagi menghadiri mesyuarat projek di sana. Encik Asmadi pun akan turut pergi bersama. Surat-surat itu pula hanya boleh ditandatangi oleh Encik Zulkifli atau Encik Asmadi. Baru saja jemari runcing Batrisyah ingin menekan papan kekunci, telefon atas mejanya berdering. Batrisyah merungut kecil lantas mengangkat ganggang telefon.
“Assalamualaikum…Batrisyah ke?” Batrisyah seakan kenal dengan suara tersebut. Dia mengerutkan dahi. Ku Izham…bisiknya perlahan. Ku Izham adalah abang iparnya. Suami kepada kakaknya Syakila.
“Waalaikumsalam…apahal call Risyah ni? Mana abang dapat direct line ke bilik ofis Risyah?” balas Batrisyah. Bagaimana pula Ku Izham dapat nombor telefonnya. Tak mungkin dari Syakila pula. Syakila tidak pernah menyimpan nombor telefon dia baik telefon pejabat atau telefon bimbitnya. Mati dia kalau Syakila tahu Ku Izham menelefonnya. Bukan dia tidak kenal dengan sikap Syakila yang kuat cemburu!
“Sorrylah if abang mengganggu Risyah. Abang minta nombor Risyah pada Qais. Abang ada hal penting nak minta tolong Risyah.” suara Ku Izham seperti orang bermasalah. Tentu masalah abang iparnya itu agak berat. Siapa lagi yang akan memberikan masalah pada Ku Izham kalau bukan kakaknya
“Hal apa yang abang nak minta tolong dari Risyah? Risyah akan cuba bantu apa yang terdaya.” Tak patut pula kalau dia tidak mendengar masalah yang dihadapi oleh Ku Izham.
“Susahlah abang nak cerita dengan Risyah dalam telefon ni. Apa kata lunch time nanti abang datang ke ofis Risyah. Boleh ke Risyah?”
Batrisyah diam sejenak. Otaknya berputar ligat. Tidak ada salahnya jika dia keluar bersama Ku Izham. Ku Izham abang iparnya. Abang iparnya itu perlukan pertolongan dari dia. Tiada sebab Syakila perlu cemburu. Yang penting dia tidak buat apa-apa kesalahan.
“Baiklah. Abang tahukan Restoran Kak Rose yang berdekatan ofis Risyah. Abang tunggu Risyah kat situ. Tidak perlu kita keluar jauh-jauh.” Batrisyah menyatakan persetujuannya.
“Terima kasih Risyah.” Ku Izham menarik nafas lega. Batrisyah saja satu-satunya harapan yang dia ada. Dia yakin Batrisyah akan membantunya.
Tidak sampai sepuluh saat Batrisyah meletakkan ganggang telefon. Telefon atas mejanya itu berdering lagi. Batrisyah mengetap bibir. Siapa pula pemanggilnya kali ini.
“Hello…Assalamualaikum.”
“Hai, sayang. Busy ke?” suara Syed Ibtisyam dalam talian.
“Saya tidak akan menjawab panggilan yang tidak tahu beradab.” Batrisyah hempaskan ganggang telefon.
Bagi salam tak jawab pula. Orang timur yang beradab kebaratan. Syed Ibtisyam bukan boleh dilayan sangat. Tiga suku! Telefonnya berdering lagi. Batrisyah membiarkan saja. Tangannya ligat menekan papan kekunci. Deringan itu akan behenti bila pemanggilnya sudah jemu. Tepat jangkaan Batrisyah. Telefon atas mejanya itu senyap setelah belasan kali berdering.
Jangan harap dia akan melayan panggilan dari Syed Ibtisyam. Batrisyah bukan berlagak. Dia juga bukan gadis yang memilih. Namun dia tidak mahu hatinya terluka untuk kesekian kalinya oleh cinta. Bukan dia tidak mencari cinta lain selepas kecewa dengan Ashraf dua tahun lalu. Acap kali dia yang akan dikecewakan. Batrisyah serik! Lebih-lebih lagi dia sukar melupakan cintanya pada Ashraf. Apatah lagi dengan pengkhianatan yang Ashraf berikan.
“Berilah si Ib itu peluang Risyah?” Puan Suria tiba-tiba muncul depan mejanya. Batrisyah mencebik bibir. Untuk apa? Syed Ibtisyam bukan jenis lelaki yang serius dalam perhubungan. Teman wanitanya bersilih ganti. Batrisyah tidak mahu terlibat dalam soal hati dan perasaan.
“Aik....sejak bila akak jadi orang tengah si buaya tembaga itu pulak?” Batrisyah mengalih pandang menatap skrin komputernya.
