Tab Menu

Followers

Friday, October 26, 2012

Enjit-Enjit Semut - Bab 1

Ehem...kembali dengan versi baru.

Kisah romantik komedi Jan dan A'an 



TENDANGAN bayangan maut! A’an mempraktikkan gear kakinya menendang pokok pisang di belakang rumahnya itu. Bongok (bodoh) betul pokok pisang itu tidak bergerak langsung. Kau yang bongok (bodoh) A’an. Pokok pisang memanglah tidak bergerak sekalipun kau cantas dia. Luyai pokok pisang itu dikejarkan A’an. Empat orang jin ifrit (merujuk pada adik-beradik tiri A’an) yang berada di hadapannya itu sekadar menelan air liur berkali-kali. Apakah mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti pokok pisang itu? Itupun nasib baik tidak buat gaya lipat-lipat dia macam filem Ninja Assassin kegemaran dia tu. Sebabnya mudah, A’an pakai kain batik. Kenalah control sikit ye tak? Budak empat ekor itu menekup mulut masing-masing. Tahan ketawa.

            Amukkan A’an makin menjadi-jadi dengan kenakalan empat orang jin ifrit itu. Sudahlah hatinya masih sedih pasal dia kena buang kerja gara-gara bagi mamat yang konon hensem itu minum air cuci lantai. Tidak sampai satu minggu bekerja sudah dipecat. Balik kampung kena bebel panjang dengan Opah. Mamat yang konon hensem itu yang mulut macam longkang siapa suruh? Bukan salah dia pun walau mamat itu tidak melakukan gangguan seksual. Padanlah muka dengan muka dia minum air ‘istimewa’ yang dia buat. Rasakan! Hati tengah panas. Empat orang jin ifrit pulak buat lawak antarabangsa dengan dia. Dia sedap tidur untuk melupakan kedukaan di hati tetapi budak empat orang itu boleh conteng-conteng muka dia jadi Pandawomen. Sebijik tau. Hitam legam bulatan pada keliling mata dia. Sungguh budak empat orang itu ada jemari kesenian yang menyeleweng. Kurang asam segala asam empat orang jin ifrit tu. Buat pedajal dengan dia.

            “Korang empat orangmemang nak kena belasah dengan akak kan?” A’an pandang muka empat orang jin ifrit itu satu persatu. Nasiblah rotan yang dia beli telah patah kelmarin. Kalau tidak seorang demi seorang punggungnya kena sebat.

            “Siapa suruh akak tidur mampus. Kita orang lapar tahu. Opah takder, akak tu asyik buat tahi mata saja bukan nak masak.” Hadif bertindak sebagai ketua kepada adik-adiknya bersuara. Dia tersengih menunjukkan barisan giginya yang rongak.

            Menyeringai A’an merenung Hadif yang berusia 12 tahun ke bawah itu. Dalam geng empat orang jin ifrit itu, Hadif adalah jin yang paling cerdik dan pandai berkata-kata. Yang tiga orang lagi tu hanya mengikut telunjuk saja.

            “Amboi! Dah tak sayang mulut ye.” Apa lagi A’an pulas telinga capang Hadif. Menjerit kesakitan kawan tu. Sakit siot. A’an pulas kuat-kuat.

            “Sakit! Sakitkah akak!” Adu Hadif.

            “Tahu pun sakit. Hah! yang tiga orang tu apa yang korang dok tercegat lagi. Mari Sini akak pulas telinga korang sorang-sorang.”

            Budak lagi tiga orang itu gelengkan kepala. Mereka menyorok di belakang Hadif.

            “Pandai buat salah maka pandailah korang tanggung akibatnya ye. Apa korang ingat muka akak ni kertas lukisan.” A’an menunjalkan jari telunjuknya pada seorang demi seorang. Dengan budak empat orang  itu tak boleh bagi muka. Hari-hari bikin onar. Kalau kepala dia yang tidak pening, kepala Opah pulak yang pening.

            Emak cuma pandai beranak lepas itu tinggalkan anak-anak dengan suaminya barunya itu dengan dia dan Opah. Mak lari ikut laki kesayangan dia entah menghilang ke pelusuk benua mana. Meradang A’an bila kena tipu bulat-bulat dengan emak. Konon nak tumpangkan sekejap! Rupanya nak tinggalkan untuk selama-lamanya. Ada surat hitam putih sebelum mak cabut lari. Kalau tinggalkan harta tak mengapalah jugak. Bengang tahap impak maksima tahu!

