Tab Menu

Followers

Saturday, November 19, 2011

Takdir Cinta luka - Bab 34

“BATRISYAH!” Wajah Faliq terpacul di muka pintu rumah tua itu. Haji Sufian dan Qais berpaling. Qais tidak menduga yang Faliq akan berada di sini. Apakah ingatan Faliq sudah pulih sepebuhnya? Tapi segala telah terlewat tika ini.
            “Abang Faliq…”                                                                                
            “Qais! Mana Batrisyah? Di mana Batrisyah? Abang datang mahu menjemput Batrisyah pulang bersama abang.” Faliq mendapatkan Qais. Kedua bahu Qais dipaut.
            Qais menundukkan kepalanya. Bagaimana mahu dia berterus-terang kepada Faliq tentang kakaknya. Kakaknya sudah tiada lagi.
            Mengapa ada orang ramai di rumah ini. Syed Ibtisyam dan Baby Liyana juga ada bersama keluarga Batrisyah. Wajah mereka suram dan kesedihan. Apa yang berlaku? Majlis tahlil siapa yang mereka buat? Siapa yang meninggal dunia? Dia tidak nampak bayangan Batrisyah? Di mana isterinya itu?
            “Faliq…” Haji Sufian menghampiri menantunya itu.
            “Abah...”
“Batrisyah sudah tiada Faliq. Batrisyah sudah meninggal dunia. Jenazah Batrisyah telah selamat disemadikan” Tenang Haji Sufian membicarakan keadaan sebenar.
            Jantung Faliq seakan behenti berdengup. Pandangan matanya mulai kelam dan kabur. Dia jatuh terjelepuk di atas lantai. Sungguh berita itu memberikan dia tekanan yang cukup hebat.
            “Faliq!”
            Siapa yang dapat menerima kenyataan atas kehilangan orang kesayangan dalam sekelip mata. Mereka amat memahami perasaan Faliq.