“You gelar Ib buaya tembaga? Tak patut betul you ini Risyah. Ib itu baik orangnya. Kalau tidak…dia tidak akan duduk kerusi pengarah dekat syarikat daddy dia.”
“Baik apanya kalau hari-hari keretanya block belakang kereta saya. Alasan korup dia, tempat parkir kereta penuh.” Gerutu Batrisyah. Puan Suria ketawa kecil. Kerap dia dengar Batrisyah membebel pasal Syed Ibtisyam yang suka cari fasal. Syed Ibtisyam pula memang suka menyakat Batrisyah. Ada saja akalnya untuk buat gadis tinggi lampai itu meradang. Sesekali Puan Suria akan masuk campur bila keadaan menjadi keruh. Faham-faham sajalah dengan sikap panas baran Batrisyah.
“Ib suka nyakat you saja Risyah. Sebabnya dia sukakan you. Cuba you control sikit panas baran you itu. Janganlah bila asyik berjumpa you dengan dia nak bertekak. Macam anjing dengan kucing.”
“Tiada perkataan berdamai untuk kami berdua kak.” Cebik Batrisyah. Hilang mood untuk menyambung kerja bila nama Syed Ibtisyam menjadi topik perbualan. Batrisyah mengemas kertas-kertas kerjanya yang berselerakkan atas meja. Lebih baik dia keluar makan tengahari lebih awal. Seminit lagi jarum pendek pada jam tangannya akan menunjukkan pukul satu. Batrisyah mencapai telefon bimbit dan beg tangannya.
“Jarang you keluar lunch, Risyah? Ada apa-apa ke ni?” Puan Suria bertanya.
“Ada date with my brother in law. Akak nak join sekaki ke? Handsome jugak orangnya. Mana tahu boleh akak boleh jadi bini nombor dua dia. Risyah tidak kisah jadi adik ipar akak. Akak pun dah lama menjandakan.” Batrisyah mengusik.
Puan Suria menjegilkan matanya ke arah gadis itu. Batrisyah ketawa. Pantas dia meloloskan diri dari Puan Suria. Dia melambaikan tangan pada wanita itu lalu menuju ke pintu keluar. Puan Suria mendengus kecil. Batrisyah…Batrisyah…Apa salahnya kau buka sikit pintu hati kau untuk Syed Ibtisyam itu. Sampai bila kau mahu keraskan hati kau pada cinta lelaki?
“ASSALAMUALAIKUM. Sorry Risyah…abang lewat sikit. Tersangkut dengan kesesakan sedikit tadi. Faham-fahamlah time lunch ni.” Ujar Ku Izham lembut. Dia tarik kerusi yang bertentangan dengan adik iparnya itu. Matanya tidak berkelip memandang gadis ayu yang bertudung biru air laut itu. Gadis itu secantik kakaknya.
“Waalaikumsalam. Never mind. Risyah tidak menunggu lama di sini.” Balas Batrisyah. Bertuah Syakila punya suami seperti Ku Izham. Lelaki itu amat baik dan memahami. Tidak mudah melenting dengan perkara-perkara yang remeh.
“Madam Sya tahu ke abang jumpa Risyah ni?” Ketawa Ku Izham mendengarnya. Batrisyah sesekali pandai bergurau biarpun gadis itu adakalanya berwajah agak serius.
“Tak…abang tak beritahu dia pun. Abang sebenarnya rasa serba salah nak cakap masalah abang ini pada Risyah. Tapi abang benar-benar terdesak Risyah. Abang tak tahu nak adu pada siapa lagi.” Kalau dia beritahu Syakila yang dia bertemu dengan Batrisyah pastinya isterinya itu akan mengamuk. Syakila takut benar yang Batrisyah akan merampas suaminya ini. Syakila bersikap keanakan!
“Jika tidak terlalu berat mungkin Risyah boleh membantu. So bantuan apa yang abang mahukan dari Risyah?” Batrisyah menongkat dagu.
“Begini…abang ada beli kondominium dekat-dekat area Cheras. Maklumlah sebelum ini kami hanya menyewa pangsapuri sejak berkahwin. Teringin juga mahu ada rumah sendiri. Masalahnya sekarang wang untuk duit muka kondo itu pula yang tidak mencukupi. Mulanya memang abang dah sediakan duit secukupnya tapi kakak kau perlukan duit untuk pulangan model bagi produk kecantikkan yang dia jual. Kau sendiri pun tahu macam mana sikap Syakila. Boros berbelanja. Duit gaji kerja dia abang tidak pernah usik sesen pun tahu.” Jelas Ku Izham.