            “Kak A’an. Maafkan kami…maafkan kami…maafkan kami…” Empatorang jin ifrit itu susun jari nyanyi lagu ‘Maafkan Kami’ macam dalam cerita Pendekar Bujang Lapok. Barisan lagu itu yang mereka tahu.

            “Ooo…Takut ye. Takder maaf bagi korang empat orang! Dengan segala hormatnya akak perintahkan korang empat orang duduk dalam jamban sampailah matahari terbenam.”

            Budak empat orang itu saling berpandangan. Kurung dalam jamban? Eeiiii…busuk. Kalau dengan dalam kandang Johnny bolehlah tahan lagi.

            “Tak mau! Busuklah akak. Tadi Akim berak tak jirus.” Hannah sudah menekup hidungnya. Hakim tersengih-sengih macam kerang busuk.

            Yang lain anggukkan kepala.

            “Mintak maaflah banyak-banyak adik-adik ku sayang. Segala surat menyurat tidak akan dilayan.” A’an mengoyang-goyangkan jari telujuknya.

            “Ada tahi. Tak naklah. Baik duduk dengan Johnny. Bersih sikit.” Celah Asmawi pula.

            “Pergi masuk dalam jamban cepat!”

            “Kak…ada tahi! Busuk!”

            “Pergi cepat!”

            “Tak nak!” Balas budak empat orang itu serentak. Terketap-ketap bibir A’an. Berani ye nak melanggar perintah Tuan Puteri A’an ini.

            “Masuk!” A’an meninggikan suaranya. Terjegil biji mata. Kecut perut empat orang jin ifrit tadi. Ligat mereka membuka langkah berlari masuk ke dalam jamban belakang rumah itu.       

            A’an mana pernah mahu berbaik-baik dengan adik-beradik tirinya itu. Dia lari kerja dekat Kuala Lumpur pun sebab tidak tahan dengan perangai budak-budak tu. Sakit anak tekak kena jerit saban hari. Kalau tidak budak-budak tu tak makan saman punya. Telinga sentiasa buat pekak badak. Itu sebab Opah yang kerap kena buli. Tapi sekarang A’an allergic nak jejak kaki ke Kuala Lumpur dah. Ada cerita tersendiri. Nantilah-nantilah kita buka balik ye. Rezeki ada di mana-mana. Iron Lady macam dia bukan tahu reti duduk diam. Macam-macam kerja dia boleh buat. Nak kerja lebih bagus dia ada PMR aja. Dia tidak setanding dengan Peah atau nama sebenarnya Sephia. Peah ada SPM. Sebut pasal Peah, mesti A’an geli anak tekak dengan anak Mak Eton ngok ngek yang perasan lawa sesangat dalam kampung Parit 4/6L ini. A’an pernah tarik-tarik rambut dengan Peah. Biasalah kes rebutkan Aizam, anak Tok Sidang yang ada motorsikal TZM tu. Jejaka hitam-hitam manis. Sungguh hitam di pandang manis. Bukan calang-calang tau. Budak Uitm dekat Shah Alam. Rebutan anak-anak gadis di kampung termasuklah A’an sekali dalam senarai.

            A’an mengeluh panjang. Ingat petang nanti di nak ke gerai Kak Oni. Sambung balik buat nasi lemak dan kuih-muih hantar kat gerai Kak Oni. Nak harapkan bendang yang tak sampai sekangkang kera itu, berapa senlah yang dapat. Nak jual Johnny dia tak sanggup. Johnny satu-satunya kekasih hati yang dia ada. Mbekkkkkkk….dengar suara Johnny memanggil bergegas A’an buka kaki. Mesti Johnny lapar nak makan rumput. Kesian Johnny aku. Hari-hari makan rumput. Nantilah Johnny kalau ada duit nanti aku bagi kau makan mewah sikit. KFC ke? Mc Donald ke? Burger King ke? Mereng otak si A’an ni.

Di balik takbir kota pulak….

“MAK tak kira Jan. Mak mahu Jan kahwin dengan Zetty jugak!” Tekan Puan Rubiah. Dia kerling si anak terunanya tajam. Jan buat muka selamba dia sambil bermain-main dengan pen di tangan. Lantaklah emak mengamuk sakan ke apa. Nak hempas meja dan kerusi dalam bilik pejabat itu pun tidak mengapa. Macam kata budak Aiman dalam corong radio tu. Aiman tak kisah. Jadi Jan pun tak kisah. Bukan harta orang lain. Harta sendiri jugak.