FALIQ berteleku di dalam bilik Batrisyah. Sungguh dia memang sudah terlewat. Air mata lelakinya menitis lagi. Dia menangis teresak-esak di dalam bilik itu tanpa mempedulikan orang disekelilinginya. Syed Ibtisyam dan Baby Liyana hanya mampu memandang. Syed Ibtisyam mengenggam erat jari-jemari Baby Liyana. Baby Liyana membalas genggaman suaminya. Akan ditunaikan permintaan Batrisyah supaya menjaga dan membina kembali rumahtangganya bersama Baby Liyana. Anak yang berada di dalam perut Baby Liyana itu tidak akan dibiarkan tanpa kasih sayang dari kedua ibu bapanya. Mereka membiarkan Faliq bersendirian di bilik Batrisyah. Haji Sufian menarik nafas panjang dan turut berlalu pergi. Qais merapati Faliq yang masih berteleku.
            Mengapa Risyah tidak menunggu abang? Mengapa Risyah pergi dahulu dari abang? Mengapa Risyah tinggalkan abang sendirian? Risyah tahu yang abang begitu sayang dan mencintai Risyah. Maafkan abang, Risyah. Abang terlupa tentangmu. Abang telah buat hatimu terluka.
            “Kakak tahu Abang Faliq akan datang. Jadi kakak minta Qais berikan ini kepada abang Faliq.” Qais menyerahkan kotak cincin baldu merah bersama sebuah diari milik Batrisyah. Faliq mengangkat wajahnya dan memandang Qais. Anak muda itu mengukir senyuman di bibirnya. Qais tidak menyalahkan Faliq atas pemergian kakaknya. Qais tidak membenci Faliq. Faliq tidak punya apa-apa kesalahan. Qais redha atas pemergian kakak kesayangannya itu.
            “Kakak kata bersama Abang Faliq adalah saat yang paling dia gembira. Abang Faliq berikan dia satu kenangan yang indah. Kakak sungguh terharu dengan lamaran Abang Faliq. Kaka bahagia menjadi isteri abang Faliq. Kakak pergi dengan tenang. Allah lebih menyayangi kakak.” Qais memaut lembut bahu Faliq.
            “Kita kena redha dengan pemergian dia, Abang Faliq. Kakak tidak mahu kita menangisi pemergiannya. Kita kena kuat menerimanya sebagaimana dia kuat menerima takdir yang tersurat untuknya. Abang Faliq…Kakak sampaikan salam terakhirnya untuk abang. Salam akhirnya menyatakan tidak ada secebis kebencian atas takdir cinta yang terluka dan cinta kakak pada Abang Faliq tiada penguhujungnya.” Qais berlalu.
Makin laju air mata Faliq mengalir. Diari Batrisyah dipeluk erat. Dia duduk di bilik itu hingga ke petang. Faliq asyik menangis merapati pemergian Batrisyah. Sukar untuk Faliq menerima Batrisyah telah meninggalkannya. Perginya Batrisyah dengan cinta yang terluka.
            “Faliq….” Bahu Faliq di tepuk perlahan. Faliq mengangkat wajahnya. Haji Sufian tersenyum. Haji Sufian duduk di sisi lelaki itu. Faliq menundukkan kepalanya kembali. Air matanya menitis. Kecewanya Faliq tidak dapat menatap wajah terakhir isterinya. Rasa terkilan di hati Faliq kerana pemergian Batrisyah ketika majlis pertunangannya dengan Dhiya. Ibu pula asyik membohonginya ketika dia hilang ingatan.
            “Batrisyah mesti ketawa jika lihat Faliq menangis begini sekali. Bukan Faliq tidak kenal dengan perangai anak pakcik yang seorang itu. Degil! Keras kepala! Tapi hatinya sungguh baik. Pakcik bertuah punya anak seperti Batrisyah.”
            “Pakcik tahu perasaan Faliq pada Batrisyah. Dalamnya cinta Faliq pada Batrisyah. Tapi Faliq perlu ingat, setiap yang hidup itu pasti akan mati. Setiap pertemuan itu pasti ada perpisahan. Kita perlu redha dengan pemergian dia. Semua orang sedih atas kehilangan dia. Pakcik lagi lagi sedih sebab dia anak pakcik. Anak yang hanya sekejap cuma pakcik dapat berikan kasih sayang yang tidak pernah pakcik berikan sebelum ini. Anak yang bijak menyembunyikan perasaan sendiri demi menjaga perasaan orang lain.” Suara Haji Sufian semakin sayu. Batrisyah tidak pernah berkecil hati. Kasih sayang diberikan untuknya berat sebelah.
            “Dia tidak membenci ibu Faliq. Dia tidak membenci Faliq…Dia lakukan kerana sayangkan Faliq. Dia tidak terniat mahu lukakan hati Faliq. Dia tersenyum…Dia ketawa namun sebenarnya hati dia menangis.” Faliq tersentak. Merah matanya memandang wajah Haji Sufian yang tenang. Haji Sufian bingkas bangun. Lelaki yang sudah separuh abad itu melemparkan senyuman sebelum melangkah keluar.
            “Risyah amat cintai Faliq. Tiada lelaki lain yang bertakhta di hatinya selain Faliq. Dan dia tahu Faliq jua mempunyai perasaan yang sama. Pakcik kenal dengan hati budi Batrisyah.” Haji Sufian hilang di sebalik pintu.
            “Risyah…”
           