“Wah! Diam-diam beli kondo ya. Bestnya…Risyah cuma mampu beli rumah teres biasa je. Maklumlah Risyah tidak bergaji besar seperti abang.”
“Tapi sekurang-kurangnya Risyah ada kehidupan Risyah sendiri. Rumah ada. Kereta ada. Kerja pun okay.”
Batrisyah mengorak senyuman. Ya dia punya kehidupan sendiri tapi dia kesunyian. Tiada seorang teman setia berada di sisinya. Perasaan itu disimpan jauh dalam lubuk hati Batrisyah.
“Berapa yang abang perlukan lagi untuk duit muka kondo tu?”
“Dalam RM 10,000.00 lagi. Abang janji abang pulangkan semula duit yang abang pinjam pada Risyah.” Raut wajah Ku Izham penuh mengharap.
Batrisyah memakukan matanya pada Ku Izham. Jumlah yang cukup besar juga. Bukan mudah mahu mengumpul wang sebanyak itu.
“Abang tidak memaksa. Abang tidak marah jika Risyah tidak dapat membantu. Jumlah yang abang minta itu bukan sedikit.” Ku Izham menundukkan sedikit kepalanya. Sebelum ini pun Batrisyah sudah banyak membantu.
Seorang pelayan hadir dengan minuman dan makanan yang dipesan. Batrisyah menghadiahkan sekuntum senyuman kepada pelayan itu dan memberikan ucapan terima kasih. Ku Izham masih gelisah di tempat duduknya. Dia tidak punya alternatif lain dalam waktu terdekat ini.
“Baiklah. Risyah akan bantu abang.” Batrisyah memberi kata putus. Dia menyedut perlahan air tembikai dalam gelas besar itu.
“Abang tak salah dengar ke Risyah?” Berkelip-kelip mata Ku Izham bagaikan tidak percaya apa yang telinganya dengar sebentar tadi. Wajah yang sebentar tadi malap menjadi ceria.
“Iyalah. Risyah akan bantu. Tapi janji bayar balik wang Risyah pinjamkan itu. Bayar sikit-sikit pun tidak mengapa.”
“Terima kasih Risyah. Terima kasih…..Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Ku Izham kegirangan. Dia tahu Batrisyah tidak mungkin akan menghampakan dia. Batrisyah gadis yang tidak kedekut dengan wang ringgit.
“Terima kasih saja tidak cukup tau. Lunch hour ni abang kena belanja Risyah ye. Boleh jugak Risyah berjimat sedikit.” Seloroh Batrisyah.
“No problem. Tapi Risyah kena makan banyak-banyak sikit. Abang tengok Risyah ni makin kurus. Kurus sangat tak berapa cantik Risyah. Suami nak peluk pun kena fikir dua tiga kali.”
“Siapalah nak kahwin dengan Risyah yang jahat ni. Majlis perkahwinan sendiri pun Risyah lari. Memalukan keluarga pulak tu.” Suara Batrisyah mendatar.
“Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan, Risyah. Mungkin ada hikmah di sebalik perkara yang berlaku. Pada abang, Risyah gadis yang baik. Abang tahu Risyah menyembunyikan sesuatu. Tapi Risyah kena fikirkan masa depan Risyah juga.”
“Ermmmm…Risyah tidak kisah jadi andartu asalkan orang yang Risyah sayang bahagia. Lagipun menyemak kepala otak saja fikirkan pasal kahwin ni. Hidup seorang lagi senang tau.” Batrisyah ketawa kecil.
Itulah jawapan yang sering keluar dari bibir Batrisyah. Dia lebih mementingkan kebahagiaan orang lain dari kebahagiaannya sendiri. Kau terlalu baik untuk dilukai Batrisyah. Tapi sampai bila Batrisyah? Sampai bila kau ingin berkorban? Lelaki bodoh sahaja tidak lihat ketulusan hatimu Batrisyah. Hati kecil Ku Izham berbisik.
btol 2 risya.
ReplyDeleteptotnye pker diri sndri dulula br pker org lain..
xsalah nak wat baik,tp jgnla telampau baik sangat..
overdose tau?
alahai
ReplyDeletebaiknya risya ni....
abg ipar die tu betol2 ke atau ade udang di sebalik mi??
ReplyDeleteabng ipar dia nii . hmmm. memang rapat ngn batrisya ke? ingatkan tak baikkk ngn sya
ReplyDeletewou...tersentuh hati ni,Risyah...cian..seperti lilin menerangi malam,,,
ReplyDelete