“Apa susahnya. Mak suruh sajalah Abah yang kahwin dengan Zetty. Abah ada kuota lagi tiga di belakang yang kosong.” Jan memberikan cadangan bernas buat bondanya. Boring tahu tak asyik buka pasal kahwin ni. Calonnya tak ada orang lain melainkan Zetty anak Pak Akob tu. Menyeringai Puan Rubiah dengan kata-kata Jan.

            “Abah kau kalau nak kahwin lagi satu kena langkah mayat mak dulu.”

            “Kalau abah kahwin lari ke Siam bukan mak tahu pun. Hati-hati mak. Abah tu nampak aja diam-diam ubi tapi berisi tau. Mak kan asyik sibuk dengan persatuan wanita mak. Abah kesunyian. Tiada orang nak jaga makan minum macam Jan jugaklah. Balik rumah abah tengok muka Jan…Jan tengok muka abah. Itupun bahaya juga mak. Takut abah dengan Jan terpesong dari laluan.” Jan memberikan nasihat. Dalam hati ketawa bagai nak rak sebab mengenakan emaknya. Emakkan sayang bebenor pada abahnya. Bukannya boleh dengar abahnya ada skandal dengan perempuan lain. Pecah pinggan mangkuk jenama Arcopal di dapur tu. Sampai Kak Misya dengan Kak Alin pun takut bila emak dirasuk Penunggu Gunung Raya.

            “Terpesong apanya Jan. Kau tu anak jantan. Takkan jadinya haruan makan anak tu.” Desis Puan Rubiah.

            “Mana mak tahu anak haruan yang di makan tu jantan atau betina? Entah-entah anak jantan pun dia makan mak.”

            Puan Rubiah mengetap bibir. Aik! Nampak gaya topik perbualan sudah berubah arah ni. Jan nak mengelak lagi. Sebut pasal Zetty saja mesti dia akan cuba ubah tajuk. Hantu punya anak!

            “Jangan kau nak mengarut dengan mak. Mak cakap pasal engkau bukan pasal abah engkau.”

            “Mak ni suka main paksa-paksa oranglah. Karang orang lari dari rumah kang baru mak tahu.” Membuntang besar anak mata Puan Rubiah dengarnya. Acap kali sebut nama Zetty saja mesti Jan ugut nak lari dari rumah. Tapi masih tak lari-lari pun anak terunanya yang seorang itu.

            “Berani sangatlah kamu nak lari rumah Jan. Toksahlah kamu nak ugut mak lagi. Kamu ingat mak takut dengan ugutan bodoh kamu tu.” Puan Rubiah menjuihkan bibirnya. Jan ketawa.

“Mak tak bestlah anak teruna kena paksa kahwin ni. Macam ala-ala Sabariah cerita Ibu Mertuaku pulak. Salahnya Jan ni lelaki Sabariah tu perempuan. Dah la Zetty montel. Penyek Jan kena hempap!” Omel Jan. Tak berkenan sungguh kalau isu kahwin diungkitkan. Macam dia kemaruk sangat nak berbini. Emaknya pun satu apa yang best sangat pada Zetty montel tu. Si minah tu makin hari makin montel Jan tengok. Nak ngap lepas kahwin nanti pun tak berseleralah. Orang nak slim sikit. Gebu pun okay. Terbuka jugalah selera lelakinya.

“Apa pun alasan Jan, mak tak terima. Hujung minggu tunang. Akhir bulan Jan kahwin dengan Zetty!” Nah! Puan Rubiah anak Haji Sulaiman sudah menetapkan keputusan. Jan tak boleh bantah.

So tak boleh nak buat sms lagilah ni.” Jan menongkat dagu. Dia mengorak senyuman. Tak tergugat dengan kata-kata emak sebentar tadi. Ini anak lelaki beb! Bukan anak perempuan. Sah-sah Jan akan bikin plan baik punya buat bonda tercinta. Emak yang cari pasal dulu ye.

“Sms dah ditutup!” Puan Rubiah hentak tangan atas meja. Jan mesti ikut cakap dia. Dia tahu Jan sayangkan dia.

“Orait! Mak buat persiapan semua. Jan ikut sajalah.”

“Betul ke Jan? Mak tak salah dengarkan?” Soal Puan Rubiah bagaikan tidak percaya dengan kata-kata anak terunanya itu. Terkedip-kedip mata bonda yang pakai bulu mata palsu tu. Biasalah emakkan peminat bulu mata Rozita Che Wan.

“Mak pekak badak tak?” Jan pulak yang menyoal.

