Perjanjian…
FIRDAYU menongkat dagu memandang Nenek yang sedang khusyuk mengait. Entah apalah yang sedang neneknya itu kaitkan. Tak nampak apa pun hasilnya. Macam kait bodoh-bodoh aja. Peliknya Nenek begitu menumpukan perhatian sekali. Firdayu menarik nafas panjang. Nenek menyuruh dia pulang. Katanya nak bagi wasiat keramat pada Firdayu. Ingatkan perempuan tua itu nak mampus rupanya hidup lagi. Sihat walafiat. Sungguh kurang ajar cucunya ini. Tapi dari semalam Nenek tidak berkata apa-apa lagi dengannya. Dia mula tidak senang duduk. Bengang pun ada. Jika sekadar untuk mempermainkan dia baik dia tidak perlu pulang ke vila keramat Nenek. Sudahlah besar menakutkan pulak dengan hiasan-hiasan antik Nenek. Vila sebesar ini hanya ada empat penghuni. Nenek ditemani Pak Mamat yang muka sebijik macam penjenayah salah laku, Kak Jenab pula jenis suka beliakkan biji mata bila bercakap dan Atan budak yang ada sakit senyum tak henti-henti itu. Dimarah dengan teruk pun Atan boleh senyum. Tak ke sakit budak seorang itu? Orang-orang pelik ini sanggup duduk bersama Nenek yang cukup cerewet dengan mulut tidak berinsurans. Menggerunkan! Jauh di pendalaman pula. Banyak nyamuk dan unggas.
Jika bukan kerana wasiat keramat itu tak ingin dia jejakkan kaki di vila keramat nenek. Babah kata Nenek beria-ia benar ingin menemui cucu kesayangannya ini. Setahu dia, babah bukan menantu pilihan Nenek. Sejak bila pula Nenek sudah berbaik dengan babah? Lagi-lagi Nenek memang tidak sebulu dengannya. Nenek wanita tradisional dan dia gadis serba kemodenan. Perempuan tua itu banyak tipu muslihatnya. Firdayu kena berjaga-jaga.
“Yue…” Nenek memanggil nama manjanya. Firdayu tersentak. Ingatkan orang tua itu sudah menjadi bisu. Hari ini baru keluar suara. Berhari-hari dia duduk di situ sepatah perkataan pun Nenek tak keluarkan suara. Orang tua itu membisu saban waktu. Nenek memang menguji kesabarannya.
“Ingat nenek dah bisu dengan Yue. Yue tahulah Yue cucu nenek yang paling kurang ajar. Tidak sebulu dengan nenek tak macam cucu kesayangan nenek yang berbelas-belas orang tu.” desis Firdayu. Nenek ketawa kecil. Firdayu memang jenis bercakap terus-terang tanpa bersembunyi. Firdayu tidak pandai berpura-pura.
“Mari duduk dekat nenek Yue.” Nenek memanggil Firdayu lembut. Tersentak gadis itu. Sejak bila nenek tiba-tiba baik begini. Buang tabiatkah orang tua ini? Malas-malas Firdayu merapati neneknya. Nenek memalit senyuman manis. Firdayu benar-benar sudah menjadi gadis yang jelita. Sejelita wajah ibunya. Rasa menyesal kerana pernah menghalau anak perempuannya suatu ketika dahulu. Gara-gara tidak setuju berkahwin dengan lelaki bukan pilihannya. Biasalah orang-orang tua dahulu. Kalau marah pun bukannya lama. Sejuk juga hati tuanya. Sayang Firdayu tidak mewarisi sifat ibunya. Sikap yang buat babahnya pening kepala saban waktu.
“Nenek jangan nak bermain muslihat dengan Yue. Yue tahu selama ini nenek bukannya sukakan Yue dan babah.” Firdayu pandang wajah yang kian dimakan usia itu. Nenek sudah berusia 70 tahun tapi Nenek masih tampak sihat dan kuat. Nenek tertawa lagi. Firdayu begitu berwaspada. Memang dia punya muslihat meminta Firdayu pulang ke pendalaman. Tapi Nenek tidak bermuslihat jahat pada Firdayu. Nenek akan menggunakan segala kepintaran yang ada untuk memerangkap Firdayu. Nenek mahu mengajar Firdayu!
