2 tahun kemudian…
DI sebuah Kompleks Komersial. Dua orang pereka muda sedang menongkat dagu memerhati lelaki gemuk bertubuh pendek yang sedang meneliti hasil rekaan mereka. Hampir tiga jam mereka memanaskan punggung di situ namun batang hidung orang ditunggu masih tidak nampak. Pereka yang berambut panjang itu sudah bermuka cemberut. Ikutkan hati mahu saja dia cekik-cekik lelaki gemuk bertubuh pendek itu. Dari tadi asyik suruh mereka menunggu saja. Pemuda yang berambut ala-ala pelakon Leonardo Caprio itu mengusap-usap belakang temannya. Dia tahu temannya itu sudah panas hati.
Berbotol air mineral sudah diteguk. Rasa tidak cukup memadamkan kepanasan dalam hati mereka. Benci betul jika berurusan dengan orang tidak menepati waktu ini. Janji pukul dua tapi kini sudah pukul empat petang. Mereka berbulat tekad. Jika pukul lima orang itu tidak juga tunjuk muka, mereka angkat punggung. Tidak kisah kalau tidak dapat bekerjasama di syarikat rekaan ternama itu.
“Mr. John…sampai bila kami perlu menunggu. Kenapa Mr. John saja tidak buat keputusan.” Si rambut panjang bersuara.
“I bukan ketua di sini. I hanya diarah untuk melayan you.”
“Tiga jam kami sudah menunggu. Kami masih ada banyak kerja lain lagi nak buat.” desis temannya.
“Sabar orang muda.” Dia cuba menenangkan dua pemuda itu. Mr. John mengesat peluh di dahi. Dia sendiri tidak mengerti mengapa ketuanya lewat sebegini. Dia sudah menghubungi pembantu peribadi ketuanya. Mereka dalam perjalanan.
Bunyi tapak kasut tumit tinggi buat mereka yang berada di bilik itu terkesima. Mr. John melirikkan senyuman di bibir.
“She’s coming!” ujarnya.
Pintu bilik itu terkuak. Seorang wanita jelita berpakaian serba hitam melangkah masuk. Seorang lelaki muda berkaca mata putih mengekori di belakangnya. Dia mengambil tempat duduk dengan menyilangkan kedua belah kakinya. Lelaki muda itu sekadar berdiri di sisinya.
Ternganga mulut kedua pemuda itu melihat wanita di hadapan mereka itu. Mereka tidak berupaya untuk mengeluarkan suara tika ini. Mr. Joh merapati ketuanya sambil menunjukkan rekaan di tangannya. Wanita itu menepis. Dia merenung tajam kedua pemuda terbabit.
“Perkenalkan diri kamu.” suara halusnya membuatkan kedua pemuda itu menelan air liur. Wanita itu bukan saja jelita tetapi bersuara lunak merdu sekali.
“Saya Zen dan teman saya ini Kiran.” Agak gugup yang bernama Zen itu membalas.
“Saya Firdayu. Dan ini pembantu peribadi saya Kid. Selamat bekerjasama.” Firdayu menghulurkan tangannya. Kedua pemuda itu saling berpandangan. Mereka mengukir senyuman di hujung bibir. Zen menyambut huluran itu begitu jua dengan Kiran.
“John uruskan perjanjian dengan mereka. I perlu bergerak sekarang.” Firdayu bingkas bangun. Dia melangkah keluar diikuti oleh Kid.
Firdayu melihat jam di tangannya. Sempatkah dia mengejar masa untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Langkahnya dipercepatkan. Dia sudah berjanji akan menjemput Philip sebaik saja lelaki berketurunan dari Philipina itu tiba di Malaysia. Kalau tidak ada berlaku kekecohan di Fashion Show Bukit Bintang tadi pasti dia tidak kelewatan begini.
Pintu kereta dibukakan oleh Kid. Firdayu meluru masuk ke dalam Mercedes Benznya. Kid duduk di tempat pemanduan. Kunci kereta dipulas. Perlahan-lahan Mercedes Benz itu meluru laju keluar dari tempat parkir kereta.
“PHILIP!” Firdayu melambaikan tangan ke arah seorang pemuda yang baru keluar dari pintu utama. Pemuda berwajah kacukkan itu membalas lambaiannya. Mereka saling membalas senyuman. Keduanya beriringan jalan menuju ke kereta.
Firdayu membawa temannya di sebuah restoran eklusif di ibu kota. Mereka bergelak ketawa sambi berbual mesra. Kid hanya menjeling dari tempat duduk yang tida jauh. Dia yakin Firdayu dan Philip punya perhubungan yang istimewa. Pastinya mereka berkenalan ketika Firdayu mengadakan pertunjukkan fesyen di sana. Di mana saja wanita jelita itu jejakkan kaki ada saja teman baru yang dikenalinya.
“See you tomorrow.” Firdayu melayangkan ciuman deangan kedua belah jarinya kepada Philip. Philip tersenyum manis. Mereka berpisah setelah Firdayu menghantar Philip di hotel.
Berseri-seri wajah Firdayu ketika berada di dalam kereta. Kid hanya membisu menumpukan perhatian ketika memandu. Firdayu merengus kecil dengan sikap tidak layan Kid. Lelaki itu sukar menunjukkan perasaan pada wajah kakunya. Sungguhpun tiada apa yang menarik pada Kid…dia masih memiliki sepasang mata yang cantik di sebalik kaca mata putihnya itu.
“Kid…Apa pendapat you dengan Philip?” Firdayu menyoal.
“Cik Firdayu tanya pendapat saya?”
“Habis siapa lagi yang ada di dalam kereta ini?” Soalan berbalas soalan.
