Tab Menu

Followers

Thursday, November 3, 2011

Tuan Dan Puan - Bab 1

“KAHWIN! Atuk macam dah jatuh pengsan.” Tok Nadim meletakkan lengan pada dahinya. Kalau dengan anak gadis orang lain dia tidak kisah. Mengapa anak gadis Datuk Sharif Dol menjadi pilihan cucunya? Mengapa mesti Aimy Najwa Binti Sharif Dol itu? Mengapa Aakif? Mengapa?

            Tuan Aakif berwajah tenang. Baru sebut pasal kahwin sudah mahu pitam ke? Bukannya atuk yang mahu kahwin pun tetapi dia. Apa salahnya dia berkahwin dengan anak gadis musuh ketat mereka? Lagipun Aimy itu serba serbi sesuai menjadi suri di hatinya. Dia pun sebenarnya ada hati dengan Aimy. Sejak mereka belajar di universiti yang sama.

            “Abah tak benarkan!” Suara abah bagaikan halilintar. Sakit hati pada penolakkan mama Aimy dua puluh tujuh tahun dulu masih terasa.

            Tuan Aakif sudah dapat meramalkan ada tentangan dari pihak keluarganya. Dia sudah bersiap sedia apa yang perlu untuk menyakinkan mereka. Itupun atas perancangan yang diberikan oleh Aimy. Dalam satu malam dia berfikir sebaik-baiknya tentang isu mendirikan mahligai bersama Aimy ini. Perkahwinan mereka bukan atas kontrak atau paksaan. Mereka suka sama suka.

            “Abah tentu ada baca kisah permusuhan keluarga dalam Romeo and Juliet. Abah tahu kesudahan cerita itukan? Demi cinta yang terhalang mereka sanggup sehidup dan semati. Tragis sekalikan?” Tuan Aakif buat muka sayu.

            Bercantum kening lebat Tuan Aali. Dia tidak tahu-menahu fasal kisah Romeo dan Juliet ini. Apa yang Tuan Aali tahu adalah tentang bisnes untuk menambah harta. Fasal novel dia tolak tepi. Apa yang menarik sangat dengan membaca novel lebih baik membaca buku ilmiah.

            “Apa yang Aakif mengarut ni? Kalau kisah Laila Majnun itu abah tahulah. Kalau kisah orang putih ni abah tak ambil tahu.” Tuan Aali mendengus.

            “Lebih kuranglah abah. Kisah cinta sehidup dan semati. Aakif jadi Qais dan Aimy jadi Lailanya. Ala Romeo and Juliet jugalah. Salahnya mati tak minum racun.” Tuan Aakif cuba manipulasi abah dan atuknya.

            Sudah! Ini yang telinga Tok Nadim tidak sedap mahu mendengarnya. Masakan tidak bagi berkahwin dengan cucu Nenek Halijah itu sampai mahu telan-telan racun. Apa mahu jadilah dengan anak-anak muda sekarang. Ingat nyawa boleh dijual beli. Tok Nadim mengerling anaknya. Tuan Aali masih tegar menyedut cerut di mulut.

            “Tak perlulah kau kaitkan kisah-kisah cinta yang tidak ke mana itu. Abah tak sebodoh yang kau sangka, Aakif. Macamlah abah tak tahu yang kau itu pembaca novel tegar.” Ketegasan Tuan Aali ini yang sukar untuk dipatahkan oleh Tuan Aakif. Dendam cinta masih membahang agaknya. Nasiblah dia tidak botak seperti abah. Kalau tidak mahunya Aimy tidak sudi menerima dia sebagai calon suami yang teratas.

            Tuan Aakif memang ada hobi yang main sembunyi-sembunyi. Dia suka membaca novel. Novel-novel yang dibeli akan disusun kemas di dalam almari bukunya. Tuan Aakif tidak akan turun padang untuk membeli novel sebaliknya dia akan menyuruh pemandunya si Shuib itu yang membelikan untuk dia. Si Shuib yang lurus bendul itu akan mengikut saja arahan yang diberikan. Jatuhlah imej sebagai lelaki maco jika dia sendiri masuk kedai untuk membeli novel kegemarannya.

            Mujur sahaja di syarikat, Tuan Aakif menumpukan perhatian sepenuhnya pada kerja. Mulut Tuan Aakif sukar dikekang. Siapa yang tahan apabila dia mulutnya mula melibas pekerja-pekerja bawahan terutamanya wanita. Boleh dikira berapa ramai pekerja wanita yang behenti di A&A Associates. Malah setiausaha Tuan Aakif merupakan seorang lelaki. Namun jangan anda salah sangka pada Tuan Aakif. Dia bukan dalam kategori gay hanya kerana dia lebih gemar mengambil pekerja lelaki.

            Namun siapa yang menduga yang Tuan Aakif boleh terjatuh cinta dengan Aimy gadis yang tidak berperasaan itu dan sentiasa tampak cool. Tuan Aakif membebel macam mana pun Aimy boleh tadah telinga. Gadis macam ini yang Tuan Aakif cari untuk buat isteri. Kalis peluru.