FALIQ menyusuri pantai dengan di waktu petang yang kian berlabuh. Dia memandang ke arah pelangi yang kian pudar. Senyuman terukir dibibirnya. Di sini dia mula meluahkan perasaan kepada gadis yang bernama Nur Sufi Batrisyah. Dan di sini dia melamar gadis itu menjadi suri dalam hidupnya. Faliq tidak pernah melupakan walau satu saat kenangan itu bersama Batrisyah.
“Faliq…awak tahu tak? Cinta ini seperti anggur. Yang ada rasa masam dan manis. Begitu jua dengan cinta. Ada masam dan manisnya.” Batrisyah menguis-guis pasir pantai itu dengan ranting kecil. Senyuman mekar di bibir merekah itu. Batrisyah bangun. Dia mendepangkan tangan dan memejamkan kedua belah matanya.
Faliq hanya memerhati gelagat gadis pujaan hatinya itu.
“Di sinilah tempat saya meluahkan segala perasaan saya. Saya rasa tenang biarpun jiwa saya kesunyian. Awak pernah dengar lirik lagu pelangi petang nyanyian Allahyarham Sudirman.” Faliq anggukkan kepala. Batrisyah bacakan lirik lagu itu kepada Faliq. Seakan membaca sebuah puisi.

Ku meniti awan yang kelabu
Ku tempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku…
Ku percaya nanti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang berliku
Bersamanya…
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tanpa cahaya terus kau berseri
Tapi cukup menghiburkan hati ini
Seharian waktu bersamamu
Dan terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pasti pergi jua…

