CINTA itu tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi, cinta itu membawa penderitaan, tetapi tidak pernah berdendam, tidak pernah membalas dendam. Di mana ada cinta di situ ada kehidupan, manakala kebencian tu hanya membawa kepada kemusnahan.
SIAPA pula yang bagi dia kad jemputan kahwin harum semerbak ini? Tiada setem di situ. Sah kad ini dimasukkan oleh tuan yang empunya diri. Siap ada kata-kata yang meremang bulu roma dia. Nampak sangat kata-kata itu ditulis dengan dakwat pen basah. Ala ini mesti salin dalam internet. Kata orang putihnya copy and paste! Sue buka sampul kad tersebut. Bulat anak mata Sue tengok gambar yang terletak molek di hadapan kad jemputan kahwin tersebut. Bagaimana pula Irfan dapat alamat rumahnya? Terketap-ketap bibir Sue. Ini mesti ada yang bocorkan rahsia. Kalau boleh apa jua berkaitan lelaki itu dia tidak ingin ambil tahu. Dia tak kebulurlah kalau tak berkahwin dengan pramugara Air Asia itu.
Kebencian bawa kemusnahan. Boleh blah! Ambik kau. Dari aku membenci kau lebih aku tanam kau dalam kubur. Puas hati aku! Berani sungguh kau menjemput bekas kekasih kau ini ke majlis perkahwinan kau. Dia renyuk-renyukkan kad jemputan kahwin tersebut. Kemudian dia matanya terarah pada tong sampah berdekatan. Entah mengapa dia merasa ragu-ragu untuk membuang kad jemputan kahwin itu.
Ermmm…Apa salahnya aku datang ke majlis perkahwinan Irfan. Kalau aku tidak datang maka sudah jelas yang aku masih tidak boleh lupakan dia. Nanti dia fikir aku datang untuk tuntut hutang dengan dia pula. Tapi aku dah cakap pada dia yang aku sudah halal duit yang dia pinjam. Akukan baik hati. Sue bermonolog sendiri.
Sue kembali membelek kad jemputan kahwin yang sudah renyuk tu. Dia sedang membilang tarikh dalam kepala. Malah tahu kot-kot tarikh perkahwinan Irfan tersangkut dengan majlis orang lain. Sue mengukir senyuman. Esok juga dia akan tempah tiket bas untuk ke Alor Star, Kedah. Senyuman Sue mati seketika. Dia mana pernah jejaki kaki Kedah. Bukan setakat rasanya hampir separuh Semenanjung Malaysia ini dia tak jejak lagi. Pulau Pangkor pun dia pergi masa hari keluarga tempat kerja abah. Johor pula masa kahwin adik perempuan dia. Macam mana kalau dia sesat nanti? Saudara-mara mana ada di kedah.
“Hi Sue! Baru balik kerja ke?” tegur Kak Tun jiran depan rumah.
“A’ah! Bergaya sakan ni nak pergi mana Kak Tun?”
“Biasalah Sue…pergi dating.” Tanpa segan Kak Tun memberitahu.
“Cepat-cepat kahwin Kak Tun. Boleh Sue makan nasi minyak.”
“Insya-Allah…Kak Tun pergi dulu Sue.” Kak Tun melambaikan tangan pada Sue.
Sue membuka manga jenis heavyduty pada pintu pagarnya. Buka saja pintu, Ben seperti biasa sudah sedia menanti. Sue mengangkat tubuh Ben sambil menutup pintu. Dia kerling pada bekas makanan Ben yang sudah kosong. Sehari 3 kali Ben melantak. Tiada sisa yang Ben tinggalkan dalam bekas makanannya itu. Licin…
Alamak! Sue menepuk dahi. Dia belum mengejarkan solat Asar lagi. Sibuk sangat di tadika tadi. Sue mengerling jam di dinding. Alhamdulillah masih ada lagi waktu asar. Sue bergegas ke bilik air. Ben dia letakkan atas kusyen. “Walau sibuk macam mana sekali pun kita, solat itu harus kita utamakan. Solat itu tiang agama.” Pesan emak dan abah yang sentiasa diingati. Jangan bila kita susah baru kita mahu menghadap Tuhan.
Di atas sejadah Sue berdoa untuk kedua orangnya. Semoga abah dan emak dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Amin…Sue membuka telekung di kepala. Dia merenung siling memikirkan sesuatu. Bunyi suara Ben yang mengiau di luar bilik mengejutkan Sue. Lupa yang dia belum memberikan Ben makan bijirinnya. Bisinglah kucing dia yang seekor itu. Adakalanya Ben juga akan tunjuk perasaan.