            “Tapi Aakif mahu kahwin juga dengan anak gadis Datuk Sharif Dol tu?” Bukan abah sahaja yang keras kepala. Anak dia juga sama keras kepala.

            Tuan Aali merenung tajam wajah tampan anak teruna tunggalnya itu.

“MAMA tak benarkan!” Mata Datin Amalia mencerlung anak gadisnya itu. Aimy buat tidak nampak. Dia masih ligat mengupas kulit bawang di tangan.

            “Jika begitu Aimy kahwin lari dengan Aakif. Kami sepakat nak kahwin di Golok.” Balas Aimy bersahaja.

            Terbeliak biji mata Datin Amalia. Datuk Sharif Dol hanya mendiamkan diri. Datin Amalia sudah berikan amaran agar suaminya itu tidak masuk campur dalam perbincangan dua beranak itu. Nek Halijah turut menutup mulut. Perbincangan dari hati ke hati.

            “Kenapa anak si botak itu yang kau jadikan pilihan? Banyak lagi anak teruna di luar sana tu! Kalau mahu mak carikan pun mak tak kisah.”

            “Abah dia yang botak tapi anak dia ada rambut. Mama tidak teringin ada menantu maco macam Aakif ke?” Sengaja Aimy memanaskan hati mamanya.

            Maco? Anak Tuan Aali itu maco? Loya anak tekak Datin Amalia. Dia tidak rela berbesan dengan Tuan Aali. Rasa menyampahnya pada anak lelaki Tok Nadim itu masih ada. Ibunya yang beria-ia mahu dia disatukan dengan Tuan Aali. Demi cinta dengan Sharif Dol,  lautan Mediterranean sanggup diredah. Dia menentang habis-habisan sampai ibunya terpaksa mengalah.

            Kini anak gadisnya pula yang tersangkut kepada anak Tuan Aali. Ada apa pada Tuan Aakif itu. Kekayaan? Harta benda? Dia tidak menafikan anak lelaki Tuan Aali itu memiliki segalanya. Ada rupa, ada stail tetapi yang nampak sempurna itu tetap ada kelemahannya. Lelaki jenis bongkak seperti Tuan Aakif tidak digemari oleh Datin Amalia.

            “Mama tak setuju!” Datin Amalia tetap membangkang.

            “Mama…tak baik menghalang Aimy yang mahu mendirikan masjid ini. Mama tak takut ke kalau-kalau kami melakukan benda tak baik nanti. Kami manusia biasa mama. Maklumlah kalau keluar berdua itu pasti ada yang ketiganya.” Tutur kata Aimy masih lembut dan teratur. Itu hasil didikan dari Datuk Sharif Dol yang mahu anak-anaknya ada tatasusila.

            Datin Amalia terdiam sejenak. Dia tahu kebelakangan ini Aimy agak kerap bertemu dengan Tuan Aakif di luar. Datin Amalia tidak menduga pula yang Aimy boleh bercinta senyap-senyap dengan anak Tuan Aali. Riak muka Aimy bukan senang untuk ditafsirkan apa yang ada dalam fikiran anak gadisnya itu.

            “Mama tetap tak setuju!” Datin Amalia bingkas bangun meninggalkan ruang dapur diikuti oleh papa dan neneknya.

            Aimy memalitkan senyuman di hujung bibir. Kalau plan A tidak menjadi dia akan menggunakan plan B pula.
           
NOMBOR pada telefon bimbit jenis skrin sentuh itu ditekan satu-persatu. Tuan Aakif sudah mati akal dengan kedegilan Tok Nadim dan Tuan Aali. Kedua-dua lelaki seakan nekad tidak membenarkan dia berkahwin dengan Aimy. Dia diuji betul kali ini menghadapi rintangan dari pihak keluarga. Tuan Aakif dapat merasakan yangn Aimy juga punya situasi yang sama dengan dia. Namun dia tahu Aimy seorang yang bijak menangani masalah.

            Aimy seorang yang tidak mudah melatah. Dari kecil lagi Aimy senang didekati tetapi hanya dia yang sukar didekati oleh Aimy. Dia begitu menjaga pergaulan dan kedudukan. Sikap angkuhnya menjadikan dia lelaki jelek di mata teman-teman sekampus dulu. Tuan Aakif tidak ambil peduli pandangan orang di sekeliling. Dia lebih bangga menjadi jolokan umum dengan status yang dimiliki. Anak orang berada. Lain pula dengan Aimy. Gadis itu jenis yang merendah diri dan tidak mengira jenis kawan. Budak yang berpakaian compang-camping pun Aimy buat kawan. Kalau dia minta dijauhkan. Geli…

            “Assalamualaikum…” Aimy akan memulakan dengan ucapan salam dahulu.