“Yue memang bijak membaca fikiran nenek.”
“Mestilah….sebab Yue warisi darah nenek jugak.”
“Yue…nenek makin dimamah usia. Nenek tidak tahu entah bila masanya mata nenek ini akan terpenjam rapat. Harta nenek bertimbun-timbun tapi apa gunanya harta jika nenek masih hidup kesunyian. Anak-anak dan cucu-cucu nenek tidak hiraukan nenek lagi. Mereka sudah punya keluarga sendiri. Apa yang mereka mahukan dari nenek cuma harta. Nenek tahu Yue tidak sukakan nenek bukan? Nenek bencikan ibu bapa Yue tapi jauh di sudut hati nenek, masih ada kasih sayang untuk mereka. Tentu Yue tidak tahu ibu Yue adalah anak yang paling nenek sayangi. Memang nenek kecewa dengan ibu Yue kerana dia memilih babah Yue sebagai calon suami dia. Yue…semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka termasuklah nenek. Ego nenek memang tinggi hingga sanggup menghalau anak sendiri kerana tidak mahu menurut kemahuan nenek. Rasa kesal tetap ada di hati nenek saat ibu Yue meninggalkan vila ini. Nenek turut merasai kepedihan di hati setelah kehilangan ibu Yue. Nenek buangkan keegoaan dan bertemu dengan babah Yue. Nyata babah Yue seorang lelaki yang pemaaf walaupun luarannya nampak seperti lelaki yang kasar. Nenek yang silap tidak mahu mengenali babah Yue. Babah Yue berkahwin dengan ibu Yue bukan kerana harta mahupun rupa tapi kerana ketulusan dan kelembutan seorang wanita yang ada pada ibu Yue. Nenek juga tahu Yue langsung tidak pandang harta yang nenek miliki. Yue wanita bekerjaya dan punya segala-galanya dengan usaha Yue sendiri. Tapi disebalik kejayaan Yue…Yue masih kekurangan sesuatu dalam hidup Yue.” Panjang lebarnya mukadimah Nenek.
Firdayu mengerutkan dahi. Apa yang kurang dalam hidupnya pula. Setahu dia tiada apa yang kurang. Kalau ada kekurangan pun dia hanya tidak mempunyai seorang ibu di sisinya. Mengingati ibu…Firdayu akan rasa sedih. Rasa kesal Nenek tidak akan dapat menghidupkan semula ibunya.
“Nenek…straight the point. Nenek cakap saja apa yang nenek mahu dari Yue. Yue bukannnya boleh lama-lama duduk di vila usang nenek ni. Menyeramkan.” Firdayu memeluk tubuh dan saja-sajalah buat mengigil satu badan. Nenek ketawa.
“Apa salahnya kalau nenek bermukadimah dulu sebelum nenek straight the point macam kata Yue tadi.” Nenek pun dah pandai ajuk cakap orang putih.
“Sahlah ini mesti ada pakatan dengan babah. Sejak babah baik dengan nenek apa kata nenek dah meresap masuk dalam telinganya. Bercakap dengan Yue pun mesti ada nenek. Nenek ni….”
“Mesti Yue nak cakap…sikit-sikit nenek…sikit-sikit nenek…sikit-sikit nenekkan…” Belum habis cakap nenek sudah mencelah. Tepat pulak terkaan orang tua itu.
“Tahu pun.”
“Umur Yue sekarang dah berapa?”
“Apa kena pulak umur Yue dengan nenek ni? Janganlah berbelit-belit dengan Yue.”
“Yue….” Nenek mulalah mengerlingnya tajam.
“Dah nak masuk 27 tahun.” Cukup tak berkenan kalau nenek merenung macam nak menelan dia hidup-hidup.
“Dah patut kahwin tu Yue.” Nenek melirik senyuman yang buat Firdau rasa menyampah sangat ingin melihatnya.
