Tab Menu

Followers

Sunday, March 20, 2011

Saya Kan Ada...- Bab 1

“PAK WE kamu apa khabar, Sue.” Emak tiada orang lain yang mahu ditanya selain mamat yang sedang sedap-sedap melingkar atas kusyen itu. Sue menghela nafas kecil. 

            “Si Ben tu baik-baik aje emak. Badannya makin dipam-pam.” balas Sue. Apa saja hal berkenaan dengan Ben harus dilaporkan pada emak. Rasanya emak lebih jaga kebajikkan Ben dari anak gadisnya ini. 

Ben kucing yang emak syor untuk temankan dia dikala sunyi. Kucing yang adakalanya dia tidak dapat membezakan warna bulunya dengan kerusi makan. Pernah juga dia terduduk Ben. Maaf! Memang tidak disengajakan. Mengaum Ben waktu itu. Dia pula bukan jenis yang pandang atas dan bawah, kiri dan kanan. Berdesing telinga kena marah dengan emak pasal Ben. 

“Baguslah. Emak bukan apa Sue, Ben tu anak yatim piatu. Nasib Ben macam emak yang tiada kasih sayang dari ibu bapa dari kecil. Bukan macam kamu. Kamu ada mak dan abah.”

Mulalah emak buat drama syahdunya. Taktik emak suruh dia balik kampung bawa Ben. Ben yang emak rindu bukannya dia. Sue garu kepala yang tidak gatal. Dia baru balik kampung dua minggu yang lalu. Duit dalam kocek ini sudah keringlah emak. Minyak sudah naik. Tol sudah naik. Kalau dia naik basikal tak tahulah berapa hari akan sampai ke kampung yang jauh nun di Teluk Intan, Perak itu. 

“Hujung bulan nanti Sue baliklah dengan Ben. Emak don’t worry. Segala keperluan Ben cukup Sue sediakan. Insya-ALLAH sedikit masa lagi Ben boleh masuk Malasyia book of record.”

“Kamu perli emak ye.”

Sue ketawa kecil. Dia kerling Ben yang masih lena diulit mimpi itu. Boyot sungguh perut Ben. Apa tidaknya, hari-hari makan makanan berkhasiat. Sakit sikit pastinya dibawa berjumpa dengan doktor haiwan. Kalau tidak cukup duit emak yang akan salurkan ke akaun banknya. Dia dengan emak memang sukakan kucing. Masa kecil dulu dia bukan boleh tengok kucing terbiar di tepi jalan. Dia angkut bawa balik. 

“Emak…Sue nak keluar ni.”

“Kamu baru putus dengan…apa nama budak lelaki tu? Emak lupa pula nama dia.” 

“Irfanlah nama dia. Emak ni karang Sue kata nyanyuk marah pulak.” 

“Emak bukan nyanyuk tapi lupa. Maklumlah emak memang menyampah sangat dengan budak Irfan tu. Kamu jangan lupa apa yang dia buat pada kamu. Memalukan kaum kerabat kita tahu!” Keras nada suara emak.

“Sue tidak pernah lupa emak. Okaylah emak. Kirimkan salam Sue pada abah. Assalamualaikum.”

Ganggang telefon itu diletakkan setelah emak membalas salamnya. Kenapalah emak perlu ingatkan dia pasal Irfan lelaki yang tidak tahu diuntung itu. kecewa sungguh dia dengan Irfan. Sakit hatinya bagai ditusuk beribu jarum peniti. Kalau Irfan ada depan mata akan dicincang lelaki itu sampai lumat. Siapa yang tidak sedih bila majlis pertunangannya dibatalkan last minute. Tuhan sahaja yang tahu betapa malunya dia. Pedih telinga kena basuh dengan emak dan adik-beradik yang lain. Abah hanya membisu. 

Satu kampung heboh cerita dia tidak jadi bertunang. Orang kampung biasalah suka cerita yang ada hiburan sensasi. Tambahan pula kalau cerita itu melibatkan anak-anak dara kepada Mak Siti dan Pak Dolah ini. Saat itu hati Sue tidak berbelah bagi lagi untuk memutuskan perhubungan dia dengan Irfan. Meskipun lima tahun mereka bercinta, Sue rasa masa yang dia berikan pada Irfan adalah sia-sia. Lelaki itu lebih mementingkan kerjayanya sebagai pramugara. 