Ketawa kecil Faliq mendengar suara lunak Batrisyah. Hafal gadis itu akan lirik lagu tersebut. Dia sendiri tidak dapat mengingati lirik lagu tersebut. Hari ini dia melihat diri Batrisyah yang lain. Batrisyah yang berdiri di sisinya itu bukan lagi Batrisyah yang selalu berwajah serius.
            Batrisyah terus membuka matanya. Dia mendonggakkan ke atas langitnya biru. Air mata gadis itu menitis laju. Tangisan mengiringi senyuman. Faliq tidak memujuk Batrisyah dia biarkan saja gadis itu melepaskan segala kedukaan yang terpendam di hati. Itulah kali pertama dan terakhir Faliq melihat air mata Batrisyah. Faliq terjaga dari lamunan bila terdengar suara kicauan camar-camar yang terbang di langit.
Tidak disedari air mata sudah membasahi wajahnya. Entah berapa kali air matanya tumpah bila kenangan Batrisyah datang menerpa. Wajah ayu Batrisyah terpacar
dalam ruang matanya. Sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa isteri kesayangannya itu sudah tiada lagi. Pergi bersama cinta yang terluka.
Faliq terasa bahunya disentuh lembut. Dia menoleh ke belakang. Faliq mengorak senyuman tawar. Dia kenal dengan lelaki yang kini berdiri di sisinya itu. Lelaki pertama yang melukai hati Batrisyah. Lelaki yang meminta pengorbanan cinta dari Batrisyah demi cinta baru. Ashraf Nusair….
“Di sinilah saya menghancurkan hati Batrisyah. Melukai Batrisyah dengan teruk.” Ashraf memandang ke arah lautan biru. Ashraf tidak dapat menahan Farisya pergi setelah apa yang berlaku. Farisya sukar untuk memaafkannya. Farisya mahukan perpisahan untuk sementara. Farisya inginkan ketenangan.
“Mengapa gadis sebaik dia amat mudah dilukai oleh lelaki? Mengapa lelaki tidak tahu menilai gadis sebaiknya? Tiada jawapan untuk itu bukan?” Faliq memberikan pertanyaan. Batrisyah yang nampak teguh dan tabah itu sebenarnya terlalu lembut dari dalamnya hingga mudah dilukai dengan teruk.
“Batrisyah…Maafkan aku Batrisyah! Maafkan aku!” Ashraf terjelepuk jatuh. Air matanya merembes keluar. Tawa dan senyuman Batrisyah bermain di ruang mata Ashraf. Jika masa dapat diputarkan semula dia tidak akan mengkhianati cinta tulus Batrisyah. Betapa ikhlas gadis itu mencintai dia dengan kesederhanaan. Tapi dia buta untuk menghargai cinta dari Batrisyah. Dia mungkiri ikrarnya pada Batrisyah.
“Bila kita kehilangannya baru kita menyedari betapa berharganya dia buat kita. Yang pergi tidak akan kembali. Hanya kenangan tinggal di sanubari.”
“Pasrahkah kau pada kehilangan Batrisyah, Faliq. Aku tahu cinta kau amat utuh buat Batrisyah. Selama ini aku bangga kerana cinta Batrisyah hanya untukku sampai bila-bila namun bila kau hadir dalam hidupnya aku mula gundah. Cintaku menjadi dua. Aku menyatakan pada dia perasaan ku pada dia sudah tiada tapi aku silap. Bila cinta kau hadir dalam hidupnya aku mulai cemburu. Nama kau menghiasi bibir Batrisyah. Dan akhirnya aku sedar yang sisa cintaku pada Batrisyah masih ada dan masih utuh walaupun aku menyintai adiknya.” Luah Ashraf.
“Ashraf….”
“Ini balasan yang aku terima kerana mempermainkan cinta tulus Batrisyah. Apakah Batrisyah akan memaafkan aku?”
“Batrisyah telah memaafkan kau. Dia telah lama memaafkan kau dan dia pasrah dengan takdir cinta yang tidak bersatu. Tiada dendam di hati Batrisyah. Dia pinta kau menjaga adiknya baik-baik. Dan juga anak saudaranya yang comel itu.” Itu yang tertulis di dalam diari peribadi milik Batrisyah. Diari yang kini hanya menjadi milik Faliq. Diari itu rahsia perjalanan hidup dan kisah cinta Batrisyah. Dan luahan cintanya terhadap Faliq. Bila Faliq menatap catatan-catatan dalam diari itu dia akan menangis. Isterinya itu seorang pencinta yang setia.
“Jangan persia-siakan pergorbanan Batrisyah. Dia lakukan demi cinta kau terhadap Farisya. Dia tidak kisah jika hatinya terluka asalkan kau dan Farisya bahagia. Dia tidak pernah kesal dengan pergorbanannya. Batrisyah tidak pernah melupakan kau walau sesaat ketika cinta kau utuh di hatinya. Cinta tidak semestinya bersatu. Dalam soal cinta ada kisah suka dan kisah duka. Ada jalan yang lurus ada jalan yang bengkok.”
Ashraf terkedu. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Dia memaut bahu Faliq. Faliq telah menyedarkan dia dari penyesalan.
Batrisyah…aku sudah menyampaikan apa yang kau mahu aku sampaikan. Aku iri hati Batrisyah…Aku iri hati melihat cinta mereka bersatu sedangkan cintaku terkandas dipersimpangan. Aku kesal Batrisyah…jika aku tidak melupakanmu dari ingatan ini pastinya kita sudah bersama hingga akhirnya. Kau korban cintakan kau demi seorang ibu yang berhati kejam. Kau tidak mahu menghancurkan hati seorang ibu yang inginkan kebahagiaan anaknya. Kau tinggalkan cinta dan suamimu ini atas hasrat seorang ibu. Tapi bahagiakah aku tanpa cintamu di sisi…

3 comments:

  1. waaa...sedey nye...mane anak risya???faliq da jumpe belum??

    ReplyDelete
  2. salam dik..sendu dan sayu..semuanya da terlambat disaat faliq mengingati Risyah.. Risyah dah pergi dengan cintanya yg tak kesampaian walaupun diakhir hayat ingin melihat faliq..suami yg dicintainya sepenuh hati sehingga tiada ruang untuk lelaki lain mengisi kekosongan itu..pasrahnya hati seorg wanita yg bernama Risyah.. Tak ada kesalan kah ibu Faliq membunuh menantunya..hati apakah yg ada didada wanita itu..
    sape nama anak mereka ek..

    ReplyDelete
  3. Betapa tulusnya hati insan yang bernama Batrisyah...

    ReplyDelete