            Tuan Aakif tersentak dari lamunan. Dia lupa yang dia sedang menghubungi Aimy untuk rundingan perkahwinan mereka.

            “Waalaikumusalam.” Tuan Aakif membalas. Kalau tidak dibalas maka Aimy akan tidak akan bersuara di sana. Gadis itu akan membisu sehingga salamnya dijawab. “Kita ada masalah besar. Atuk dan abah menentang habis-habisan rancangan perkahwinan kita.” Keluh Tuan Aakif.

            “Pihak di sebelah saya pun sama. Tapi saya sudah rangka plan B. Kita kahwin lari ke Golok.” Aimy memintal rambutnya dengan jari.

            “Hah! Awak biar betul! Malulah family saya nanti.” Mulut Tuan Aakif terlopong besar. Aimy ini main pakai hentam saja ideanya. Buat rangka rancangan bukan mahu dibincangkan dengan dia terlebih dahulu.

            “Awak nak berkahwin dengan saya tak?” soal Aimy. Lelaki di sebelah sana itu banyak sangat ragamnya.

            “Nak!” Jawab Tuan Aakif sepatah.

            “Jadi awak ikut saja plan B saya. Kita hanya mahu gertak saja bukan buat betul-betul. Saya akan jaga status kedudukan awak yang terhormat itu. Don’t worry be happy.

Ayat hujung itu buat Tuan Aakif terkesima. Pandai juga gadis tidak berperasaan itu buat lawak. Dia puji dengan ketenangan yang di miliki oleh Aimy. Mujurlah mereka ada sistem berkomunikasi. Kalau Aimy gadis pendiam memang parah. Maka dengan ini Tuan Aakif menyerahkan bulat-bulat kepada Aimy untuk menangani masalah. Apa yang penting dia dan Aimy dapat disatukan.

Setelah memberikan sepatah dua kata dan ucapan salam untuk penutup bicara Tuan Aakif terus merebahkan dirinya di atas tilam. Dia mula memasang angan-angan hidup sebumbung dengan Aimy. Dia akan berusaha memujuk Aimy untuk tinggal bersama atuk dan abahnya. Mana bisa dia mahu berjauhan dengan kedua orang penting dalam hidupnya itu.

Tuan Aakif dibesarkan tanpa seorang ibunya. Ibunya meninggal dunia ketika berusia 3 bulan. Abah memberitahu ibunya menghidap penyakit barah rahim. Demi cinta dan kasih ibu pada abah, ibu sanggup menggadaikan nyawa untuk dia melihat dunia ini. Apabila Tuan Aakif menilik rupa parasnya pada cermin nyata acuan wajahnya lebih mengikut rupa paras arwah ibunya sebab abahnya tidak kacak dan botak. Patutlah mama Aimy menolak keras lamaran abah dulu. Apa yang dia ragui arwah ibu boleh menerima dan mengahwini abah. Arwah ibu memang cantik berbanding mama Aimy. Aakif berasa bangga.

13 comments:

  1. kak ilya,smbung la lg...
    best la...
    erm,novel QC ble nk smbung??
    rindu gler pd tiryad...
    kak ilya,cm ne nk beli crpen TCL??
    xpndai la...
    slame nie,xprnah beli nvel @ crpen secara pos...
    biase beli kt kdai je..cm ne ekh??
    *cik fieqah*

    ReplyDelete
  2. wah.. terbaeeklah Aimy tu.. cerdik! hehe.. kak ilya dah smbung nanti bagi tau ya... tak sabar nk baca lgi..♥♥♥

    ReplyDelete
  3. hehehe..
    lawak la n3 kali ni...
    biasanya kalau orang nak kawin family akan happy ni nak pengsan lak...
    ooo..rupanya aakif memang dah lama suka kat aimy...

    ReplyDelete
  4. best! best ! best!..dah kahwin nanti..mcm mana yaa...xsabar nk tau...hihihi

    ReplyDelete
  5. Dah kahwin nanti lagilah huru-hara bila keluarga masuk campur maka tercetuslah perang...:)

    ReplyDelete
  6. sambung lagi kak Ilya.. jangan diorang kahwin lari betul2 sudah... nanti haru.. hehehe.. ^_^

    ReplyDelete
  7. Hehehehe...mesti gempak bab kali ini :) betul Aakif dan Aimy nak kawin lari ni

    ReplyDelete
  8. nice story.. he3.. waiting for the next entry~

    ReplyDelete
  9. btl ke Aakif ngan Aimy nk kawin lagi...hahaha bes nye cite nie smbung la cpt2 ckt huhuhu

    ReplyDelete
  10. macam best je~
    kak Ilya cepatlah sambung!!
    x sabar nak tau sambungan dia..
    good job!!

    ReplyDelete
  11. sgt menarik sis...bile nk smbng next entry????hehehe =)

    ReplyDelete
  12. Bestlah kak . Hehehhe .
    Aimy memang cool habis . Hehehhe

    ReplyDelete