Boleh agak dah apa yang muslihat nenek dengan babah. Ini mesti pasal dia tak kahwin-kahwin lagi. Apa yang nak kecoh sangat pasal dia tak berkahwin. Bukannya dia menyusahkan orang lain. Buat apa kahwin kalau lelaki-lelaki yang nak dijodohkannya itu tidak setaraf dengan dirinya. Dia tidak mahu lelaki yang berada di bawahnya baik segi pelajaran mahupun gaji. Babah selalu saja adakan sesi suai kenal dengan lelaki-lelaki pilihannya. Semuanya Firdayu tolak bulat-bulat. Sampai babah dah naik fed-up dengan sikap memilihnya yang satu ini. Jumpa yang kaya tak kacak pula. Jumpa yang kacak tak kaya pula. Jadi dia lebih suka bermain-main dari bersikap serius dalam soal percintaan.
“Menyibuklah nenek ni.” Mulut Firdayu mula muncung sedepa. Benci sangat kalau soal kahwin dibangkitkan. Kalau tak kahwin pun Firdayu tidak heran. Dia punya segala-galanya.
“Hahahaha…nenek nak buat pertaruhan dengan Yue. Itupun kalau Yue berani sahut cabaran dari nenek.” Nenek sudah mengatur strateginya.
“Pleaselah nenek…. Jangan buang masa Yue dengan benda-benda yang mengarut.” wajah Firdayu mula menjadi kelat.
“Nenek tak buang masa Yue. Nenek takkan paksa Yue tapi nenek tahu Yue pantang dicabar bukan?” Nenek bingkas bangun dari kerusi malasnya. Dia menuju ke arah almari antik yang tidak tahu dari kurun ke berapa itu. Sebuah fail hitam dikeluarkan.
“Hmmmmm. Kalau menarik Yue akan pertimbangkan.” Firdayu merenung tajam Nenek. Jika pulangannya lumayan apa salahnya kan. Lagipun Firdayu memang pantang kalau dicabar.
“Dalam fail ini ada surat perjanjian dan syarat-syaratnya untuk Yue. Kalau Yue berani Yue kena sain agreement ini dengan nenek.” Terangkat-angkat kening nenek.
Firdayu mencapai fail yang dihulurkan Nenek. Perlahan-lahan dia menyelak isi kandungan dalam fail tersebut. Bulat mata Firdayu melihat butir-butir yang ditulis kemas oleh nenek. Tidak lama kemudian dia mengetap bibir. Bengang.
“Nenek sudah gila ke buat syarat mengarut begini!” Firdayu mencampakkan fail tersebut atas meja. Nenek ketawa kecil. Nenek tetap akan berusaha hingga Firdayu bersetuju dengan syaratnya. Nenek peluk bahu Firdayu lembut.
“Yue…syarat yang nenek berikan terlalu mudah. Yue cuma kena cari cinta dalam masa 566 hari. Jika Yue gagal maka segala harta benda milik Yue akan menjadi milik nenek dan sekiranya Yue berjaya maka segala harta nenek akan menjadi milik Yue. Yue sanggup? Lagipun gadis secantik Yue masakan susah untuk memikat hati lelaki.” Nenek mengumpan.
Firdayu mengusap dagu. Mencari cinta dalam masa 566 hari. Macam mana dia mahu dapatkan cinta dalam masa 566 hari. Lelaki mana yang tahan dengan perempuan cerewet dan banyak karenah seperti dia. Lagi tak tahan dia jenis mengikis habis-habisan. Lepas diikikis dia akan ucapkan ‘Good Bye’ pada setiap pasangannya yang dipermainkan. Ingat cari cinta ini macam cari kain baju ke? Gila! Nenek sudah gila! Tapi…ada tapinya juga. Tawaran Nenek cukup lumayan pada Yue. Dia memang dah punya harta dan dia boleh menambah harta lagi. Biar padan muka dengan cucu-cucu Nenek yang lain itu. Firdayu ketawa besar dalam hati. Dia mula membayangkan kemewahan yang bakal dia miliki.
“Baiklah…Yue setuju. So apa syarat-syarat seterusnya.” Firdayu mengulum senyuman penuh makna. Dia mula menyilangkan kakinya.
Nenek melirik senyuman lebar. Umpan sudah mengena!
tahniah ats novel anda...tapi....cerita terrrrramatla dahsyat...muak kerana teramatla jahat watak utama....diulg2 bnd yg sama....pape pon,keep improve...ganbatte!!
ReplyDelete