Puan Rubiah menjegilkan biji mata. Bulat besar macam mata ikan emas. “Kalau mak tak pekak betullah tu. Jan pun tak sabar-sabar nak duduk atas pelamin.” Jan mengiakan. Kena buat lonjak-lonjak sikit bagi emak percaya. Kang dia syak lain pulak kalau buat muka tahap blur. Emak pulak jenis cepat sangat percaya bulat-bulat. Itu yang bagus sangat tu.

“Sekarang juga mak kasi tahu dengan abah kau!” Gembira tak terkata emaknya itu dengar kata persetujuan dari anak terunanya ini. Bergegas Puan Rubiah mengatur keluar dari bilik pejabatnya. Iyalah, diakan anak yang paling suka melawan kata emak. Sepatah emak cakap dua puluh patah dia jawab. Jan hanya senyum memanjang.

Jan bersandar pada kerusi eksklusifnya. Esok dia akan berikan berita paling gempak buat emak dan seisi keluarga. Agak-agak masuk surat khabar ke? Kalau masuk bertambah haru-birulah keluarga Encik Mokhsin. Jan ketawa mengekeh. Siapa suruh emak cari pasal dengan dia. Tak bagi kertas hitam putih.

“Amboi Jan! Senyum-senyum kambing.” Muka Safuan tertonggok di muka pintu.

Kus semangat! Mamat seorang ni tak tahu nak bagi salam dulu. Main terjah je. Sudahlah muncul ikut suka hati dia. Macam dia jugak. Safuan bukan orang lain dengan dia. Satu ofis dengan dia jugak. Bezanya dia pangkat atas sikit dari Safuan. Bukan senang nak jumpa kawan macam dia yang ada otak gila-gila remaja. Ada masa-masa tertentu saja Jan berlagak serius. Bila naik angin habis satu pejabat dia mengamuk sampai mengaum-gaum cam singa mati bini. Macam ada satu kes seminggu yang lalu. Ada minah cleaner yang bengap bagi dia minum air cuci lantai. Mujur tak meninggal. Pecat dua puluh empat jam! Ala pejabat bapa saudara diakan…

“Jom! Kita melepak!” Ajak Safuan. Bosan gila dalam bilik pejabat yang air-cond dua puluh empat jam itu. Beku otak. Safuan sudah duduk bersilang kaki di hadapan Jan.

“Melepak tengorak kau. Aku ada appointment dengan Miss Jane pukul dua beb! Inilah masanya aku nak tackle amoi seksi ala-ala Zhang Yi Yi tu. Malam nanti boleh ajak dinner.” Terbayang muka Jane dalam kepala Jan. Kecur air liur bila teringatkan pinggul Jane yang montok gitu.

“Kau memang gatal!”

“Aku memang gatal.” Akui Jan. Siapa kata lelaki tak gatal kalau nampak perempuan seksi jamu mata. Gatal tau. Tapi Jan gatal ala kadar. Tak mahulah lebih-lebih sangat. Bahaya!

“Memang elok pun mak kau jodohkan kau dengan Zetty montel. Baru padan dengan muka kau.” Safuan ketawa. Janlah yang buat tokok tambah montel di belakang nama Zetty. Montel-montel Zetty anak gadis Pak Akob tu putih melepak macam Zizie Izetti.

“Aku heran dengan kau, Jan? Emak kau asyik paksa kahwin dengan Zetty montel kau boleh duduk relaks aja. Kau dah boleh terima budak Zetty itu ke?” Safuan mengusap janggut ciputnya.

            “Kau curi dengar ye!” Jan mengoyangkan jari telunjuknya. Safuan tersengih. “Kau ingat aku bongok sangat ke nak terima Zetty jadi bini aku. Aku saja main acah-acah dengan mak aku. Lagipun aku dah punya plan baik nak buat gempak tahap boleh buat kau ketawa berguling-guling punyalah nanti.” Jan angkat-angkatkan keningnya.

            “Ini yang lagi syok aku nak dengar ni. Apa plan kau yang baik bangat kau dah buat Jan?” Safuan sudah tidak sabar.

            “Aku nak lari dari rumah.” balas Jan bersahaja. Safuan memberliakkan biji mata sebesar-besarnya. Jan buat lawak antarabangsa Ujang ke? Tapi bila tengok muka Jan, mamat seorang tu macam serius habis. Mungkin kali ini Jan tak main-main. Tidak lama kemudian terburai tawa Safuan. Nasib baik dalam pejabat. Kalau tidak boleh ketawa bergolek-golek.

No comments:

Post a Comment