“Saya takut pendapat ikhlas nanti Cik Firdayu akan masam muka dengan saya. Rasanya bukan sekalu dua Cik Firdayu tanya pendapat saya tentang teman-teman lelaki Cik Firdayu. Agak-agak yang ini teman lelaki Cik Firdayu yang ke berapa?”
“I tanya sikit panjang pula you jawab. I sendiri tidak ada rekod catatan I sendiri so I tak tahu dia teman lelaki I yang nombor berapa.” Firdayu memintal-mintal rambut ikalnya.
“Kalau sudah sampai calon ke lima puluh saya akan berikan hadiah special untuk Cik Firdayu nanti.”
“You perli I.” rengus Firdayu.
“Siapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya. Kenapa? Cik Firdayu terasa dengan kata-kata saya ke?” Pertanyaan Firdayu mengenai Philip dibiarkan tergantung.
Firdayu mencebik. Mujur saja tumpuan Kid terarah pada jalan. Kalau bertentangan muka ketika bercakap dengan Kid pasti dia akan melihat mimik muka Kid yang kaku itu. Apa yang berada di dalam Kid sukar untuk Firdayu tafsirkan. Tapi bila membidas kata-kata serahkan pada Kid. Nampak saja pendiam tapi mulut berbisa.
Bibirnya mengulum senyuman. Antara pembantu peribadi yang bekerja bersamanya sebelum ini tidak ada yang punya daya tahanan yang kuat macam Kid. Boleh dikatakan semua kerja yang Kid buat begitu teliti. Kid tidak mudah melatah dan bijak menangani masalah yang ditimbulkan oleh dia sendiri.
“Cik Firdayu jangan lupa esok ada shot iklan minyak wangi dengan Encik Faizal.”
“Apa you ingat I dah nyanyuk nak you ingatkan I berulang-kali.” desis Firdayu. Amarah juga dia apabila kerap sekali mengingatkan dengan kerjanya untuk esok. Kalau dia tidak ada pun Kid boleh uruskan sendiri. Bukannya Kid tidak pandai untuk kelentong dan putar belit cerita pada Encik Faizal itu. Sekadar iklan minyak berapa senlah sangat belanjanya. Modelnya pun bukannya model famous! Lainlah kalau ambil Erra Fazira ke? Tidak pun Nasha Aziz. Ada juga wajibnya dia tunjuk muka.
“Apa pun alasan…Cik Firdayu kena hadir juga.” tegas Kid. Bila ada yang tidak kena, dia juga akan dipersalahkan. Ada saja komennya nanti dari bibir merah merekah itu. Kid orang utama kena tadah telinga. Pekerja lain pasti saja sudah menyorok belakang dia bila perempuan seorang ini meradang dalam ofis.
“Tengoklah kalau I tidak bangun sampai matahari tegak atas kepala.”
PINTU kereta itu dihempaskan sekuat hati. Sengaja dia berbuat sedemikian. Kid sekadar memerhati. Dia tidak ambil hati dengan tindakan kurang sopan Firdayu. Siapalah diakan? Dia hanya seorang kuli pada wanita jelita itu. Bukan setakat kuli buat kerja-kerja di ofis malah kuli dengan kerja-kerja di rumah agam itu. Dia orang yang serba guna pada Firdayu.
“Esok you tidak payah jemput I. I akan pergi sendiri!” Firdayu melangkah masuk ke dalam rumah agamnya. Kid gelengkan kepala. Kalau sudah Firdayu cakap begitu, tandanya Firdayu sudah merajuk dengan dialah tu.
Sebaik saja berada dalam rumah, Firdayu terus saja merebah diri atas sofa. Letih sehari suntuk dia terpaksa bekejar ke sana dan ke mari. Sehari suntuk dia tidak mengadap budak-budak di ofisnya. Semestinya budak-budak itu akan bersorak gembira dengan ketiadaan dia. Tidak mengapa, esok dia akan minta laporan dengan Luqman. Kalau ada kerja yang tidak siap nahaslah budak-budak itu nanti!
Mana babah? Tidak nampak pula batang hidung babah malam ini. Selalunya babah akan menunggu dia di ruang tamu sambil menonton berita lewat malam. Babah tidur awal agaknya malam ini. Terasa haus pula tekak ni.
“Kak Tun!” laungnya. Panggilannya tidak disahut. Firdayu merengus kecil. Ke mana pula orang gaji yang seorang ini? Selalunya bila dipekik dan dilolong orang gaji itu akan laju mencari dia. Firdayu mengerling jam di dinding. Patutlah! Sudah pukul tiga pagi.Wajarlah babah tidak menunggu dia. Kak Tun dan Pak Din pun sudah dilamun mimpi indah.
Firdayu bingkas bangun menuju ke ruang dapur. Peti ais dibuka. Sekotak susu segar dikeluarkan. Dia mencapai gelas lalu menuangkan susu segar ke dalam gelas tersebut. Segelas susu segar diteguk hingga habis. Bunyi telefon bimbitnya bergema di ruang tamu. Entah siapalah yang menelefon pagi begini. Malas-malas dia mengangkat telefonnya.
“Helo!”
“Sayang…you belum tidur lagi.” Firdayu sudah mengenali si pemanggil sebaik sahaja mendengar suaranya.
“Datuk…I memang nak masuk tidurlah ni.” Firdayu saja-saja buat menguap. Malas dia mahu melayan orang tua itu pagi-pagi begini. Badannya pun sudah letih. Dia ingin belayar di atas tilam empuknya sambil dibuai mimpi indah dari melayan orang tua yang tidak sedar diri ini.
“Sorry kalau I mengganggu you. Good night!” Talian diputuskan. Firdayu melepaskan nafas lega. Dia bingkas mencapai beg tangannya lalu menapak ke anak tangga.
No comments:
Post a Comment