“Lapar ye….” ujar Sue sebaik dia membuka pintu biliknya.
Meow…Meow…Ben seakan faham dengan kata-kata tuannya itu. Sue menuangkan bijiran di dalam bekas makan Ben. Ligat Ben meratah bijirannya. Lapar sangatlah tu. Padahal satu bekas penuh dia isi sebelum pergi kerja. Ben memang kuat makan! Esok-lusa kalau tak boleh bangun salahkan diri sendiri ye Ben.
“Ben…aku dapat kad jemputan kahwin dari Irfan tau. Kau rasa aku patut datang ke majlis perkahwinan dia?” Sue sudah mula berbicara dengan Ben.
Dia jeling Ben yang sedang enak menikmati makanannya. Ben buat tidak peduli saja. Sue rasa bengang. Apa lagi dia tarik telinga Ben sampai kucing itu menjerit. Kalaulah Ben pandai bercakap memang masuk WORLD BOOK OF RECORD.
Sue merapati rak yang penuh dvd filem dan drama-drama kegemarannya. Dia capai satu dvd yang tidak pernah sekali dia jemu untuk menontonnya. Dhoom 2 lakonan hero kegemaran Sue. Siapa lagi kalau bukan Hrithik Roshan. Itu hero hindustannya. Kalau hero latin dia suka Carlos Daniel dalam siri telenovela La Usurpadora. Si duda anak dua yang cukup maco. Sebelum layan Hrithik Roshan punya cerita kena sediakan biskut dan minuman kesukaan dia Milo, anda jadi sihat dan kuat.
“KALAU I berada di tempat you, tak ingin I pergi menziarahi si Irfan tu. Buang karan!” desis Kak Sayang.
“Ala…saya cuma nak makan nasi minyak aje.” balas Sue.
“Nak makan nasi minyak sampai pergi Kedah! I boleh boleh masakkan nasi minyak untuk you, Sue.” Bukannya susah nak masak nasi minyak kalau kena dengan rencahnya.
“Nasi minyak orang kahwin ni lain rasanya kak.”
“Lain apanya pulak. Sama aje Sue. You sebenarnya yang gatal nak bersua dengan bekas kekasih you itu. Dia just nak sakitkan hati you. Dia nak tunjuk yang dia hebat!”
Sue tersengih. Dia tidak hairanlah dengan kehebatan Irfan yang bakal menjadi raja sehari itu. Apa yang hebat sangatnya pun kalau bersanding atas pelamin. Itupun kalau rumahtangga Irfan bertahan. Kalau runtuh memang dia akan gelak bergolek-golek. Astaghfirullah…tak baik Sue mendoakan orang begitu. Biarlah dia buat kau menangis tertonggeng siang dan malam. Asalkan bukan kau yang sakiti hati dia. Doakan kebahagiaan dia.
“Saya bukan apa teringin nak tengok calon isteri dia. Lebih cantik dari saya tak? Al-maklumlah diakan hensem ala Ashraf Sinclair tu.” Terangkat-angkat kening lebat Sue. Dia ada juga rasa bangga ketika bercouple dengan Irfan dulu. Teman-teman memuji kekacakan Irfan. Sekarang tidak lagi!
Kak Sayang gelengkan kepala. Sue…Sue…Sue…keras kepala! Kenapa tidak dicari saja pengganti yang lain. Kumbang di taman bukan seekor. Lebah ada! Tebuan pun ada! Lagi hebat dari kumbanglah Sue. Sue pun kuntuman bunga yang cantik. Bunga yang sedang mekar di taman larangan. Itu yang Zulhelmy katakan.
“Zulhelmy nak melamar you tapi you tolak dia. I tak tahulah apa yang kurangnya dengan Zulhelmy tu.” Kak Sayang melepaskan keluhan. Sue boleh tolak mentah-mentah jejaka pujaan gadis itu.
“Tolonglah…” Sue mengangkat kedua belah tangannya. “Sue tak sukalah mamat yang perasaan bagus macam Encik Zuhelmy Bin Mukhlis tu. Ingat kita perempuan mata duitan ke? Sudahlah suka perli orang. Pandang hina pada orang yang naik pengangkutan awam macam saya. Saya tahulah dia ada kereta BMW.”
“Dia ingin belikan you kereta you jual mahal. Beruntung dapat kahwin lelaki kaya macam dia tau.” Kak Sayang memang sudah lama hendak kenenkan Sue dengan Zulhelmy. Zulhelmy anak kepada teman baik Datin Sofea. Zulhelmy pun memang sukakan Sue yang low profile.
“Sakit jiwalah mamat tu!” gumam Sue. Kak Sayang ketawa kecil.
Bercinta dengan lelaki yang hensem pun tak kena. Bercinta dengan lelaki yang tak hensem pun tak kena. Emak asyik bising bila dia asyik putus cinta. Emak kata dia kena mandi bunga. Mengarut betul kata-kata emak itu! Macam dia kemaruk sangat ingin berlaki. Orang kampung pula kaki sibuk. Suka jaga tepi kain orang. Kain sendiri tak tahu nak ambil tahu.
“So you akan pergi jugalah ni?” soal Kak Sayang.
Laju Sue anggukkan kepalanya. Dia MESTI pergi. Walau ribut taufan sekalipun dia akan jejakkan kaki di majlis perkahwinan Ifran. Dia mahu Irfan lihat betapa bahagianya dia dengan perpisahan mereka.
“Saya sudah beli tiket untuk ke Alor Star. Saya pergi sendirian.”
“Beraninya you pergi sendiri. Apa kata I suggestkan Zulhelmy ikut bersama you.” Dia hanya mahukan keselamatan Sue terjamin. Sue tu perempuan. Bahaya berjalan jauh seorang diri. Labih-lebih lagi Sue yang bukan kaki berjalan itu. Kalau sesat nanti siapa yang susah.
“Dari saya bawa si Zulhelmy itu…lebih baik saya bawa Ben. Keselamatan saya lebih terjamin.” gerutu Sue. Mengapalah nama Zulhelmy itu yang asyik meniti di bibir Kak Sayang.
“Sue…Ben tu kucinglah sayang. Dia mana boleh nak jaga keselamatan you.” Kak Sayang menghela nafas kecil. Susah kalau bercakap dengan Sue ini. Ada sahaja jawapan bernas yang keluar bibir nipis Sue.
Kalau lelaki bertanya sudah ada yang punya atau belum? Dengan selamba si Sue menjawab sudah ada. Siapa orangnya? Ben! Nama kucing itu juga yang paling atas. Nak kata Sue anti lelaki mungkin ada sikit kot.
“Zulhelmy itu pula buaya kelas satu. Buaya dengan kucing mana satu akak lebih takut? Jawapannya tentulah buayakan. Buaya mana boleh jaga keselamatan saya. Danger kata orang putihnya.” ujar Sue bersahaja.
Kak Sayang ketawa mengekeh. Sampai hati Sue mengatakan Zulhelmy buaya kelas satu. Kalau lelaki itu dengar kecik hati dia tau. Kak Sayang tahu Sue tidak sukakan Zulhelmy kerana satu kes yang tidak disengajakan. Zulhelmy pun garang sangat pada Sue sampai buat gadis itu mengalirkan air mata depan orang ramai. Puncanya kecil. Sue tertumpahkan ais krimnya pada pakaian Zulhelmy. Kemudian dia memperkenalkan Zulhelmy dengan Sue pula. Zulhelmy hulurkan salam perkenalan namun Sue menolak keras. Zulhelmy pula rasa tidak puas hati dengan sikap tidak layan Sue. Dalam pada masa yang sama dia tersangkut pada Sue yang kononnya berhati dingin.
“Okaylah kita berbalik pada topik perbualan utama kita. Macam mana dengan tawaran I itu? You setuju tak?”
“Satu malam saya tidak tidur kerana memikirnya kak. Demi nak memperbaiki bumbung dapur rumah di kampung yang sudah bocor maka saya bersetuju dengan tawaran akak itu.” Rugi tahu kalau menolak. Bukan senang nak dapat tempahan yang lumayan begitu. Dia juga sudah memberitahu emak dan emak akan membantu. Senyum Sue sampai ke telinga.
“Betul ni?” Kak Sayang menyoal Sue sekali lagi.
“Betul…tapi Sue nak duit muka dulu.” Ini peluang Sue untuk memperluaskan perniagaan kraftangan maniknya. Dia perlukan modal yang cukup untuk membuka sebuah kedai.Itu angan-angan mat jenin Sue.
“No problem. Janji you setuju.” Kak Sayang boleh menarik nafas lega. Dia akan khabarkan berita baik ini kepada Datin Sofea nanti.
betul tu Sue...pegi je...
ReplyDeleteyap setuju sangat.... jgn tunjuk yg kita lemah...
ReplyDeletecepat y sambung
ReplyDeletebest...nak lg...he..he..he..
ReplyDelete