Dia rasa macam bodoh sangat. Separuh duit dalam simpanan dia habiskan untuk membantu Irfan. Konon mahu membuka kedai makan. Habuk pun tarak. Irfan hanya menipunya. Kalau emak tahu dia bagi duit pada Irfan haru jadinya. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Sue simpan rahsia sendiri. Irfan punya pasal dia terpaksa tukar nombor telefon. Pujuklah rayu macam mana pun minta maaflah dia mahu kembali pada Irfan. Dia pun tidak kemaruk hendakkan lelaki kacak macam Irfan. 

Sue mencapai beg sandangnya. Dia perlu keluar menghantar barang yang dipesan oleh Kak Sayang. Perniagaan kraftangan kecil-kecilan yang dia jalankan melalui internet. Alhamdulillah ada jua hasil jualan yang dia perolehi. Gaji bekerja sebagai guru tadika tidaklah sebesar mana. Dia perlu cari alternatif lain untuk mendapatkan wang lebih. Dalam kepala ini ada juga angan-angan ingin membuka kedai menjual barangan kraftangan.

“SAMPAI hati korang buat reunion tak jemput aku.” Sedih bunyi nadanya. Terkilan hati bila dengar Marlia kata mereka buat reunion bekas pelajar tingkatan enam. Dia langsung tiada dalam senarai nama. Dia tahulah dia pelajar yang terkandas masuk IPTA. 

            “Sorrylah Sue. Kami terlupakan kau.”

            Tup! Sue terus matikan talian telefon bimbitnya. Tak payahlah bermuka-muka dengan dia. Dia sedar dia tidak boleh berdiri sama tinggi dengan mereka. Mereka budak U dia pulak hanya budak STPM aje. Sue mengeluarkan novel Ada Cinta hasil karya Rina Fariqz dari beg sandangnya. Rutin yang dia lakukan apabila berada di dalam tren. Baca novel!

            Stesen berikutnya….Kampung Baru! Next station…Kampung Baru! Tren terus bergerak dari satu stesen ke satu stesen. Sue turun pada stesen terakhir. Dia sudah berjanji akan bertemu dengan Kak Sayang di Kelana Jaya. 

            “Sue!” Kak Sayang sudah melambaikan tangan ke arahnya. 

            “Ermm…2 jam 30 minit. Awal 20 minit.” Sue merenung jam sepuluh ringgit yang tersarung apda pergelangan tangannya itu. Dia pernah membeli jam yang mencecah harga tiga ratus ringgit tapi baru pakai sebulan sudah masuk ICU. Ingat jam sepuluh ringgit tidak tahan lasak. Dia sudah pakai dua tahun tau. Bateri sahaja yang kena ditukar ganti. 

            “I tahu you mesti awal 20 minit.”

            Sue tersengih. Mereka cari tempat untuk melepak. Sue menyerahkan beg kertas bergambar kartun Winnie the Pooh itu kepada Kak Sayang. Kak Sayang membelek-belek kotak tisu yang diperbuat dari manik itu. Hasil yang cukup mengagumkan. Datin Sofea mesti suka melihatnya. Wanita itu memuji habis hasil kreativiti Sue itu. 

            “Harga macam biasa ke?” soal Kak Sayang.

            “Ya. Harga macam biasa. Lagi pun datin tu kawan akak kan.” Sue mengangkat keningnya. Dia menghirup Teh O ais limau kegemaran. 

            “Thanks Sue. Ermm…ada kawan akak ingin buat tempahan bakul telur manik you untuk majlis perkahwinan anak perempuan dia. You sanggup tak?”

            “Berapa banyak dia nak?”

            “1,000 pieces. Tempoh yang dia berikan satu bulan dari sekarang.”

            Tersembur air dari mulut Sue. Mak oii! Banyaknya. Sue mula mengira-gira keuntungan yang akan dia perolehi. Kalau dia jual satu bakul telur maniknya RM 5.00 dan kemudian dia darabkan dengan 1,000 biji maka dia akan dapat RM 5,000.00. Bukan senang dapat wang sebanyak itu dalam tempoh sebulan. Tapi mampukah dia menyiapkan dalam masa sebulan. Dia kena bincang dengan emak dan adiknya. Kalau dia seorang tidak terdaya menyiapkannya walaupun satu malam tidak tidur.

            “Bagi saya fikirkan dulu.”

            “Esok you bagi jawapannya.”

            “Okay.” Sue mengenyitkan sebelah matanya. 

            Hasil kraftangan Sue diperbuat dari pelbagai jenis manik. Kemahirannya itu dia belajar dari emak. Gaji yang diperolehi dia gunakan sepenuhnya untuk permulaan modal kraftangan maniknya ini. Sue sanggup ikat perut dan pulun maggi semata-mata untuk menjimatkan perbelanjaan. Apa tidaknya dia juga menanggung kos perbelanjaan Ben, kucing kesayangan emak itu.

SEBELUM pulang, Sue singgah ke PET SHOP membeli makanan Ben. Ben tidak mahu nasi berlaukkan ikan. Kucing seekor ini sudah lupa asal usulnya dari kampung.  Minum pun air susu dalam kotak. Bertuah punya kucing. Dua pek Smart Heart dia letakkan atas kaunter pembayaran. Ben tidak akan makan bijiran lain selain Smart Heart. Cerewet juga kucingnya itu.

            Turun dari LRT STAR, Sue berjalan kaki turun naik tangga. Dia malas menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan. Lima belas minit berjalan  kaki, dia akan sampai di pangsapuri yang dia tinggal. Pangsapuri yang  kononnya terlalu ‘indah’ depan mata. Penghuni-penghuninya juga memang baik-baik belaka. Sue mendongakkan kepala ke atas. Ada benda berkilauan yang sedang laju menjunam. Pranggg! 

            “Ya Allah!” Nasib baik sempat mengelak. Kurang asam. Berderau darah dibuatnya. Kalau kena pasti pecah kepala. Gila ke baling kaca dari atas. Nak bunuh orang ke! Terjegil biji mata Sue. Orang lain yang berada di situ mula mengerumuni dirinya. Ada yang memaki-hamun. Ini mesti kerja budak-budak nakal. 

            Pengawal keselamatan yang bertugas segera menyerbu naik. Jerit pekik membingitkan telinga. Sebaik sahaja pintu lif terbuka Sue terus melangkah masuk. Budak-budak itu harus diajar termasuk dengan ibu bapanya sekali. Pintu lif di tingkat 11 itu terbuka. Sue melangkah keluar. Pengawal keselamatan tadi sedang bertekak dengan ibu bapa budak-budak terbabit. Bukan main lagi mereka mempertahankan anak mereka. Sue mengetap bibir. Kalau manjakan anak itu berpada-padalah. 

            Sue merapati mereka. Satu-persatu dia menampar budak-budak itu. Kemudian dengan selamba dia berlalu pergi. Ibu bapa masing-masing terdiam. Pengawal keselamatan itu hanya memalitkan senyuman. Dia sekadar menjongket bahu. 

            Sebaik sahaja pintu dibuka, Ben sudah menanti di depan pintu. Kucing itu menggesel-gesel kakinya manja. Sue meletakkan makanan Ben atas meja. Dia mengangkat tubuh Ben yang gemuk-gedempol itu. Leher Ben diusap lembut. Sue bersandar pada sofa. Dia meletakkan Ben atas ribanya.  Hidup ini tidak seindah dalam novel yang ditulis. Dalam novel pastinya kisah cinta hero dan heroin akan berakhir dengan ‘happy ending’. Dalam benci akan terbit perasaan kasih dan sayang. Sue menarik nafas panjang. 

Kisah cinta itu adakalanya menyakitkan hati dan adakalanya buat kita tersenyum. Cinta itu mewarnai segala-galanya. Dalam duka pasti ada tangisan. Cintailah seseorang itu melalui kesederhanaan yang dia miliki bukan kerana kemewahan yang dia miliki. Sue bermadah.

7 comments: